13 Jul 2013

Che Long Turut Disokong Keluarga Calon BN


Calon PAS, Azlan Yusof menziarahi penduduk Pantai Teluk Bayu

Biar pun ayah calon BN, Che Ku Abdul Rahman mendakwa mempunyai keluarga besar di sini, sebaliknya sebahagian daripada mereka diberitahu bersedia untuk menyokong calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long.

Adun Chukai, Hanafiah Mat mendakwa berdasar kepada pertemuan dengan anggota keluarga calon BN, sebahagian mereka memberi komitmen bagi menyokong calon PAS

“Saya sudah berjumpa sebahagian daripada mereka, dan ramai menyatakan kesediaan untuk menyokong Che Long kerana lebih dekat dengan masyarakat di Kuala Besut,” katanya pada ceramah di Seberang Barat malam tadi.

Baru-baru ini Che Ku, bekas anggota jawatankuasa Umno Besut mendakwa mempunyai seramai 3,000 anggota keluarga yang memberi kelebihan kepada anaknya.

Seberang Barat sebuah perkampungan nelayan, di mana ramai mendapat bantuan bulanan daripada kerajaan.

Insentif RM200 sebulan membuatkan sebahagian besar nelayan di situ terperangkap dalam jerat Umno. Maka tidak hairanlah ia menjadi kubu kuat Umno di Kuala Besut.

Kira-kira 70,000 nelayan di seluruh negara sejak September 2008 menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan.

Nelayan diberi kad nelayan bagi melayakkan untuk menikmati elaun terbabit dengan syarat perlu berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

Selain itu nelayan juga diberi bantuan bot dan enjin serta pelbagai kemudahan lain. Bantuan tersebut menyebabkan nelayan terpaksa tunduk kepada tekanan Umno.

Tekanan berterusan itu juga menyebabkan tidak ramai penduduk tempatan tampil di hadapan pentas, tempat ceramah diadakan malam tadi.

Sebaliknya mereka dilihat berada dalam gelap di kawasan sekitar. Strategi itu bagi mengelakkan bantuan dinikmati mereka sekarang terjejas.

Ceramah diadakan di Pasti di kampung tersebut. Sepanjang laluan ke tempat ceramah terdapat banyak bendera dacing.

Ada juga petugas BN sibuk memasang bendera dacing di kiri kanan jalan.

Hanafiah berkata, nelayan di Kuala Besut perlu lebih berani bagi mengelakkan mereka terus dipersendakan pemimpin Umno melalui pelbagai bantuan kebendaan.

“Kalau pemimpin Umno beri apa sahaja ambil, tetapi undi belum tentu bagi kepada BN. Nelayan perlu ada keberanian untuk berubah.

“Tengok projek perumahan untuk nelayan di sini sehingga sekarang tidak boleh diduduki lagi. Rumah flat itu sebanyak 300 unit, namun borang yang dikeluarkan sebelum ini difahamkan sebanyak 5,000 keping,” katanya.

Difahamkan menjelang pilihan raya umum lalu borang memohon menduduki projek perumahan nelayan diedar kepada golongan muda, sebagai senjata menarik undi kepada BN.

Oleh itu Adun Chukai mengajak nelayan di Kuala Besut membuat perubahan dengan memberi sokongan kepada Che Long untuk membolehkan tekanan politik melampau terhadap mereka dibebaskan.

Kata beliau di tangan pengundi Kuala Besut bakal menentukan nasib kerajaan Terengganu pada 24 Julai ini.

Hadir sama pada program berkenaan Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Che Long dan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS dari Perak, Suria.

Ambil tanah rakyat

Sementara itu difahamkan kerajaan BN Terengganu akan melakukan pecah tanah bagi membina apartment mampu milik setinggi 4 tingkat di atas tanah milik penduduk di Kampung Beris Lampu, Tok Saboh.

Tanah tersebut sebelum ini diluluskan kerajaan negeri ketika ditadbir PAS kepada penduduk, namun 'dirampas' semula kerajaan BN bagi melaksanakan projek komersial. -HD

Tiada ulasan: