14 Mac 2012

Jenazah Dirang Selamat Dikebumikan

Pasir Gudang -- Jenazah kanak-kanak mangsa bunuh dan bakar Nurul Nadhirah Abdullah, 5, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai kira-kira 1.30 tengah hari ini.

Jenazah kanak-kanak malang yang juga dikenali sebagai Dirang itu dituntut oleh keluarganya di Hospital Sultanah Aminah kira-kira pukul 11.45 pagi selepas selesai urusan memandi dan mengkafan dilakukan oleh Majlis Agama Islam.

Jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Al Muhajirin Masai sebelum dibawa menaiki van jenazah menuju ke tanah perkuburan berkenaan dengan diiringi oleh ibunya, Roselyn Alan, 25, dan datuknya Alan Alip, 49, serta beberapa orang jiran. -SH

Bapa kandung Dirang dibawa ke rumah mayat HSA

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, dipercayai bapa kandung kanak-kanak yang mati dibunuh sebelum mayatnya dibakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, dibawa ke rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, pagi tadi.

Suspek, yang berpakaian baju lokap dan bergari, tiba di pekarangan rumah mayat HSA dengan diiringi tiga anggota polis kira-kira jam 10 pagi.

Jenazah Nurul Nadirah atau panggilan manja Dirang, disembahyangkan di rumah mayat itu dan dibawa menaiki van jenazah untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masai, kira-kira jam 11.45 pagi.

Jenazah diiringi ibunya Roselyn Alan, datuk, bapa tiri dan abang Dirang.
-SH


Seperti separuh nyawa disedut

“SAYA dapat tahu Dirang disahkan mati melalui jiran yang mendengar berita itu di TV. Saya tiba-tiba jadi geram. Perasaan marah membelenggu fikiran bila menerima khabar tentang nasib yang menimpa Dirang.

Betapa tergamak si pembunuh bertindak kejam. Memanglah hati si pembunuh sudah hitam! Sampai sanggup membakar anak sekecil itu.

Hari ini (semalam) apabila baca akhbar untuk mendapatkan cerita yang lebih jelas, air mata saya menitis. Entahlah... saya seperti sudah tidak tahu untuk berkata apa-apa.

Saya sudah kering perkataan untuk menzahirkan rasa simpati kepada ibu bapa yang senasib de­ngan saya. Itu sebenarnya.

Cuma apa yang mampu saya luahkan hanyalah selaut kasihan. Pasangan Roselyn Alan dan Lima Medeng memang menerima tamparan hebat lantaran anak disayangi­ diperlakukan sebegitu rupa oleh manusia yang tidak berhati perut.

Kasihan... saya harap mereka tabah menerima dugaan ini. Ingatlah, Dirang seorang kanak-kanak yang tidak berdosa. Yakinlah dengan janji ALLAH, tempat Dirang adalah di syurga.

Dulu anak saya, Awie (Asmawi) hilang ketika pulang dari sebuah kafe siber.

Bermula saat itu kehidupan kami seisi keluarga diselubungi mendung. Sedih. Sehingga kini awan keperitan masih belum berarak pergi dari hati.

9 Mac lalu genap empat tahun Awie lenyap tiada khabar. Perbagai persoalan bermain di fikiran bila mengenang di mana dan apakah nasib Awie.

Pencarian dan penantian keluarga Dirang berakhir juga walau takdirnya begini. Tapi nasib Awie tidak diketahui sehingga kini. Entah hidup, entahkan mati.

Kalau Awie masih hidup tentu sudah besar. Dia hilang waktu berusia 11 tahun. Kini sudah 15.

Kehilangan anak sememangnya seperti separuh nyawa disedut. Apatah lagi dengan kejadian seperti menimpa Dirang itu.

Kepada ibu bapa Dirang... bersabarlah. Jaga kesihatan. Jaga diri, fizikal dan mental. Ingat kepada ALLAH. Berdo­alah semoga pembunuh itu mendapat pembalasan.”
-SH


Khairy Dikecam Persoal Wartawan Buat Liputan Keluarga Dirang

Kelab Media kecam kenyataan Khairy

SENAI – Kelab Media Johor mengecam kenyataan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam laman twitternya, yang seolah-olah tidak memahami tugas dan tanggungjawab pengamal media dalam melaporkan kisah kanak-kanak malang, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang ditemui, semalam.

Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkata, sudah menjadi tanggungjawab pengamal media untuk melaporkan pelbagai jenis berita yang mempunyai nilai yang tersendiri sekali gus membimbing khalayak ramai dijadikan pengajaran pada masa hadapan.

Menurutnya, tujuan pengamal media melaporkan berita bukanlah sekadar untuk mengaibkan individu tertentu sebaliknya menyampaikan maklumat berguna demi kepentingan semua pihak seterusnya menyampaikan saluran maklumat yang berguna.

“Kenapa sekarang nak timbul isu bahawa kami (pengamal media) sibuk melaporkan berita Dirang telah ditemui? Bahkan sebelum ini, banyak lagi kes lain yang pernah kami turut laporkan. Kesemuanya dilaksanakan demi tuntutan kerja kami atas tunjang menggalas amanah yang diberikan.

“Banyak lagi kisah menyayat hati turut kami laporkan sebelumnya. Kesemuanya mempunyai nilai berita yang dikeluarkan dengan penulisan dan laporan yang beretika dan sebenarnya bertujuan menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Secara tidak langsung, kami (pengamal media) menjadi medium membantu menyelesaikan siasatan polis. Kami turut menyebar maklumat kepada orang awam agar mereka lebih peka kepada isu dan perkembangan semasa. Bagaimanapun cuba fikir perkara ini dari sudut positif pula,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairy dalam laman twitternya mengeluarkan kenyataan “tak faham kenapa perlu ada media dan jurugambar yang merakam reaksi keluarga Nurul Nadirah bila diberitahu mayatnya dijumpa. Baru keluar berita” yang seolah-olah menidakkan tugas sebenar pengamal media.

Mohamad Fauzi turut meluahkan perasaan sedihnya ke atas nasib kanak-kanak malang yang tidak berdosa itu apabila dijumpai dalam keadaan yang menyayat hati setelah usaha mencarinya dilakukan 11 hari.

“Saya selaku wakil media Johor merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Dirang. Harap keluarnya dapat banyak-banyak bersabar dan saya percaya apa yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersendiri.

“Saya turut mengingatkan ibu bapa yang lain agar lebih memberi perhatian kepada anak-anak masing,” katanya yang memberitahu bahawa Kelab Media turut bakal menyalurkan bantuan berupa wang tunai kepada keluarga Dirang dalam masa terdekat ini sebagai meringankan beban mereka. -SH


Apa Kejadah Kos Majlis Pertunangan Hampir Setengah Juta, Wasatiyyah?

Kos bertunang: Inikah makna wasatiyyah Najib? - Mohd Azmi Abdul Hamid

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) amat terkejut dengan pendedahan isu PM , Datuk Seri Najib berbelanja mewah untuk majlis pertunangan anaknya baru-baru.

Kini terdapat dua persoalan dalam isu pembiayaan majlis pertunangan anak PM baru-baru ini.

Pertama, adakah benar PM telah mengguna wang rakyat untuk membiayai majlis pertunangan anaknya. Pihak Hotel mengatakan bil bernilai RM409,767 itu memang dicatat atas nama PMO (Prime Ministers Office).

Walaupun telah dijelaskan bahawa keluarga PM yang membayar bil itu, pertanyaannya kenapa pula bil itu tidak ditulis atas nama peribadi beliau atau keluarga beliau dan dihantar kepada rumah rasmi PM, jika ini urusan peribadi?

Kedua, inikah teladan seorang pemimpin yang beria-ia mengujudkan sebuah institusi bernama institut wasatiyyah untuk menyampaikan kempen kesederhanaan kepada seluruh dunia dalam semua aspek kehidupan, tetapi berbelanja super mewah mencecah RM409,767 hanya bagi sebuah majlis pertunangan seorang anaknya.

Teras amat terkejut dengan pendedahan mengenai perbelanjaan yang begitu tinggi dikeluarkan oleh PM untuk majlis tersebut.


Apakah mesej yang dapat dibaca oleh rakyat yang umumnya maseh bergelut mencari wang untuk menyekolahkan anak, membanting tulang menampung kos hidup yang semakin meningkat, nelayan yang menyabung nyawa mencari rezeki di tengah laut, pemandu teksi yang mengagah diri mengekang mata untuk mencari pendapatan sehingga lewat malam?.

Apa erti semuanya ini kepada rakyat bagi PM yang dengan begitu mudah sanggup berbelanja dan mampu berbelanja sedemikian mewah? Inikah yang PM mahu tunjuk kepada rakyat maksud beliau dengan retorik bahwa “rakyat diutamakan”?

Cukupkah dengan memancing rakyat dengan BR1M berjumlah RM500 dan rakyat tidak boleh mempersoalkan bagaimana PM boleh berbelanja mewah untuk majlis pertunangan anaknya?


Sebagai pemimpin yang tahu benar keadaan kehidupan rakyat kini bukan dalam keadaan yang selesa, kenapa pula PM sanggup menunjukkan kemewahan dalam majlis sebegini, sungguhpun majlis itu dikatakan dibiayai secara peribadi oleh wang keluarganya?

Soalnya inikah contoh pemimpin Islam yang hendak ditunjukkan kepada rakyat?


Teras sema sekali tidak boleh menerima malah membantah pemimpin-pemimpin yang ghairah berbelanja mewah dalam kehidupan peribadi mereka. Bukan sahaja ini akan menimbulkan persoalan dikalangan rakyat, malah Islam sema sekali melarang berbelanja secara membazir dalam majlis-majlis peribadi mereka.

Isunya bukan soal melibatkan wang peribadi semata-mata. Malah isu lebih besar kenapakah PM boleh berbelanja besar dari wang yang mahu tidak mahu akhirnya berpunca dari wang rakyat juga, yang membayar upah kepada beliau kerana bekerja sebagai PM.

Di tingkat jawatan nombor 1 dalam negara, sudah pasti seorang PM tidak boleh hanya beralasan bahawa ini wang peribadinya, dan oleh itu beliau boleh hidup mewah dan menonjol-nonjolkan kemewahan keluarganya.

Teras ingin mengingatkan, inilah antara punca kebangkitan rakyat di Asia Barat yang telah menjatuhkan pemimpin-pemimpin mereka akibat tidak lagi dapat menerima gaya hidup keluarga pemimpin yang serba mewah, sedangkan rakyat berkais-kais pagi, petang dan malam untuk hidup.


Tidakkah terlintas dibenak PM dan konco-konco beliau yang mempertahankan hak beliau untuk mengeluarkan wang peribadinya berbelanja sedemikian mewah walhal rakyat akan memendam rasa yang sedikit demi sedikit akan akhirnya bakal meledak kerana ini jelas suatu kepincangan hidup antara pemimpin dan rakyat?

Teras juga menarik perhatian bahawa, ketika mana PM berbelanja sakan hanya buat sebuah majlis pertunangan, jurang antara kelompok kaya miskin di negara ini direkodkan dengan gini indeks yang tinggi iaitu 0.4-0.5.

Bermakna PM berbelanja mewah di tengah-tengah rakyat jelata berpendapat sederhana dan rendah berjuang untuk hidup sekedar memenuhi keperluan yang minima untuk hidup.

Kami sangat kecewa dan kesal dengan kemewahan hidup pemimpin negara yang seolah-olah tidak sensitif dengan perasaan rakyat.


Berbelanja mewah oleh PM itu tidak akan diterima sama sekali sebagai suatu kebanggan rakyat. Malah ia amat melukakan hati rakyat marhaen.

Di tengah-tengah gejolak isu kepincangan projek penuh persoalan seperti isu NFC bernilai RM250 juta, isu penyenaraian aset Felda dalam pasaran saham yang penuh ketidaktentuan, isu kepincangan PKFZ yang melibatkan lebih RM4 bilion, tiba-tiba rakyat berputih mata menyaksikan PM bermewah-mewahan dalam majlis pertunangan anaknya. Bukankah ini suatu yang janggal dan memedihkan hati rakyat?

Kemarahan rakyat Asia Barat telah menyaksikan satu demi satu kemewahan hidup ahli-ahli keluarga pemimpin didedahkan. Mungkin di peringkat awal tidak ada siapapun yang berani bangkit mempersoalkan kemewahan hidup pemimpin, akan tetapi bila kesabaran rakyat sudah sampai kemuncaknya, ledakan amarah rakyat telah menyaksikan satu demi satu pemimpin tumbang.

Teras mengingatkan supaya pemimpin negara jangan terperangkap dengan keghairahan berbelanja mewah kerana tanda-tanda rakyat resah dan semakin marah sudahpun jelas.

Rakyat faham betul kepincangan yang berlaku adalah gara-gara pemimpin-pemimpin yang tidak menghiraukan perasan rakyat yang cuba diperbodohkan dengan berita-berita serba muluk, padahal sakit dan tertekannya rakyat akan akhirnya dilampiaskan dalam bentuk kemarahan yang akan diterjemah persis gelombang kebangkitan yang tidak boleh dikekang lagi.

Penulis ialah Presiden Teras.

Majlis tunang anak: PM tetap salahguna kuasa, kata PKR

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli tetap berpandangan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam isu tempahan jamuan bankuet pertunangan anak perempuannya.

Katanya, beliau tetap berpandangan demikian walaupun kenyataan daripada hotel penyedia katering bahawa jamuan berkenaan dibayar oleh perdana menteri.

"Ini jelas sekali satu penyalahgunaan kuasa kerana anda menggunakan kemudahan pejabat untuk majlis peribadi.

"Fakta bahawa tempahan itu dibuat melalui pejabat perdana menteri untuk majlis peribadinya, itu sudah merupakan satu penyalahgunaan kuasa," katanya.

Beliau mengambil contoh dakwaan penyalahgunaan kuasa yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Malah dalam kes Anwar sendiri yang didapati bersalah atas tuduhan menyalahguna kuasa, hanya dengan fakta bahawa beliau telah mengarahkan polis untuk menemubual," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di bangunan parlimen hari ini.

Tambahnya, perdana menteri kini perlu menjelaskan mengapa tempahan itu dibuat melalui akaun pejabat perdana menteri dan bukannya melalui akaun peribadi Najib.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Hotel Shangri-La Kuala Lumpur hari ini bahawa majlis berkenaan berkenaan dibiaya Najib dan bukannya kerajaan persekutuan.

Menjawab pertanyaan Malaysiakini, pengurusan hotel itu bagaimanapun mengesahkan bahawa borang Pesanan Majlis Bankuet atau 'Banquet Event Order' yang didedahkan oleh PKR adalah salinan yang sah.

Menurut dokumen itu, PMO dikenakan bayaran RM409,767 oleh Hotel Shangri-La untuk perkhidmatan katering, yang membekalkan udang karang dan daging lembu Wagyu, untuk kira-kira 900 tetamu.

Menurut hotel itu, pesanan untuk acara katering di Seri Perdana, Putrajaya, diterima pada 2 Jun 2011.
-mk


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Benarkah Dirang Dibunuh Pada Hari Hilang? Ada Hal Yang Meragukan!

Dirang dibunuh pada hari hilang

JOHOR BAHRU – Nyawa Nurul Nadirah Abdullah yang lebih mesra dipanggil Dirang, diragut secara kejam apabila mangsa dipercayai dicekik sampai mati sebelum mayat kanak-kanak malang itu dimasukkan ke dalam lubang dan dibakar di kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini.

Milnah (baju putih) bersama ahli keluarga sedih melihat lubang tempat mayat Dirang (gambar kecil) dibakar di Nusa Damai, Masai, Johor Bahru semalam.

Satu sumber berkata, seorang daripada empat suspek yang ditahan mengaku membunuh Dirang, 5, dengan cara mencekik mangsa sebaik sahaja kanak-kanak itu diculik ketika keluar dari rumah seorang diri di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini. Ketika itu mangsa hendak pergi ke kedai.

Selepas mangsa sudah tidak bernyawa, mayat Dirang dibawa ke kawasan rumah terbengkalai kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa dan dibakar.

Sumber itu memberitahu, suspek yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa mendakwa dia bertindak demikian kerana dendam selepas pernah dihina dan dipandang rendah oleh nenek mangsa.

“Dirang terus dibunuh dan dibakar pada hari dia hilang pada 1 Mac,” kata sumber itu.

Nik Aziz: 'Pihak bunuh Dirang lebih kejam dari binatang'

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan individu yang melakukan pembunuhan terhadap Nurul Nadirah Abdullah,5, atau yang dikenali sebagai Dirang, lebih kejam daripada binatang.

“Lembu pun tak bunuh semasa sendiri, tetapi manusia sanggup melakukan, mungkin budak itu hendak bagi tahu kejahatan yang dilakukan, sebab itu dia dibunuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan orang kurang upaya (OKU) Peringkat Kebangsaan, di Hotel Raudah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembunuhan adik Dirang selepas polis mengesahkan serpihan rangka manusia ditemui di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, sama dengan sampel ibunya, Roselyn Alan, 25.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, jenayah yang berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini termasuk kes bunuh dan zina berpunca dari sikap sesetengah masyarakat yang tidak pentingkan agama dalam kehidupan.

Malah lebih memburukkan keadaan, katanya, Kerajaan Pusat tidak memberikan keutamaan Islam sebagai asas pentadbiran sekali gus menyebabkan gejala sosial terus berleluasa.

“Punca kejadian adalah kerana tidak ada takwa kepada ALLAH SWT, ia adalah jentera untuk menyekat keganasan nafsu, benda begini bukan sekarang sahaja berlaku malah zaman Jahiliah lagi, tetapi jika ingat kita ingat azab kubur, ia tidak berlaku,” katanya.

Ditanya sama ada undang-undang yang ada kini tidak berjaya menghalang jenayah, Nik Abdul Aziz berkata, undang-undang saja tidak cukup untuk menghalang perkara negatif, sebaliknya penekanan agama perlu diterapkan dalam kehidupan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan OKU tidak merendah diri kerana ganjaran yang besar menanti di sisi ALLAH SWT jika kekurangan yang ada dihadapi dengan reda dan tabah.
-SH


Ulasan GB

Ada beberapa persoalan yang timbul.

Jika Dirang dikatakan dicekik dan dibakar pada hari beliau hilang, bagaimana pula wujud SMS yang datang dari Kota Bahru mengugut ibu Dirang menuntut sebanyak RM30,000?

Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012, Khamis. Jika tarikh itu dikatakan Dirang dicekik dan dibakar, kenapa pula SMS itu menuntut bayaran supaya wang dihantar pada hari Ahad (4 Mac 2012)?

Tak mungkin, SMS itu bermaksud Ahad sebelumnya (26 Februari 2012) kerana pada tarikh berkenaan Dirang belum hilang!

Kebenaran itu masih tersembunyi.

Marilah kita berdoa lagi serupa dengan doa-doa dahulu, semuga Allah mendedahkan kebenaranNya:

1) Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Berdoa sedemikian lebih utama daripada mengikut persangkaan kita semata-mata. Muga Allah beri petunjuk yang sebenarnya kepada kita semua dan dihukum pembunuh kejam berkenaan tak kira apa motif dan siapa pelakunya.

Terdahulu, Roselyn ketika ditemui tengah hari, berkata dia menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang wanita yang tidak dikenali mengugut akan membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sehingga RM30,000.

“Antara SMS yang saya terima: “Kalau kau mahu anak kau, aku mahu wang RM10,000 di Taman Tengku Anis masa jam 12 tengah hari, kalau tidak anak kau mati”, "Kalau kau tak datang pada hari Ahad anak kau akan dijual di Thailand,” katanya.

Roselyn berkata, ugutan itu diterima pada malam Rabu lalu daripada seorang wanita yang mendakwa menyimpan anaknya itu dan meminta wang tebusan RM30,000 dihantar ke Taman Tengku Anis, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, selepas wanita itu mematikan telefon, beliau cuba menghubunginya tetapi tidak berjawab sehinggalah beliau menghantar SMS supaya wanita itu menghantar gambar anaknya sebagai bukti dan mendengar suara Dirang.

“Wanita itu membalas SMS dengan meminta menjelaskan wang terlebih dulu sebelum menunaikan permintaan saya. Keesokannya, saya sekali lagi menerima SMS daripada nombor sama meminta saya menyediakan wang RM10,000 di tempat yang sama pada jam 12 tengah hari atau anak saya akan mati.

“Saya cuba menghubunginya sekali lagi tetapi tiada jawapan sehinggalah Jumaat lalu, saya mendapat satu lagi SMS meminta membawa wang tunai RM10,000 dan menghantarnya pada Ahad ke taman sama. Wanita itu juga mengugut akan menjual Dirang kepada sindiket kanak-kanak di Thailand”


Laporan sebelum ini
klik untuk baca



[Bergambar & Video] Papan Iklan Mydin USJ Terbakar

Petaling jaya — Kebakaran papan iklan di bahagian atas pasar raya besar Mydin USJ Subang Jaya dekat sini, awal malam ini menyebabkan kira-kira 3,000 pelanggan dan 600 kakitangan bergegas menyelamatkan diri dari premis tiga tingkat itu.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu juga menyebabkan operasi pasar raya itu ditamatkan empat jam awal untuk memastikan tiada ancaman bahaya kepada orang ramai.

Seorang juruwang pasar raya berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Mazlan berkata, semasa kebakaran beliau sedang melayan pelanggan sebelum terdengar orang ramai berteriak dan berlari keluar.

"Saya dengar ramai pelanggan menjerit ”api, api” sebelum mereka semua berlari keluar dan berkumpul di tempat letak kereta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata kira-kira sejam kemudian, selepas api dipadamkan pihak Bomba dan Penyelamat, semua kakitangan dibenarkan masuk untuk menyelesaikan kerja masing-masing sebelum dibenarkan pulang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kebakaran itu hanya melibatkan tingkat atas premis berkenaan namun turut menyebabkan kerosakan pada tingkat dua dan tiga.

"Tingkat dua dan tiga merupakan ruang pejabat dan kerugian dianggarkan bernilai RM5 juta termasuk kerosakan perabot dan permaidani yang basah dengan air,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Jurucakap Balai Bomba Subang Jaya ketika dihubungi pula berkata, panggilan mengenai kebakaran itu diterima 7.12 malam sebelum ia dikawal pada 7.40 malam.

Dua jentera dan 10 anggota bomba dari Balai Bomba Subang Jaya digegaskan ke tempat kejadian. — BERNAMA


Pasar Raya Mydin Di Subang Jaya Ditutup Selepas Terbakar

SUBANG JAYA: Perniagaan di pasar raya Mydin Hypermarket di sini terpaksa dihentikan selepas papan tandanya tiba-tiba terbakar pada petang Selasa.

Ketua Balai Bomba Subang Jaya, Mohd Khairi Daud berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.12 malam.

“Kami tiba ditempat kejadian 10 minit kemudian, papan tanda tersebut telah hangus terbakar dan api telah marak hingga ke arah bumbung bangunan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Khairi berkata, dua kereta bomba serta 10 ahli bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan api dan mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 8.20 malam.

“Kami telah menasihatkan pihak pengurusan supaya menutup bangunan ini sehingga kami dapat menentukan struktur bangunan berada dalam keadaan yang baik,” katanya sambil menambah bahawa satu unit forensik telah dirahkan untuk menyiasat punca kebakaran.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata semua kakitangan dan pelanggan telah diarahkan untuk segera meninggalkan bangunan tersebut ketika kebarakan itu berlaku.

"Hujan yang turun bukan sahaja membantu memadamkan api malah ia membantu daripada mengelakkan orang awam daripada terkorban kerana papan tanda tersebut betul-betul berada di atas sebuah restoran.

"Kebiasaannya, pada waktu malam, orang ramai akan duduk di luar dan mungkin ada yang akan mengalami kecederaan sekiranya papan tanda itu jatuh,” katanya.

Beliau turut mengesahkan pasar raya tersebut akan ditutup sementara waktu sehingga jabatan bomba selesai menjalankan siasatan.
-mstar









Sumber foto: Rencam. Terima kasih kepada semua pemilik asal foto-to berkenaan.

[Bergambar] SMS Ugut Ibu Dirang & Lokasi Dirang Dibunuh Didedahkan

Polis mahu cekup wanita ugut ibu Dirang

PASIR GUDANG - Polis Johor mahu mendapatkan kerjasama rakan mereka dari Kelantan untuk "mencekup" seorang wanita yang menghubungi ibu kanak-kanak Nurul Nadhirah Abdullah, yang diculik dan semalam disahkan dibakar, dengan menelefon dan menghantar SMS berbaur ugutan meminta wang tebusan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff di sini, hari ini.

Ibu mangsa, Roselyn Alan, 25, dilaporkan menerima panggilan dan SMS daripada seorang wanita tidak dikenali dari Kelantan, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya telah berhubung dengan polis negeri itu bagi membantu menyiasat kes tersebut.

"Kita minta bantuan polis Kelantan untuk cekup individu itu, kesan dia dan bawak dia ke Johor," katanya.

Roselyn sebelum ini dilaporkan menerima panggilan telefon dan SMS daripada seorang yang tidak dikenali mengugut untuk membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sebanyak RM30,000.

Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai dekat sini pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat keputusan hasil ujian asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia.

Nurul Nadhirah hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam Pasir Gudang di sini hari ini.

Sambil menyifatkan individu yang terlibat dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak itu sebagai penjenayah kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusian menyiksa insan kerdil yang tidak berdosa, beliau menegaskan suspek yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

Katanya, tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan curi. -SH


Nenek Nurul Nadirah Abdullah, Milnah Jul,52, (dua kanan) tidah dapat menahan sebak ketika melawat lokasi penemuan mayat Nurul Nadirah di sebuah flat terbengkalai di Nusai Damai, Masai di sini, Selasa. -FotoBERNAMA


Kematian Dirang: Di mana tempat yang selamat?

(Pemimpin wanita Pakatan Rakyat dalam sidang media mereka hari ini melahirkan rasa resah rakyat dengan kematian Nurul Nadirah)

KUALA LUMPUR, 13 Mac: "Al-Fatihah untuk Nurul Nadirah. Negara ini bukannya yang paling selamat di Asia Tenggara sebagaimana yang didakwa," kata satu kenyataan dalam Twiiter mengenai kematian Nurul Nadirah.

Kenyataan ini dikeluarkan ekoran kematian adik Nadirah selepas negara ini diistiharkan sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara sebelum ini dan media kerajaan menjadikannya laporan muka depan mereka menjelang pilihan raya ini.

Hari ini, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengucapkan takziah yang sama kepada adik kecil ini dan mendakwa keselamatan kanak-kanak dan wanita di negara ini berada di tahap yang kritikal.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kes adik Nurul Nadirah Abdullah yang disahkan mati dibunuh dan dibakar selepas hilang sejak 1 Mac lalu membuktikan Malaysia tidak selamat.

"Negara kita dalam keadaan tidak selamat. kes ini adalah sejarah yang menggerikan seperti yang pernah berlaku sebelum ini dan memang tak sepatutnya berlaku.

"Isu keselamatan kanak-kanak, wanita masih lagi berada di tahap kritikal. Kalau kerajaan mendakwa bahawa negara kita selamat, di mana?" kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, Ahli Parlimen itu berharap pembunuh kejam itu dibawa ke muka pengadilan.

"Muslimat amat bersimpati dengan ibu dan keluarga adik Nurul Nadhirah dan saya harap perkara ini tidak berlaku kepada keluarga yang lain.

"Saya harap penjenayah dihadapaihadapkan ke muka pengadilan agar menjadi iktibar kepada orang lain," katanya.

Nada empati yang sama turut dikongsi timbalannya, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Ahli Parlimen Kota Raja itu mengingatkan ibu bapa agar tidak mengambil ringan keselamatan anak-anak sebaliknya perlu sentiasa berwaspada walaupun berada di kawasan rumah.

"Saya boleh merasakan empatinya. Ini menunjukkan keadaan selamat yang konon-kononnya ada sebenarnya kita tidak selamat. Ibu bapa tidka boleh membuat andaian selamat.

"Ibu bapa jangan lupa, mungkin ini penjanayah bersiri dan akan melakukan kekejaman yang sama kepada kanak-kanak lain," katanya.

Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Pasir Gudang di Johor Baharu 8 Mac lalu adalah Nurul Nadhirah atau Dirang.

Nurul Nadhirah dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu kira-kira 11 pagi ketika keluar untuk membeli mee segera dan telur di kedai runcit di kawasan flat kediamannya.
-HD



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




13 Mac 2012

Rafidah Belasah Shahrizat: "Apa Berundur? Memang Dah Tak Jadi Menteri Lagi 8 April!"

Rafidah: Shahrizat tak korban untuk Umno, negara

Bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz membidas Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dengan mendakwa menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat itu tidak membuat sebarang pengorbanan sebenar dalam mengumumkan yang beliau akan 'meletakkan jawatan'.

Bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa itu berkata tempoh jawatan menteri yang dipegang oleh Shahrizat akan luput pada hari lantikannya sebagai senator berakhir pada 8 April.

Justeru, katanya pengumuman Shahrizat pada Ahad lalu langsung tidak membawa sebarang makna.

"Berundur? Apa berundur...? Tidak timbul isu berundur atau meletakkan jawatan! Tidak ada apa-apa untuk berundur kerana secara sah beliau tidak lagi menjadi menteri pada 8 April...

"Jadi, sebenarnya, tiada langsung pengorbanan kerana ia hanya satu urutan peristiwa,"
kata Rafidah yang dipetik akhbar Malay Mail hari ini.

Semalam, pemimpin BN termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji pada Shahrizat kerana membuat pengorbanan besar "dengan mengumumkan bahawa beliau akan 'meletakkan jawatan' apabila tempohnya sebagai senator berakhir.

Rafidah, antara pemimpin paling awal mendesak Shahrizat untuk berundur dari kabinet, berkata keengganan Shahrizat meletakkan jawatan semasa tempohnya sebagi senator masih sah telah mencemarkan nama baik Umno dan kerajaan.

Menurutnya lagi, keputusan Shahrizat untuk terus memegang jawatan Ketua Wanita Umno akan turut menimbulkan masalah. -mk

[WASPADA] Ada Ulat Dalam Mi Kari

Ipoh - Seorang ahli perniagaan yang sedang menikmati malam di sebuah restoran kopitiam di bandar raya ini tergamam selepas menemui seekor ulat di dalam hidangan yang dipesannya, malam kelmarin.

Ziyad Solleh, 26, mendakwa kejadian itu berlaku semasa dia bersama rakan-rakan berkunjung ke restoran berkenaan kira-kira jam 7.30 malam.

Beliau mendakwa selepas hampir selesai menikmati juadah mi kari kering itu, dia terlihat seekor ulat sepanjang 2.5 sentimeter di dalam pinggan hidangannya.

“Selepas melihat ulat itu, tekak saya mula berasa loya dan hampir muntah kerana ia sangat menjijikkan,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur.

Akibat tidak berpuas hati, Ziyad segera memanggil pengurus restoran untuk menyelesaikan masalah itu.

“Malangnya, hanya penyelia restoran sahaja yang muncul dan menyatakan pengurus mereka sudah pulang ke rumah. Penyelianya pula hanya memohon maaf di atas kecuaian tersebut dan tanpa melakukan apa-apa tindakan,” katanya yang kesal dengan perkhidmatan diberikan kakitangan restoran tersebut.

Dalam keadaan tidak puas hati, beliau terus mendesak supaya pengurus restoran tampil memberi penjelasan.

Akhirnya pengurus restoran terbabit datang semula dan selepas berbincang, mereka tidak mengenakan sebarang caj ke atas makanan yang di pesan Ziyad dan rakan-rakannya.

“Bukan niat kami mahu mengaibkan mana-mana pihak, cuma berharap mereka dapat pengajaran dan ambil iktibar daripada insiden itu. Premis yang menjual makanan perlu mengekalkan tahap kebersihan dan keselamatan supaya kejadian seperti yang saya alami ini tidak berlaku lagi ,” katanya.

Untuk rekod, dua tahun lalu, seorang penuntut sebuah kolej memfailkan saman terhadap dua syarikat yang berkaitan dengan sebuah restoran kopitiam terkemuka di Bandar Bukit Tinggi, Klang selepas mendakwa menemui sepasang kaki katak dalam makanan yang dipesannya.

[WASPADA] Lolipop Berpendafluor Mengandungi Racun

Kuala Lumpur - Kerajaan mengenakan larangan bagi kemasukan sejenis gula-gula lolipop kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

Gambar: S.M. MOHAMED menunjukkan lolipop yang disekat kemasukannya ke negara ini kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya pendafluor di Pulau Pinang baru-baru ini.

Beliau berkata, pihak kementerian telah pun meningkatkan kawalan di pintu masuk negara untuk menghalang kemasukan lolipop pendafluor itu.

"Bahan itu kini diletakkan pada tahap 5 iaitu pengimportannya diletakkan di bawah syarat kebenaran sebelum diletakkan pada tahap 6 iaitu gula-gula berkenaan langsung tidak dibenarkan dibawa masuk," katanya selepas merasmikan Karnival Kesihatan Jom Sihat di Kolej Tunku Abdul Rahman di sini semalam.

Beliau percaya lolipop itu dibawa masuk dari luar negara kerana serbuan pihak penguat kuasa di alamat pengeluar yang tertera pada pembungkus gula-gula tersebut didapati palsu.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini menggesa kerajaan mengharamkan penjualan gula-gula lolipop pendafluor kerana didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya.

Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, bahan kimia yang terkandung pada batang pendafluor itu sangat berbahaya tetapi ia menjadi kegilaan kanak-kanak. -kosmo

[Bergambar] TG Nik Aziz Hadiri Majlis Perkahwinan Malek Nor & Dr Wan Asma

Mursyidul Am PAS, Tuanguru Nik Abdul Aziz berkesempatan memenuhi jemputan majlis kesyukuran perkahwinan Dr Wan Asma Wan Ismail bersama pasangannya Malek Nor di Hotel Renaissance, Kota Bharu semalam.

TG Nik Aziz berharap semoga kedua-dua pasangan ini dikurniakan kebahagiaan yang berpanjangan dan diberkati oleh Allah SWT, demikian kenyataannya di dalam facebook.

Bekas ahli bina badan negara Datuk Malek Noor, 56, dengan sekali lafaz selamat bergelar suami kepada Pakar Pediatrik, Dr Wan Asma Wan Ismail, 52.

Dr Wan Asma mempunyai tujuh orang anak berusia 11 hingga 30 tahun serta empat orang cucu dan sudah tiga tahun hidup sebagai ibu tunggal manakala Malek memiliki seorang anak angkat iaitu Nik Nuramalin Aisyah Nik Mahmud berusia 2 tahun

Kedua-dua pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Wan Ismail Wan Ahmad,87, di kondominium, Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini kira-kira pukul 11 pagi, Isnin.

Dr. Wan Asma bertugas di Hospital KPJ Pakar Perdana, Kota Bharu manakala Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohamaed Noor kelihatan berseri-seri dengan pakaian sedondon berwarna putih gading.

Malek melahirkan rasa syukur di atas ikatan yang terbina dan berharap ia adalah perkahwinan pertama dan terakhir baginya.

“Ketika menunaikan umrah 12 Mac tahu lalu saya memohon kepada Allah agar mempertemukan jodoh dengan wanita yang solehah, dan alhamdulillah dimakbulkan.

“Hari ini dipilih bersempena dengan tarikh tersebut,” katanya selepas majlis akad nikah berkenaan yang diadakan kira-kira jam 11 pagi.

Pada perkahwinan tersebut pengantin lelaki hanya menghadiahkan senaskhah al-Quran sebagai mas kahwin tanpa wang hantaran disertai lima dulang hantaran berbalas sembilan daripada pengantin perempuan.

Tiada wang hantaran kerana Dr.Wan Asma kata, beliau tidak memerlukannya kerana dia sudah ada segalanya.

Alhamdulillah. Semoga perkahwinan tersebut berkekalan hingga ke akhir hayat.







Sumber foto: Pelbagai (google images) - terima kasih kepada pemiliknya.

Suspek Kes Bunuh Dirang Akan Didakwa

Pasir Gudang - Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata polis sedang berusaha menyiapkan kertas siasatan kes bunuh dan bakar kanak-kanak malang Nurul Nadhirah Abdullah, 5, secepat mungkin bagi membolehkan suspek kes itu dihadapkan ke mahkamah dengan segera.

Beliau berkata polis sedang menunggu beberapa lagi laporan daripada Jabatan Kimia untuk menyiapkan kertas siasatan itu sebelum dikemukakan kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan.

"Saya telahpun mengarahkan timbalan saya Datuk Ismail Yatim yang mempengerusikan pasukan khas bagi menyiasat kes ini untuk siapkan kertas siasatan secepat mungkin," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam Pasir Gudang di sini hari ini.

Sambil menyifatkan individu yang terlibat dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak itu sebagai penjenayah kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusian menyiksa insan kerdil yang tidak berdosa, beliau menegaskan suspek yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

Katanya tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan curi.

Dalam kunjungan yang turut disertai oleh isterinya, Datin Bibi Zakiah Meraslam itu, Mohd Mokhtar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian tragis dan menyayat hati itu.

Beliau berkata kejadian itu harus dijadikan iktibar dan masyarakat digesa supaya mengawasi anak-anak supaya tidak terdedah kepada ancaman keselamatan.

"Saya juga minta masyarakat berwaspada jika terlihat karektor mencurigakan," katanya.

Mengenai panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang diterima oleh ibu mangsa, Roselyn Alan, 25 daripada seorang wanita tidak dikenali dari Kelantan semalam, Mohd Mokhtar berkata pihaknya telah berhubung dengan polis negeri itu bagi membantu menyiasat kes tersebut.

"Kita minta bantuan polis Kelantan untuk cekup individu itu, kesan dia dan bawak dia ke Johor," katanya.

Roselyn sebelum ini dilaporkan menerima panggilan telefon dan SMS daripada seorang yang tidak dikenali mengugut untuk membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sebanyak RM30,000.

Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai dekat sini pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat keputusan hasil ujian asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia.

Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mee segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya. - Bernama

Ibu Dirang tidak akan maafkan pembunuh

JOHOR BAHRU - Ibu kepada Nurul Nadhirah Abdullah, kanak-kanak yang disahkan dibunuh dan dibakar selepas hilang dari rumahnya hampir dua minggu lepas, tidak akan memaafkan orang yang bertanggungjawab dan mahu dikenakan hukuman setimpal.

Roselyn Alan, 25, berkata beliau berharap individu berkenaan dikenakan hukuman sama seperti kekejaman yang dilakukan terhadap anaknya yang berusia lima tahun itu.

"Saya tidak tahu kenapa dia sanggup buat anak saya sehingga macam itu. Anak saya masih kecil dan tidak tidak tahu apa-apa. Saya tidak akan maafkan dan saya mahu dia rasa apa yang anak saya rasa," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan takziah dari Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan isteri, Datin Bibi Zakiah Meraslam, di rumahnya di Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, hari ini.

Menurut Roselyn, hatinya berasa amat sakit sejak menerima panggilan pengesahan dari polis petang semalam dan masih tertanya-tanya punca yang menyebabkan anaknya diperlukan sedemikian rupa.

"Saya bukan kaya, kalau minta duit sekalipun saya memang tiada duit. Musuh pun saya tidak ada," katanya.

Roselyn berkata beliau tidak dapat tidur dan tidak lalu makan sejak Nurul Nadhirah yang mesra dipanggil Dirang, didapati hilang dan telah berusaha mencarinya dari pukul 8 pagi setiap hari sehingga malam dengan menaiki kereta di sekitar bandar.

Menyifatkan Dirang sebagai seorang anak yang baik dan tidak cerewet, Roselyn berkata beliau pasti teringatkan Nurul Nadhirah setiap kali mahu membancuhkan susu untuk anak bongsunya, Ainul Suhada Abdullah, yang baru berusia dua bulan.

Katanya, sebagai kakak, Nurul Nadhirah sangat menyayangi adik perempuannnya dengan sentiasa memberikan ciuman serta memilihkan pakaian berwarna merah jambu.

Nurul Nadhirah turut gemar mewarnai buku dan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, katanya.

"Dirang selalu minta susu dan makanan. Dia selalu peluk dan kami tidur bersama-sama setiap malam. Sebelum dia hilang, dia sempat makan sebungkus roti dan memeluk saya sambil bertanya sama ada saya sayangkan dia atau tidak," katanya.

Roselyn berkata Nurul Nadhirah turut meminta dibelikan sebuah buku sebelum kehilangannya, bagaimanapun, dia tidak sempat memenuhi permintaan anaknya itu.

Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai, dekat sini, pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat hasil ujian DNA daripada Jabatan Kimia.

Nurul Nadhirah hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya itu. Polis menahan reman empat individu termasuk seorang wanita sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan.
- Bernama


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




[Video] Telok Gong : 8 Premis Runtuh Akibat Hakisan

Rumah runtuh, hanyut

KLANG - Penduduk di Kampung Nelayan, Telok Gong, di sini, tidak menyangka retakan tanah sepanjang 30 meter berhampiran jeti kawasan itu kelmarin bakal menjadi mimpi ngeri buat mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang kelmarin, lapan bangunan dan sembilan bot yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM100,000, runtuh serta tenggelam dalam tempoh kurang setengah jam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan telefon jam 2.16 petang dan tiba dengan tujuh jentera dari Pelabuhan Klang 11 minit kemudian.

Katanya, dalam kejadian itu, lapan premis melibatkan empat stor dan empat kedai runtuh serta tenggelam secara perlahan-lahan dipercayai akibat arus deras menyebabkan hakisan, sebelum runtuh.

“Terdapat 10 orang berada di premis itu ketika kejadian, tetapi mereka berjaya melarikan diri ke kawasan selamat.

“Stor itu milik nelayan simpan barang. Kita masih siasat punca sebenar kejadian,” katanya.

Mohd Sani berkata, jeti itu akan ditutup buat sementara waktu sehingga dipastikan selamat dan pihaknya bersama anggota polis akan memantau kawasan itu untuk mengelak kejadian sama berulang.

Seramai 15 anggota bomba, 10 polis dan anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) terlibat dalam operasi itu.

48 rumah tenggelam sehari sebelum bencana

SEMENTARA itu, Ahli Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Telok Gong, Wazirudin Mokhtar berkata, sehari sebelum kejadian, 48 buah rumah di kampung berkenaan tenggelam akibat banjir.

“Banjir dipercayai berlaku akibat hujan lebat kerana masalah sistem perparitan dan air pasang. Apabila air pasang dan kunci air dibuka, ia akan melimpah sehingga mengakibatkan banjir.

“Saya percaya, banjir semalam (kelmarin) juga memberi kesan kepada kejadian hari ini (semalam) kerana pengaliran air yang tidak lancar sehingga menyebabkan hakisan dan runtuhan,” katanya.

Mengulas mengenai insiden runtuh dan tenggelam itu, Wazirudin berkata, pihaknya masih belum menerima notis supaya penduduk di kawasan berhampiran jeti dipindahkan ke kawasan lain.

“Kita akan bincang dahulu perkara ini dengan pejabat daerah dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun), sebelum sebarang tindakan diambil. Jika penduduk hendak pindah kerana tidak selamat, mereka boleh berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Rais Mohd Jamil, 35, berkata, sehari sebelum kejadian, rumahnya yang terletak berhampiran jeti dinaiki air, bagaimanapun ia tidak melimpah masuk ke dalam kediaman mereka.

Katanya, air naik sehingga empat inci selama lebih dua jam, tetapi surut kembali seperti kebiasaannya.

“Saya ada di rumah ketika itu tetapi tidak langsung berasa cemas kerana keadaan seperti itu kerap berlaku dan selalunya tiada apa-apa yang berlaku pun. Keadaan itu berlaku dalam dua jam lebih.

“Tidak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku. Nasib baik saya simpan peralatan menangkap ikan di rumah, kalau simpan di stor, sudah tentu hanyut hari ini (semalam),” katanya.

Pemilik premis rugi barang hanyut

SEORANG pemilik kedai makan dan stor, Saharudin Abdul Rahman 42, berkata, dia kerugian kira- kira RM30,000 kerana tidak sempat menyelamatkan barang- barang niaganya.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah dan dimaklumkan seorang rakan sebelum ke lokasi kejadian, tetapi tidak sempat. Saya Nampak hakisan tanah berlaku sedikit demi sedikit sebelum menenggelamkan kedai dan stor saya.

“Semua barang niaga, enjin sangkut dan peralatan menangkap ikan hanyut. Walaupun sehari sebelum kejadian ini ada berlaku retakan tanah, tetapi saya tidak sempat punggah apa-apa pun barang kerana tidak sangka perkara seperti ini akan berlaku.

Seorang lagi pemilik kedai makan, Rahimah Samilon, 60, berkata, dia reda dengan musibah itu dan menyifatkan kejadian itu sebagai ujian daripada ALLAH.

“Esok (hari ini), saya dan suami akan menunaikan umrah di Makkah. Walaupun sedih, tetapi saya tidak mahu fikir apa-apa buat masa ini. Tunggulah apabila saya pulang ke sini selepas umrah nanti,” katanya.

Rahimah berkata, ketika kejadian, dia tiada di kedai kerana sedang bercuti dan perkara itu hanya diketahui selepas dimaklumkan pembantunya.

Berlainan pula dengan Azami Ismail, dia sempat memunggah semua barang-barang dari kedainya setelah mengetahui tanah retak kelmarin.

“Saya dimaklumkan bapa saudara yang menyatakan kedai sudah hendak runtuh kerana tanah retak, selepas itu kami bergegas angkut semua barang,” katanya. -SH




Ibu Nurin Turut Sedih Nasib Dirang, PAS Juga Rakam Takziah Kepada Keluarga Mangsa

Shah Alam - "Ya ALLAH... mengapa ini perlu berulang lagi? "Bulu roma saya meremang selepas mengetahui nasib Dirang. Air mata saya mengalir laju membasah pipi. Saya seperti nampak Nurin Jazlin Jazimin. Seperti sama-sama menangis mendengar bencana yang menimpa Dirang pula.

"Di hadapan mata, saya seperti sedang ditayangkan peristiwa menimpa anak saya lebih empat tahun lalu." Itulah yang diluahkan Norazian Bistaman, 40, ibu Nurin Jazlin, kanak-kanak yang dibunuh kejam pada September 2007 lalu.

Norazian tidak dapat mengawal sebak selepas mendengar berita Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, dipercayai dibunuh kejam sebelum mayatnya dibakar di sebuah ladang kelapa sawit di Nusai Damai, pasir Gudang Johor.

"Apa yang berlaku pada Dirang hampir sama seperti malang yang menimpa puteri kedua saya, Nurin Jazlin.

"Pencarian Dirang yang berakhir dengan berita perit ini sama dengan yang pernah kami lalui. Pedih dan perit yang dirasai Lima Medeng dan Roselyn Alan tidak ubah dengan apa yang saya dan suami pernah rasa.

"Kepada keluarga Dirang, bersabarlah... ini semua adalah dugaan. Apalah yang mampu kita lakukan selain berharap si durjana di luar sana itu segera mendapat balasan," katanya lagi.

Selain turut bersedih dengan kejadian menimpa Dirang, pada masa sama, Norazian meluahkan rasa marah dan geram pada manusia yang tergamak membunuh kanak-kanak tidak berdosa itu.

“Tidak kisahlah sama ada pembunuh anak saya atau Dirang itu orang yang sama atau tidak. Tetapi apa yang saya hendak katakan, pembunuh itu pasti tidak akan terlepas. Sepandai pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tangan juga!” katanya lagi.

Dalam pada itu Norazian berkata, dia berharap supaya masyarakat tidak sewenang-wenangnya gemar mengaitkan kes kanak-kanak hilang dengan dendam atau melibatkan pemberi pinjam tanpa lesen (ah long).

“Masyarakat janganlah suka kaitkan kes budak hilang dengan perkara seperti itu. Sebaliknya, bersama-sama memberi pesanan supaya semua ibu bapa berhati-hati dalam mengawasi anak,” katanya.

Dari nada suaranya, jelas wanita itu benar-benar rasa terpukul dengan kejadian menimpa Dirang.

Pada 20 Ogos 2007, puteri comelnya, ketika itu murid tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang setelah keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pencarian berakhir apabila mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mengesahkan Nurin Jazlim mati akibat didera secara seksual. -SH

PAS rakam takziah buat keluarga Nurul Nadhirah

KUALA LUMPUR, 13 Mac: PAS merakam ucapan takziah kepada keluarga adik Nurul Nadhirah Abdullah yang disahkan mati dibunuh dan dibakar selepas hilang sejak 1 Mac lalu.

"Saya rakamkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa, semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran di atas musibah yang dihadapi," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui Facebooknya.

Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Pasir Gudang di Johor Baharu 8 Mac lalu adalah Nurul Nadhirah atau Dirang.

Nurul Nadhirah dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu kira-kira 11 pagi ketika keluar untuk membeli mee segera dan telur di kedai runcit di kawasan flat kediamannya.

Sambil menyelar perbuatan kejam itu, Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar Kelantan berkata, punca kepada jenayah yang berlaku sekarang ini adalah kerana manusia sudah hilang rasa takut kepada Allah SWT.

Ekoran itu mereka berani melakukan apa sahaja termasuk membunuh orang yang tidak berdosa.

"Sesungguhnya punca kepada jenayah seperti ini ialah kerana manusia tidak takutkan Allah SWT,"

"Sesungguhnya ketakutan kepada Allah WT itulah yang akan mencegah manusia melakukan jenayah, bukannya undang-undang buatan manusia," katanya.
-HD



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Rupa-rupanya Kes NFC Ke Mahkamah Untuk Elak Isu Dibahas Di Parlimen

Noh cuba elak kontroversi NFC, serah pada mahkamah

Ahli Parlimen BN yang ingin maklumat lanjut berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC) sehingga menyaksikan pengerusi eksekutifnya didakwa atas empat pertuduhan termasuk kesalahan pecah amanah, kecewa apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mengelak daripada membincangkan isu itu secara langsung.

Sebaliknya Noh, pada taklimatnya kepada Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) di ibu negara malam tadi, lebih banyak bercakap mengenai agihan peruntukan bagi membolehkan mereka "memantau" masalah dalam sektor pertanian di parlimen masing-masing.

Menurut beliau, kementeriannya banyak menerima soalan 'panas' khususnya berkaitan NFC yang perlu dijawabnya pada sidang parlimen yang sedang berlangsung.

Perbahasan Dewan Rakyat bagi penggal baru tahun 2012 bermula semalam.

"Kali ini kementerian terima banyak soalan. Soalan-soalan yang panas pun ada. Soalan-soalan berkaitan Fidlot.

"Tapi mungkin (saya) tidak perlu menjawab (di sini), (sebab) sudah ada kes. (Nanti) ia subjudis," katanya.

Semalam pengerusi eksekutif NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan kerana didakwa pecah amanah dan menggunakan dana syarikat tanpa kelulusan mesyuarat agung tahunan NFC.

NFC dilaporkan menerima kontrak bagi projek ternakan lembu di Gemas, Negeri Sembilan dan diberi pinjaman mudah RM250 juta daripada kerajaan bagi memastikan bekalan daging bagi pasaran tempatan adalah mencukupi. Ia terletak dan dikawal selia oleh kementerian pertanian dan industri asas tani.

Medan terbaik

Kontroversi muncul selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut terdapat kelemahan dalam projek berkenaan. PKR kemudiannya membuat susulan dengan mendedahkan pelbagai kelemahan syarikat berkenaan termasuk dakwaan penyelewengan dana dan pembelian beberapa kondominium mewah bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

Sementara itu, ahli parlimen Kota Belud Datuk Rahman Dahlan yang hadir pada taklimat itu berkata perbicaraan di mahkamah adalah platform terbaik bagi NFC menolak segala dakwaan yang dilemparkan.

Bahkan, katanya, ia juga menjadi medan terbaik kepada syarikat itu mengemukakan bukti bagi membersihkan nama mereka.

"Ia menjadi tempat yang baik kepada mereka untuk menggunakan hujah mereka dan ia juga menjadi jalan terbaik untuk menamatkan (kontroversi yang berlaku)," kata Rahman.

Mohamad Salleh adalah suami kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang Ahad lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkuat kuasa 8 April apabila tamat penggal lantikannya sebagai Ahli Dewan Negara (Senator).

Shahrizat, bagaimanapun akan mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno.

Menjawab soalan, Rahman juga berkata NFC juga perlu memberikan lebih banyak penjelasan berhubung kontroversi yang timbul berbanding kementerian yang terbabit.

Katanya, selaku ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) beliau pernah mendapatkan penjelasan daripada NFC dan mendapati ada penjelasan yang mempunyai 'merit' dan ada yang menimbulkan 'persoalan'.

"Oleh itu, alangkah bijak jika menggunakan mahkamah sebagai jalan untuk memberi penjelasan tanpa sebarang gangguan," katanya.

Beliau juga akan bertanyakan kepada pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid sama ada jawatankuasa tersebut mahu meneruskan siasatan terhadap NFC memandangkan terdapat perkembangan baru berhubung isu berkenaan. -mk



Ibu Amir: Hanya Dia Yang Saya Ada Di Dunia Ini

Saya nak bersama dia’

KUALA LUMPUR: “Saya tahu dia tak berniat nak tinggalkan saya. Selepas ini, saya nak tinggal dengan dia kerana hanya dia yang saya ada di dunia ini. Terima kasih kepada semua, dapat jumpa dia (anak),” kata Faridah Maulud ketika dipertemukan dengan anaknya buat pertama kali semalam sejak ditinggalkan 10 hari lalu.

Dalam pertemuan penuh sayu itu, kedua-dua mereka dilihat tidak berenggang dengan sesekali anaknya, Amir Mohd Omar, 27, menyeka air mata di pipi ibu berusia 66 tahun itu sambil menerangkan dia tidak meninggalkan ibunya sendirian, tetapi terpaksa berbuat demikian atas faktor kesihatan.

Menafikan anaknya sengaja berbuat demikian, Faridah berkali-kali menyatakan yang dia tahu anaknya mengalami masalah kesihatan dan dia sendiri bersetuju untuk dibawa ke sebuah hotel berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi memudahkan mereka berdua menerima rawatan.

“Dia ada beritahu saya yang dia nak ke hospital, jadi lebih elok saya ikut dia ke sana kerana takut tinggal berseorangan di rumah di Wangsa Maju kerana baru-baru ini ada kes pergaduhan di situ.

“Cumanya, saya tidak tahu ke mana dia pergi selepas tiga hari tak muncul, tapi dia ada tinggalkan sedikit wang untuk membeli makanan. Hari ini baru dapat jumpa,” katanya ketika ditemui semalam.

Pertemuan itu diadakan hasil inisiatif Harian Metro dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) diketuai pengarahnya, Noormah Abd Rauf.

DARI HATI KE HATI...Amir terkaku mendengar luahan ibunya, Faridah yang ditemui kali pertama selepas mereka terpisah 10 hari.

Sebelum itu, Amir hadir ke pejabat JKM WPKL di sini untuk memberi penjelasan kepada Noormah berhubung tindakannya meninggalkan ibu itu bersendirian sehingga membawa kepada laporan polis yang dibuat penyelia hotel itu pada 8 Februari lalu. Selepas itu, dia di bawa ke Pusat Sehenti Bina Diri di Sungai Buloh untuk bertemu ibunya dan berbincang mengenai kewajaran untuk mengambil semula wanita berkenaan tinggal bersamanya dalam waktu terdekat.

Sebaik melihat kelibat anak tunggalnya itu, Faridah tidak henti-henti menangis dan terpaksa ditenangkan Noormah seketika sebelum perbincangan lanjut mengenai status terkini dirinya.

“Saya hendak tinggal dengan dia kerana dia anak saya. Kalau dapat nanti, saya ingin mengajar al-Quran seperti di kampung sebelum ini. “Saya baca artikel mengenai diri saya, tapi saya tahu anak saya buat yang terbaik untuk saya. Mungkin lebih baik di hotel berbanding di rumah kerana saya tinggal seorang, di hotel orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Amir berkata, dia bersyukur kerana akhirnya dapat bertemu ibunya dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk JKM yang membantu menjaganya sepanjang tempoh itu.

Katanya, ketika ini, fokusnya hanyalah untuk mencari pekerjaan baru selepas berhenti sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu negara petang kelmarin.Dalam pertemuan penuh sayu itu, kedua-dua mereka dilihat tidak berenggang dengan sesekali anaknya, Amir Mohd Omar, 27, menyeka air mata di pipi ibu berusia 66 tahun itu sambil menerangkan dia tidak meninggalkan ibunya sendirian, tetapi terpaksa berbuat demikian atas faktor kesihatan.

Menafikan anaknya sengaja berbuat demikian, Faridah berkali-kali menyatakan yang dia tahu anaknya mengalami masalah kesihatan dan dia sendiri bersetuju untuk dibawa ke sebuah hotel berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi memudahkan mereka berdua menerima rawatan.

“Dia ada beritahu saya yang dia nak ke hospital, jadi lebih elok saya ikut dia ke sana kerana takut tinggal berseorangan di rumah di Wangsa Maju kerana baru-baru ini ada kes pergaduhan di situ.

“Cumanya, saya tidak tahu ke mana dia pergi selepas tiga hari tak muncul, tapi dia ada tinggalkan sedikit wang untuk membeli makanan. Hari ini baru dapat jumpa,” katanya ketika ditemui semalam.

Pertemuan itu diadakan hasil inisiatif Harian Metro dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) diketuai pengarahnya, Noormah Abd Rauf.

Sebelum itu, Amir hadir ke pejabat JKM WPKL di sini untuk memberi penjelasan kepada Noormah berhubung tindakannya meninggalkan ibu itu bersendirian sehingga membawa kepada laporan polis yang dibuat penyelia hotel itu pada 8 Februari lalu. Selepas itu, dia di bawa ke Pusat Sehenti Bina Diri di Sungai Buloh untuk bertemu ibunya dan berbincang mengenai kewajaran untuk mengambil semula wanita berkenaan tinggal bersamanya dalam waktu terdekat.

Sebaik melihat kelibat anak tunggalnya itu, Faridah tidak henti-henti menangis dan terpaksa ditenangkan Noormah seketika sebelum perbincangan lanjut mengenai status terkini dirinya.

“Saya hendak tinggal dengan dia kerana dia anak saya. Kalau dapat nanti, saya ingin mengajar al-Quran seperti di kampung sebelum ini. “Saya baca artikel mengenai diri saya, tapi saya tahu anak saya buat yang terbaik untuk saya. Mungkin lebih baik di hotel berbanding di rumah kerana saya tinggal seorang, di hotel orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Amir berkata, dia bersyukur kerana akhirnya dapat bertemu ibunya dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk JKM yang membantu menjaganya sepanjang tempoh itu.

Katanya, ketika ini, fokusnya hanyalah untuk mencari pekerjaan baru selepas berhenti sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu negara petang kelmarin.

BINCANG...(dari kiri) Noormah bersama Faridah dan Amir, semalam.