23 Jun 2013

Pelajar UCL Terlibat Dalam Kemalangan Maut Di Jordan


Jordan, 21 Jun 2013 – Education Malaysia United Kingdom & Eire telah menerima berita sedih kehilangan pelajar Malaysia yang menuntut di University College London (UCL) pada awal pagi ini. Allahyarhamah Sumaiyah bt Romli (gambar) telah terlibat dalam kemalangan maut jalan raya di antara Petra dan Aqabah iaitu kira-kira 320 kilometer dari Amman, Jordan.

Allahyarhamah yang sedang dalam percutian bersama lima orang pelajar Malaysia yang lain terlibat dalam kemalangan berkenaan yang berlaku antara jam 5.00 petang hingga 6.00 petang (waktu Jordan). Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka telah terbabas dan terjunam ke dalam gaung. Allahyarhamah telah mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan belakang tengkuk.

Mangsa-mangsa lain yang dilaporkan terlibat ialah Mohamad Shukri bin Alias (University of Yarmouk) dilaporkan cedera parah, Humairak Binti Ibrahim Alias (University of Yarmouk) cedera dan keguguran kandungan, Muhammad Nazirul Mubin Bin Nasruddin (University of Yarmouk) yang juga merupakan pasangan kepada Humairak telah mendapat kecederaan manakala Nur Ili Dayana bt Mazlan @ Masgelan (London School of Economics) juga mengalami kecederaan. Kesemua mangsa kemalangan telah dibawa ke Hospital Queen Rania Abdullah, Petra, Jordan untuk rawatan lanjut.

Jenazah Allahyarhamah Sumaiyah sedang diuruskan oleh Kedutaan Besar Malaysia Jordan dan Education Malaysia Jordan untuk dibawa pulang ke tanahair untuk disemadikan.

Berikutan dengan tragedi ini, Education Malaysia United Kingdom & Eire ingin menjemput semua pelajar dan komuniti ke majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk Allahyarhamah Sumaiyah yang akan diadakan seperti berikut.

Tarikh : 22 Jun 2013 (Sabtu)
Masa : 8.30 malam
Tempat : Dewan Putrajaya, Education Malaysia United Kingdom & Eire, 30-34 Queensborough Terrace, W2 3ST London.

Education Malaysia United Kingdom & Eire juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memanjangkan ucapan takziah kepada ibu-bapa, saudara-mara serta sahabat-sahabat Allahyarhamah di atas kententuan dan dugaan daripada Allah ini. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dikalangan hamba Allah yang sentiasa disayangi Allah.

Al-fatihah.


sumber:educationmalaysia.co.uk

4 ulasan:

Amuraria berkata...

al fatihah untuk semua mangsa...

Tanpa Nama berkata...

Al Fatihah. . Takziah

عزازيل berkata...

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Roza berkata...

Takziah kepada keluarga Allahyarhamah
Walau seberat mana pun kesedihan yg ditanggung,Allah lebih menyayanginya.
Itulah yg dikatakan semua kejadian adalah hakNya, tiada siapa boleh menghalang. Mudah2an rohnya bersama2 org yg soleh.