24 Mei 2010

Hapuskan Lesen Judi, Bukan Kaji

Kerajaan perlu menghapuskan terus lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan, bukan sekadar mengkaji sahaja.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Ezli Mashut berkata, lesen judi itu perlu dihapuskan kerana mendapat bantahan bantahan keras dan meluas rakyat daripada pelbagai agama dan bangsa di seluruh negara.

“Kita menggesa agar kelulusan kebenaran lesen judi Piala Dunia 2010 dibatalkan, bukan dikaji. Sepatutnya kerajaan lebih faham dan maklum bahawa perjudian jelas bertentangan dengan syariat Islam serta ianya bukan budaya masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Berjaya Group.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu kerajaan menarik balik kelulusan itu yang dikhuatiri mengundang gejala negatif dalam kalangan masyarakat.

Mohd Azli berkata, kerajaan tidak perlu menunggu bantahan meluas rakyat pelbagai agama dan bangsa kerana tugas dan tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat hidup dalam suasana berteraskan syariah dan menepati budaya murni pelbagai agama dan bangsa.

Katanya, AMK Selangor bimbang dan khuatir jika judi pertaruhan bola sepak tidak hapuskan, masyarakat akan terdedah kepada kes-kes jenayah,budaya jijik dan konflik keluarga.

“AMK Selangor melihat situasi perkembangan mutakhir ini seolah-olah kerajaan UMNO/BN semakin tidak prihatin untuk membina negara dan rakyat yang mempunyai keperibadian mulia dan unggul.

“Jika prasyarat untuk membina negara hebat ini ditolak, negara sedang menuju ke arah sebuah masyarakat yang porak peranda,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu bangkit menyatakan penegasan bahawa kerajaan perlu diletakkan dalam landasan yang tepat dan sebenar malah perlu mengorak perjuangan bersama agar harapan baru untuk selamatkan Malaysia menjadi realiti. -SH


Kerajaan teliti lesen judi Piala Dunia

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan kepada Berjaya Group baru-baru ini.

Menurut Mingguan Malaysia, hari ini, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, walaupun beliau belum dimaklumkan mengenai reaksi masyarakat berhubung perkara itu secara umumnya, kerajaan memberi jaminan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua termasuk dari kalangan Islam dan bukan Islam.

''Secara jujurnya saya belum lagi dimaklumkan mengenai situasi tersebut tetapi kita (kerajaan) memang mengambil kira reaksi orang awam, Islam dan bukan Islam.

“Saya percaya kerajaan akan mengambil kira perkara itu (reaksi masyarakat tentang kelulusan lesen judi,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.

Muhyiddin menjawab soalan pemberita tentang bantahan masyarakat terhadap langkah kerajaan itu seperti laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada 11 Mei lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang tampil menjelaskan mengenai perkara itu memberitahu, lesen tersebut bukan lesen baru yang dikeluarkan kerajaan tetapi diberi semula kepada Berjaya.

Selain itu, Chee Heung berkata, penganjur turut diletakkan syarat supaya tidak mengambil pekerja dan menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan yang beragama Islam.

Kelulusan itu ditentang oleh beberapa tokoh sukan tempatan seperti bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh melalui laporan Bernama baru-baru ini.

Selain itu, pakatan pembangkang pula mengecam langkah tersebut dengan Pas bertindak menganjurkan siri demonstrasi bantahan perkara tersebut di beberapa negeri Jumaat lalu.

20 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga membisu berhubung keputusan kerajaan memberikan lesen judi sukan supaya pertaruhan dapat dibuat menjelang kejohanan bolasepak Piala Dunia yang bermula Jun ini.

"Kita tidak akan membincangkannya," kata Najib apabila diajukan soalan berkenaan oleh wartawan. -mk


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa punya teliti la..dah sah dah judi merosakkan umat manusia dari dulu kini dan selamanya macam puak2 tu juga merosakkan rakyat..