27 Mei 2013

BN Perak Tumbang Enam Bulan Lagi


Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Kerajaan BN Perak tidak mustahil akan tumbang dalam tempoh 6 bulan.

Menurutnya, perkara tersebut boleh terjadi melalui petisyen yang dibuat oleh Pakatan Rakyat di beberapa buah Dun di negeri itu.

"Dulu kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang selepas 11 bulan memerintah, kerajaan BN Perak sekarang ini pula Insya Allah akan tumbang dalam tempoh 6 bulan ini melalui petisyen yang dibuat," katanya ketika berucap dihadapan kira-kira 10,000 hadirin di Himpunan Blackout anjuran PAS Perak di Kompleks PAS Tapah, dekat sini malam tadi.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamamd Sabu, Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari, Timbalan Pengerusi DAP Negeri, V Sivakumar dan pimpinan Pakatan Rakyat Perak.

Beliau menjelaskan, Pakatan Rakyat Perak akan membuat petisyen terhadap lapan Dun yang dimenangi BN dan enam daripadanya Dun yang ditandingi PAS serta dua PKR yang masing-masing menyebelahi BN dengan majoriti tipis serta penuh keraguan.

Lapan Dun tersebut ialah Manjoi, Manong, Pasir Panjang, Rungkup, Lubok Merbau, Selama, Chenderiang dan Tualang Sekah.

Jelasnya, pihaknya sedang mengumpul maklumat tentang salah laku serta keraguan dan penyelewengan yang berlaku menyebabkan Pakatan Rakyat tewas tipis di Dun tersebut.

"BN Perak dalam keadaan tidak begitu gembira dengan kemenangan ini kerana ianya sangat getir dan goyah ditambah lagi mendapat maklumat Pakatan Rakyat akan membuat petisyen sebanyak 8 buah Dun.

Adun Changkat Jering itu menyeru seluruh rakyat di negeri Perak agar terus berdoa di samping membuat solat hajat, qunut nazilah, zikir munajat dan sebagainya agar Allah memberi kejayaan kepada petisyen yang dikemukakan.

“Kalaulah 2 daripada 8 petisyen yang dibuat itu menyebelahi kita (Pakatan Rakyat), ianya sudah cukup untuk menumbangkan BN seterusnya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan di Perak.

“Justeru teruskanlah kita ikhtiar dan meminta pertolongan Allah agar diberi keputusan positif kepada Pakatan Rakyat,” jelasnya.

1 ulasan:

Awanama berkata...

10 ribu? Ye ke?