5 Mei 2015

Najib vs Mahathir: Mahathir Pun Tak Mungkin Menyerah Kalah...


Pntadbiran Najib tidak bersih- Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku beliau menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pentadbirannya yang didakwa tidak bersih.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak puas hati kerana di bawah pentadbiran Najib, duit negara hilang dan hutang luar negara pula meningkat.

“Agenda kerajaan kena bayar hutang. Kalau bayar hutang saya tidak ada masalah. Menjadi masalah sekarang ialah duit (negara) hilang.

“Kalau satu juta, dua juta takpelah, ni sampai 14 juta, 20 juta hilang. Tidak tahu ke mana perginya. Ini persoalannya. Saya tak puas hati pasal duit hilang…duit kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Syarahan Perdana di German-Malaysia Institute pada Rabu.

Dr ‎Mahathir berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Najib yang menyatakan beliau tidak akan berganjak walaupun ‘diserang’.

Najib ketika berucap ketika melancarkan laporan Program Transformasi 2014 berkata, beliau tidak akan berganjak atau menyerah kalah walaupun diasak dan dikritik. -FMT

Najib Enggan Menyerah Kalah, Mahathir Pun Tak Mungkin Mengalah...

Hanya beberapa jam setelah Perdana Menteri, Najib Razak mengatakan beliau tidak akan menyerah kalah di sebalik pelbagai kritikan dan serangan terhadapnya, Tun Mahathir Mohamad juga memperlihatkan pendiriannya yang tidak mahu mengalah daripada terus menegur dan mengasak.

Jika malam tadi Najib mengungkapkan madah Bugisnya, Tun Mahathir hari ini bukan saja mengulangi kritikan mengenai gaya hidup mewah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor bahkan menyifatkan kerajaan pimpinan Najib sebagai tidak bersih kerana menyebabkan banyak kehilangan wang serta meningkatnya hutang negara.

Beliau juga menyebut mengenai kos bunga untuk perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah sehingga RM3 juta yang menjadi perbualan ramai dan diceritakan oleh ramai orang kepadanya.

Dalam konteks Najib, beliau dilihat sama sekali tidak mungkin berganjak dari kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya, walaupun Tun Mahathir sudah beberapa kali mendesaknya agar berundur demi menyelamatkan nasib UMNO dan BN daripada ditimpa kekalahan.

Jika sebelum ini beliau mengatakan tidak rasa keseorangan, kali ini Najib memperlihatkan seolah-olah pantang baginya untuk menyerah kalah, sesuai dengan darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.

Najib juga tidak mungkin menjawab segala kritikan Tun Mahathir terhadapnya, meskipun semakin ramai yang mahukannya berbuat demikian. Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi - selepas Tengku Razaleigh Hamzah, Shahrir Samad, Khairy Jamaluddin, Shafie Afdal, Nur Jazlan dan beberapa yang lain, turut berpendirian bahawa Najib harus menjawab sendiri semua persoalan itu.

Sama ada Najib tidak mahu atau tidak mampu menjawabnya, jawapannya ketika ini ialah beliau tidak mahu menyerah kalah atau lebih mudahnya ialah "saya masih mahu menjadi Perdana Menteri."

Tun Mahathir pula, sepertimana yang difahami oleh ramai orang, tidak pernah sama sekali mahu mengalah, menyarah kalah atau mengaku kalah atas sesuatu yang sudah dimulakannya.

Ini kerana beliau dikatakan tidak mungkin melakukan sesuatu jika tidak mempunya asas yang kukuh mengenainya.

Beliau juga ditafsir oleh ramai orang sebagai seorang yang semakin hebat pemikiran dan daya kreativitinya apabila menghadapi tekanan atau ketika sedang berbalah dengan seseorang.

Apabila Najib tidak mahu menyerah kalah, ramai yang merasakan Tun Mahathir, bukan saja akan lebih agresif dan berstamina, bahkan kemungkinan tampil dengan lebih maklumat dan idea luar biasanya lagi selepas ini.

Meminta Tun Mahathir berhenti mengkritik dan menegur juga seperti tidak munasabah. Ini kerana bukan saja beliau sudah menegur secara tertutup dan menulis surat tetapi tidak dipedulikan oleh Najib, lebih dari itu semua persoalan yang dibangkitkannya juga mendapat sokongan yang nyata daripada rakyat.

Dengan Najib tidak mahu menyerah kalah dan Tun Mahathir tidak mungkin mengalah, pertanyaan ramai orang ketika ini ialah apakah kesudahannya nanti?

Apakah pertembungan mereka ini akan berlarutan sehingga PRU 14 nanti dan akhirnya menatijahkan "seorang menjadi abu manakala seorang lagi menjadi arang?"

Atau adakah Najib seharusnya dipaksa berundur demi masa depan UMNO dan BN kerana yang dikatakan menjadi beban sekarang ialah beliau dan bukannya Tun Mahathir?

Dengan pertembungan ini sudah memasuki episod getir sekarang, apakah ia menandakan sudah sampai masanya pimpinan dan ahli UMNO akar umbi harus bangun dan menyatakan pendirian mereka dengan segera, bukan lagi penentuan nasib parti sekadar berlegar di kalangan 191 Ketua Bahagian saja?
-shahbudindotcom


4 ulasan:

Malaysiabaru berkata...

Hutang negara meningkat ketika umno Najib umum
Stimulus bajet pd 2009 2010 2011
Maksud
Bajet lebihan wang untuk warm up ekonomi
Namun bila ekonomi telah bergerak pd 2013 2014, tiada wang lebihan di pihak kerajaan
Di canang apco kpd gst
Silapnya tiada wang lebihan krn sistem percukaian kita yg lemah korup dan tidak teratur... Pegawai pun biol...no talent

So silap di mana?

Jawab Najib Mongolia !

Tanpa Nama berkata...

Najib tidak perlu risau sebab Hadi dan geng UG sedia membantu UMNO untuk terus menang.

Tanpa Nama berkata...

Mahathir tak nak mengalah Mahathir tak rugi apa apa Mahathir akan terus ulang dan ulang semua perkara yang di bangkit kan sebab ini saja cara untuk buat ahli UMNO sedar dan berfikir Najib cuma mampu ulang saya tak akan mengaku kalah Tak cukup Lama lama ahli UMNO akan berfikir kenapa tak pertahan kan diri dengan memberi jawapan yang boleh diterima akal

Tanpa Nama berkata...

.

Mahathir perlu sedar bukan mudah untuk menyedarkan pemimpin pemimpin UMNO yang lebih suka jadi pak turut dari ke depan untuk menjatuhkan Najib walaupun mereka tahu kewangan negara semakin teruk

Kejayaan Najib ialah mengubah cara mereka seperti Hasan Malik Amad Maslan menjadi ala bangsawan Ambil Contoh calun UMNO Rompin dan PPauh Sikap orang melayu terlalu hormat dan berbangga bila orang bangsawan datang ke tempat mereka Menjadi bangsawan tak perlukan mereka cerdik Cukup jika mereka ada banyak duit

Sebelum ini mereka jugalah yang mendekati rakyat dengan mengikut cara Anwar Bangsawan tak suka bila rakyat terlalu mesra dan tak hormat (takut) pada pemimpin Ini akan menyusahkan mereka untuk membuat apa saja jika rakyat berani berdepan dengan mereka dan mempersoalkan tindakan mereka

Antara pemimpin dan rakyat mesti ada gap@darjat

Oleh itu Mahathir mesti guna rakyat dengan mendapatkan sokongan padu dari rakyat untuk menjatuhkan Najib

Tapi bersedia kah Mahathir menghadapi rintangan seperti yang di tempuh oleh Anwar dan adakah Mahathir ada kemampuan untuk mendapatkan sokongan dari rakyat seperti Anwar?

Kepada Allah kita kembalikan