14 Ogo 2013

Jenayah Berleluasa, Bukti Tranformasi Najib Gagal

Parti DAP menyifatkan kadar jenayah yang berleluasa merupakan bukti kegagalan kerajaan walaupun ianya didakwa menjadi keutamaan dalam program Tranformasi seperti dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago menegaskan kerajaan sudah tidak punya masa lagi untuk berdolak dalik, sebaliknya melakukan segera langkah penyelesaian dan memandang serius kejadian demi kejadian yang tidak berkesudahan ini.

Katanya, kerajaan harus segera menggerakkan lebih ramai anggota polis di jalanan yang mana kini hanya terdapat 9 peratus daripada 112,583 atau 10,150 pegawai beruniform di Malaysia dibawah Jabatan Siasatan Jenayah.

“Lebih dari 20 orang telah terbunuh dalam peristiwa tembakan sejak April lalu termasuk yang berlaku kepada Pengasas Bank Arab-Malaysian, Hussain Ahmad Najadi sehari selepas Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan ditembak.

“Rakyat ditembak di persimpangan jalan raya yang sibuk, dilampu isyarat dan restoran oleh lelaki bersenjata melepaskan tembakan sehingga dua dozen dimana-mana sahaja, disiang hari.

“Sebuah laman sesawang juga menyatakan bahawa Kuala Lumpur kini merupakan bandar keenam paling berbahaya di Asia Tenggara dan kenyataan Najib tahun lalu yang menyatakan Malaysia adalah negara paling selamat di rantau ini, jelas tidak ada kebenarannya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Statistik polis yang dikeluarkan oleh agensi pembaharuan ekonomi negara, PEMANDU, menunjukkan bahawa terdapat 15,098 kes jenayah kekerasan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, ianya meningkat dari 14,811 dalam tempoh yang sama tahun lalu. Pembunuhan juga meningkat kepada 322 dalam tempoh enam bulan berbanding dengan 291 pada 2011.

Beliau turut mempersoal dari mana datangnya senjata yang digunakan penjenayah yang seolah-olah begitu mudah diperoleh walhal Malaysia mempunyai undang-undang pemilikan senjata yang ketat.

“Terdapat sekurang-kurangnya 370,000 senapang yang dimiliki di Malaysia dengan jumlah penduduk seramai 28 juta.Jepun mempunyai penduduk seramai 127 juta dan 710,000 senapang. Malaysia mempunyai nisbah satu senjata untuk setiap 78 orang, lebih tinggi dari Vietnam yang mempunyai nisbah 80:1.

“Tapi yang anehnya negara kita mempunyai undang-undang pemilikan senjata api yang ketat. Hanya mereka yang mempunyai lesen saja dibenarkan untuk mempunyai senjata sendiri, sesiapa yang ditangkap memiliki senjata tanpa lesen boleh menghadapi hukuman sehingga 14 tahun penjara dan hukuman mati sekiranya mempunyai peluru hidup. Jadi, dari manakah senjata yang digunakan dalam kejadian tembak-menembak baru-baru ini datang?,” soalnya.

Santiago turut menyelar tindakan kerajaan yang hanya pandai membuat undang-undang tanpa mempraktikkan langkah-langkah pengekangnya terutama berkaitan kawalan keselamatan di sempadan yang longar sehingga menyebabkan kemasukan senjata api berlaku dengan sewenang-wenangnya.

“Jelas undang-undang yang ketat tanpa penguatkuasaan tidak mencukupi untuk mengekang episod tembak menembak yang melanda negara. Dalam erti kata lain, mengawal selia lesen senjata tidak mencukupi. Kerajaan juga mesti serius dalam mencegah penyeludupan merentas sempadan.

“Undang-undang ini mesti dilengkapkan dengan kehendak kerajaan untuk menangani budaya rasuah dan sewenang-wenangnya dalam pasukan polis, Imigresen dan Kastam,” tegasnya.

Beliau juga mendesak Najib agar segera menubuhkan suruhanjaya bebas untuk membasmi salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan pasukan keselamatan negara.

“Najib perlu mengarahkan agensi anti rasuah untuk melancarkan siasatan terhadap bukan saja polis tapi pegawai-pegawai Imigresen dan Kastam yang terlibat dalam jenayah merentasi sempadan, termasuk penyeludupan senjata.

“Kerajaan perlu menerima pendekatan holistik untuk mencegah jenayah kerana ia berkait rapat dengan kekurangan pendidikan, peluang pekerjaan dan persekitaran yang kondusif untuk kumpulan terpinggir,” ujarnya. – Roketkini.

Tiada ulasan: