Cadangan pembaharuan sistem pilihan raya dengan menggabungkan format majoriti mudah (first past the post) dan nisbah pewakilan (proportional representative) langsung tidak menarik minat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) walaupun beberapa pihak lain menyokongnya.
Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus segera menghentikan segala cadangan pembaharuan sistem pilihan raya negara sehingga mereka membersihkan daftar pemilih sedia ada .
Katanya, ini kerana perkara asas dalam pilihan raya iaitu daftar pemilih harus dipercayai terlebih dahulu sebelum cadangan lain dibuat.
Beliau berkata, SPR jangan cuba mengalih perhatian masyarakat dengan berlagak mahu memperbaiki kesilapan tanpa ada usaha membersihkan daftar pemilih bagi meraih kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara.
“Daftar pemilih kini sangat tidak boleh dipercayai, maka menjadi tanggungjawab SPR untuk segera membersihkan daftar pemilih supaya usaha membincangkan langkah pembaharuan SPR seterusnya dijalankan.
“Itu cabaran SPR. Jika mereka benar-benar tulus untuk melakukan pembaharuan, bersihkan daftar pemilih,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berpendapat kajian yang mendalam perlu dilakukan sebelum Malaysia diperkenalkan dengan dwi sistem pilihan raya kerana matlamat sebenar pilihan raya adalah bagi memastikan suara pengundi disampaikan oleh pemimpin yang mewakili mereka.
Katanya, sama ada sistem majoriti mudah diamalkan Malaysia sekarang atau nisbah pewakilan tidak menjadi isu kerana yang penting adalah hak dan suara rakyat didengari berdasarkan prinsip demokrasi melalui saluran pilihan raya.
Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Sufian pula menyambut baik cadangan SPR bagi menjalankan dwi sistem pilihan raya kerana melihatkan keterbukaan pengendali pilihan raya itu dalam memahami keperluan pilihan raya semasa.
Beliau menjelaskan, sistem majoriti mudah seperti yang diamalkan sekarang tidak wujud keseimbangan dalam jumlah undi yang diperolehi berbanding dengan jumlah kerusi yang dimenangi sesebuah parti.
“Sebagai contoh, Pakatan Rakyat (PR) di Selangor memenangi kira-kira 60 peratus undi popular tetapi mereka memperoleh lebih dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“Begitu juga kisahnya apa yang terjadi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan apabila berjaya mengekalkan tampok pemerintahan namun ditewaskan PR melalui undi popular.
“Itu adalah antara kelemahan sistem majoriti mudah maka terdapat kaedah bagi mengatasi masalah sedemikian dengan menggunakan kaedah nisbah pewakilan atau dwi sistem yang menggabungkan kedua-dua sistem berkenaan,” katanya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan bahawa sistem pilihan raya di Malaysia berlandaskan kemenangan mengikut majoriti mudah dan kemenangan perwakilan mengikut kawasan.
Beliau berkata, berasaskan sistem itu yang diguna pakai di Malaysia sejak PRU pertama pada 1959 menetapkan parti yang berhak membentuk kerajaan, bukan berasaskan jumlah undi popular yang diperoleh sebaliknya jumlah kerusi Parlimen dimenangi.
Katanya, dalam konteks ini walaupun parti pembangkang memperoleh jumlah besar undi iaitu sebanyak 5,623,984, mereka hanya memenangi 89 kerusi bahagian pilihan raya.
"Sebaliknya, BN memperoleh jumlah undi sebanyak 5,237,699, namun dari sudut jumlah bahagian pilihan raya, BN memenangi sebanyak 133 kerusi Parlimen dan berhak membentuk kerajaan di peringkat pusat.
"Sistem ini juga digunakan bagi menentukan parti yang berhak untuk menubuhkan kerajaan baik di peringkat pusat atau pun negeri, iaitu parti yang mendapat jumlah perwakilan (kerusi) terbanyak walaupun memperoleh majoriti satu kerusi berhak membentuk kerajaan," katanya seperti dilaporkan Bernama selang beberapa hari selepas PRU13. -TMI
1 ulasan:
amat bersetuju Daftar Pemilih dibersihkan terlebih dahulu.Dan tidak bersetuju,SPR seolah mengambil kesempatan dengan apa yang DSAI suarakan Undi Popular sebagai macam nak tunjuk bijak konon didepan rakyat.SPR mesti dibebaskan dari cengkeman UMNOBN barulah boleh tau BN atau PR lebih layak perintah Malsyaia.
Catat Ulasan