23 Mac 2009

Norza dilarang tanding MT

Tepat sepertimana Kelab GB laporkan sebelum ini, mesyuarat Pengurusan Umno Isnin memutuskan ahli Majlis Tertinggi Datuk Mohamad Norza Zakaria tidak boleh bertanding, dipilih, memilih atau dilantik dalam pemilihan parti yang akan berlangsung Khamis ini.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tindakan itu diambil mengikut kes "duluan" yang pernah berlaku di Negeri Sembilan dan Perlis.

Beliau yang ditemui pemberita di bangunan Parlimen bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes-kes sebelum ini serta mengenai kes Mohamad Norza.

Mohamad Norza, yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan pada 13 Mac lepas telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno pada Khamis ini.

Mohamad Norza mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan wang tunai RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi Kamaruzzaman sebagai dorongan untuk diagihkan kepada perwakilan bagi membantu mengundinya memenangi jawatan MT itu.

Mohamad Norza juga dituduh memberi suapan wang tunai RM1,900 kepada Mohamad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama dan kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada 20 Jan lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.


Tiada ulasan: