26 Feb 2015

Tokeh Lembu NFC Gagal Batalkan Tuduhan Pecah Amanah RM49.7 juta


Pengerusi NFCorp gagal batal dua pertuduhan pecah amanah RM49.7 juta

Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin menolak permohonan Salleh selepas mendapati kedua-dua pertuduhan itu adalah teratur dan tidak cacat serta terdapat isu yang perlu dibicarakan dalam perbicaraan penuh.

Azman berkata mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Agung yang memutuskan tiada jalan pintas dalam sesuatu kes.

Oleh itu, katanya dalam kes ini, ia perlu menjalani perbicaraan penuh.

"Mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf pada peringkat ini. Oleh itu, rayuan ditolak dan kes dihantar ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan penuh," katanya.

Azman bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Al-Firdaus Shahrul, yang mewakili Salleh, untuk menangguhkan prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Pada 22 November 2013, Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang menolak permohonan Salleh untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, selepas mendapati pertuduhan itu tidak cacat dan mempunyai asas untuk didengar melalui perbicaraan.

Salleh, 66, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kedua-dau pertuduhan itu, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir bertindak bagi pihak pendakwaan. – Bernama

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

rakyat marhaen curi gula sekilo dh lama dok dlm lokap 3 bulan,jerong2 besar masih lagi hebat dgan kereta mereka,masih lagi boleh makan di restoran mahal2.pencuri mcm inilah yg wajib di sumbat ke penjara.

Nostalgia abkk berkata...

Akhirnya Tokeh Lembu ni akan bebas Dari sebarang pertuduhan....wayang yang sering di ulang oleh UmNo.Duit rakyat juga yang Lesap.

Tanpa Nama berkata...

anak2 diorg jugak yg kaya raya mentekedarah duit negara..

anaente99 berkata...

Aku percaya kepada mahkamah dalam kes ini. Moga tiada teknikal fault dimana-mana, biar kes ini jadi pengajaran kepada semua. Kalau yang berkenaan disabit, maka saham kerajaan akan naik sikit.... takpa la sikit pun asal naik !

Tanpa Nama berkata...

curik 250juta tp pertuduhan cuma 49juta?mne pegi lg 200 juta??