24 Mei 2010

Dah Dijangkakan : Mahkamah Tolak Permohonan Sivakumar

Mahkamah Tolak Permohonan Sivakumar Semak Keputusan 3 ADUN Lompat Parti

PUTRAJAYA 24 Mei - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Pakatan Rakyat, V Sivakumar untuk menyemak semula keputusan yang dibuat mahkamah tersebut sebelum ini yang membenarkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri yang keluar parti menjadi wakil Bebas mengekalkan kerusi masing-masing.

Keputusan panel tiga hakim juga mengesahkan bahawa speaker tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong.

Sivakumar ketika dihubungi Suara Keadilan berkata keputusan mahkamah hari ini mentafsirkan speaker tidak mempunyai kuasa di bawah Perkara 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak sebaliknya yang mempunyai kuasa adalah Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Perkara ini telah dirujuk oleh Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan yang telah menetapkan keputusan yang mempunyai kuasa membuat keputusan adalah SPR.

"Mahkamah Persekutuan juga dalam hujahnya berkata speaker tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Negeri Perak," kata Sivakumar.

Menurutnya lagi, keputusan hari ini oleh tiga panel hakim itu juga menganggap mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 April lepas.

"Keputusan yang dibuat mahkamah itu juga tidak boleh ditarik balik," tambahnya lagi.

Pada 9 April tahun lepas, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff mengisytiharkan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai anggota Dewan Undangan Negeri bagi ketiga-tiga kawasan.

Osman dan Jamaluddin, bekas anggota KEADILAN Perak dan Hee daripada DAP, meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional, sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Panel itu juga memutuskan bahawa SPR adalah badan yang berhak mengisytiharkan kekosongan sesebuah kerusi di Perak, dan bukannya speaker DUN Perak iaitu Sivakumar.

Mahkamah tersebut juga, pada 8 April tahun lepas, telah memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa mendengar kes ketiga-tiga wakil rakyat yang dirujuk secara langsung kepadanya dari Mahkamah Tinggi Ipoh mengikut Perkara 63 Perlembagaan Perak berhubung isu perlembagaan iaitu siapa yang berkuasamengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Perak.

Menerusi notis usul yang difailkan pada 19 April lepas, Sivakumar mendakwa beliau berhak, di bawah undang-undang, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 9 April yang terbatal kerana dibuat tanpa bidang kuasa.

Ketika mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu bidang kuasa, Sivakumar berkata mahkamah tersebut telah secara tidak selaras dengan perlembagaan atau kaedah-kaedah prosedur, menganggap ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Beliau mendakwa Mahkamah Persekutuan telah tersalah tafsir Perlembagaan Persekutuan apabila memutuskan bahawa undang-undang di bawah Perlembagaan Perak adalah undang-undang Persekutuan yang membolehkan bidang kuasa diberikan kepada Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 121(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Sivakumar juga berkata satu lagi kes di mana speaker lawan SPR akan diputuskan di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur, Khamis ini. -SK

Ulasan GB

Kan GB dah tulis dulu,

Ada beberapa kes terpilih yang mana Pakatan Rakyat atau mana-mana individu yang melawan institusi kerajaan akan PASTI ditewaskan apabila ianya sampai ke penal Mahkamah Persekutuan. Diantaranya kes Perak, kes liwat DSAI, kes melibatkan SPRM, kes melibatkan SPR, kes melibatkan PDRM.

Buka semula penghakiman kes-kes berkenaan Mahkamah Persekutuan, jika anda rasa GB tidak berkata benar.

Dan ingat juga kes correct, correct, correct. Si hakim bedebah yang membaca kertas penghakiman yang disediakan oleh peguam yang terlibat di dalam kes yang dibicarakan masih lepas bebas dan tidak diambil sebarang tindakan.


MIC Tuggang Langgang, Samy Vellu Cantas 2 Anggota CWC

Datuk Seri S. Samy Vellu meneruskan tindakan mencantas penentangnya dengan memecat dua lagi pemimpin hari ini — kali ini membabitkan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dipilih.

K.P. Samy dan G. Kumar Aamaan dikeluarkan surat pemecatan daripada Presiden MIC hari ini.

Dengan keputusan drastik itu, Samy Vellu yang menggunakan kuasa sebagai presiden untuk memecat mereka, empat orang telah dipecat dalam dua minggu ini.

Dua yang dipecat sebelum ini ialah Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan V. Subramaniam atau lebih dikenali sebagai Bharat Maniam dan Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan.

Mugilan dipecat Khamis lalu.

Samy Vellu memecat Samy dan Kumar ketika Bharat Maniam membuat rayuan berhubung pemecatannya hari ini.

Mugilan juga memutuskan untuk membuat rayuan hari ini.

Ketika dihubungi 6 petang tadi, Samy mengesahkan menerima surat pemecatan.

“Saya baru sahaja menerima surat... saya dipecat atas alasan membuat kenyataan meminta Datuk Seri Samy Vellu berundur segera,” kata Samy, ketua cawangan Shah Bandar, Selangor.

Samy (gambar) akan mengadakan sidang media tengah hari esok berhubung tindakan terbaru Samy Vellu ini.

“Saya memang telah menjangkakan tindakan ini. Tindakan Datuk Seri Samy Vellu kini membawa parti ke arah kehancuran, biar ahli membuat penilaian akan tindakan beliau,” kata Samy, antara beberapa pemimpin yang lantang bersuara dalam mesyuarat CWC.

“Saya sedih dengan tindakan Datuk Seri Samy Vellu ini... ini menunjukkan beliau bertindak seperti seorang diktator, tiada siapa yang boleh memberi pandangan dan bersuara,” kata Kumar.

Anggota CWC penggal pertama ini berkata, walaupun Samy Vellu mengendakan tindakan, “kami sudah mendapat tempat dalam hati rakyat.”

“Biar Tuhan mengadili Datuk Seri Samy Vellu dan biar Perdana Menteri ambil tindakan sewajarnya ke atas presiden MIC ini,” kata Kumar lagi sambil menambah, beliau telah menerima surat pemecatan kira-kira 7:15 petang ini.

Samy dan Kumar merupakan antara lima anggota CWC daripada kalangan bukan puak direstu Samy Vellu memenangi pemilihan CWC September lalu.

Samy Vellu mengambil tindakan ini dua hari selepas memberi amaran pada Konvensyen MIC Pahang di Genting Highlands bahawa beliau tahu “bagaimana hendak berurusan dengan budak-budak kecil” yang mula membuat kacau dalam parti.

Sehari selepas Samy Vellu mengumumkan pelan peralihan kuasa iaitu suku ketiga tahun depan, Mugilan membuat kenyataan terbuka meminta pemimpin veteran itu berundur segera ataupun selewat-lewatnya 31 Disember ini.

Samy dan Kumar membuat kenyataan yang serupa Jumaat lalu. -TMI


Subra: Samy Vellu sudah pecat 100,000 ahli MIC

Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam, berkata beliau bersimpati dengan timbalan ketua Pemuda MIC Malaysia yang baru dipecat, V Mugilan tetapi menafikan mereka bekerjasama menubuhkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

subramaniam interview"Tuduhan ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC yang baru dilantik, S Vell Pari yang juga adalah anak Samy Vellu dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil hari ini bahawa kami bekerjasama menubuhkan GAS adalah berniat jahat," kata Subramaniam.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun Kuil Sri Subramaniar di Serdang, dekat sini, hari ini, Subramaniam berkata, sejak berkecimpung dalam arena politik beliau tidak pernah "menikam orang dari belakang".

Katanya, beliau sedang berbincang dengan peguamnya kemungkinan menyaman Vell Pari.

Subramaniam yakin usaha Mugilan menubuhkan GAS mendesak Samy Vellu berundur akan mendapat sokongan kuat daripada akar umbi MIC di seluruh negara.

subramaniam samy vellu and mic"Bukan saja pimpinan MIC peringkat bawahan yang mahu Samy Vellu berundur malahan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir dua tahun lalu pernah menasihat Presiden MIC itu berundur," katanya.

Subramaniam mendakwa, Samy Vellu telah memecat kira-kira 100,000 ahli parti selama lebih 30 tahun beliau menjadi presiden.

"Lagi cepat pertukaran kuasa berlaku lagi baik untuk MIC," katanya. -mk

Ibu minta suruhanjaya ditubuhkan siasat kematian anak

Seorang ibu hari ini meminta satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat kematian anaknya akibat ditembak polis selepas dipercayai terlibat dengan jenayah ragut, 20 Okt tahun lepas.

Sapiah Elah, 52, dari Felda Simpang Waha, Kota Tinggi, berkata pihak berkuasa masih tidak memberikan penjelasan dan siasatan terperinci mengenai kematian anak lelakinya, Mohd Afham Arin, 18, walaupun kejadian terbabit sudah berlaku tujuh bulan lepas.

“Saya tidak berpuas hati kerana polis juga cuba menipu saya dengan mengatakan anak saya masih hidup apabila saya tiba di Balai Polis Seri Alam sedangkan dia sudah meninggal dunia akibat ditembak polis pada awal pagi, 20 Okt itu.

“Saya juga amat kesal kerana terpaksa menunggu lama untuk berjumpa Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan menuntut jenazah anak saya di Hospital Sultanah Aminah,” katanya kepada pemberita pada satu pertemuan yang diaturkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Johor, di sini, hari ini.

Sapiah mendakwa Mohd Afham, yang menunggang motosikal bersama pembonceng, Mohd Firdaus Marsani, 19, seorang anak yang baik dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Sehubungan itu, dia meminta Kementerian Dalam Negeri memandang serius kejadian terbabit dan mengharapkan suruhanjaya yang ditubuhkan itu dapat membersihkan nama Mohd Afham yang didakwa polis sebagai terlibat dengan 25 kes samun.

Sementara itu, Mohd Firdaus yang menuntut keadilan, turut menyangkal dakwaan polis yang mengatakan dia melibas pihak berkuasa dengan parang lalu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Menceritakan kejadian tembakan itu, Mohd Firdaus berkata, dia bersama Mohd Afham dikejar tiga lelaki menaiki motosikal di kawasan Taman Johor Jaya selepas selesai menikmati makan malam.

Katanya disebabkan rasa takut kerana ketiga-tiga lelaki tersebut hanya berpakaian biasa dan tidak menunjukkan kad kuasa, Mohd Afham terus memecut motosikalnya menghala ke Pasir Gudang sambil dikejar ketiga-tiga lelaki terbabit.

“Apabila tiba di satu selekoh berhampiran jambatan menuju ke Seri Alam, saya terdengar satu das tembakan dari arah belakang sebelum disusuli dua lagi tembakan lain yang menyebabkan motosikal yang kami naiki terjatuh,” katanya yang berpeluang melarikan diri selepas terjatuh di dalam semak.

Mohd Firdaus menegaskan, dakwaan mengatakan dia melibaskan parang adalah tidak benar sebaliknya kematian Mohd Afham yang merupakan pelajar Kolej Komuniti Ledang dan sedang menjalani latihan amali di Larkin, di sini, adalah disebabkan kecuaian polis dalam menjalankan tindakan.

Katanya dia sudah memberikan keterangan kepada polis mengenai kejadian itu pada Januari lepas, namun, sehingga kini masih tidak menerima sebarang maklumbalas dari pihak berkuasa. — Bernama

Majlis Peguam Bantah SPRM Siasat Saksi Tanpa Batas Waktu

Majlis Peguam Malaysia membidas keputusan Mahkamah Persekutuan memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat saksi di luar waktu pejabat.

Presiden Ragunath Kesavan berkata keputusan Mahkamah Persekutuan ini akan menghakis hak asasi para saksi kerana SPRM diberi ruang mutlak untuk menekan saksi semasa soal-siasat.

Majlis Peguam berpendapat agensi penguatkuasa tidak boleh diberi kuasa untuk menyoal siasat saksi mahupun suspek tanpa batas kerana ia cenderung untuk disalahgunakan.

Ragunath berkata kuasa siasatan harus dibatasi kedaulatan undang-undang dan tidak mengugat hak asasi mana-mana saksi atau suspek.

"Saksi yang membantu agensi penguatkuasaan undang-undang perlu diberi perlindungan dan hak sepertimana yang diberikan pada individu tertuduh, yang ditetapkan Peraturan 20 dari Peraturan Lokap 1953," tegas Ragunath.

"Saksi akan tergerak untuk membantu siasatan (jika hak mereka dijamin) kerana mereka tidak mempunyai sebab untuk takut kepada proses soal-siasat atau bimbang ditahan untuk tempoh waktu yang melampau," tambah beliau.

Majlis Peguam mengalu-alukan ketetapan baru SPRM yang menetapkan pegawai penyiasat perlu menjustifikasikan alasan untuk menahan dan menyoal-siasat saksi selepas waktu pejabat.

"Kita mengulangi pendirian bahawa saksi boleh disiasat di luar waktu pejabat hanya dengan persetujuan saksi terbabit, selain menghadiri sesi tersebut ditemani peguam. Keputusan Mahkamah bagaimanapun memberi kuasa kepada SPRM untuk memaksa saksi disiasat untuk tempoh siasatan yang panjang," katanya.

Ragunath menyeru kerajaan untuk mengambil inisiatif melindungi hak saksi, dan memupuk ketelusan dan ketanggungjawaban dalam siasatan SPRM.

Hapuskan Lesen Judi, Bukan Kaji

Kerajaan perlu menghapuskan terus lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan, bukan sekadar mengkaji sahaja.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Ezli Mashut berkata, lesen judi itu perlu dihapuskan kerana mendapat bantahan bantahan keras dan meluas rakyat daripada pelbagai agama dan bangsa di seluruh negara.

“Kita menggesa agar kelulusan kebenaran lesen judi Piala Dunia 2010 dibatalkan, bukan dikaji. Sepatutnya kerajaan lebih faham dan maklum bahawa perjudian jelas bertentangan dengan syariat Islam serta ianya bukan budaya masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Berjaya Group.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu kerajaan menarik balik kelulusan itu yang dikhuatiri mengundang gejala negatif dalam kalangan masyarakat.

Mohd Azli berkata, kerajaan tidak perlu menunggu bantahan meluas rakyat pelbagai agama dan bangsa kerana tugas dan tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat hidup dalam suasana berteraskan syariah dan menepati budaya murni pelbagai agama dan bangsa.

Katanya, AMK Selangor bimbang dan khuatir jika judi pertaruhan bola sepak tidak hapuskan, masyarakat akan terdedah kepada kes-kes jenayah,budaya jijik dan konflik keluarga.

“AMK Selangor melihat situasi perkembangan mutakhir ini seolah-olah kerajaan UMNO/BN semakin tidak prihatin untuk membina negara dan rakyat yang mempunyai keperibadian mulia dan unggul.

“Jika prasyarat untuk membina negara hebat ini ditolak, negara sedang menuju ke arah sebuah masyarakat yang porak peranda,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu bangkit menyatakan penegasan bahawa kerajaan perlu diletakkan dalam landasan yang tepat dan sebenar malah perlu mengorak perjuangan bersama agar harapan baru untuk selamatkan Malaysia menjadi realiti. -SH


Kerajaan teliti lesen judi Piala Dunia

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan kepada Berjaya Group baru-baru ini.

Menurut Mingguan Malaysia, hari ini, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, walaupun beliau belum dimaklumkan mengenai reaksi masyarakat berhubung perkara itu secara umumnya, kerajaan memberi jaminan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua termasuk dari kalangan Islam dan bukan Islam.

''Secara jujurnya saya belum lagi dimaklumkan mengenai situasi tersebut tetapi kita (kerajaan) memang mengambil kira reaksi orang awam, Islam dan bukan Islam.

“Saya percaya kerajaan akan mengambil kira perkara itu (reaksi masyarakat tentang kelulusan lesen judi,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.

Muhyiddin menjawab soalan pemberita tentang bantahan masyarakat terhadap langkah kerajaan itu seperti laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada 11 Mei lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang tampil menjelaskan mengenai perkara itu memberitahu, lesen tersebut bukan lesen baru yang dikeluarkan kerajaan tetapi diberi semula kepada Berjaya.

Selain itu, Chee Heung berkata, penganjur turut diletakkan syarat supaya tidak mengambil pekerja dan menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan yang beragama Islam.

Kelulusan itu ditentang oleh beberapa tokoh sukan tempatan seperti bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh melalui laporan Bernama baru-baru ini.

Selain itu, pakatan pembangkang pula mengecam langkah tersebut dengan Pas bertindak menganjurkan siri demonstrasi bantahan perkara tersebut di beberapa negeri Jumaat lalu.

20 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga membisu berhubung keputusan kerajaan memberikan lesen judi sukan supaya pertaruhan dapat dibuat menjelang kejohanan bolasepak Piala Dunia yang bermula Jun ini.

"Kita tidak akan membincangkannya," kata Najib apabila diajukan soalan berkenaan oleh wartawan. -mk


Manikumar : Tidak Wajar Untuk Saya Lompat Parti

Ahli Exco Negeri Kedah, S Manikumar Manikumar menyeru rakyat supaya menolak propaganda Umno-Barisan Nasional yang menyebarkan fitnah bahawa kerajaan negeri goyah disebabkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri akan keluar parti sambil menyatakan keyakinan penuh dan taat setia beliau kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Manikumar yang juga ADUN Bukit Selambau berkata musuh ingin melihat Pakatan Rakyat tumbang di Kedah yang dilihat sebagai sebuah parti pemerintah yang kuat sekarang ini namun beliau akan tetap bersama dengan KEADILAN dalam apa juga situasi dan kondisi.

"Saya mendapat tempat untuk menjadi wakil rakyat adalah atas kepercayaan kepimpinan parti kepada saya. Oleh kerana itu adalah tidak wajar bagi saya untuk meninggalkan parti yang telah memberi satu penghormatan dan tanggungjawab untuk saya laksanakan bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.

"Justeru itu desas-desus dan dakwaan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab seperti mana yang dilaung-laungkan sebelum ini bahawa terdapat ADUN Pakatan Rakyat akan melompat parti adalah satu dakyah jahat yang sengaja Umno-BN rekacipta semata-mata untuk melihat kita dalam Pakatan Rakyat berada dalam keadaan yang goncang dan goyang.

"Oleh kerana itu jugalah maka saya dengan ini suka menyatakan pendirian saya bahawa KEADILAN adalah tetap menjadi parti untuk saya memberi khidmat dan sumbangan kepada rakyat yang telah memilih saya dalam pilihan raya kecil yang lalu sehinggalah kepada pilihan raya umum yang akan datang," kata Manikumar semasa beucap di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar Sabtu lalu. -SK

Judi : UMNO Dan Perkasa Dicabar Umum Pendirian

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San mencabar ahlli-ahli Umno dan PERKASA untuk mengumumkan pendirian mereka sama ada mereka menyokong tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memberi lesen judi bola kepada syarikat Ascot Sports Sdn. Bhd. yang dikuasai oleh Tan Sri Vincent Tan.

Menurut Lau Weng San, ketika pilihanraya kecil kerusi parlimen Hulu Selangor, BN dan Umno mengkritik calon Pakatan Rakyat(PR), Datuk Zaid Ibrahim sebagai kaki botol dan judi. Walaupun dalam isu arak beliau telah bertaubat dan beliau turut menafikan bahawa berliau terlibat dalam perjudian, Umno tidak habis-habisan mengkritik beliau.

"Jika Umno betul-betul memperjuangkan Islam, maka saya mencabar mereka untuk berdiri dan membantah keputusan kerajaan BN yang membenarkan pemberian lesen judi bola kepada syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Vincent Tan ini.

"Saya juga melemparkan tuduhan yang sama kepada pertubuhan PERKASA yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya berbuat demikian," tegas beliau.

Beliau berkata, Jika ia tidak dilakukan, ini sekali lagi membongkarkan sikap hipokrit Umno dan BN, mereka hanya menggunakan isu ini untuk kepentingan politik sewaktu adanya pilihanraya kecil tetapi apabila kerajaan yang diketuai mereka sendiri melakukan yang sama, mereka terus membisu.

Sehingga sekarang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih membisu dalam isu ini seolah-olah ingin membiarkan isu ini berlalu begitu sahaja.

"Sebenarnya, hasrat kerajaan BN membenarkan pemberian lesen judi bola ini adalah amat jelas sekali, iaitu mereka ingin mengutip cukai eksais yang lumayan daripada aktiviti judi bola ini dengan alasan kononnya pemberian lesen judi bola yang sah akan dapat mengawal dan mengurangan aktiviti judi bola haram," kata beliau. -erapakatan


Ridhuan Tee Bidas Lesen Judi, Gesa BN Pertimbang Semula

Suara bantahan kepada isu kelulusan lesen judi bolasepak semakin kuat.

Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menggesa kerajaan Barisan Nasional supaya mempertimbangkan semula rancangan meluluskan lesen judi kerana ia mengundang mudarat kepada masyarakat Islam.

Beliau berkata pandangan Islam berhubung soal judi sudah jelas lagi nyata lantas soal menghalalkan skim judi Piala Dunia 2010 seharusnya tidak berbangkit sama-sekali.

"Saya ingin menyarankan kepada pihak berkuasa supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu dasar. Ya, dari satu segi kerajaan mahu mengelakkan judi haram, namun kita perlu timbangkan mudarat yang lebih besar," tegas beliau.

Dr Ridhuan berkata statistik dan liputan media menunjukkan masalah umat Islam yang terlibat dalam gejala sosial amat menakutkan. Pertambahan pusat judi halal akan hanya menjadikan situasi masyarakat Islam semakin parah.

"Walaupun kita katakan ia untuk orang bukan Islam, tetapi tidakkah kita membuat kajian bahawa betapa ramai umat Islam yang membeli nombor ekor hari ini walaupun tertulis dengan jelas, umat Islam dilarang masuk di premis tersebut, begitu juga perjudian mereka ke Genting Highland." -TVS



23 Mei 2010

MP Kapar Tak Akan Sertai Kumpulan Katak

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam yang kebelakangan ini digembar-gembur kononnya bakal keluar parti termasuk dakwaan pengumuman mengadakan sidang media, menceritakan apa yang dilakukannya pada hari semalam.

"Waktu pagi macam biasalah. Saya jumpa dengan masyarakat dan pengundi saya di Pusat Khidmat. Kemudian sekitar jam 11 pagi, saya ke Puncak Alam berjumpa dengan Dr Hamka, bekas setiausaha.

"Selepas itu, saya tertinggal handphone. Saya berbincang-bincang, kemudian balik dan ada banyak miss call. Saya telefon semula. Saya bercakap dengan (Naib Presiden PKR), Azmin Ali, dia tanya, betulkah saya mahu lompat?

"Saya kata, tidak. Pendirian saya jelas. Bukan pasal isu ini sahaja tapi atas apa isu sekalipun saya tetap bersama parti," katanya kepada TV Selangor, malam tadi.

Pendirian ini diulangi Manikavasagam pada ceramah di Ampang malam tadi, sekali gus berdepan ugutan melalui kejadian simbah cat yang dilakukan pihak tertentu.

Untuk sekian kali, Manikavasagam menafikan beliau akan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi ahli Parlimen Bebas.

Beliau terpaksa mengulangi kesetiaannya berikutan ada usaha pihak tertentu yang tidak jemu-jemu menyebar fitnah, kononnya mahu keluar parti dengan mengaitkan pendedahannya berhubung isu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

"Saya masih ingat, ramai yang bantu saya ketika pilihan raya lalu. Mereka siang malam bantu saya, berhabis-habisan untuk saya. Saya ingat jasa mereka. Jangan harap boleh beli saya dengan wang. Saya teguh dengan parti," katanya. -TVS

Ulasan GB

Itu yang kami mahu dengar dari MP Kapar ini - jangan samasekali lupa dan khianati para pengundi dan penyokong. Jangan menjadi katak-katak yang tak menghargai pengundi dan penyokong mereka, lebih-lebih lagi si katak yang kemudian menceritakan pulak kisah "seluar dalam" kepada Bapa Judi yang telah memberikan habuan wang dari hasil perjudian yang diperolehi.

Ingatlah, rakyat mengundi kita untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, rakyat mengundi kita untuk menentang kezaliman kerajaan UMNO BN, rakyat mengundi kita untuk kita wujudkan satu sistem pemerintahan yang bersih, adil dan telus di bawah payung Pakatan Rakyat. Jika mereka dikhianati nantinya rakyat akan berkata, pergi mamposlah kamu bersama BN yang pasti akan hancur juga akhirnya!

Najib Akan Berkata Kepada SPRM : "You help me, I help you".

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung "You help me, I help you" semasa kempen pilihan raya Sibu.

Pelbagai pihak, khusus parti-parti pembangkang mendakwa kenyataan Perdana Menteri itu melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Ketua SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed (kiri, berdiri) memberitahu wartawan semasa sidang media di Petaling Jaya bahawa pihaknya telah menerima aduan berkenaan dan sedang menyiasatnya.

Pengarah siasatan SPRM, Mustafar Ali juga mengesahkan perkara itu kepada wartawan sambil berkata, suruhanjaya itu akan memanggil beberapa orang saksi untuk dirakamkan kenyataan mereka.

Kedua-dua pegawai kanan SPRM itu menghadiri sebuah forum Transparency International berhubung pembaharuan politik kewangan di Malaysia.

Pada 17 Mei lalu, Pengerusi DAP Karpal Singh mendakwa Najib terbabit dalam 'pembelian undi' pada pilihan raya keci parlimen Sibu.

Beliau merujuk kepada satu majlis di Rejang Park, pada 15 Mei seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar harian bahasa Inggeris Sunday Eastern Times.

Berikut petikan kata-kata Najib yang dipertikaikan itu yang dibuatnya dalam bahasa Inggeris.

“I want to make a deal with you. Can we have an understanding or not? The understanding is quite simple. I help you, you help me,” kata Najib.

Pada majlis ini, Najib menjanjikan kerajaan persekutuan akan memberi RM5 juta untuk projek tebatan banjir di Sibu jika BN menang pilihan raya berkenaan.

Menurut Karpal tindakan itu jelas mencabuli Akta Kesalahan Pilihan Raya dan secara berseloroh berkata sekiranya tidak berhati-hati, Perdana Menteri boleh dihumban ke penjara dan negara terpaksa mengadakan pilihan raya kecil di Pekan pula. -TMI

Ulasan GB

Tak sukar bagi Najib berkata kepada Pengerusi SPR, "you help me, I help you"!

Perpecahan PPP, MCA, Kini MIC - Bukti BN Menuju Kemusnahan

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menggesa MIC menyelesaikan masalah dalamannya secepat mungkin agar ia tidak melemahkan jentera Barisan Nasional (BN).

Gesaan ini dibuat ketika BN sedang berusaha untuk pulih daripada prestasi buruk dalam pilihan raya umum 2008.

MIC, antara parti komponen BN yang banyak kehilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada 8 Mac 2008.

Datuk Seri Najib Razak berharap kemelut yang sedang berlaku dalam MIC, salah sebuah parti komponen BN dapat diselesaikan.

Najib, yang juga pengerusi BN, berkata kemelut dalam MIC kini semakin hangat kerana ramai di kalangan pemimpin parti terbesar kaum India itu yang berpendapat perlunya berlaku perubahan dalam kepimpinan tertinggi parti.

“Perkara ini (kemelut kepimpinan MIC) harap dapat diselesaikan oleh MIC,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Aero Mall dan Bandar Lapangan Terbang Senai di Lapangan Terbang Senai, Johor Baru hari ini.

Dipetik Bernama, Pengerusi BN ini berkata apa yang penting adalah MIC sebagai salah sebuah parti komponen BN perlu turut memainkan peranannya untuk meyakinkan rakyat supaya menyokong parti pemerintah.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya tentang kemelut yang berlaku dalam MIC ketika ini yang menyaksikan timbalan ketua pemuda MIC, V. Mugilan dipecat berikutan desakannya agar presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatannya dengan segera.

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta MIC menyelesaikan masalah dalamannya secepat mungkin agar ia tidak melemahkan jentera BN.

“Yang penting jangan parti berpecah. Kalau perpecahan berlaku, ini akan melemahkan kedudukan BN. Kita nak elakkan itu...,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Parlimen Setiawangsa di PPR Sungai Bonus di sini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno, melahirkan kebimbangan terhadap kesan daripada masalah yang dihadapi oleh parti komponen BN.

“Kita tak mahu dalam situasi sekarang ni, parti komponen yang kita tahu masih belum kuat dihadapkan dengan isu baru.

“Ada satu atau dua perkara yang berbangkit mungkin masalah-masalah tertentu, jadi saya yakin kepimpinan MIC yang sedia ada dapat menyelesaikan masalah,” katanya.

Muhyiddin berkata pemimpin parti peringkat tertinggi juga telah diberitahu supaya tidak menimbulkan sebarang masalah dan sekiranya ia berlaku, kepimpinan parti tersebut perlu menyelesaikan masalah itu tanpa melibatkan parti komponen lain.

“Yang ini kita dalam pertemuan dengan semua pemimpin komponen dah beritahu janganlah timbulkan apa-apa masalah baru.

“Kalau ada apa-apa isu biar selesaikan, ini soal dalaman. Kita di peringkat tertinggi tak akan campur tangan dalam masalah itu dan saya percaya mereka boleh selesaikan sendiri,” katanya.

Ulasan GB

Perang dalam komponen BN, bermula dengan PPP, kemudian MCA, kini MIC. Menjadi bukti BN sedang menuju kehancuran.

APCO atau kepala bapak APCO gagal untuk mengemukakan pelan strategik untuk memperkuatkan BN setelah tewas teruk di dalam PRU 2008.

Eh, UMNO BN guna wang negarakah untuk bayar APCO untuk kerja-kerja konsultansi merangka strategi untuk parti mereka selain dari gagasan 1 Malaysia? Jika benar begitu, UMNO BN adalah pengkhianat kepada rakyat Malaysia.

Kedah Utuh, Hanya Si Katak Bawa Cerita Kedah Bakal Tumbang

Sebagaimana dijanjikan kesemua tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR muncul dalam perhimpunan raksasa di sini malam ini bagi membuktikan kerajaan negeri Kedah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) masih kukuh lagi mantap.

Perhimpunan ini menarik perhatian bukan sahaja kerana spekulasi berterusan sejak lebih enam bulan lalu, malah di sebalik khabar angin terbaru pagi tadi bahawa dua daripada tiga Adun itu sudah pun berada di Shah Alam, Selangor untuk mengumumkan mahu keluar parti.

Sidang media yang dikatakan bakal diadakan di Shah Alam pukul 2 petang akhirnya terbukti palsu.

Adun-adun PKR ini muncul di Kota Sarang Semut di sini malam ini bagi membuktikan mereka akan terus kekal bersama kerajaan negeri Kedah yang masih stabil.

Adun Sidam Tan Show Kang muncul sebagai penceramah pertama apabila perhimpunan bermula pukul 10 malam tadi.

Berucap dalam Bahasa Malaysia di hadapan hadirin kira-kira 1,000 orang yang majoritinya orang Melayu, Tan melahirkan kekecewaan dengan siri khabar angin bahawa beliau merupakan antara wakil rakyat yang akan keluar.

“Saya penat dan bosan kerana terpaksa menjawab soalan yang sama berkali-kali. Biar ia dihentikan malam ini,” kata Tan dalam ucapannya.

Tan juga berkata, beliau tidak lagi akan melayani permintaan media untuk mendapatkan komen.

“Berapa kali hendak saya mengatakan saya tidak mahu melompat? Saya terus bercakap benda yang sama — tidak. Media minta saya adakan sidang media, jadi saya memberitahu mereka OK, buat selama-lamanya, kita akhir perkara ini.

“Saya akan berada di sini pada 22 Mei dan ini adalah kali terakhir saya mahukan mengatakan tidak, saya tidak akan melompat dan tidak, kerajaan negeri tidak akan tumbang,” katanya lagi.

Kemudian Tan mencuit perasaan para hadirin dengan berkata, “ini bukan lagu merdu, yang anda boleh dengar berulang kali.”

“Jika ia lagu yang sedap, saya tidak keberatan untuk dengar.

“Tetapi ini adalah soalan bodoh, di mana saya akan memberikan jawapan yang sama. Jadi, mengapa asyik bertanya benda yang sama?” katanya.

PKR berhadapan dengan dilema kehilangan wakil rakyatnya sejak pilihan raya umum 2008.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu kehilangan lebih 10 wakil rakyat, antaranya kerana keluar parti, dipecat dan kehilangan kerusi ketika pilihan raya kecil. -TMI

Ulasan GB

Jelas, kerajaan PR Kedah kukuh dan utuh, yang bawa cerita Kedah akan tumbang macam Perak hanyalah si katak bedebah itu.... (anda kenal dia, yang bertemu dengan Najib untuk ceritakan "seluar dalam" DSAI, mungkin dah terliur dengan kekayaan dari Raja Judi itu) ...

ADUN Kerdau Kembali Kritikal, UMNO Pahang Sesak Nafas

Anggota Dewan Undangan Negeri Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Mei lepas kini kembali kritikal.

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin, 63, tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh jururawat kira-kira pukul 6 pagi semalam.

"Saya dimaklumkan oleh salah seorang anaknya yang beliau tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh jururawat untuk diberi ubat pagi tadi. Saya difahamkan, kemungkinan beliau mengalami strok dan dia kini dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata, anggota keluarga Zaharuddin diminta datang ke hospital oleh doktor yang merawatnya kerana beliau berada dalam keadaan koma, dan doktor turut memaklumkan bahawa keadaan jantung serta paru-paru Zaharuddin dalam keadaan lemah, dan beliau memerlukan perhatian serius.

Zaharuddin dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh pada 3 April lalu untuk menjalani pembedahan ulser usus setelah mengadu sakit di bahagian perut sebelum dirujuk ke IJN selepas berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya. - BERNAMA


Zaharudin, 63, menang kerusi DUN Kerdau dalam pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim. Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus lain-lain kaum.




22 Mei 2010

Pakatan Rakyat Kedah Dedahkan Pembohongan Umno-BN Malam Ini

Satu himpunan besar-besaran dan ceramah anjuran Pakatan Rakyat akan diadakan di Kompleks PAS Kedah malam ini bagi membongkar kejahatan Umno-Barian Nasional yang cuba menyebarkan fitnah tidak berasas kononnya Dewan Undangan Negeri Kedah akan dibubarkan.

Ceramah tersebut yang dianjurkan PAS Kedah turut menampilkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri daripada KEADILAN dan DAP yang kononnya bakal keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Pengerusi KEADILAN Kedah, Ahmad Kassim ketika dihubungi Suara keadilan berkata ceramah tersebut merupakan satu pendekatan bagi menangkis segala serangan yang dilakukan Umno-BN yang menyebarkan dakwaan berkenaan.

"Ada desas-desus tak menyenangkan pimpinan Pakatan Rakyat di peringkat negeri dan rakyat jelata. Jadi kita akan buat sesuatu antaranya tampilkan individu dari KEADILAN dan DAP yang disebut-sebut akan melompat parti dan buktikan malam ini segala serangan Umno sebenarnya tidak berkesan dan berasas," ujar beliau.

Menurut Ahmad berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan memberikan penjelasan mengenai isu itu di kompleks berkenaan yang boleh memuatkan lebih 5,000 orang.

Ketika ditanya bagaimana spekulasi tersebut boleh tersebar, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah mendakwa ia adalah propaganda Umno-BN sendiri.

"Spekulasi ini timbul bermula dengan tulisan daripada blog yang ditaja Umno-BN. Mereka inilah yang memulakan cerita dan kemudian berita angin ini diambil oleh wartawan dan rakyat pun mula percaya," katanya.

Beliau menyifatkan spekulasi itu sebagai niat jahat Umno-BN yang cuba menipu rakyat setelah kehilangan kuasa di negeri itu pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Propaganda Umno-BN juga berusaha keras untuk mengelirukan pemikiran rakyat dengan menyebarkan khabar angin melalui SMS dengan mengatakan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam akan mengadakan sidang media bersama dua ADUN Pakatan Rakyat Kedah pada pukul 2 petang tadi di sebuah hotel di Shah Alam.

Manikavasagam berkata desas-desus itu tidak benar dan menganggap ia satu provokasi Umno-BN untuk menggugat kestabilan Pakatan Rakyat.

"Tak ada la, ini semua tak betul. Saya baru balik dari pergi pancing bersama Dr Hamka (AJK Cabang Kapar) di Puncak Alam. Satu jam saya bersama dengan dia. Saya juga ke pusat khidmat dan malam ini akan ke Ampang ceramah bersama Zuraida (Ahli Parlimen Ampang).

"Saya nafikan sekerasnya perkara ini. Saya tetap akan lawan Umno BN. Biar mereka mimpi saya akan keluar parti, saya tetap setia dengan Pakatan Rakyat. Ini ada pihak yang 'provoke' dan bagi saya marah. BN akan dapat banyak kelebihan jika saya buat keputusan keluar Keadilan. -SK


MP Kapar masih bersama PKR

Ahli parlimen Kapar S Manikavasagam menafikan khabar angin bahawa beliau akan keluar daripada PKR hari ini.

"Ini semua cakap-cakap yang dicipta oleh si licik yang cuba merenggangkan hubungan saya dengan pemimpin parti.

"Semua mereka boleh terus bermimpi ahli parlimen Kapar akan melompat," katanya dalam blog.

Manikavasagam berkata, beliau menerima banyak panggilan telefon sejak pagi tadi bertanyakan tentang satu sidang media pada jam 2 petang di Shah Alam, di mana beliau dikatakan akan hadir bersama dua wakil rakyat Pakatan Rakyat daripada Kedah.

Mendengar khabar angin itu, kira-kira 30 wartawan sudah sedia menunggu pengumuman yang tak kunjung tiba itu di sebuah hotel.

Sehingga jam 2.30 petang, tiada sebarang kelibat pihak terbabit kelihatan.

Manikavasagam dipercayai dikaitkan dengan khabar angin itu apabila beliau dilihat 'bertegang' dengan Menteri Besar Selangor dan pemimpin Pakatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam syarikat kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Kes itu kini dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), bawah DUN Selangor. -mk



Ulamak UMNO Takut Kepada Bapa Judi

Umno-Barisan Nasional mahu menerapkan amalan serta aktiviti judi sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia tanpa menghiraukan kesan ke atas umat Islam dan rakyat negara ini.

Ahli Majlis Pimpinan KEAILAN Pusat, Dr Badrulamin Bahron yang ditemui pada program pidato untuk rakyat di Dewan kampung Belimbing Kuala Selangor menegaskan kejahilan Umno dalam soal agama semakin terserlah sekarang.

"Saya melihat kejahilan Umno dalam soal agama sudah semakin terserlah sekarang daripada hal kes qazaf hingga sekarang pasal kelulusan lesen judi pula, mana ustaz dalam Umno yang selama ini bersuara lantang pasal isu Allah tetapi bila bab lesen judi yang diluluskan oleh ketua mereka tidak ada seorang pun yang bersuara.

"Kita memandang serius kelulusan lesen tersebut kerana ini akan menyebabkan masalah sosial negara ini terus meningkat selain yang paling utama ia bertentangan dengan hukum agama yang mengharamkan judi.

"Umno telah menghalalkan yang haram, ini sudah jelas Allah mengharamkan judi dikalangan umatNya apatah lagi meluluskan lesen tersebut. Kalau begini sikap pemimpin yang tidak kenal halal dan haram, negara ini tidak akan mendapat keberkatan untuk selama-lamanya," tegasnya.

Beliau juga mahukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan segera kerana rakyat akan terus bangkit untuk menentang sesuatu yang haram tetapi di halalkan Umno.

"Saya mendesak Najib untuk membatalkan terus kelulusan yang telah diberikan itu dengan segera, perasaan seluruh umat Islam dan juga kaum lain perlu dijaga sepenuhnya bukannya menjaga kroni untuk kepentingan sendiri.

"Najib kena ingat rakyat akan terus bangkit untuk mendesak kerajaan batalkan lesen judu tersebut, rakyat tidak mahu negara ini berada dalam keadaan yang tidak mendapat keberkatan.

"Saya juga kesal kerana yang bersuara membantah kelulusan tersebut hanya dari Pakatan Rakyat dan juga rakyat tetapi dari pihak Barisan Nasional mahupun Umno termasuk ustaz mereka tidak bersuara langsung. Najib kena ingat sikap berdiam yang beliau lakukan sekarang akan membuat rakyat menghukum mereka pada pilihan raya nanti," kata beliau ketika ditemui pada majlis penerangan di Dewan Kg Belimbing, Kuala Selangor Khamis lalu. -SK


Lesen judi bola: Dengar suara rakyat, kata Abdullah

KEPALA BATAS, 22 Mei — Kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat berhubung keputusan meluluskan lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata rakyat berhak menyuarakan pandangan dan kerajaan juga perlu mendengar pandangan mereka.

“Pihak yang telah meluluskan lesen itu perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya pandangan yang telah disuarakan.

“Bagi orang Islam, judi tak dapat diterima dan bukan sahaja orang Islam agama lain tak suka juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mai...Riuh di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung sebelum ini dilaporkan berkata Kementerian Kewangan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, pelbagai pihak mahu kerajaan menarik balik kelulusan itu yang dikhuatiri mengundang gejala negatif di kalangan masyarakat.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai cubaan menghidupkan semula kumpulan Al-Arqam, Abdullah berkata perkara itu perlu dibendung.

“Saya harap tak ada orang yang ikut dan percaya dengan kata-kata bekas pengikut kumpulan itu,” katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan yang menyatakan bekas pengikut kumpulan itu mendakwa pemimpin mereka, Ashaari Muhammad atau Abuya, yang meninggal dunia pada 13 Mei lepas, kononnya cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat. -TMI


Asri Pertikai Mahkamah Syariah Tetapkan Tarikh Perbicaraan Tanpa Kehadiran Peguamnya

Kes Bekas Mufti Perlis Ajar Agama Tanpa Tauliah Disebut Semula 24 Jun

SHAH ALAM 21 Mei - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah, tahun lepas.

Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaii @ Shaee memutuskan sedemikian bagi membolehkan mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes itu.

Pada 18 Nov tahun lepas, Mohd Asri, 38, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah kediaman di Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang, antara pukul 8.10 malam dan 9.45 malam, 1 Nov tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Halim dan Pegawai Pendakwa Syarie Zusyarafain Md. Yusof sementara Dr Asri diwakili peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman dan Jamal Mohd Lokman Sulaiman.
Bernama


Trial set in lawyer’s absence riles ex-Perlis mufti

KUALA LUMPUR, May 21 — Maverick ex-Perlis mufti Dr Asri Mohd Zainul Abidin today slammed the Shah Alam Syariah High Court for deciding on his trial date in the absence of his lawyers.

The court today fixed June 24 to mention Asri’s case. He was arrested and charged for teaching Islamic religion without accreditation last year.

The ex-Perlis mufti pleaded not guilty and had sought for a trial at the Syariah lower courts, claiming that he has enemies among the high court ranks.

Asri, a progressive Islamic scholar who has made enemies among the nation’s conservative religious elites, had only learnt of the decision through a report on Bernama today.

“I see this case is getting more and more peculiar... how can they make a decision in the absence of my lawyers?” complained Asri (picture) to The Malaysian Insider.

“There are various similar cases that have been tried at the lower courts so why do they have to make mine different? They have very weak reasons to do so,” he added.

His lawyer, Kamar Ainiah Kamaruzaman, said she was informed of the decision only after Syarie judge Mohammad Khalid Shaii had made the decision.

“We had sent a representative to the court this morning but was not informed of anything.

“After waiting for hours, we were informed that the court had already decided on the matter in his chambers,” she told The Malaysian Insider.

She will be writing a letter to the judge and the prosecution team demanding an explanation as to why the decision was made in their absence.

“They said they did not inform us because they did not want the press to know. But we are not the press,” lamented Kamar Ainiah.

Asri has long decried his arrest as a conspiracy against him. He claimed government religious institutions, especially the Selangor Islamic Affairs Department or Jais, have scores to settle with him.

“Even though Jais has a dissatisfaction against me, justice is essence in the judiciary system.

“If Jais keeps acting as if it is protecting Umno strongly, it will sow greater resentment among the people,” said Asri.

He claimed to be unaware of the motives behind the so-called conspiracy against him.

But his supporters, who are the nation’s top figures including, among others, former premier Tun Dr Mahathir Mohamad, believe Asri has ruffled feathers among the conservatives for his progressive brand of Islamic teachings.

The maverick mufti has been charged under section 119 (1) of the Selangor Islamic Religious Administration Enactment 2003.

If convicted, he may be fined not more than RM3,000 or jailed a maximum of two years. -TMI


Ulasan GB

Di zaman mutakhir ini, jangan kata hakim sivil, para hakim syariah pun nampaknya tidak takut Tuhan lagi.

Yang dipentingkan adalah nama, harta kekayaan, pangkat dan kepentingan-kepentingan peribadi.

Di dalam pemerintahan UMNO BN, mahkamah bukan tempat untuk mencari dan menetapkan kebenaran dan keadilan.