25 Jul 2012

Dia Belum Berupaya Untuk Mengampunkan Isterinya....

Saya sering membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam ruangan ini yang banyak mengisahkan kecurangan suami sahaja. Biasanya kaum wanitalah yang sering mengadu tentang keburukan kelakuan, tabiat dan perbuatan sumbang suami masing-masing.

Namun saya tak salahkan mereka kerana mereka yang merasakan penderitaannya tentulah sakit hati dan ingin meluahkan perasaan masing-masing. Mereka tahu cerita mereka menjadi rahsia, dan apa yang tersemat di hati mereka cuma penulis sahaja yang tahu.

kali ini saya ingin mencurahkan perasaan saya. Kalau selalunya wanita berasa tertipu dengan suami masing-masing, perasaan saya lebih sakit lagi apabila dikhianati isteri sendiri. Demikian cerita Zain ketika penulis menghubungi beliau setelah membalas e-melnya kerana ingin bertanya lebih lanjut lagi.

Memang terkejut tetapi bukan mustahil boleh berlaku kerana dunia ini pentas dan kita semua adalah pelakonnya.

Apa perasaan puan bila baca cerita saya, terkejut tak? Tentu terkejutkan! Saya rasa bukan saya seorang sahaja suami yang berperasaan demikian. Ada lagi mungkin tidak ramai kaum lelaki yang mempunyai pengalaman pahit seperti yang saya lalui, tetapi mereka suka mendiamkan diri. Dulu saya pun menyimpan perasaan yang sama, tetapi semakin lama kita simpan semakin perit, pedih dan menjadi racun berbisa.

Jadi hari ini saya luahkan kepada puan, pertimbangkanlah. Memang benar zaman ini macam-macam perkara yang kita tak sangka boleh berlaku. Demikian pengalaman pahit yang saya lalui.

Saya bekerja tetap tahun 70-an, oleh kerana saya daripada keluarga susah, ramai adik-beradik, maka saya amat sayangkan kerja. Saya bekerja tak tentu masa kerana terlalu gembira dengan tugas, sesuatu yang saya idam-idamkan
selama ini.

Walaupun saya mendapat tawaran ke U tetapi saya tolak, sebab keluarga miskin, jadi saya berkorban supaya saya boleh bekerja dapat duit, bantu ayah sekolahkan adik-adik. Saya bersyukur semua adik-beradik saya berjaya dalam pelajaran, lulusan U dan semuanya memegang jawatan yang baik juga.

Biarpun saya tidak lulus U tetapi kerana dedikasi dan ketekunan bekerja, saya naik pangkat dan menjawat jawatan yang baik. Ini balasan Allah daripada pengorbanan besar yang saya lakukan demi pelajaran adik-adik saya.

Kerana terlalu sayangkan kerja, saya terlupa usia semakin meningkat dan tak kahwin. Hidup saya cuma rumah dan tempat kerja saja. Sebelum pukul 8 saya dah mula bekerja dan balik pukul 6 petang ada kalanya lewat malam. Dan bila kerja banyak ada kalanya sampai pagi. Hari Ahad dan Sabtu sama saja. Ada satu ketika rutin ini berterusan hingga 114 hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum, hingga risau ibu di kampung.

Saya hanya lulus MCE, tetapi nasib menyebelahi saya. Jawatan kerajaan yang dipegang adalah idaman ramai. Pendapatannya lumayan bagi seorang bujang umur 20-an, dapat kereta baru, dan dihormati ramai, tentu glamor juga di mata gadis-gadis.

Tetapi kerana taksub dengan kerja, saya lupa dunia, hiburan dan hidup berkeluarga. Akhirnya ketua jabatan, seorang pengarah merancang konspirasi menjodohkan saya kerana tidak mahu melihat hidup saya habis di pejabat.

Awal tahun 70-an usia dah dekat 30 tahun masih bujang. Di pejabat, saya digelar the most eligible bachelor. Konspirasi mereka menjadi, mereka memaksa saya berkahwin dengan seorang gadis yang boleh dikatakan cantik juga.

Anak ulama daripada keluarga agak tersohor dan dikenali secara peribadi oleh ketua jabatan saya. Hampir setahun berkenalan, akhirnya saya mendirikan rumah tangga dengan Hamizan.

Belum dua tahun berkahwin, Hamizan melahirkan anak, disusuli seorang lagi tiga tahun kemudian dan ketiga, lima tahun kemudian. Dalam pada itu saya dinaikkan pangkat, melayakkan saya menduduki banglo kuarters kerajaan di KL. Saya juga dianugerahkan bintang kebesaran Persekutuan, semua dalam tempoh kurang 13 tahun saya bertugas.

Hamizan bekerja di sebuah badan berkanun. Dia gemar bersukan apa jenis pun dan aktif berpersatuan. Rajin menyertai kegiatan kesenian dan kebudayaan, seperti menari dan berdrama. Kebolehannya ini membawanya ke seluruh negara dan ASEAN dalam misi mengeratkan silaturahim antara badan-badan yang sama antara negara tersebut.

Kerana aktif berpersatuan, dia sering pulang lewat selepas pukul 8 malam dan kadangkala sehingga pukul 10 malam. Saya tidak merasa syak-wasangka kerana kami diketahui ramai sebagai pasangan ideal. Tetap bergurau senda, berpegang tangan semasa berjalan dan tidak kurang menunjukkan affection pada bila-bila masa. Kami saling sayang-menyayangi.

Suatu hari lebih kurang sedekad lalu, seorang hamba Allah menelefon saya dan bertanya mengapa saya biarkan isteri diusung orang merata tempat. Saya jadi bingung kerana selama ini Hamizan tidak menunjukkan sebarang tanda dia curang selain pulang lewat. Sungguhpun saya sangsi cerita pemanggil itu, namun hati saya mula curiga. Saya bawa bertenang, dan tidak terburu-buru menyergah Hamizan. Saya cuba siasat sendiri.

Suatu hari saya pulang pukul 3 pagi, dengan kehendak Allah jua saya ternampak bukti pertama sebuah diari di sebelah Hamizan, ketika itu dia tertidur. Hampir pitam saya bila membelek diari itu. Rupa-rupanya dia keluar masuk hotel dengan teman-teman lelakinya, termasuk orang berpangkat tertinggi di jabatannya, juga berpangkat rendah.

Bila diajukan dengan bukti Hamizan tidak dapat mengelak daripada mengakuinya. Dia menceritakan segala-galanya, termasuk kecurangannya. Mahu saya cekik dia ketika itu. Tapi ingatkan anak-anak dan maruah keluarga, saya mengucap berkali-kali. Ketika itu anak-anak sedang membesar dan pencapaian pelajaran mereka amat menggalakkan. Mengenangkan masa depan mereka, saya tidak bertindak. Kalau dulu saya berkorban untuk adik-beradik, kali ini saya berkorban untuk anak-anak, maruah mereka dan keluarga saya.

Walaupun marah, namun saya beri amaran keras bahawa sekiranya perbuatan ini berulang lagi padahnya amat berat. Dia menangis meminta ampun.

Malangnya pisang berbuah banyak kali. Hamizan mengulangi kegiatannya meskipun tidak lagi pulang lewat. Kali ini saya menemui bukti setelah menerobos masuk ke e-melnya. Kali ini temannya seorang jurutera sebuah syarikat telekomunikasi dan seorang jeneral yang pernah dikenali semasa remaja. Saya tak mahu marah lagi, kerana inilah sifat buruknya yang sebenar. Mulai hari itu antara kami sudah tidak ada apa-apa.

Namun untuk meyakinkannya saya hubungi teman-temannya itu, dan berjaya mendapatkan pengakuan bertulis mereka, ada juga secara lisan. Saya beritahu mereka perbuatan mereka akan ada balasannya, tiada statute of limitation, bermakna balasannya mungkin serta-merta, lepas lima tahun atau 20 tahun, bila-bila saja. Allah maha besar.

Apa yang menghairankan saya, Hamizan bukan anak orang sembarangan, dia anak ulama, pandai mengaji al-Quran kalau berlagu ala qari terkenal Ismail Hashim, baca Yasin setiap malam Jumaat dari dulu sampai sekarang, sembahyang, puasa, termasuk yang sunat, tak pernah tinggal, bertudung, pakaian sopan. Malah kalau berzanji merdu suaranya. Setelah difikirkan baru saya sedar, apa yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata saya daripada melihat maksiat dan kecurangan yang dilakukan di luar.

Walaupun saya begitu marah tetapi memukul tidak sekali-kali. Saya bawa bertenang kerana memikirkan anak-anak kami ketika itu sedang membesar. Tetapi sedihnya peristiwa pahit dalam kehidupan saya, belum berakhir. Satu hari anak kedua saya Nuraine yang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di IPTA pulang bercuti. Sampai di rumah dia terus memeluk saya dengan tangisan. Katanya, dia bukan anak saya. Darah kami berlainan.

Saya terkejut besar. Bila saya tanya mana dia tahu, katanya ketika menderma darah dia dapati jenis darahnya tidak ada persamaan dengan darah saya. Saya langsung tidak terfikir kecurangan Hamizan sampai ke tahap ini.

Hamizan ketika ditanya menafikan, namun ujian darah membuktikan bahawa Nuraine adik-beradik dengan anak-anak saya yang lain, satu emak tetapi lain ayah. Hamizan tetap berdegil tidak mengakui kesahihan ujian tersebut, meskipun saya dapat agak siapa sebenarnya ayah Nuraine.

Malah pernah rakan-rakan sepejabat Hamizan ada mengatakan wajah Nuraine sama seperti salah seorang pegawai tinggi di pejabatnya. Tetapi Hamizan menafikan. Bukan sekali dua wajah Nuraine menjadi pertanyaan ramai, banyak kali.

Hamizan kini masih sebumbung dengan saya, tetapi saya tidak pernah menyentuhnya sejak hampir 10 tahun lalu. Anak-anak tidak menghormatinya lagi. Mereka enggan bertegur sapa, tidak bercakap sopan, kalau bercakap pun dengan kasar, membuatkan Hamizan menangis.

Anak-anak tahu perbuatan keji emak mereka dan tahu pengorbanan saya demi menjaga hati, maruah dan pembelajaran mereka. Anak sulung saya kini star-performer di jabatannya. Nuraine mewakili syarikatnya bertugas di Eropah sementara anak ketiga akan tamat pengajian tidak lama lagi. Inilah pengorbanan saya. Biar hati lebur asal anak-anak bahagia.

Yang penting saya tidak mahu korbankan masa depan mereka dengan sikap saya yang tidak sabar dan mengikutkan rasa saya.

Nuraine hampir setiap hari menelefon saya bertanya khabar. Anak-anak lebih sayangkan saya dan lebih suka berbincang dan berbual dengan saya daripada emak mereka. Inilah sebabnya saya masih tidak menceraikan Hamizan.

Saya tetap tidak mengampunkan Hamizan. Biar dia nazak dan meminta maaf atau saya sedang nazak dan dia sujud menangis meminta ampun, saya tetap tidak akan memaafkannya. Saya tahu Allah Maha Pengampun, Nabi Muhammad juga mengampunkan umatnya. Namun, saya bukan Allah dan saya juga bukan Nabi Muhammad. Saya seorang biasa dan tidak akan melakukan sesuatu untuk menyamai Allah atau Nabi.

Ada saya terbaca bahawa ibadah seseorang isteri tidak diterima Allah sekiranya dia melakukan dosa besar terhadap suaminya dan tidak mendapat pengampunan daripadanya. Jika benar, saya tidak akan mengampunkan apa juga dosa Hamizan. Sungguh saya tidak menyangka kebahagiaan, kesenangan, kesetiaan dan kepercayaan yang saya curahkan kepada dia disia-siakan.

Kalaulah membunuh bukan satu kesalahan dan tidak membawa aib kepada keluarga, sudah lama saya cincang-cincang Hamizan untuk menjadi jamuan anjing-anjing liar di tepi jalan dengan daging busuknya, demikian cerita Zain.

Nampaknya Zain telah melakukan pengorbanan besar bukan sahaja untuk adik-beradiknya, anak-anaknya malah menjaga nama baik dan maruah mentuanya. Namun saya tertanya-tanya apakah Zain sudah bertanya kehendak Hamizan untuk masa depannya? Mungkin dia ingin menjadi burung yang terbang bebas? Kepada pembaca, dapatkah anda pertimbangkan jika mempunyai isteri yang curang seperti ini? -emel

Ulasan GB

Apa pun kesalahan yang dilakukan oleh suami atau isteri terhadap kita, hendaklah kita bersabar dan memaafkannya - itulah yang terlebih baik untuk kita dan roh kita.

Benar kita bukan Allah, kita bukan Muhammad, namun kita hendaklah berakhlaq dengan "akhlaq" Allah dan RasulNya Muhammad yang merupakan "uswatun-hasanah" (contoh tauldan yang terbaik).

Maksud dengan "akhlaq" Allah ialah jika Allah bersifat Pengasih maka kita wajar bersifat demikian juga.

Memang perit dan sakit untuk menerima hakikat seorang isteri sendiri berlaku curang terhadap suami. Namun ia adalah ujian terhadap seorang suami... ujian daripadaNya juga, maka hendaklah kita bersabar dan redha dengan ujian itu.

Biarlah Allah swt yang membalas kecurangannya tetapi balasan/ganjaran Allah terhadap orang yang sanggup memaafkan kesalahan dan dosa orang lain amatlah besar.

Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 199 yang bermaksud: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang yang jahil.”

Daripada Ibnu Abbas ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda berdasarkan daripada apa yang telah diriwayatkan daripada Allah Taala :

“Sesungguhnya Allah telah menulis kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan, kemudiannya Allah menerangkan perkara tersebut. Barangsiapa yang berniat mengerjakan kebaikan, dan tidak melakukannya, maka Allah akan mencatat disisinya satu kebajikan yang penuh. Jika sekiranya seseorang itu melakukannya, maka Allah akan mencatatkan di sisinya sepuluh kebajikan sehingga tujuh ratus dan digandakan dengan gandaan yang banyak. Jika sekiranya seseorang berniat mengerjakan kejahatan, dan dia tidak melakukannya, maka Allah mencatat disisinya satu kebajikan yang penuh. Jika sekiranya dia berniat mengerjakannya, dan melakukannya, maka Allah akan mencatatnya dengan satu kejahatan.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Wallauhu 'alam


22 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ingat, suami dayus juga tak masuk syurga! Anak2 dah besar panjang dan dah boleh berfikir dan tah tau keadaan sebenar. Elok lepaskan saja isteri tu daripada terus menjadi suami dayus!

satuduatiga berkata...

anonymous July 25, 2012 6:05 AM>>

ada hadis ke lelaki dayus tak masuk syurga??apa maksud lelaki dayus tu dalam konteks islam??sila jelaskn...btw, tak kena kat kita senang la kita ckp, maafkan..bukan dia dah maafkn ke tapi isteri dia stil buat juga??snang2 je suh dia cerai, bukankah cerai perkara halal yang paling dimurkai allah??nauzubillah..:(

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju komen anda..jgnla jd Suami dayus..ceraikan Isteri anda krn Isteri anda melakukan maksiat..

den berkata...

anak keturunan ulamak??????

nak heran apa..

anak nabi noh a.s pon murtad
inikan anak ulama..

BILA LAGI MENTALITI PENULIS NAK BERUBAH AHHH....

UTM ICC berkata...

Bagaimana pula dgn ribuan suami dayus yg Juga pelaku maksiat tegar... Wajarkah diceraikan juga.... Dosa maksiat tidak mengenal jantina dn Rasulullah saw sdri tidak brmaksiat atau mghampiri wanita sblum berkahwin dgn mereka....sgt brbeza dg generasi skrg..... It takes 2 w 2 tango....

Cikli berkata...

Duduk sebumbung, tetapi tak sentuh isteri hampir 10 tahun....
Kalau dia cari lagi kat luar, salah siapa pulak kali ni?

zaminc berkata...

Duduk sebumbung tapi tak sentuh isteri? itu dah berdosa sebab tak tunai hak isteri.

baik bercerai dari tanggung dosa free.

kalau isteri cari lain pulak, dah kna tanggung dosa yg itu pulak.

kadang2 manusia ni lebih pentingkan ego, nak jaga maruah kunun depan masyarakat.. tak tau menentukan mana yg lebih utama.

Noah Zig berkata...

Admin ini bias bila melibatkan kaum wanita yg curang. dia tidak tahu kalau tidak dibuang menyebabakan dayus, dayus juga satu dosa.

Tanpa Nama berkata...

selepas baca , jadikan pengajaran
saya doakan agar lelaki ini dapat membuat keputusan yang tepat dan baik untuk dirinya sendiri di dunia yang membawa kebaikan untuk dirinya di akhirat

Tanpa Nama berkata...

ini cerita zaman bila? lihat ayat ini "Awal tahun 70-an usia dah dekat 30 tahun masih bujang" berapa usia pakcik ni?

Zamri berkata...

Seringkali kata "memaafkan" membawa maksud menerima perbuatan sipelaku di dalam peradaban Melayu sedangkan peradaban Inggeris memaafkan bermakna yang dianiaya tidak ingin mengambil tindakan balas kepada pelaku. Dari segi amalan Encik Zain sudahpun memaafkan Hamizan. Amat mulia tindakan Encik Zain itu, tetapi ia memakan diri. Carilah teman hidup untuk berkongsi suka dan duka, tinggalkan Hamizan.

wak berkata...

"Saya bekerja tetap tahun 70-an,... Pendapatannya lumayan bagi seorang bujang umur 20-an.... Awal tahun 70-an usia dah dekat 30 tahun masih bujang....." Dari kenyataan cerita di atas, berape umur Zain sekarang??? Mungkin 62 tahun atau 72 tahun.... Kenapa baru skrg si Zain nak emailkan cerita dia... Masihkah dia berdendam dgn isteri dipenghujung usia... Semoga Allah bukakan hatinya untuk mengampunkan seorang hamba Allah yang akan sama2 di hisab di padang mahsyar...

Tanpa Nama berkata...

Macam x logik je cerita en zain ni..ke baru belajar nak tulis novel..banyak fakta x betul..

Tanpa Nama berkata...

En Zain otak dah tak betul menanggung perasaan dan tak menyentuh betina dia selama 10 tahun.

Air dia dah naik sampai ke otak.

Macam lah dunia ni tak ada perempuan lain.

mabb berkata...

assalamualaikum...
Allah lebih berhak tuk mghukum samada laki itu adlah dayus or tidak...
Kita Sbagai hamba yang tidak smpurna.. ambillah iktibar agar mnjadi suami,teman, n lelaki yg trbaik dlm hidup...
Smoga tabah mghadapi ujian dr allah
sterusnya hngga ke nafas trakhir..

Tanpa Nama berkata...

Saye setuju komen wak.
Klu dia cerita kisahnya kat org, tu maknanya dia masih ingat. Jiwa dia masih tersiksa.

To be fair, bincang dgn isteri utk berpisah. Beritau isteri yg awak dah tak mampu beri nafkah batin, jadi ada hak isteri utk dia tuntut fasakh.
Cakap le elok2 yg awak x nak siksa isteri.
Anak2 dah besar no hal le.

Skrg ni tak heran agak ramai suami isteri kawin dah >30thn yg cerai. Salah satunya krna tak sebulu (misalnya sorang suka agama, sorang masih nak pi kareoke).
Dulu tak bercerai pasal anak2 masih kecik.

Jgn ingat isteri tak tension bila suami lama tak beri nafkah batin.
Lepaskan dia. Then pakcik tu bole tenteram abdikan diri kat masjid, surau ke & tak payah le ingat2 kisah tu & cerita kat org lain. Ngadu le pada Allah.

amir berkata...

Apa yang menghairankan saya, Hamizan bukan anak orang sembarangan, dia anak ulama, pandai mengaji al-Quran kalau berlagu ala qari terkenal Ismail Hashim, baca Yasin setiap malam Jumaat dari dulu sampai sekarang, sembahyang, puasa, termasuk yang sunat, tak pernah tinggal, bertudung, pakaian sopan. Malah kalau berzanji merdu suaranya.

p/s : maaf la wahai kawan semua. bagi pendapat aku yg tak seberapa ni... cerita diatas mungkin rekaan semata-mata.... aku yakin sesiapa yg membaca yassin setiap minggu.. insyaallah.. Allah jaga .. yassin itu hati Al-quran.

bagi aku la cerita ini rekaan .. wallahua'lam

Hamba berkata...

cam citer wayang jer..baik sangat ke suami dia tu..susah nak percaya sama ada ini cerita benar..mungkin hanya rekaan saja kut..ada ke suami bangang cam tu?

awekaste berkata...

salam
ini citer saja nak mengatakan orang berugama adalah munafik sedangkan manamungkin air dan api boleh bercampur ( agama dan maksiat dilaksanakan SEIRINGAN)

INI ADALAH REKAAN SEMATA. MATA

Tanpa Nama berkata...

memang ada suami bangang, gila kerja tak ada masa campur masyarakat, bila masa mengaji agama? dapat title ketua bangga, patutnya jawatan ketua sebagai amanah, arahan mesti memberikan kebaikan kepada semua dan dipandu oleh agama, ingat jawatan nakk bagi perintah aje ke mcm ketua jabatan sekarang bergaya mcm pengawai british dulu-dulu , takda yang merendah diri dan tawadduk baru anak buah segan dan menjadi contoh teladan. Tentang cerita ni mungkin rekaan tokok tambah, tak kan suami tak tahu rujuk pihak agama untuk penyelesaian. kalau tentang kerja bukan main lagi gahnya rujukan. NKRAnya . Kesimpulannya kalau kamu mangkuk kan orang lain, tuhan balas kamu dengan mangkuk. Tolong semak kalau arahan kita menyebabkan anak buah menderita sampai melanggar agama.

Tanpa Nama berkata...

Ambillah iktibar dari kisah tersebut. Isteri curang haram masuk syurga bahkan haram mencium bau syurga.

Isteri2, pertahankanlah maruah anda, jgn asyik nak sedap beromen dgn lelaki lain je sampai lahir anak dari benih lelaki lain, bukan dari benih suami sendiri. Tak kesian ke dgn anak2 HA... yg ko lahirkan tu??

Kalau si suami tu tak bagi tuntutan nafkah batin, kenapa tak mintak fasakh. Dah bini tu yg bengong tak minta fasakh, pasai apa?

Lelaki tu kira baik dah marah bininya lagu tu. Tapi bini dia still degil. Sengal

Toksah dok bela pompuan tsbut. Takde guna. Kdg2 seseorg tu beribadat mcm nak rak, tapi still buat maksiat gak. Bukanke ada hadis yg mafhumnya seandainya solat itu tidak mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar, maka ia akan menambahkan lagi kemurkaan Allah padanya. Jadi kemungkinan berlaku peristiwa sedimikian tetap ada.

Kesimpulannya, isteri2, jgn curang. Berdosa besar, tak leh cium bau syurga tau.......kahkahkah

Tanpa Nama berkata...

Kalau suami gagal menunaikan tanggungjawabnya - zahir dan juga batin - dan terlalu ego hendak menceraikan isterinya, dia juga berdosa menzalimi isterinya.

Ceraikan saja jika tidak layak menjadi suami.