3 Dis 2012

[VIDEO] Saksikan Saat Sewaktu Pintu Kaabah Dibuka


Dan dari mana sahaja kamu keluar, maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana sahaja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya, agar tidak ada hujah bagi manusia atas kamu, kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka. Maka jangan kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Dan agar Aku sempurnakan nikmat-Ku atasmu, dan supaya kamu mendapat petunjuk.” (SURAH AL-BAQARAH AYAT 150)

Tafsiran ayat ini masih lagi berkisar mengenai pertukaran arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah.

Menurut kitab Tafsir al-Azhar, pangkal ayat ini adalah perintah khusus bagi Nabi Muhammad saw Kemudian dijelaskan sekali lagi kepada seluruh umat Nabi Muhammad saw supaya berpegang teguh dengan arah kiblat ini di mana sahaja mereka berada.

Jangan diubah-ubah lagi dan ia juga tidak akan berubah selama-lamanya. Sama ada berada di tengah lautan, di puncak gunung ataupun di tengah gurun; carilah arah kiblat dan solatlah menghadap ke sana.

Hal ini kerana penetapan kiblat itu sudah pasti diterima oleh manusia yang menjunjung tinggi kebenaran dan kesempurnaan agama.

Rumah Allah yang pertama didirikan ialah Kaabah di Masjidil Haram, tempat seluruh umat Islam dari setiap pelosok dunia berkumpul setiap tahun untuk mengerjakan haji di dalam melaksanakan wasiat nenek moyang kita iaitu Nabi Ibrahim a.s.

Pendek kata, tiada bantahan dan sanggahan daripada orang-orang yang berfikiran sihat tentang penetapan arah kiblat itu.

Lain pula halnya dengan orang-orang yang zalim, kafir, bodoh dan berfikiran sempit. Mereka sentiasa membantah seperti kata kaum Yahudi: “Muhammad memutar kiblatnya ke Kaabah, padahal di sana berderet 360 buah berhala yang selalu dicela-celanya itu. Rupanya dia akan kembali kepada agama nenek moyang orang Quraisy.”

Manakala kaum Musyrikin pula berkata: “Dialihnya kiblat ke Kaabah kerana dia hendak menarik-narik kita atau telah insaf atas kesalahannya.” Orang munafik di Madinah turut berkata: “Memang pendiriannya tidak tetap. Sekejap begini, sekejap begitu.”

Allah s.w.t. berfirman supaya jangan dipedulikan kata-kata itu dan jangan takut dengan serangan-serangan yang sedemikian. Tetapi takutlah hanya kepada Allah dan perintah Allah sahaja yang perlu dilaksanakan.

Di akhir ayat ini, Allah swt membayangkan janji-Nya bahawa nikmat kiblat itu akan disempurnakan-Nya. Nikmat pertama ialah peralihan kiblat walaupun di Kaabah waktu itu masih ada berhala. Tetapi Allah swt berjanji lagi bahawa negeri itu (Mekah) akan berada di tangan umat Islam di mana pada masa itu Kaabah akan dibersihkan daripada berhala dan akan tetap buat selama-lamanya menjadi lambang kesatuan arah untuk semua umat Islam di dunia.

Menurut sejarahnya, pada tahun ke lapan hijrah Mekah telah di takluk oleh umat Islam dan segala berhala telah dirobohkan dan dibuang dari Kaabah dan seluruh Masjidil Haram, juga di seluruh Tanah Hijaz dan tegaklah agama Allah dengan jayanya.

Sebab-sebab turun ayat Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber daripada As-Suddi melalui sanad-sanadnya, dikemukakan bahawa turunnya ayat 150 Surah al-Baqarah ini berkenaan dengan peristiwa ini. Ketika Nabi Muhammad saw memindahkan arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah, kaum Musyrikin Mekah berkata: “Muhammad dibingungkan oleh agamanya. Dia memindahkan arah kiblatnya ke arah kiblat kita. Dia mengetahui bahawa jalan kita lebih benar dari jalannya, dan dia sudah hampir masuk agama kita.”

Pengajaran

1. Kita sebagai hamba Allah yang beriman seharusnya redha dengan kewajipan yang disuruh oleh Allah swt dan melaksanakannya dengan taat tanpa sebarang alasan, walaupun kewajipan itu akan menyebabkan kita menderita di dunia.Ini kerana Allah swt telah berjanji bahawa kemenangan bagi orang-orang yang menjunjung perintah-Nya dan di akhirat nanti akan dibalas dengan syurga.

2. Berdosa besar bagi sesiapa yang mengubah-ubah perintah Allah, apalagi sesudah kewafatan Rasulullah saw iaitu penutup segala nabi-nabi, dan sesudah Allah swt berfirman bahawa telah disempurnakan agama dan dicukupkan nikmat kepada seluruh umat manusia.

3. Orang-orang kafir sentiasa berusaha untuk menentang agama Islam dengan mencari berbagai-bagai helah dan tipu daya untuk mengelirukan umat Islam. Oleh itu, berwaspadalah dengan mereka walau sebaik mana pun diri mereka, dan berusahalah untuk meningkatkan keimanan dan yakinlah dengan janji Allah. -mynewshub


Tiada ulasan: