11 Nov 2013

[BERGAMBAR] Ketua Penguatkuasa JAIP Mati Ditembak


Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang Ahmad Rafli Abdul Malek meninggal dunia hari ini selepas ditembak oleh penjenayah dirumahnya sekitar jam 2 petang tadi, menambahkan lagi beberapa siri pembunuhan bersenjata yang sudah berlaku sebelum ini.

Dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Indera Mahkota, tiga suspek berpakaian jubah telah datang ke rumahnya sebelum kemudiannya menembak mangsa.

Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan ketika ini.

Dalam pada itu, sumber memberitahu kepada The Malaysian Insider mangsa meninggal dunia selepas terkena tiga das tembakan.

Selain itu sumber juga memberitahu mangsa ketika ini sedang terlibat dalam tiga kes besar, iaitu melibatkan kes ajaran sesat Tuhan Haron, kes ajaran Syiah dan juga operasi kelab malam.

Bernama melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan kejadian itu.

Selain itu, laporan tersebut juga menyebut ketiga-tiga suspek itu dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna putih selepas menembak mangsa. -TMI


Kematian ketua penguatkuasa JAIP bermotifkan bunuh - Polis


KUANTAN: Polis mengesahkan kematian Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Raffli Ab Malik, yang ditembak di rumahnya tengah hari tadi, bermotifkan bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Zakaria Ahmad berkata, semasa kejadian pada 1.55 tengah hari itu, mangsa yang berumur 49 tahun sedang berehat bersama isteri dan seorang anaknya di ruang tamu.

Beliau berkata sebelum itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50an yang berjubah hitam dan berkopiah putih, yang tiba di rumah Mohd Raffli dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih, telah memanggil mangsa keluar dari rumahnya.

"Semasa keluar dari rumahnya, seorang lagi suspek berumur dalam lingkungan 30an meluru dari tempat duduk belakang kereta dan melepaskan tiga das tembakan ke arahnya," kata beliau kepada pemberita di rumah mangsa di Indera Mahkota di sini, hari Ahad.

Zakaria berkata, dua daripada tiga das tembakan itu mengenai dada Mohd Raffli manakala satu lagi tembakan tersasar menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

"Polis percaya suspek yang menaiki kereta itu telah berlegar-legar di kawasan rumah mangsa berdasarkan faktor suspek hanya mengambil masa seminit untuk membunuh mangsa," katanya.

Zakaria berkata polis menyiasat kes itu dari pelbagai sudut termasuk motif lain.
- astro awani



Ketua Penguatkuasa Jaip mati ditembak bukti jenayah makin teruk


KUANTAN: Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang Ustaz Nazri Ahmad meminta pihak polis dan kerajaan mengambil langkah serius membendung jenayah pembunuhan dan tembakan.

Katanya, kes terbaru pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raflie Ab Malik yang mati selepas terkena tiga das tembakan hari ini, membuktikan jenayah tersebut kini bukan sahaja berkaitan dengan gangsterisme malah melarat ke bidang agama.

Sambil melahirkan rasa sedih, beliau mahu pihak berkuasa segera memberkas penjenayah tersebut bagi menghormati isntitusi agama.

Nazri mengulas kes tembakan maut Pegawai Penguatkuasa Jaip Raflie yang berlaku di hadapan rumah Allahyarham di Indera Mahkota 2, dekat sini, kira-kira pukul 2 petang hari ini.

Menurut sumber polis, Raflie yang berasal dari Chenor, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad yang mengesahkan kejadian itu berkata, tiga suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian.

Ketiga-tiga suspek itu dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna putih selepas menambak mangsa.

Beliau berkata, polis masih menyiasat kejadian itu.

Sebelum ini Raflie dikatakan begitu giat menggeledah tempat-tempat ajaran sesat dan Syiah seluruh negeri Pahang
- HD


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alfatihah & takziah utk keluarga Allahyarham. Nampaknya jenayah tembak kian menjadi2. PDRM prlu lebih efisyen & tidak bertindak sambil lewa spt jawapan simple senjata api hilang kerana jatuh dlm sungai/laut.

mas88 berkata...

Al-Fatehah. Membanteras kemungkaran memang ada halangan dan cabaran. Hanya mereka yang benar2 KUAT akan berupaya merempuh cabaran walaupun maut akhirnya. Moga allahyarham bersemadi dalam rahmat Allah, anak dan isteri yang ditinggalkan dikurniakan Allah keberkatan dalam kehidupan. PDRM, teruskan usaha anda menghapuskan jenayah. TQ

Tanpa Nama berkata...

Darah merah mengalir di lantai.. Semoga arwah ditempatkan dengan para syuhada. Semoga syahid dan beroleh syurga abadi.

Tanpa Nama berkata...

Semua kita akan mati, semuga matinya beliau dalam kemulian di sisi Allah.