24 Mac 2009

BUKIT GANTANG - Video Pengumuman Calon Oleh Presiden PAS

Persis sebuah pesta kemenangan. Persis Pakatan Rakyat sudah pun memenangi PRK Bukit Gantang apabila nama Menteri Besar Perak yang sah, Nizar Jamaluddin diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat di Bukit Gantang.

Itulah suasana yang ada di Padang Taman Kota Jaya malam tafi tatkala namanya berkumandang memecahkan suspence beberapa ketika sewaktu debaran jantung semakin kencang apabila TG Haji Abdul Hadi ingin membuat pengumuman tersebut.

"Calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan mewakili P059 Bukit Gantang, calonnya ialah YB Tuan Hj Nizar Jamaluddin," demikian diumumkan Presiden PAS.

Pilihanraya kecil Bukit Gantang dilihat sebagai peluang untuk rakyat menyatakan pendirian mengenai rampasan kuasa di Perak yang didalangi oleh Barisan Nasional.

Cubaan untuk membolot kuasa itu belum berjaya kerana Nizar enggan tunduk kepada tekanan politik UMNO dan BN untuk berundur sebagai Menteri Besar. Nizar sebaliknya mendokong Perlembagaan negeri dan menggesa pilihanraya negeri diadakan semula suapaya rakyat dikembalikan hak untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Ketika Nizar bangkit mempertahankan hak rakyat Perak berlaku kekosongan kerusi parlimen Bukit Gantang apabila penyandangnya, Roslan Shahrum meninggal dunia akibat sakit jantung bulan lalu.

SPR Sudah Benar-benar Menjadi Alat UMNO-BN?

Ramai mempersoalkan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof kononnya kesal dengan tindakan pakatan pembangkang yang didakwa sudah ghairah berkempen sedangkan majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang belum lagi diadakan seperti dilaporkan akhbar Utusan hari ini.

"Gantung bendera pun sebenarnya tidak boleh lagi, kalau sudah penamaan calon barulah boleh berkempen. Pada masa itu kempenlah sepuas-puasnya sehingga tengah malam 6 April ini.

"Bagi saya Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kena ambil tindakan kerana perbuatan menggantung poster dan bendera mesti mendapat kebenaran terlebih dahulu, jadi kalau sudah ada yang pasang bendera atau poster maknanya ia dipasang secara haram," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat persediaan polis menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini.

Persoalan kini, mengapa kenyataan itu dihalakan kepada Pakatan Rakyat semata-mata? Butakah mata SPR bahawa UMNO-BN telah memulakan kempennya terlebih awal malah telah berkempen lebih awal sejak penumuman calon mereka yang juga lebih awal.

SPR nampaknya masih terus untuk bersikap berat sebelah dan tidak profesyenal di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Rakyat turut mempersoalkan mengapa SPR terlalu banyak melayan kehendak dan kenyataan parti UMNO-BN di dalam setiap kali musim pilihanraya.

Sementelah lagi kemelut politik Perak sebenarnya disumbangkan juga sedikit sebanyak oleh sikap berat sebelah SPR yang telah menolak writ kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri bagi tiga orang ADUN Perak yang dkemukakan oleh Speaker DUN Perak.

SPR secara tidak sah telah menolak writ Speaker berkenaan dengan menerima bantahan ADUN-ADUN berkenaan yang bukan di dalam bidangkuasa SPR untuk melakukannya.

Akibat dari kegopohan untuk menyeblahi UMNO-BN di dalam kemelut yang berlaku itu, peranan SPR begitu diragui sehingga akhirnya berlakulah apa yang dipanggil "krisis politik Perak".

Sudah sampai masanya mereka yang bertanggungjawab menjadi SPR sebagai badan yang tidak berkecuali itu dinyahkan dari jawatan masing-masing demi mengembalikan suruhanjaya itu sebagai sebuah badan yang bebas, adil, terlus dan berwibawa untuk mengendalikan pilihanraya di negara ini.


Satu Lagi Cahaya Untuk Kerajaan Nizar - Hakim Ridwan Tarik Diri

P esuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim, hakim paling muda di Perak, menarik diri dari dua kes yang melibatkan krisis politik Perak.

Ridwan memutuskan demikian selepas mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya, kelmarin yang mengarahkan kes bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Ia juga ekoran dari keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan kes-kes yang difailkan oleh tiga bekas exco Pakatan Rakyat terhadap Speaker V. Sivakumar ke Mahkamah Tinggi Ipoh semula, yang menampakkan wujudnya kontroversi terhadap penghakimannya.

Hee Yit Foong, Osman Jailu and Jamaluddin Radzi, yng sekarang ini ahli bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN), telah mencabar dakwaan Sivakumar yang mereka telah mengosongkan kerusi masing-masing.

Ridwan juga menarik diri dari saman Mentri Besar Perak kerajaan BN Datuk Zambry Abd Kadir bersama enam anggota exconya yang mencabar penggantungan 12 hingga 18 bulan oleh Sivakumar yang disifatkan menerima perlantikan "tanpa mengikut undang-undang".

Peguam Sivakumar Chan Kok Keong menyatakan Ridwan telah mengumumkan keputusannya selepas menemui wakil-wakil dari Sivakumar dan para peguam ADUN BN di dalam kamar hakim.

Sehubungan itu, kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk sebutan kes dan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim, memutuskan 2 April ini sebagai tarikh sebutan.

Ridwan sebelum ini membenarkan permohonan peguam BN untuk merujuk saman mereka ke Mahkamah Persekutuan sekalipun para peguam Sivakumar telah mengutarakan bahawa undang-undang tubuh Perak telah digunakan secara salah di dalam permohonan tersebut.

Keputusan mahkamah apex yang berkuatkuasa serta merta bermakna Ridwan telah tersilap di dalam membuat tafsiran undang-undang.

Keputusan yang membolehkan Ridwan mendengar kes-kes sebelum ini telah menimbulkan keraguan banyak pihak kerana status juniornya.

Bila TV3, RTM, Berita Harian dan Utusan Malaysia Hendak Digantung?

Politik Machievelli yang menyatakan tujuan menghalalkan cara dipraktikkan lagi oleh Kerajaan BN.

Demi memastikan wajah busuk pemimpin-pemimpin BN terus tersembunyi dan tidak terbongkar menjelang 3 pilihanraya kecil, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengambil tindakan drastik dengan menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan.

"Memang benar kami (KDN) telah menggantung lesen kedua-dua akhbar itu berkuat kuasa hari ini. Kami bukan ingin menyekat kebebasan akhbar di negara ini tapi mereka masih lagi menerbitkan berita-berita yang tidak benar dan berunsur hasutan," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Apa berita yang tidak benar dan berunsur hasutan itu? Adakah membongkar kisah benar mengenai salah laku, rasuah dan pelbagai tindak tanduk pemimpin-pemimpin BN yang merosakkan imej Malaysia di luar negara dan dasar memporak porandakan ekonomi negara ini boleh ditakrifkan sebagai 'berita yang tidak benar'? Sampai bila 'kisah benar' akan dibaca oleh pemimpin-pemimpin kita sebagai 'tidak benar'? Sampai bila kebenaran akan disembunyikan di balik seurat benang? Sedarkah mereka bau busuk bangkai tidak dapat disembunyikan dengan nyiru tipis kerana akhirnya lambat atau cepat, rakyat akan tahu juga?

Dan 'hasutan' pula, media mana yang sering menghasut, bukannya menghasut dua kali seminggu tetapi hampir setiap hari? Media mana yang sentiasa menghasut dan melaga-lagakan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini jika bukannya RTM, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian? Media mana yang sentiasa berusaha mereka cipta cerita-cerita fitnah bagi menghasut rakyat membenci kerajaan negeri yang dikuasai PR jika bukannya RTM, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian?

OK lah jika Syed Hamid nampak Harakah dan Suara Keadilan memuatkan berita tidak benar dan menghasut. Apa boleh buat jika mata rabunnya hanya nampak begitu! Tetapi tidakkah dia juga nampak media seperti RTM, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian selalu membawa berita tidak benar? Jika hendak berlaku adil, Syed Hamid perlu juga menggantung permit akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia di samping menggantung juga siaran berita RTM dan TV3 yang acapkali tidak benar dan menghasut itu!!

pendikar gunung

VIDEO - NIZAR JAMALUDDIN CALON P059 BUKIT GANTANG

Malam tadi telah diumumkan calon Pakatan Rakyat yang akan bertanding bagi pilihan raya kecil Bukit Gantang iaitu Dato Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin yang juga Menteri Besar Perak yang sah dan ADUN Pasir Panjang.

Perisytiharan itu diumumkan oleh Presiden PAS Pusat, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Laungan takbir,tepukan dan sorakan yang gemuruh oleh para hadirin yang membanjiri padang tersebut apabila nama Ir Nizar diumumkan.

"Saya memegang amanah jawatankuasa yang memutuskan nama beliau (Nizar)," kata beliau.

PAS mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat di sini petang tadi untuk memilih calon pihaknya.

Empat nama dipertimbangkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Nizar dalam ucapannya berkata beliau akan meneruskan amanah serta tugas baik yang ditinggalkan oleh Roslan Shaharom, yang meninggal dunia awal bulan lepas untuk membela nasib rakyat di negeri Perak serta negara amnya.

"Terima Kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR). Terima kasih juga kepada Presiden dan pimpinan Pakatan Rakyat kerana mencalonkan saya sebagai calon untuk bertanding bagi Parlimen Bukit Gantang ini,

Saya juga mohon simpati dan sokongan kepada seluruh pengundi Bukit Gantang, supaya sokong Pakatan Rakyat demi kebaikan seluruh negeri Perak dan Malaysia amnya," ucap Nizar selepas diumumkan sebagai calon P059.

Beliau juga meluahkan sepanjang satu bulan setengah ini mereka Pakatan Rakyat berhempas pulas dengan suasan yang terjadi.

Pimpinan Pakatan rakyat sudah tujuh hingga 8 kali turun naik mahkamah tinggi Kuala Lumpur untuk membela keadilan.

Petang semalam, Mahkamah Apex di Putrajaya telah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dimana 5 juri telah menyokong PR dan perbicaraan diserahkan semula kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Ia merupakan bibit-bibit benih menuju keadilan dan keselamatan. Saya berharap pada 7 April nanti, rakyat sudi terjemahkan niat yang baik melalui peti undi untuk menunjukkan bahawa rakyat menyokong pihak yang benar", kata Nizar mengakhiri ucapannya.

Ulasan mengenai Nizar pernah disiarkan sebelum ini di bawah tajun N untuk Nizar? dan Nizar Bakal Dinobatkan Menteri Besar Sekali Lagi



Cahaya Untuk Kerajaan Nizar Tegak Semula Di Perak

Semalam, Mahkamah Persekutuan menetapkan bahawa isu mengenai takrif Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak perlu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan perkara itu hanya boleh dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan menerusi rayuan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan itu setelah membenarkan bantahan awal oleh Sulaiman Abdullah, peguam utama Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, bahawa Mahkamah Persekutuan tidak tertakluk kepada bidang kuasa untuk mendengar empat persoalan yang dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan.

Mahkamah sepatutnya hari ini mendengar kes berhubung empat persoalan yang dibangkitkan dalam saman Mohammad Nizar yang mencabar kesahihan pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Hakim Alauddin berkata panel lima hakim bersepakat bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk membuat perintah agar empat persoalan itu dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman kerana seksyen itu hanya terbatas kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukannya perlembagan negeri.

Beliau kemudian mengetepikan semua perintah Mahkamah Rayuan pada 20 Mac lepas, dan mengarahkan agar kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk didengar oleh Hakim Lau Bee Lan. Tiada tarikh ditetapkan.

Mohammad Nizar, 52, yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah selain untuk mendapatkan injunksi menghalang Dr Zambry daripada melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar.

Ini merupakan kali kedua keputusan hakim yang boleh memberikan harapan untuk Kerajaan Pakatan Rakyat Perak berkuasa semula. Kali pertama ialah bilamana penal hakim Mahkamah Rayuan menetapkan Sivakumar berhak untuk menggunakan Peguam persendirian.






23 Mac 2009

Ulasan Secara Lansung Dari Bukit Gantang




10.45 mlm Dato Seri Nizar Jamaludddin diumumkan sebagai calon Bukit Gantang

10.37 mlm Presiden PAS sedang menyampaikan ucapannya.

10.30 mlm Azmin menyatakan PKR tetap akan cetak dan edarkan Suara Keadilan kepada umum.

10.25 mlm Azmin membela kerajaan Perak di bawah pimpinan Dato Seri Nizar, menggesa hadirin tidak tertipu dengan Utusan dan TV3. Nizar bagi tanah kepada Cina yang miskin dijadikan isu, sedangkan UMNO beri tanah kepada towkeh Cina seperti Genting Highland, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan lain-lain, mereka mendiamkan diri.

10.15 mlm Naib Presiden PKR, Azmin Ali sedang berucap.

10.10 mlm AJK DAP Pusat Ngeh Koo Ham sedang berucap bagi pihak DAP yang menyatakan sokongan padu terhadap sesiapa juga yang akan dinamakan sebagai calon PR di Bukit Gantang

10.00 mlm Terdapat hampir 10,000 orang membanjiri Padang MPT, Taman Kota Jaya, Simpang menunggu pengumuman calon. Ada desas-desus Dato Seri Nizar Jamaluddin diumumkan. Namun belum lagi dipastikan. Nama lain yang di sebut-sebut ialah Ustaz Idris Ahmad.


dikemaskinikan selalu

Isu Ke Bukit Gantang : KDN Gantung Harakah, Suara Keadilan Satu Tindakan Bacul

Banyak pihak hari ini menyelar tindakan kerajaan yang menggantung permit dua akhbar parti pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan.

Tindakan itu dilihat sebagai satu usaha terdesak UMNO-BN yang sekarang sudah kehabisan modal untuk menjawab segala kepincangan parti kerajaan terhadap pelbagai isu yang timbul kebelakangan ini.

Suara Keadilan menerima surat daripada KDN tengah hari tadi manakala Harakah pukul 4.55 petang menerusi faks.

Harakah yang menerima surat tunjuk sebab 26 Februari lalu dikatakan melanggar tiga perkara iaitu menyiarkan kandungan isu-isu semasa, menjual secara umum kepada bukan ahli dan tidak menyerahkan salinan setiap edisi tepat pada masa yang ditetapkan.

Harakah diterbitkan dua kali seminggu manakala Suara Keadilan pula setiap minggu.

Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengesahkan penggantungan tersebut.

"Memang benar kami (KDN) telah menggantung lesen kedua-dua akhbar itu (Harakah dan Suara Keadilan) berkuat kuasa hari ini.

"Kami bukan ingin menyekat kebebasan akhbar di negara ini tapi mereka (Harakah dan Suara Keadilan) masih lagi menerbitkan berita-berita yang tidak benar dan berunsur hasutan," kata beliau.

Kedua-dua akhbar berkenaan dikenakan tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata surat penggantungan itu telah diterima di ibu pejabat parti itu tengah hari tadi.

"Kita terima surat penggantungan dari KDN hari ini. Namun tiada sebarang sebab dikemukakan," katanya.

Tegasnya, tindakan tersebut jelas bermotifkan politik.

"Ini satu serangan kepada kami (PKR), nampak sangat mereka (Barisan Nasional) menggunakan kuasa yang mereka ada untuk menyekat kebebasan akhbar di negara ini.

"Mengapa tindakan menggantung Suara Keadilan dilakukan menjelang pemilihan Umno dan tiga pilihan raya kecil yang akan berlangsung 7 April ini?Kenapa tidak dari tahun lalu lagi?," katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau yang juga ADUN kawasan Batu berkata, BN takut maklumat tentang kelemahan serta kerapuhan dalam parti itu dipaparkan oleh media alternatif seperti Suara Keadilan dan Harakah.

"Mereka takut mengenai kelemahan pemimpin dipaparkan akan menunjukkan kerapuhan BN. Jadi mereka ambil jalan mudah dengan menyekat pengedaran akhbar parti pembangkang supaya makluma ini tidak sampai kepada orang ramai," katanya.

Seorang pensyarah di sebuah universti tempatan hari ini menganggap tindakan KDN tersebut akan hanya menimbulkan kemarahan rakyat yang selama ini hanya mempunyai beberapa akhbar alternatif untuk mendapatkan berita disampin akhbar-akhbar arus perdana.

"Langkah kerajaan menggantung permit akhbar kepunyaan pembangkang jelas menunjukkan percubaan untuk menjadikan rakyat negaranya bodoh, tidak kritikal dan seterusnya mewujudkan golongan rakyat yang berminda beku dan ini adalah penghakisan terhadap nilai-nilai demokrasi yang menjamin penyebaran maklumat serta perbincangan sehat," jelasnya.

Rakyat umumnya melihat tindakan kerajaan yang menggantung permit harakah dan Suara Keadilan sebagai langkah kerajaan UMNO-BN menghalang parti berkenaan menyampaikan maklumat kepada penduduk dan rakyat negara ini terutama menjelang kempen pilihanraya di tiga tempat 7 April ini.

"Namun, tindakan Syed Hamid pasti gagal. Rakyat akan lebih bersimpati dan akan memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat," kata seorang ketua cawangan PKR di sini hari ini.

"Syed Hamid akan bertanding di dalam pemilihan UMNO untuk jawatan naib presiden. Beliau ketandusan isu. Beliau mengharapkan tindakannya ini akan mendapat sokongan ahli UMNO dan beliau mengharapkan tindakannya menggantung Harakah dan Suara Keadilan mampu memberikan undi sokongan kepadanya di dalam pemilihan UMNO nanti," tambahnya.

"Tindakan beliau juga sebenarnya memperlihatkan kerajaan terlalu takut dengan isu-isu yang banyak tidak dapat dijawab oleh mereka. Akhirnya mereka menuduh akhbar tersebut menghasut dan menggunakan kuasa untuk pancung akhbar itu supaya hujjah pembangkang tidak dapat disampaikan kepada rakyat," katanya lagi.

Norza dilarang tanding MT

Tepat sepertimana Kelab GB laporkan sebelum ini, mesyuarat Pengurusan Umno Isnin memutuskan ahli Majlis Tertinggi Datuk Mohamad Norza Zakaria tidak boleh bertanding, dipilih, memilih atau dilantik dalam pemilihan parti yang akan berlangsung Khamis ini.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tindakan itu diambil mengikut kes "duluan" yang pernah berlaku di Negeri Sembilan dan Perlis.

Beliau yang ditemui pemberita di bangunan Parlimen bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes-kes sebelum ini serta mengenai kes Mohamad Norza.

Mohamad Norza, yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan pada 13 Mac lepas telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno pada Khamis ini.

Mohamad Norza mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan wang tunai RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi Kamaruzzaman sebagai dorongan untuk diagihkan kepada perwakilan bagi membantu mengundinya memenangi jawatan MT itu.

Mohamad Norza juga dituduh memberi suapan wang tunai RM1,900 kepada Mohamad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama dan kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada 20 Jan lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.


Khairy : Memang Tuah Memang Sial

Khairy Jamaluddin yang sering berlagak hero semata-mata kerana menjadi menantu kepada Perdana Menteri memecahkan tembelang di ibu pejabat polis daerah Brickfields, Kuala Lumpur apabila membuat laporan polis terhadap Yahaya Ismail dengan mendakwa penulis buku "Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin" mengugut dan memfitnahnya.

"Tujuan utama saya buat report (polis) ini adalah disebabkan kandungan buku ... yang ternyata memfitnah saya. Buku ini adalah sebenarnya satu usaha secara sengaja menjatuhkan imej dan karier politik saya," Khairy dipetik berkata.

Beliau dilaporkan berkata beliau pertama kali bertemu penulis tersebut di pejabatnya (Khairy) pada 17 Februari lepas.

Yahaya Ismail mendakwa beliau sebenarnya berunding dengan naib ketua Pemuda Umno mengenai hak cipta sebelum menerbitkan buku Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin yang kini menjadi kes polis.

Yahaya bagaimanapun menafikan cuba mengugut calon ketua Pemuda Umno itu dalam pertemuan tersebut.

"Ugut tahi minyak apa? Ugut (itu) macam nak pukul, bubuh pasir dalam tangki minyak kereta dia. Tidak ada (ugutan). (Pertemuan) ini bisnes.

"Kalau (Khairy) nak beli, beli. Kalau tidak mahu beli, sudah. Saya pergi, saya tidak bercadang nak ugut beliau," katanya.

Banyak pihak berpendapat langkah Khairy mendedahkan isu tersebut menampakkan kebodohan dirinya sendiri kerana tidak berupaya untuk menanggung kritikan yang dihadapkan kepadanya sebagai calon yang ingin bertanding sebagai ketua pemuda di dalam pemilihan Pemuda UMNO minggu ini. Disamping itu langkah terseut hanya akan mengundang lebih ramai untuk mengetahui isi kandungan buku tersebut yang bakal meletakkan ia di dalam senarai "best-seller" di pasaran buku tempatan.

Khairy yang selama ini dilihat sebagai dalang kepada setiap tindakan dan setiap keputusan Perdana Menteri telah menjadi sasaran kritikan hebat oleh masyarakat apabila beliau didapati bersalah oleh lembaga disiplin UMNO kerana terbabit di dalam politik wang.

Sekalipun beliau tidak dihalang untuk bertanding sepertimana tindakan yang telah dikenakan keatas Mohd Ali Rustam di atas kesalahan yang sama, banyak pihak menyifatkan tindakan lembaga disiplin UMNO tersebut sebagai berat sebelah dan tidak benar-benar menampakkan keadilan dan ketelusan apabila tidak menghalang Khairy daripad bertanding.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang telah berulang-kali melakukan "serangan"nya terhadap keputusan Lembaga Disiplin UMNO yang enggan menghalang Khairy dari bertanding namun mesej itu jelas akan mempengaruhi pemilihan Ketua Pemuda kerana ahli-ahli pemuda akan mencari tokoh yang sehaluan dengan bakal PM.

"Memilih Khairy bererti mengundang perpecahan yang besar kepada UMNO," kata seorang perwakilan Pemuda.

"UMNO akan terus menerima nasib yang sial ekoran tindakan budak yang mentah berpolitik ini yang sentiasa mencemarkan nama UMNO dengan siri perhimpunan yang tak pernah direstui oleh pucuk pimpinan UMNO," tambahnya.

"Zaman beliau mendapat tuah telah berakhir apabila bapa mertuanya terpaksa menyerahkan jawatannya kepada timbalannya di dalam satu peralihan kuasa ekoran dari kelemahan-kelemahannya yang ketara memimpin dan mentadbir negara. Semua orang tahu Khairy adalah dalang yang selama ini membuat keputusan yang banyak untuk bapa mertuanya terutama semasa bapa mertuanya itu memegang kementerian kewangan," jelasnya.

"Dan sekarang zaman sial datang menimpanya di atas perlakuan-perlakuan buruknya dan beliau mestilah menerima sebagai satu hukuman terhadap kesalahan-kesalahannya. Pemilihan UMNO ini akan menamatkan kareer politiknya seperti tamatnya kareer politik mertuanya itu," katanya menamatkan perbicaraan.

dari Tuah Sial Khairy Jamaluddin

Sebuah buku tulisan Yahaya Ismail yang diterbitkan sempena Perhimpunan Agong UMNO pada akhir bulan Mac 2009.

Terlalu banyak pemimpin UMNO yang tidak mengukur baju di badan sendiri. Semua hendak menonjolkan diri menjadi pemimpin atasan walaupun mereka punya kudis buta , pekung, menjadi maharaja berbagai skandal yang memalukan tetapi tidak memalukan mereka . Setengah berlagak seperti ikan buntal terbojeh pusat, miskin ilmu dan jasa tetapi mengangkat diri sendiri sebagai sang satria makan diangkat.

Sesungguhnya UMNO diambang kemusnahan. Sesungguhnya kepimpinannya sudah dipertikaikan rakyat. Masa depannya suram temuram, hilang cahaya kegemilanganya. Malah ada yang menganggap UMNO sudah tidak relevan lagi sebagai parti politik Melayu yang berkuasa selepas plihanraya ketiga belas pada tahun 2013.

Ingatlah yang menentukan sesebuah kerajaan bukan ahli-ahli parti tetapi rakyat yang menjadi pengundi. Kerajaan BN hampir menerima pukulan maut dalam pilihan raya yang lalu. Apakah anda sakalian tidak insaf dan belajar dari keputusan pilihanraya tersebut? Sekali lagi diingatkan. Akar umbi UMNO jangan berlagak seperti Pak Pandir yang hanya menang sorak tapi kampong halaman dan Negara tergadai.

Fokus rakyat jelata tertumpu kepada 800 orang perwakilan pemuda yang kan menentukan kepimpinan pergerakan ini. Walaupun ketiga -tiga pemimpin yang menawarkan diri dianggap terkenal dalam kegiatan politik namum salah seorang dari mereka mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi yang lain. Mukhriz dan KJ berpaut pada bapa dan bapa mertua untuk meraih sokongan dari para perwakilan Pemuda untuk memilih mereka. Khir Toyo, sebaliknya , tidak ada bapa atau bapa mertua yang berpengaruh untuk berteduh. Tapi dia masak dengan politik, anak petani miskin, pernah menjadi Menteri Besar Selangor dan kini duduk sebagai ahli MKT. Tidak perlu jampi dan serapah, memakai tangkal dan azimat untuk mencari kejayaan.

Pemuda tidak boleh menjadi harapan bangsa kalau para pemimpinnya berkokok berderai-derai, berbusa dengan egoism, keangkuhan dan penonjolan kekayaan dan kerakusan yang memualkan rakyat. Kalian mesti berani membuat perubahan yang radikal dalam kepimpinan Pemuda demi mendapatkan sokongan rakyat. Kalau kalian memilih badut-badut politik menguasai exco Pemuda maka janganlah meratapi nasib dengan sedu sedan, lilihan air mata buaya kalau rakyat menolak UMNO dan Pemuda dalam suatu nafas pada pilihan raya akan datang. Demikian amanat penulis kepada pembaca buku yang besar kemungkinan perwakilan pemuda UMNO.

TUAH KJ BUKAN DI KAKI

Tuah ayam di kaki. Tuah merbuk pada suaranya. Tuah Ratu cantik pada tubuhnya dan wajahnya. Tapi tuah Khairy Jamaludin (KJ) bukan pada kaki, suaranya atau wajahnya. Tuahnya berpaut pada bapa mertuanya yang disintuklimau Tun Mahathir sebagai penggantinya. Kalau tuah Awang Sulong Merah Muda terletak pada 44 panau di badan yang ada tenaga magis KJ tidak perlu tuah panau ala Awang Sulong untuk menjadi politikus muda tersohor di bawak ketiak bapa mertuanya yang menjadi imam Islam Hadhari.

Kata pribahasa Inggeris made hay while the sun shines. Kata orang Melayu pulun bila ada peluang keemasan seperti sekarang. Atau kata mereka yang sinis kalau boleh tibia, tibai Jangan lepas peluang! KJ juga bertuah kerana bapa mertuanya yang berkelulusan Pengajian Islam dari Universiti Malaya mengagumi kebijaksananya sebagai siswazah dari Universiti Oxford, England. Tidak mudah seorang pelajar hendak diterima oleh university tersebut. Pak Lah tentulah kagum bin syukur kerana mendapat menantu kelulusan Oxford yang dikagumi. Tentulak Otak KJ lebih bergeliga dari orang lain, termasuk dirinya sendiri. Tentulah dia boleh menjadi penasihat politik yang super hebat kalau dibandingkan dengan sebahagian besar ahli Majlis Tertinggi yang lebih banyak anggukan ala kaldai kenyang dari member buah fikiran yang super bernas.

Tapi yang lebih penting lagi, kata beberapa orang pemerhati politik, Pak Lah mempunyai anak perempuan yang masih solo. Tentulah dia mahu anak perempuan kesayangannya menjadi isteri kepada seorang calon lelaki yang dia sendiri kagumi inteleknya. Jodoh di tangan Allah tetapi manusia hendaklah berakhtiar untuk mendapat pasangan pilihan yang terbaik. Melihat Nori hati KJ terbuka luas. Melalui Nori jalan ke Putrajaya terpangpang sudah. Sial Jang dicari. Tuah tidak datang bergolek. Manusia boleh merancang tapi Allah yang menentukan segala. Rupa-rupanya Pak Lah bukan saja tertarik hati melantik KJ sebagi pembantu khas tetapi juga dengan senang hati menerima KJ sebagai menantunya. Inilah yang dikatakan win-win situation. Pak Lah bukan saja mendapat pembantu khas tetapi juga seorang menantu kelulusan Oxford. KJ juga seperti mendapat bulan di riba bila menjadi menantu Pak Lah.

Kata mereka yang bijaksana sekali air bah sekali pasir berubah. Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga beb. Ukurlah baju di badan sendiri. Burung terbang jangan dipipiskan lada.

ISU GOBIND - Usul MP Kuching Ditolak

Sekali lagi speaker Dewan Rakyat tidak dilihat menjalankan tugasnya secara profesyenal apabila beliau menolak usul ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen untuk membahaskan kesahihan usul menggantung ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo dari menghadiri sidang dewan selama satu tahun dengan tidak diberikan kemudahan dan elaun.

"Speaker tidak segan silu untuk bersedia berbincang dan melulus usul dari wakil Padang Rengas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abd Aziz minggu lepas untuk mengantung ahli Parlimen Puchong, tetapi menafikan usul dari pembangkang untuk menyemak semula keputusan yang dilakukan oleh ahli-ahli parlimen mengenainya," kata seorang tokoh politik yang menyaksikan perbahasan parlimen pagi ini.

"Yang paling celupar pula YB Kinabatangan Bung Moktar Radin yang mengampu tak tentu pasal menghalang wakil rakyat Kuching membangkitkan hal itu," tambahnya.

Tindakan wakil Kinabatangan itu telah ditempelak oleh ahli parlimen bagi Kota Melaka, Kerk Kim Hock.

"Kalau Kinatangan sendiri kena (gantung dan dinafikan elaun selama setahun) baru tahu," kata Kerk di dalam Dewan Rakyat.

Chong mendakwa usul yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Abdul Aziz 16 Mac lalu melanggar Akta Saraan Ahli Parlimen.

"Paling tinggi Dewan Rakyat hanya boleh halang Gobind dari memasuki dewan. Itu (hukuman) yang paling tinggi yang boleh dilakukan. Tetapi mereka bertindak melangkauinya sehingga menafikan elaun dan lain-lain kemudahan yang diberikan kepadanya di bawah undang-undang." jelas Chong.

Gobind dikenakan tindakan itu ekoran dua kenyataannya yang mendakwa timbalan perdana menteri Datuk Najib Tun Razak terbabit di dalam pembunuhan Altantuya selain dari menghina timbalan yang dipertua dewan rakyat setelah diperintah keluar.



CAHAYA KEMENANGAN KELIHATAN DI BATANG AI

PKR hari ini telah menamakan bekas ahli parlimen Lubok Antu yang tidak asing lagi, Jawah Gerang untuk menggalas cabaran Pakatan Rakyat menentang BN dalam pilihanraya kecil DUN Batang Ai yang akan berlangsung 7 April ini.

Demikian diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Grand Continental, Kuching sebentar tadi. Sabtu lepas, BN telah mengumumkan calonnya Malcolm Mussen Lamoh.

Pengalaman saudara Jawah yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lubok Antu selama lima penggal jelas memperlihatkan kredibiliti beliau sebagai pemimpin rakyat di DUN Batang Ai yang komited.

Turut hadir dalam majlis ini termasuklah saudara Dominique Ng, YB Violet (mewakili DAP) dan juga YB Gabriel Adit.

Juga diumumkan ialah pemilihan saudara Nicholas Bawin sebagai Pengarah Operasi Pilihan Raya. Ini jelas membuktikan betapa fitnah perpecahan yang dilempar BN sekadar omongan kosong yang berlalu ditiup angin.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Menteri Muda Sukan Sarawak Datuk Dublin Unting Ingkot akibat koma pada 24 Februari lalu.

Banyak pihak melihat pilihanraya kecil Batang Ai sebagai batu ujian untuk PKR dan Pakatan Rakyat mengukur penerimaan masyarakat pedalaman Srawak terhadap parti tersebut.

Jawah, bekas ahli parlimen selama lima penggal bagi Lubok Antu, tidak diturunkan oleh BN untuk bertanding di dalam pilihanraya yang lalu. Beliau telah menyertai PKR, bersama-sama 1000 pengikutnya.

Di dalam pilihanraya 1999 dan 2004 pula Jawah Gerang telah memenangi kerusi parlimen Lubuk Antu di atas tiket BN dengan mengalahkan calon-calon Bebas dengan kelebihan undi yang memberansangkan.

Ramai penganalisis berpendapat kerusi Batang Ai akan menjadi milik PKR berdasarkan senario politik Sarawak khususnya dimana angin perubahan begitu dirasai terutama di kawasan pedalaman Sarawak.

"Sekalipun BN telah mencurahkan RM12 juta untuk pelbagai projek mee segera di Batang Ai, namun Pilihan raya di Kuala Terengganu juga menyaksikan kerajaan BN mengahamburkan duit bagai hujan turun dari langit. Harapan BN amatlah besar untuk memenangi kerusi tersebut untuk membuktikan mereka masih relevan dan diterima rakyat. Malangnya.. suntikan BN itu tiada bisanya. Rakyat Kuala Terangganu sudah pun membuat keputusan memihak kepada Pakatan Rakyat," demikian dicatatkan di dalam sebuah blog dayakbaru.com.

"Kini, BN menggunakan plan yang sama untuk piliharaya di lubok antu. BN sedar pelan itu tidak dapat dipakai di Kuala Terangganu, tetapi sengaja mencubanya di Lubok Antu.

Persepsi BN ialah, pikiran dayak terutamanya Iban di Lubok Antu masih boleh dikelaburi oleh wang.

Masyarakat dayak(iban) di Lubok Antu perlu belajar daripada pilihanraya Kuala Terangganu. Kerana jika tidak, dayak akan dilebelkan sebagai tiada asas perjuangan jangka panjang dan pikiran mereka boleh dibeli dengan wang ringgit," tambahnya lagi.


KAUM INDIA BUKIT SELAMBAU SUKA SAMY VELLU MENANG

Kemenangan Samy Vellu sebagai Presiden MIC memang tidak disukai oleh sesetengah kaum India - namun - bagi kaum India di Bukti Selambau mereka gembira, malah amat gembira, apatah lagi kemenangannya diperolehi dengan tipudaya.

Sebabnya, dengan kemenangan Samy Vellu dan kekalahan Muthupalianappan itu ertinya masyarakat kaum India di Bukit Selambau sudah bulat dan semakin bersatu hati "menolak" MIC untuk selama-lamanya.

Memang sudah lama mereka tidak menyukai Samy Vellu. Kemenangan beliau semalam dengan taktik kotor menafikan pencalon Muthupalaniappan menjadikan MIC sebuah parti yang tidak relevan lagi bagi marasyarakat keturunan India.

"Jika Muthupalaniappan menang semalam, susah jugak sebab hati kaum India Bukit Selambau tentu berbelah bagi, mahu sokong PR ka atau balik ke parti MIC. Tapi sekarang manyak (banyak) senang, goodbye Mr. Samy, goodbye MIC," kata seorang rakan India di Bukit Selambau melalui telefonnya kepada GB.

Tatkala ditanya mengenai desas-desus perpecahan yang digembar-gemburkan berlaku mengenai pemilihan Manikumar sebagai calon PKR, beliau menganggapkan ia perkara biasa kerana di hari pengumuman itu katanya, ramai tak kenal Manikumar.

Tetapi apabila masing-masing membaca biodatanya dan melihat kali kedua orangnya, akhirnya mereka menerima sepenuhnya Manikumar.

"Muda, berpendidikan tinggi, ada handsome jugak," diikuti dengan deraian ketawanya.

"Selama ini kami pun tak sangka ada anak muda India dari Bukit Selambau mempunyai pendidikan tingi, ada master," tambahnya bangga dengan pemilihan Manikumar dan yakin kemampuan Manikumar menjadi wakil rakyat yang berkesan di Bukit Selambau.

Beliau amat yakin Pakatan Rakyat akan memenangi pilihanraya kecil Bukit Selambau ini dengan mejoriti yang meningkat berdasarkan perkembangan semasa yang berlaku di Perak khasnya dan di seluruh negara amnya. Pergolakan yang berlaku di dalam MIC pula memberikan bonus untuk Pakatan Rakyat

LAMBAIAN BUKIT GANTANG : MENANTI KEPULANGAN ANAK PERAK

Mursyidul Am Pas menggesa pengundi Islam menyahut seruan agama dalam pilihanraya itu nanti kerana Bukit Gantang adalah medan menegakkan prinsip Islam dan keadilan sejagat melawan perasuah, penindas dan perkauman.

Markas Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Taman Melewar sesak dengan kehadiran orang-ramai mendengar amanat Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat menghadapi Pilihanraya Kecil Bukit Gantang 7 April nanti.

“Islam tidak mengiktiraf semangat perkauman,” kata Nik Aziz di hadapan lebih 2,000 pengundi-pengundi Perak yang menetap di serata Lembah Klang.

“Umno memisahkan agama dari politik, supaya mereka boleh terus rasuah dan menekan bukan Islam. Islam melarang perkara-perkara ini dan kerana itu kita harus lawan,” tambah beliau disambut seruan takbir dari hadirin.

Nik Aziz berkata demikian di Forum Tabung Kebajikan Pas Bukit Gantang dalam usaha mengembeleng pengundi-pengundi Perak di Lembah Klang dalam kempen menghadapi pilihanraya kecil Bukit Gantang.

Mursyidul Am Pas itu menjelaskan antara faktor kemenangan Pas di Kelantan dalam PRU-12 yang lalu adalah kerana kebanjiran undi dari pengundi-pengundi Kelantan yang pulang dari Kuala Lumpur dan Selangor untuk mengundi di negeri itu.

Beliau berkata kepekaan politik pengundi-pengundi Perak di Lembah Klang kunci kepada kempen Pakatan Rakyat di Bukit Gantang.

Menurut beliau, Umno kini sedang bersungguh-sungguh untuk menawan Parlimen Bukit Gantang dan akan berusaha walau apa cara pun.

Dalam ucapannya juga, Nik Aziz menjelaskan bahawa rasuah kini adalah merupakan bala kepada parti Umno.

Melihat kepada situasi politik yang melanda, beliau menambah bahawa kini Umno kian terhimpit dan menjadikan pengamal rasuah sebagai pemimpin mereka.

Ini merupakan satu episod terdesak yang mana membabitkan ramai pemimpin Umno yang terlibat di dalam rasuah.

Walaupun mereka secara terang terlibat di dalam rasuah, namun mereka masih dipilih, katanya.

Selain dari Nik Aziz, turut berucap sama adalah Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin, Persuruhjaya Pas Perak Ahmad Awang, Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali dan Presiden Ikatan Anak-Anak Perak di Perantauan Ahmad Idzham Ahmad.

Nizar di dalam ucapannya menceritakan apa yang berlaku sepanjang tempoh krisis yang berlaku di Perak baru-baru ini dan yakin beliau dan Pakatan Rakyat adalah kerajaan negeri Perak yang sah.

Nazri Aziz Bakal Digugurkan Dari Kabinet

Dengan Dato Seri Najib Tun Razak naik sebagai Perdana Menteri pada 4 April ini, ramai yang dapat meramalkan akan berlaku rombakan kabinet yang drastik yang bakal dilakukan oleh Najib.

Sepastinya Nazri merasakan dirinya dalam zon selamat untuk dipilih semula kerana telah berjasa kepada Najib ekoran mengusulkan penggantungan Gobind Singh Deo beberapa minggu lalu sehingga Gobind kehilangan semua hak keistimewaannya sebagai ahli parlimen untuk tempoh dua belas bulan.

Itu sudah stail Nazri. Semasa Mahathir beliau mengipas Mahathir secukupnya dan di bawah Pak Lah sebagai PM, dia mengipas Pak Lah pula secukupnya.

Sekarang masanya untuk mengipas Najib. Tetapi Najib ada mentor di belakangnya yang telah memberi amaran tegas supaya melakukan pemilihan yang betul untuk barisan kabinetnya.

Mahathir yng kini "terlalu aktif" menonjolkan diri akhirnya tidak dapat menyembunyikan diri bahawa bahawa beliau perlu menggunakan peluang yang ada ini bagi melakukan apa yang boleh bagi mempastikan komplot Pak Lah dibersihkan.

Serang habis-habisan. Serang Lembaga Disiplin kalau difikirkan perlu.

Dan sepastinya nama Nazri tidak mungkin dapat dipadam dari minda Mahathir yang satu ketika "budak" Padang Rengas ini pernah membalunnya secara celupar di dalam dan di luar Parlimen.

Ali Rustam yang cuba membodek di saat akhir melalui penganugerahan "Datuk" kepada artis Hindi, Shah Rukh Khan, yang menjadi idola isteri Najib, Rosmah Mansur tidak berupaya untuk dilekatkan sebagai "orang Najib" kerana sikapnya selama ini berada di kelompok Pak Lah, ini kan pula Nazri yang secara terang-teranga pendokong kem Pak Lah yang telah terang-terangan menempelak Mahathir satu ketika.

Justeru itu ramai penganalis berpendapat Nazri bakal digugurkan.

Dan Nazri pula, mengikut pandangan ramai, memang wajar digugurkan. Keceluparannya, tindak-tanduknya yang keterlaluan dalam hal "ampusana" dan "ampusini" perlu dibalas dengan hal yang serupa agar dia merasai keperitan yang ditanggung oleh mereka yang dizaliminya.

"What you gave you get back" - apa yang anda beri, anda akan perolehi semula. Itu hukum alam, hukum universal, hukum karma. Apabila anda melakukan kezaliman ke atas orang lain, anda akan menerima hal yang serupa - lambat launnya.