4 Apr 2010

Mafrel Bidas Sogokan Pilihanraya

Badan pemantau pilihanraya, Malaysian for Free and Fair Election (Mafrel) membidas usaha kerajaan Umno-BN menyogok pengundi Hulu Selangor dengan limpahan projek perumahan dan sekolah.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata Umno-BN sekali lagi menunjukkan ia tidak menghormati proses pilihanraya demokratik, dan menggesa Suruhanjaya Pilihanraya mengambil tindakan tegas terhadap parti itu.

"Ini satu jenis kempen dan kalau berbalik kepada peraturan pilihanraya dia merupakan satu kesalahan peraturan pilihanraya. Jadi seharusnya pihak SPR memberikan amaran dan kemudian mungkin mengambil tindakan supaya mengeluarkan arahan supaya tidak ada berlaku apa-apa kempen sekarang sehinggalah apabila hari penamaan calon"

Belumpun bermula Pilihanraya Kecil Hulu Selangor, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan para pengundi Hulu Selangor akan mendapat empat buah sekolah baru, dan projek pembinaan banjir bernilai RM2 juta ringgit.

Muhyiddin juga berkata Kementerian Pendidikan sedang mengenalpasti tapak sesuai untuk membina sebuah sekolah aliran Cina.

Keesokannya, Perdana Menteri Najib Abdul Razak mengumumkan projek perumahan baru untuk pendudk Felda di Gugusan Sungai Dusun. Projek bernilai RM32 juta ringgit ini melibatkan 2,50 unit, setiapp satunya bernilai antara RM42,000 dan RM75,000 ringgit.

"Walaupun mungkin apa yang dinyatakan oleh pihak kerajaan khususnya mereka melakukan itu dalam rangka mereka menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat jawatan kerajaan. tetapi hakikatnya kalau kita lihat kepada kenyataan-kenyataan mereka ianya jelas berunsurkan kempen.

Ulasan GB

Mungkin ada kesilapan teknikal di dalam berita di atas. MAFREL dipengerusikan oleh Abdul Malek Hussin sementara Syed Ibrahim ialah Timbalannya.


3 Apr 2010

Menjelang Grand Prix Malaysia Esok, Webber Rampas Petak Pertama

Menjelang Grand Prix Malaysia pada hari esok. Hujan lebat pada petang ini di sessi kelayakan menyebabkan pasukan-pasukan yang terlibat terpaksa menukar strategi.

Pelumba Red Bull, Mark Webber, meraih petak pertama selepas mencatatkan masa terpantas dalam saingan kelayakan terakhir untuk perlumbaan Formula Satu Grand Prix Malaysia Petronas sebentar tadi.

Nico Rosberg dari pasukan Mercedes di tempat kedua dan Sebastian Vettel dari Red Bull di tempat ketiga.

Hujan lebat di Litar Antarabangsa Sepang menyebabkan pemandu Ferarri, Fernando Alonso dan Felipe Massa, serta pemandu McLaren, Lewis Hamilton, gagal untuk beraksi pada sesi kelayakan kedua.

Alonso akan bermula di petak ke-19, Hamilton (20) dan Massa (21) selepas gagal mencatat masa terpantas sebelum hujan turun.

Jenson Button, pemenang Grand Prix Australian minggu lalu akan bermula di petak ke-17.


.



Aduan Polis Dibuat, Guna Gambar Pemimpin PR Untuk Ceramah UMNO

Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pinang Tunggal dan Pakatan Rakyat Kepala Batas mendesak Polis membuat siasatan segera terhadap beberapa helai sepanduk yang menggunakan gambar pemimpin Pakatan Rakyat untuk satu majlis ceramah anjuran UMNO.

Sekali pandang nampak macam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng yang akan memberikan ceramah tetapi sebenarnya Datuk Seri Zahrain Ibrahim dan Ezam Mohd Nor sebenar. Ia sangat mengelirukan rakyat.

Pengarah Dun Pinang Tunggal, Mohd Akhir Che Mat berkata, lapuran polis telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara pada pukul 9.00 pagi dan selesai pada pukul 11.00 pagi tadi.

Ia digantung untuk satu majlis ceramah di Kampung Paya Keladi pada 6 April ini.

Sebenarnya ia adalah program anjuran Angkatan Belia Muda Kepala Batas yang didalangi oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas.

Pemidato jemputan ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan bekas Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Ezzam Mohd Noor.

Menurut Mohd Akhir, pihak polis dikehendaki mencari dalang sebenar yang dikira sengaja menimbulkan perasaan benci membenci di kalangan masyarakat.

Bukan itu sahaja mereka juga harus menyiasat siapa Angkatan Belia Muda Kepala Batas yang menjadi penganjur program terbabit yang pastinya tanpa permit.

"Pihak polis dikehendaki membuat siasatan segera terhadap sepanduk yang terpampang di serata tempat yang memaparkan gambar Anwar dan Lim Guan Eng. Dari gambar itu seolah mereka yang akan berpidato, " tegasnya kesal.

"Keadaan itu membuktikan Umno ketandusan ideal untuk berhadapan dangan rakyat dengan mempergunakan dua tokoh besar tanah air sedangkan yang akan berceramah ialah Dato' Zahrain dan Ezzam, " jelas beliau yang juga Naib Pengerusi Pakatan Rakyat Kepala Batas.



Kempen Sebelum Pilihanraya, Kenapa Polis Tak Tahan Najib Dan Muhyiddin?

Imej polis yang sehingga kini kekal dilihat sering menyebelahi BN gagal diambil iktibar oleh institusi itu apabila awal-awal lagi memberi amaran akan mengambil tindakan jika kempen pilihanraya diadakan sebelum penamaan calon.

Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, difahamkan ia ditujukan kepada Pakatan Rakyat yang sejak semalam aktif memasang poster (gambar) dan bendera parti dari PAS, PKR dan DAP di kawasan itu.

Pakatan Rakyat juga sebelum ini ada mengadakan ceramah umum Selamatkan Malaysia Jumaat lalu yang mana ia telah dirancang sebelum kematian Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad lagi, iaitu penyandang kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak akan mengeluarkan permit untuk aktiviti ceramah dan kempen di kawasan Parlimen Hulu Selangor selagi proses penamaan calon belum berlangsung.

Oleh itu, katanya, jika ada pihak yang mengingkari arahan tersebut, tindakan tegas mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1960 kerana kesalahan melakukan perhimpunan haram akan diambil.

''Arahan ini adalah untuk semua pihak terutama parti politik sama ada yang akan bertanding atau tidak bertanding. Jika mereka ingkar, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.

''Kita hanya akan mengeluarkan permit untuk ceramah dan kempen selepas proses penamaan calon selesai dengan syarat mereka membuat permohonan," katanya selepas menyampaikan hadiah pada Majlis Anugerah Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor di Shah Alam semalam.

Khalid menjelaskan, permohonan permit bagi ceramah perlulah dibuat lima hari sebelum program berkenaan diadakan.

''Namun sudah tentu kita akan menggunakan budi bicara (berhubung pengeluaran permit)," ujar beliau.

Mengenai persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, Khalid berkata, pihaknya memang telah bersiap sedia dan kini hanya menunggu pengumuman tarikh penamaan calon dan pembuangan undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau, menjangkakan lebih 1,000 anggota polis akan ditugaskan di kawasan Parlimen Hulu Selangor untuk menjaga keselamatan bagi memastikan PRK itu berjalan lancar.

''Tunggulah.. Bila tiba masanya anda akan lihat persiapan dan kehadiran kita di Hulu Selangor," katanya.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kini kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak di kediamannya di Kajang baru-baru ini.

SPR akan mengumumkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian hari ini.

Sejak kekosongan kerusi itu, pihak BN telah pun berkempen samada melalui media pro BN dan gerak saraf parti itu melalui pemimpin dan ah-ahlinya sehingga kini termasuklah dalam usaha melobi samada parti MIC atau Umno yang akan bertanding merebut kerusi itu.

Terdahulu, semasa sambutan ulang tahun Pakatan Rakyat di Kampung Baru, pihak polis bersama puluhan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) membelasah rakyat yang berhimpun secara aman di situ yang menyaksikan pemimpin PR pada malam itu dikejar kedalam dewan selain beberapa petugas PR dibelasah sehingga terpaksa mendapatkan rawatn di hospital. -erapakatan

Ulasan GB

PM dan TPM sudah memulakan kempennya di Hulu Selangor. Kenapa polis berdiam diri? Kenapa hanya tujukan kepada Pakatan Rakyat? Kenapa berat sebelah di dalam melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang?


MB Selangor Cabar Najib BN Usah Berkempen Jika Rasa Rakyat Sudah Tolak PR

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya tidak berkempen di sini jika merasakan pengundi kawasan Hulu Selangor sudah hilang keyakinan terhadap Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menteri Besar Selangor membuat teguran ini sebagai menjawab kenyataan Najib, Pengerusi Barisan Nasional (BN) awal pagi ini bahawa masyarakat Hulu Selangor sudah hilang keyakinan ekoran perkembangan dalam PKR sejak kebelakangan ini.

Ketua PKR Selangor itu menambah, jika begitu keadaannya Najib tidak perlu datang ke sini untuk berkempen dan menghabiskan masanya sehari suntuk di Hulu Selangor.

Semalam timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menghabiskan masa kira-kira tiga jam di sini. -MI


Najib: Rakyat mula tidak yakin PKR

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

HULU SELANGOR, 3 April — Datuk Seri Najib Razak meraikan ulang tahun pertama kepimpinannya sebagai perdana menteri keenam dengan menyelar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sambil mendakwa komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sudah kehakisan kepercayaan rakyat.

Perdana Menteri turun ke bahagian Parlimen Hulu Selangor sejak pagi ini sehari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya kecil, yang dipercayai bakal menyaksikan saingan sengit.

Semalam, Hulu Selangor menyambut kedatangan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ramai anggota dalam PKR sudah hilang kepercayaan terhadap parti ini. Lihat pada bekas setiausaha agung PKR Sallehuddin Hashim... pada satu masa dulu beliau merupakan antara orang utama merancang usaha mengambil alih kerajaan Barisan.

“Beliau sudah meninggalkan parti, hilang kepercayaan terhadap parti,” kata Najib (gambar) ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 orang, kebanyakannya masyarakat India dan Melayu di kawasan Felda Sungai Tengi di sini.

Pengerusi BN itu kemudian menyenaraikan nama pemimpin-pemimpin yang meninggalkan PKR iaitu bekas ketua Angkatan Muda Keadilan Mohd Ezam Md Noor, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin.

“Ezam, yang satu ketika dulu ketua pemuda PKR, yang satu ketika pernah masuk penjara demi (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, kemudian meninggalkan PKR. Anwar meminta dia melawan saya, untuk memfitnah saya tetapi dia tidak mahu berbuat demikian,” katanya.

“Seorang lagi ialah Zulkifli Noordin, kini seorang lelaki yang berprinsip.

“Anda boleh mengatakan dia lelaki yang berprinsip kerana dia memakai ketayap... tanya Zul mengenai Altantuya.

“Dia sendiri yang mengatakan, Datuk Seri Najib tidak terlibat dalam kes pembunuhan. Dan, dia harus tahu kerana dia peguam mewakili salah seorang yang tertuduh,” katanya.

Dengan ditemani Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, Presiden Umno ini menjelaskan dengan panjang lebar bahawa beliau tidak kena-mengena dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu empat tahun lalu.

“Saya telah bersumpah, bersumpah di masjid bahawa saya tiada kaitan langsung dengan Altantuya.

“Adakah dia (Anwar) boleh melakukan perkara yang sama dalam kesnya?” kata Najib yang merujuk kepada kes liwat kedua yang Ketua Umum PR itu sedang hadapi sekarang.

Meskipun kehadiran pada majlis itu agar besar, tetapi para hadiran dilihat bersikap endah tidak endah memandangkan mereka jarang bertepuk atau bersorak ketika Najib menyampaikan ucapannya.

Perdana Menteri mengambil kesempatan untuk mengingatkan mereka yang hadir mengapa mereka harus mengundi BN, tidak kira sama ada calon itu dari Umno, MIC ataupun MCA.

“Kawasan ini sentiasa berada di bawah BN. Jika anda mengundi BN, anda mengundi untuk masa depan yang lebih baik. Kita ada Datuk G. Palanivel di sini.

“Dalam Umno, MIC, MCA, sentiasa wujud persefahaman, kemenangan bagi sesiapa sahaja daripada kalangan kita adalah kejayaan buat BN.

“Itu yang sangat penting dan ini yang kita lakukan sepanjang beberapa generasi lalu sejak era bekas perdana menteri-perdana menteri kita,” katanya.

Najib memberitahu peruntukkan yang diberikan hari ini bukan kerana menjelang pilihan raya kecil 25 April ini tetapi kerana beliau yang sentiasa menunaikan apa yang diperkatakan.

“Apabila saya mengumumkan sesuatu, saya akan tunaikan kata-kata saya.

“Sebanyak RM6 juta telah diberikan untuk tujuan infrastruktur... RM650,000 akan diberikan kepada kerja-kerja memperbaiki masjid dan juga kemudahan awam,” katanya.

Program Najib bermula pagi ini dengan pelancaran Yayasan Kelana Ehsan Foundation dan pertemuan dengan peneroka-peneroka Felda di Felda Sungai Tengi Felda.

Lawatan Najib akan berakhir petang ini dengan pertemuan bersama mastarakat India dan Cina di kawasan Kuala Kubu Baru.

BN dijangka menurunkan semula Palanivel yang tewas dalam pilihan raya umum ke-12 Mac 2008. -MI



Hulu Selangor : BN Tersepit, Palanivel Hampir Pasti Dicalonkan, Umno Terus Gigit Jari?

Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel mengesahkan hanya namanya dicalonkan parti itu bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor untuk pertimbangan Perdana Menteri.

"Presiden MIC hanya pilih saya sebagai calon. Ini kerana saya adalah ketua bahagian (MIC Hulu Selangor), Pengerusi MIC Selangor dan Timbalan Presiden. Kalau tidak hanya satu nama, calon lain mari akan timbul persaingan. Itu akan menggegarkan cawangan MIC di seluruh negara," katanya kepada Bernama di Batang Kali di sini.

Difahamkan MIC sebelum ini menyenarai beberapa nama kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon pilihan raya kecil itu yang ditetapkan pada 25 April ini.

Palanivel, bekas wakil rakyat kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum tewas pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, disebut-sebut mewakili BN di kawasan itu walaupun ada desakan supaya diketengahkan calon daripada Umno.

Ditanya adakah beliau bersedia memberikan laluan kepada calon Umno, pemimpin nombor dua MIC itu mengakui ada usaha melobi calon lain, namun perkara itu terpulang kepada keputusan Perdana Menteri.

Pilihan raya kecil parlimen itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Penamaan calon ditetapkan 17 April ini.- BERNAMA


Kembalikan Kerusi Hulu Selangor Kepada Umno

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd Rahman meminta supaya kerusi Parlimen Hulu Selangor dikembalikan ke pangkuan Umno selepas hampir 51 tahun 'diserahkan' kepada MCA dan MIC.

Beliau berkata permintaan ahli-ahli Umno di kawasan berkenaan sepatutnya diterima pucuk pimpinan setelah hampir 10 penggal mereka bersabar dan beralah dalam isu itu.

"Pada pendapat saya, setelah lebih 50 tahun kerusi Parlimen Hulu Selangor terlepas dari tangan Umno, eloklah dikembalikan semula kerusi itu kepada Umno, tidak ada salahnya pun jika Barisan Nasional (BN) mengikut suara rakyat dan Umno meminta balik kerusi yang telah dipinjamkannya itu. Ini soal hak dan rintihan rakyat Hulu Selangor yang mahukan Umno kembali berkuasa di kawasan itu.

"Calon MIC sudah bertanding di Hulu Selangor selama enam penggal sejak 1986 dan tibalah masanya Umno meletakkan calonnya di pilihan raya kecil kawasan itu 25 April ini," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Sebelum ini, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu mencadangkan supaya timbalannya Datuk G.Palanivel mewakili BN untuk bertanding bagi kerusi parlimen Hulu Selangor.

Palanivel merupakan Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum kalah pada 2008.

Kerusi parlimen Hulu Selangor dimenangi calon wanita dari Umno, Halimathon Saadiah pada pilihan raya umum 1955, pilihan raya persekutuan yang pertama sebelum negara mencapai kemerdekaan dua tahun kemudian, dan 'diserahkan' kepada MCA pada pilihan raya umum 1959 sehingga 1982 dan seterusnya 'diserahkan' kepada MIC pada 1986 sehingga kini.

Ramli yang juga bekas exco Selangor dan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kalumpang, turut mencadangkan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil itu. - BERNAMA


BN - Kerajaan BAZIR dan NAFI

Model Ekonomi Baru: Kononnya bela nasib rakyat kategori 40%
Oleh Ooi Heng

Lebih 12 tahun dulu, aku "sit in" satu-satunya kelas falsafah logik dengan keghairahan terhadap ilmu dan kepercayaan bahawa pensyarah yang hodoh rupanya pasti dapat memberi jawapan kepada seribu pertanyaan yang mengepung otak durianku ini. Meskipun selepas itu aku hanya ghairah dengan pensyarah cun dan enggan mengingati kembali detik-detik bersama sang hodoh kerana nafsu diri, pemikiran logik terus menjajah otak durianku tanpa meminta izin dahulu daripada aku.

Hari ini, pemikiran logik otak durianku ini tercabar kerana manusia yang bergelar Perdana Menteri atau Najib (gambar kiri) namanya melakukan sesuatu yang sukar diterima oleh otak durianku. Kerana buku tidak berdarah bertajuk "Model Ekonomi Baru", Sang Najib terpaksa berbicara tentang sesuatu yang tidak dipercayainya: Bahawasanya golongan suri rumah berpendapatan kurang dari RM1500 sebulan mencakupi 40% daripada kumpulan manusia yang menduduki bumi bergelar Malaysia tanpa diberikan sokongan padu oleh Kerajaan Bazir Nafi.

Apa yang sebenarnya mencabar otak durianku? Bukan sang penakut perempuan tetapi tindakan aneh seorang Perdana Menteri yang berbicara tentang nasib golongan miskin bukan di depan rakyat kategori 40% ataupun dalam dewan di mana wakil-wakil rakyat membahaskan perkara-perkara berkaitan nasib rakyat jelata tetapi di depan "investor" yang pasti tidak kurang bilangannya yang menduduki kategori 20% teratas.

Apabila otak durianku melihat dirinya di depan cermin logik dan menanyakan bayangan dirinya soalan yang tidak pernah difikirkan oleh sang Najib, "apakah lokasi yang sesuai bagi seorang Perdana Menteri yang kononnya 'Rakyat Didahulukan' bagi membicarakan model baru kononnya mahu memelihara nasib rakyat kategori 40%", cermin logik tanpa melangkaui batasan "reasonable doubt" terus memberikan jawapan yang cepat, tepat dan padat- Dewan Rakyat. Tak perlu pergi kuliah, kita semua tahu jawapannya.

Aku tidak ada peluang seperti sang Najib yang kononnya prihatin terhadap rakyat kategori 40% tetapi lebih suka menghabiskan masa dengan "investor", kalau tidak pasti aku menanyakan hadirin hadirat yang menghabiskan masa bersama sang Najib sepanjang penjalanan seminar "Invest Malaysia 2010", apakah awak semua tidak rasa hairan dengan tindakan aneh sang Perdana Menteri yang berbicara tentang nasib rakyat kategori 40% di depan manusia bergelar "investor" yang tugas utamanya melabur dan meraut keuntungan? Apakah awak semua tidak setuju dengan otak durianku bahawa wakil rakyat yang berbicara dalan Dewan Rakyatlah yang ditugaskan oleh rakyat untuk memelihara nasib rakyat kategori 40%?

Ataupun, sang Najib yang mengkehendaki kehadiran 100% ahli parlimen Bazir Nafi setelah dimalukan dengan keputusan belah bahagi 64-63, mahukan kehadiran 100% ahli parlimen Bazir Nafi dan wakil rakyat Pakatan Rakyat di seminar "Invest Malaysia 2010"? Apakah Parlimen Malaysia telah bertukar nama menjadi "Invest Malaysia"?

Dunia hari ini agak aneh juga. Apa yang tidak diajar dalam kuliah lazimnya disentuh dalam ceramah politik. Cuma apa yang dibangkitkan sebagai topik bicara utama oleh ahli politik Pakatan Rakyat lazimnya disentuh sepintas lalu oleh ahli ekonomi "establishment". Contohnya soal rasuah dan korupsi. Contohnya soal "rent-seeking" dan "patronage". Biarpun dalam buku tidak berdarah itu disentuh soal-soal ini juga, ia disentuh sepintas lalu sahaja. Ini bagi membuktikan betapa bertaubatnya Kerajaan Bazir Nafi terhadap soal-soal sedemikian.

Dan cukuplah setakat ini. Jangan dibangkitkan lagi! Jangan ditelusuri trajektori skandal yang telahpun dilakukan oleh Kerajaan Bazir Nafi! Ini kan sejarah. Manusia harus sentiasa melihat ke depan. Segala dosa Kerajaan Bazir Nafi tidak akan diulangi. Kita kan ada APCO dan 1Malaysia.

Maka pandai-pandailah kita semua. Asalkan bertaubat, tak perlulah di bumi ini kita berbicara tentang bagaimana perubahan politik dan reformasi institusi akan menjadi pelengkap utama kepada perubahan ekonomi dan pembangunan rakyat kategori 40%. Cuma otak durianku kadang-kala merasa sepi dan sedih, kenapa dasar-dasar baik Pakatan Rakyat bila saja dipinjam pakai oleh Kerajaan Bazir Nafi, jarang-jarang sekali dapat dijamin pelaksanaannya secara telus dan konsisten! Kali ini model baru itu kononnya masih ada "Part II" - Implementasi.

Percayalah otak durianku, bukan sahaja dimensi dasar, dimensi implementasi juga, apabila dilaksanakan oleh Kerajaan Bazir Nafi, pasti wujud "loophole" yang besar lagi membesarkan. Mengapakah logiknya sebegitu rupa? Ini kerana mana-mana kerajaan yang benar-benar melihat ke depan, ia pasti nampak dan faham benar, dalam kalangan negara-negara berpendapatan tinggi yang sedia ada dan yang bakal wujud, terdapat satu set pelengkap utama yang menjayakan proses transformasi ekonomi.

Contohnya kewujudan Akta Kebebasan Maklumat dan "free press". Contohnya pertukaran rejim pemerintah dalam konteks dan kerangka sistem dua parti. Ini logik otak durianku. Tak serupa logik sang otak udang yang lazimnya cakap tak serupa bikin.

*Ooi Heng ialah penganalisa politik dan kolumnis MerdekaReview.

Muhyiddin Mula Tabur Gula-Gula Pilihanraya DI Hulu Selangor

Meskipun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lawatannya ke Hulu Selangor hari ini bukan untuk berkempen, namun kawasan parlimen itu dijanjikan empat buah sekolah baru.

Berucap kepada 500 guru dari Hulu selangor yang dihimpunkan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Muhyiddin mengumumkan sebuah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah akan dibina.

Dalam ucapan 30 minitnya itu, Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran berkata guru berperanan membawa tahap pendidikan negara ke tahap antarabangsa.

Beliau juga menggunakan sessi soal jawab selama 15 minit untuk mengulangi janji kerajaan mengkaji keperluan guru dan pelajar.

Bagaimanapun sebelum mengakhiri ucapannya, timbalan perdana menteri mengingatakan bahawa tarikh pilihan raya kecil Hulu Selangor telah diumumkan.

"Saya tidak akan berkempen hari ini tetapi saya akan datang kembali untuk berkempen pada masa yang lain.

"17 April adalah hari penamaan calon manakala 25 April pula adalah hari mengundi. Tandakan hari-hari dalam diari anda dan catatkan juga undilah Barisan Nasional," katanya sambil berseloroh.

Selesai majlis itu, Muhyiddin bergegas ke sebuah masjid di Kampung Sentosa di batang Kali.

Selepas menunaikan solat asar, beliau mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di kampung berkenaan.

Sehubungan itu, timbalan presiden Umno mengarahkan Jabatan Kerja Raya menyempurnakan projek berkenaan dengan kadar segera selaras dengan prinsip rakyat didahulukan.

Dalam pada itu, beliau turut meluluskan permohonan Masjid Al-Sajdin di Kampung Sentosa untuk mendapatkan van jenazah dan tempat wuduk jemaah perempuan yang menelan belanja RM100,000.

Beliau bagaimanapun enggan berjumpa dengan wartawan.

Esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dijangka memulakan lawatannya pula untuk bermesra dan berjumpa dengan rakyat. -mk

Ulasan GB

Diantara modal Muhyiddin... "anak angkat" yang tunggu pengumuman masa berkempen.. Hulu Selangot akan jadi anak angkat BN.



PRK Hulu Selangor - Penamaan 17 April, Undi 25 April

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, yang kosong sejak Khamis lalu dan bakal menyaksikan saingan sengit, akan berlangsung pada 25 April.

Penamaan calon akan diadakan pada 17 April.

Tarikh pilihan raya kecil ini yang pertama bagi Selangor sejak 8 Mac 2008 diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat panel sebentar tadi.

Pilihan raya kecil diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad.

Beliau menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel dengan perbezaan 198 undi.

Abdul Aziz berkata pilihan raya itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang telah dikemas kini sehingga 26 Mac lalu.

Katanya, SPR juga menetapkan tarikh hari ini sebagai tarikh keluar writ manakala notis akan dikeluarkan pada Isnin ini.

“SPR telah dimaklumkan secara rasmi oleh Speaker Dewan Rakyat mengenai kekosongan itu pada 29 Mac lepas dan selepas meneliti notis pemakluman oleh Speaker Dewan Rakyat, SPR telah memutuskan bahawa kekosongan kerusi P.094 berkuat kuasa pada 26 Mac,” katanya.

Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Beliau berkata Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi sementara pusat mengundi akan melibatkan 46 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 136 saluran mengundi.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus dengan dibantu oleh tujuh penolong, katanya.

Kawasan pilihan raya parlimen itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Katanya 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, Abdul Aziz berkata kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16.964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.

Mengenai undi pos, beliau berkata ia mungkin diadakan dua hari sebelum hari mengundi dan proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dilakukan di Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Beliau juga berkata SPR akan menubuhkan enam pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) mengikut Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen dari hari penamaan calon sehingga tamat hari pengundian. -MI



2 Apr 2010

DBKL Hanya Lulus Permohonan UMNO, Tolak Semua Permohonan PR

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengelabah apabila ditanya mengenai dakwaan dasar berpilih-pilih Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berhubung permohonan penggunaan dewan orang ramai oleh anggota Parlimen Pakatan Rakyat.

Raja Nong Chik kelihatan terkedu apabila terus digasak oleh dua Ahli Parlimen dari Wilayah Persekutuan iaitu Tian Chua dari Batu dan Nurul Izzah Anwar dari Lembah Pantai.

Sebelum itu Raja Nong Chik menafikan dakwaan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali bahawa kementerian pilih kasih membenarkan Umno menggunakan kemudahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi sering menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk menggunakan kemudahan seperti dewan dan khemah.

"Permohonan dibuat atas nama badan bukan kerajaan, perkara ini dibuat oleh Yang Berhormat dari Pakatan Rakyat juga, kalau saya tidak cakap benar, boleh tanya Yang Berhormat Lembah Pantai, dia pernah buat program di Bangsar Sports Centre yang diuruskan oleh DBKL," kata Raja Nong Chik.

Ini menyebabkan Nurul Izzah bangun dan mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(12) bahawa menteri itu telah membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan dan perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

"Dia cakap mengelirukan Dewan, ini bukan kali pertama tapi kali kedua, perkara ini tiada kena mengena dengan saya. Memang saya gunakan dewan tapi terpaksa gunakan nama NGO, itu hakikatnya tetapi menteri boleh guna atas nama menteri dan Umno, apakah dasar kementerian sebenarnya," tanya Nurul Izzah.

Menteri tersebut tidak mampu memberi penjelasan yang menyenangkan hati Ahli Parliman Pakatan Rakyat sehingga tersasul menyebut beliau belum mengerjakan solat maghrib.

"Mintak tolong sebab saya belum sembahyang maghrib lagi", ujar beliau yang tergesa-gesa untuk menamatkan perbahasan itu.

Semasa beliau memberikan alasan untuk solat maghrib, jam baru menunjukkan pukul 6.42 petang.

Sementara itu Ahli Parlimen Bagan Serai N. Gobalakrishnan yang mencelah sesi menteri menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang DiPertuan Agong diarah keluar Dewan apabila enggan duduk selepas Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee berkali-kali meminta beliau berbuat demikian. -SK

Nama Malaysia dan Najib Tercemar, 145 Ahli Parlimen Seluruh Dunia Tuntut Gugurkan Kes Anwar

Mesyuarat ke-122 Himpunan Ahli-ahli Parlimen Sedunia (IPU) di Bangkok hari ini sebulat suara mendedak kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan kepada dua laporan perubatan yang menolak kemungkinan perbuatan tersebut berlaku.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Bangkok, IPU berkata badan tersebut amat bimbang terhadap pertuduhan dan prosiding terhadap Anwar yang dianggap tercalar dan hampir sama dengan perbicaraan kes yang serupa pada 1998.

Mesyuarat IPU semalam yang menghimpun Ahli-ahli Parlimen dari 145 negara diseluruh dunia menyatakan bahawa Jawatankuasa Hak Asasi Ahli Parlimen akan melaporkan keputusan sebulat suara berhubung perbiacraan Anwar kepada Lembaga Pengelola IPU.

Resolusi tersebut dibentangkan kepada Lembaga Pengelola IPU oleh pengerusi jawatankuasa tersebut, Senator Aquilino Q Pimentel Jr untuk diterimapakai.

"Adalah amat membimbangkan anggota pasukan pendakwaan yang terlibat dalam perbicaraan kes liwat yang pertama, yang mana Ketua Pendakwa ketika itu kini dilantik sebagai Peguam Negara. Beliau dituduh merekacipta bukti terhadap Anwar dan kini terlibat sekali lagi dalam perbicaran terkini. Pasukan pembelaan Anwar telah dinafikan dokumen dan bukti dan dihalang daripada menyediakan pembelaan yang tuntas.

"IPU berpendirian bahawa pembelaan adalah sebahagian daripada elemen keadilan dalan sesuatu perbicaraan dan kegagalan memberi hak kepada pasukan pembelaan dan sebarang keputusan mahkamah hasil daripada tindakan itu dianggap pada dasarnya ditolak," tegas IPU.

Badan itu juga meminbta Setiausaha Agung IPU supaya memastikan wakil IPU akan berada sebagai pemerhati dalam perbicaraan akan datang.

IPU juga meminta Jawatankuasa Hak Asasi Ahli Parlimen agar terus meneliti kes yang sabitkan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dan menyediakan laporan pada mesyuarat IPU ke-123 pada Oktober 2010.

Tiga wakil Pakatan Rakyat yang hadir termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan Senator Mumtaz Md Nawi.

IPU adalah sebuah organisasi yang dianggotai oleh Ahli Parlimen dari seluruh dunia dan ditubuhkan pada 1889.

Ia berfungsi sebagai wadah dialog antarabangsa yang berjuang untuk keamanan dan kerjasama serta mengukuhkan sistem demokrasi. -SK


Petikan dari Kenyataan Media IPU

Senator Aquilino Pimentel, President of the Committee of the Human Rights of Parliamentarians of the Inter-Parliamentary Union (IPU), gave his report to the IPU Governing Council on the last day of the 122nd Assembly in Bangkok. The Committee had examined the individual situations of 293 parliamentarians in 32 countries, among them public cases in Afghanistan, Bangladesh, Belarus, Burundi, Cambodia, Colombia, the Democratic Republic of the Congo, Ecuador, Eritrea, Lebanon, Madagascar, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Niger, Palestine/Israel, the Philippines, the Russian Federation, Rwanda, Sri Lanka, Turkey and Zimbabwe.

After talks with the parliamentary delegation from Afghanistan, Senator Pimentel said that the prosecution of Afghan MP Ms. Malalai Joya for a statement she had made would be closed and that, if she wished, she could run in the elections in Afghanistan later this year. The President of the Committee on the Human Rights of MPs hoped that “in the few months between now and the elections, the Afghan Parliament will reinstate Ms. Joya as a symbolic gesture”.

Among the new cases presented to the IPU Governing Council, Senator Pimentel pointed out the case of Mr. Anwar Ibrahim of Malaysia, currently de facto leader of the opposition Peoples Alliance. The IPU Committee dealt with Mr. Ibrahim's case some years ago when he was prosecuted and found guilty of abuse of power and sodomy.

Senator Pimentel explained that although Anwar Ibrahim had been officially barred from standing in elections until April 2008, he had in fact been able to campaign in the March 2008 elections. He was finally re-elected in a by-election on 26 August 2008. Earlier the same month, a new sodomy charge was brought against him and trial proceedings started in February this year. “The investigation and the proceedings seem to suffer from the same flaws as in the previous sodomy case” he added.


Turning to the cases of twelve MPs-elect imprisoned in Myanmar, Mr. Pimentel called on the Myanmar authorities to ensure that the elections were inclusive, free and fair. That, he said, would require that they change the recently enacted electoral laws. “With the elections drawing to a close, time is running short”.

The IPU Committee also reported on numerous other cases occurring on other continents. In Africa, for example, the case of the parliamentarians arrested and detained after the National Assembly of Niger was dissolved last year reached a satisfactory solution after the Committee sent a delegation to Niamey to meet President Tanja and the parliamentarians. The situation in Niger remains unpredictable, however, after the military took power in February and dissolved the parliament.



Timbalan Speaker Berat Sebelah, Hanya Bertindak Ke Atas MP Pakatan Rakyat

Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari DAP, Chong Eng telah digantung sepanjang baki hari ini pada prosiding Dewan Rakyat apabila bertikam lidah dengan Bung Mukhtar Radin (BN-Kinabatangan).

Pertikaman lidah bermula apabila ahli-ahli parlimen wanita Pakatan Rakyat bangun untuk menyoal Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil mengenai isu cuti bersalin bagi kakitangan-kakitangan kerajaan.

Menurut Chong Eng, kerajaan persekutuan, tidak seperti kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor, memberi cuti bersalin hanya 60 hari dan bukan 90 hari.

Pada ketika ini, Bung Mukhtar bangun dan berhujah bahawa kerajaan telah melaksanakan kemudahan cuti bersalin selama 90 hari.

"Kerajaan telah pun memberi cuti 90 hari walaupun mereka hanya meminta 60 hari," kata beliau, lalu dibantah oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

Chong Eng kemudian menuduh Bung Mukhtar berbohong. Sebagai tindak balas, ahli parlimen BN itu melabel ahli parlimen DAP itu sebagai "kaki manipulasi".

Keadaan menjadi bertambah hangat apabila Chong Eng membangkitkan Perintah Tetap 36 (12) untuk dikenakan ke atas ahli parlimen Sabah itu kerana mengelirukan dewan.

Pada masa sama Chong Eng menggesa supaya Timbalan Speaker Ronald Kiandee mengambil tindakan terhadap Bung Mukhtar

Bagaimanapun, Kiandee menyatakan Bung Mukhtar tidak bermaksud apa yang dikatakannya dan beliau hanya berjenaka. Oleh itu, tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap beliau.

Insiden ini telah mencetuskan protes baru dan Kiandee mengambil tindakan untuk menggantung Chong Eng sepanjang baki hari kerana beliau enggan mengalah.



Peluang BN Menang Sukar Jika Calon UMNO - Khir Toyo

Peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sukar sekiranya meletakkan calon dari UMNO.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, walaupun majoriti kawasan tersebut diwakili pengundi Melayu tetapi ia dilihat bukan faktor untuk meletakkan calon UMNO, lapor Sinara Harian.

“Jika kita letak calon UMNO, kita (BN) tidak boleh menang kerana kita semua sedia maklum kawasan tersebut adalah kawasan ‘tradisi MIC’.

“Jadi, kena ikut tradisi berkenaan dan parti komponen BN perlu memberi sokongan penuh dan kerjasama pada MIC,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohamad Khir berkata, MIC mempunyai kaedah tersendiri untuk meletakkan calon yang sesuai bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya berkenaan.

“Yang penting calon itu mestilah mempunyai rekod yang baik dan berupaya memberikan perkhidmatan terbaik bukan sahaja kepada pengundi India tetapi juga pengundi Melayu dan Cina.

“Kita percaya peluang untuk menang tu 50-50,” katanya.

Ditanya siapa calon MIC yang layak, Mohamad Khir yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

“Letak sesiapapun...yang penting calon itu perlu kerja kuat untuk memastikan kemenangan BN,” katanya.

Semenatara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor (P.094) ialah pada 17 April manakala hari pengundian ialah pada 25 April ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi kawasan itu, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham, yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Allahyarham menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi, manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi

Terdahulu, Abdul Aziz mempengerusikan mesyuarat pagi ini yang turut dihadiri bersama-sama ahli lembaga pengarah suruhanjaya itu untuk menetapkan tarikh tersebut.

Bagi menjalankan pilihan raya kecil itu, Abdul Aziz berkata, SPR bersetuju untuk melantik seorang Pegawai Pengurus dan tujuh Penolong Pegawai Pengurus pilihan raya bagi menjalankan pilihan raya kecil itu.

Pegawai Pengurus ialah Tuan Nor Hisham Ahmad Dahlan yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor.

Katanya, ini adalah selaras dengan peruntukan perenggan 3(c) Akta Pilihan Raya 1958.

SPR telah menentukan bahawa daftar pemilih yang akan digunakan kali ini ialah Daftar Pemilih Induk 2009 yang telah dikemas kini sehingga 26 Mac lalu.

Abdul Aziz memberitahu, daftar pemilih itu bagi P.094 mengandungi 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pemilih biasa dan 709 pemilih pos.

“SPR telah memutuskan untuk menggunakan Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

“Bagi urusan pengundian pos pula, proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Hulu Selangor,” katanya.

Sebanyak 48 pusat mengundi dibuka dengan melibatkan 47 sekolah dan sebuah dewan orang ramai manakala terdapat 136 tempat mengundi (saluran). Seramai 1,343 petugas SPR terlibat dalam pengendalian pilihan raya kecil ini.

Banteras Rasuah Perlu Menyeluruh, Bukan Takat Tandatangan Akuan Tertentu

Pengenalan tiga langkah yang diperkenal Datuk Seri Najib Razak dalam usaha menonjolkan diri sebagai pemimpin anti rasuah, sebenarnya rapuh dan tidak menyeluruh sedangkan gejala rasuah sudah terpasak kuat dalam pentadbiran kerajaan Umno Barisan Nasional.

Pimpinan Pakatan Rakyat mendapati tiga langkah itu bukan sahaja tidak konkrit dan menggambarkan cadangan Perdana Menteri itu hanya perhiasaan dan tidak mampu memberi tekanan kepada golongan kaki rasuah.

Pakatan Rakyat selama ini secara tegas dan lantang mahu gejala rasuah ditangani secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada proses penandatangan akuan tertentu semata-mata

Mengikut cadangan Najib, semua pembida perlu menandatangani Surat Akuan Pembida manakala pembida yang berjaya dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida Berjaya dan teks perjanjian mengandungi klausa Pencegahan Rasuah Dalam Perolehan Kerajaan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar membangkitkan isu PKFZ yang lengkap dengan tandatangan pelbagai dokumen tetapi gejala rasuah tetap berleluasa.

“Pada saya tidak hanya pada tandatangan sahaja. Kita tengok isu PKFZ, bukan sahaja ada tandatangan tetapi pelbagai perkara jelik berlaku. Jadi soal ia bukan soal tandatangan sahaja tetapi kepada seluruh sistem itu," katanya.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pula menganggap cadangan Najib hanya perhiasan dan tiga langkah itu bukan sahaja tidak mampu membanteras rasuah, bahkan mengurangkan gejala itu pun belum tentu.

“Sekarang ini, dari segi amalannya, terdapat sesetengah pegawai tinggi, tengok harga tender itu dan adjust (buat penyesuaian). Perkara ini memang berlaku. Tidak perlu membuat surat tetapi kena ada pelaksanaan secara menyeluruh," katanya. -TVS



UMNO BN Silap Besar Jika Gantung Anwar

Usaha Gantung Anwar Silap Besar Umno-BN
Oleh Datuk Halik Zaman Suara Keadilan

Tidakkah Umno sedar terutamanya Datuk Seri Nazri Aziz yang akan merujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jelas menunjukkan kegelabahan pihak kerajaan untuk menjawab segala dakwaan dari Anwar.

Apakah tindakan menggantung itu hanya untuk kerajaan Umno-BN mencari jalan keluar dari digasak bertubi-tubi oleh Anwar?

Kerajaan sepatutnya menjawab dan memberikan penjelasan keatas semua dakwaan yang telah di buat oleh Anwar bukannya mereka terus menyeret beliau ke muka Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dengan tujuan dan penuh harapan agar Anwar digantung dari menghadiri beberapa penggal persidangan Parlimen.

Bukan Anwar yang membuktikan dirinya tidak bersalah tetapi kerajaan Umno-BN mesti telus membuktikan bahawa beliau bersalah.

Sekiranya Anwar di gantung ianya merupakan suatu bonus bagi kerajaan kerana untuk beberapa penggal mereka akan terselamat dari serangan-serangan berbukti akan segala kelencongan yang telah mereka lakukan dalam pentadbiran negara ini terus berjalan songsang tanpa sentuhan dari siapa siapa.

Anwar telah pun mendedahkan tuduhannya dengan memberi gambaran jelas bahawa kerajaan Umno-BN ada kaitannya dengan APCO antara lain beliau telah dedahkan bahawa:

“Kerajaan Malaysia ada melantik syarikat APCO Worldwide untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada kerajaan persekutuan secara menyeluruh. APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara".

Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan mereka seperti berikut:

“APCO’s work has included communication support for a broad range of reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening delivery of services to the people”.

Beberapa bukti yang lain yang APCO ada kena mengena dengan One Israel, Anwar telah dedahkan dalam Parlimen Selasa lalu tetapi masih juga ahli ahli Parlimen Umno-BN tidak berpuas hati lalu bertindak membawa usul untuk membawa beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dengan niat untuk menggantungnya daripada menghadiri sidang Parlimen.

Terfikir dihati rakyat Malaysia, di manakah hak demokrasi bersuara di negara ini? Mengapa apabila salah-laku kepimpinan Umno-BN di dedahkan, kerajaan akan menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada di tangan mereka untuk menutup kepincangan yang telah mereka lakukan? Di mana sikap professionalisma yang sepatutnya disemat pada setiap diri seorang pemimpin?

Telatah mereka yang senang melatah ini benar-benar menjauhkan lagi jarak antara Umno-BN dengan rakyat Malaysia. Walau macam mana Umno-BN cuba tutupi kesalahan mereka, rakyat bukan lagi bodoh untuk menerima bulat-bulat dengan apa yang di laporan oleh media massa elektronik atau cetak yang 100% di genggam erat oleh kerajaan Umno-BN.

Rakyat kini telah pintar untuk mencari alternatif lain untuk mendapatkan maklumat sebenar. Segala kemudahan moden hari ini memungkin segala maklumat di terima dengan cepat.

Segala perbalahan, kekecohan di Parlimen dapat di ketahui dengan segera di laman-laman alternatif di internet. Apa yang di paparkan di media elektronik kerajaan hanyalah suatu sketsa ‘cut & paste’ untuk memperbodohkan rakyat Malaysia.

Umno-BN mahu nama mereka yang telah tercemar kembali jernih, maka kerana itulah mereka berusaha sedaya upaya menggagahkan diri mereka dengan apa cara hatta cara itu lebih menampakkan ketidak-pintaran sikap Umno-BN.

Apa pun, tindakan menyeret Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen akan mensahihkan lagi tanggapan rakyat Malaysia bahawasanya Umno-BN kini telah mengaplikasikan sikap diktator dalam sistem pentadbiran negara ini. Syabas kerana anda secara tidak disedari telah memberikan ruang dan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk lebih di sayangi dan di percayai oleh rakyat Malaysia.

Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

Tahniah Anwar, rakyat Malaysia jatuh bangun bersamamu!