11 Nov 2013

[IKTIBAR] Mayat Tak Reput Walau Sudah 40 Tahun Dikebumikan


Segamat – Sekumpulan ahli keluarga yang membantu kerja-kerja menggali semula Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak di sini kelmarin terkejut apabila mereka menemui 12 jenazah termasuk seorang guru Al-Quran yang masih lagi sempurna.

Lebih mengejutkan, kesemua jenazah itu yang digali semula untuk dipindahkan bagi memberi laluan pembinaaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak-Muar sejauh 63 kilometer sudah pun dikebumikan antara lapan hingga 11 tahun lalu.

Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jamaluddin Sapuan berkata, kesemua jenazah itu ditemui dalam keadaan sempurna, tidak ubah seperti hari pertama ia dikebumikan di tanah perkuburan berusia lebih 100 tahun itu.

Beliau yang terlibat menyelia penggalian dan pemindahan 150 jasad di tanah perkuburan tersebut bagaimanapun berkata, kejadian tersebut bukanlah sesuatu yang pelik.

“Ia membuktikan kekuasaan Allah terhadap hamba-Nya yang terpilih. Banyak perkara tersirat daripada kejadian ini.

“Majoriti jenazah dalam keadaan baik, masih ada daging yang tidak reput,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau yang sudah 22 tahun menggali kubur berkata, selepas dikeluarkan, kesemua jenazah itu dikafankan semula dengan kain yang baharu dan bersih.

Katanya, ia kemudian dimasukkan ke dalam keranda untuk dikebumikan semula di tanah perkuburan baharu di Kampung Alai, kira-kira dua kilometer dari tapak lama.

Jamaluddin berkata, bau wangi turut dihidu di sekitar kawasan perkuburan yang menempatkan 350 buah kubur sejak hari pertama kerja tersebut dijalankan.

Beliau pernah menemui jasad yang langsung tidak terusik meskipun ia sudah 30 tahun dikebumikan sejak 30 tahun lalu.

“Kes yang terbaharu ini boleh menjadi iktibar dan pedoman kepada kita yang masih hidup,” jelasnya. -kosmo

-----------------------

Masih elok selepas 40 tahun

SEGAMAT – Allahyarham Mohd. Said Ahmad yang jenazahnya masih sempurna selepas kuburnya digali kelmarin bukan sahaja seorang yang warak semasa hayatnya malah tidak pernah lekang membaca al-Quran jika ada masa terluang.

Anak Allahyarham, Jaafar Mohd Said, 78, berkata, sepanjang hayatnya, dia mendapati ayahnya yang sangat penyabar itu tidak pernah marah walaupun dia merupakan penghulu Mukim Gemereh.

Malah kata beliau, ayahnya yang meninggal dunia pada tahun 1970-an ketika berusia 78 tahun, suka menolong orang yang dalam kesusahan.

Menurutnya, sifat tersebut diwarisi oleh abangnya, Yusuf yang kemudiannya mengambil alih jawatan Penghulu Mukim Gemereh daripada bapa mereka.

Yusuf kemudian meninggal dunia ketika berusia 63 tahun, tujuh tahun lalu.

“Apa yang boleh saya perkatakan ialah kedua-dua waris saya ini semasa hayatnya memanglah warak dan taat kepada ajaran agama.

“Mereka selalu membaca al-Quran setiap kali ada masa terluang,” katanya ketika ditemui di sini semalam. -kosmo


16 jenazah ditemui sempurna




Segamat: “Ketika hayatnya, arwah bapa saudara tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa berjemaah di surau atau masjid walaupun dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Pernah sekali dia diusung ke masjid untuk solat berjemaah walaupun dinasihatkan supaya hanya untuk bersolat di rumah,” kata Azli Lisot, 49.

Azli waris kepada Allahyarham Rahmat Raub, 65, yang jasadnya antara 16 jasad didapati masih berkeadaan sempurna ketika kerja menggali dan memindahkan 150 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak di sini, dilakukan.

Azli yang berada di tanah perkuburan sejak 6 November lalu untuk melihat proses penggalian dan pengebumian semula dilakukan berkata arwah bapa saudaranya itu meninggal dunia pada 2006 akibat sakit tua.

“Saya terkejut apabila mendapati jasad arwah masih dalam keadaan baik. Arwah adalah imam surau di kampung ini dan sentiasa berjemaah di surau atau masjid.
- mymetro



Jenazah masih wangi, elok


Mayat guru al-Quran dikebumi pada 2006 masih sempurna

Segamat: Jenazah seorang guru agama yang dikebumikan kira-kira tujuh tahun lalu ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi ketika kerja menggali tanah perkuburan di Kampung Batu Badak, di sini.

Jenazah Allahyarham Maheran Jaaffar, yang meninggal pada 2006 adalah antara 350 kubur yang digali semula untuk dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek melebar Jalan Segamat-Ledang.

Selain itu, dua jenazah lagi turut ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi walaupun dikebumikan sejak berdekad lalu.

Anak sulung Maheran, Hamisah Kassim, 67, berkata beliau terkejut dan hiba apabila dimaklumkan jenazah ibunya dalam keadaan wangi dan masih sempurna, termasuk kain kapan yang masih utuh.

Pemindahan kubur

“Kubur emak adalah yang pertama digali untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Wakaf di Kampung Tasek. Saya terharu diberitahu jenazah ibu masih elok dan wangi.

“Mungkin itu balasan yang diterima ibu kerana ketika hayatnya arwah mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran. Seingat saya, arwah sentiasa mengamalkan amalan berselawat, berzikir dan sering bersedekah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Hamisah berkata, arwah ibunya juga seorang yang bertanggungjawab menjaga empat lagi adik-beradiknya dan seorang yang pendiam.

Sementara itu, Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Johor (JAJ), Jamaluddin Sapuan, berkata semua jenazah yang digali semula itu dikapankan dan dikebumikan semula di Tanah Wakaf Kampung Tasek.

“Seramai 15 penggali kubur di bawah JAJ memulakan kerja menggali sambil dilihat beberapa jabatan kerajaan, waris dan penduduk setempat.

“Penemuan jenazah yang masih sempurna dan berbau wangi tanda kekuasaan Allah SWT dan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan suruhan Allah,” katanya.
- BH


Tiada ulasan: