3 Jun 2012

‘Bangunlah Nak, Jangan Tinggalkan Ayah’

Ledang: “Izwan, bangunlah nak, jangan tinggalkan ayah,” rintih Hashim Kamat, 55, ketika memangku jenazah anak lelakinya yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Sengkang-Bukit Gambir, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.50 malam, Mohd Izwan Farid, 19, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Bukit Gambir.

Hashim yang tiba tidak lama selepas kejadian sempat memangku jenazah anaknya hampir sejam sebelum jenazah dihantar ke Hospital Tangkak.

Menurut Hashim, ketika menerima panggilan daripada adik Izwan, Hamizad, 16, berkaitan kemalangan itu, dia berasakan seolah-olah bermimpi dan tidak percaya dengan maklumat itu.

“Ketika dimaklumkan berkaitan kejadian, saya berada di Kampung Parit Jarum Darat kerana menghadiri gotong-royong perkahwinan anak saudara.

“Ia bagaikan mimpi kerana sejam sebelum itu, saya bertemu Izwan di rumah dan dia kelihatan ceria seperti biasa,” katanya.

Menurut Hashim, Izwan tidak bekerja pada hari kejadian dan sepanjang di rumah, dia juga tidak menunjukkan kelakuan pelik.

Katanya, jarak lokasi kemalangan dengan rumahnya di Kampung Batu 19 hanya tiga kilometer.

“Arwah tidak memaklumkan apa-apa dan ketika kejadian, dia kemungkinan dalam perjalanan ke Pekan Bukit Gambir untuk bertemu rakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kemalangan berkenaan.

Harun berkata, mangsa dipercayai menunggang motosikal dari arah Sengkang menghala Bukit Gambir dan tiba di tempat kejadian, dia dipercayai cuba memotong kenderaan lain.

“Mangsa berkemungkinan gagal memotong lalu memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.

“Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa berkecai dan mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan,” katanya. -hm

Ulasan GB

Jarang sekali seorang anak mendapat sentuhan kasih sayang dari seorang bapa sebegini rupa. Lazimnya seorang anak (terutama lelaki) lebih rapat dan mendapat kasih sayang dari ibu. Namun dalam banyak keadaan di dalam hati seorang bapa terdapat kolam rasa kasih sayang yang sangat terpendam. Dengan sebab itulah mengapa sang bapa sanggup membanting tulang melakukan apa saja mencari sesuap nasi untuk menyara keluarganya dan kekurangan masa untuk bersama dengan anak-anaknya. Tetapi jauh di lubuk di hatinya... yang tak terluah dari mulutnya .. itulah yang dikasihi... isteri dan anak-anaknya...

Tetapi berapa ramai anak yang memahami dan merasai betapa tinggi kasih sayang bapanya terhadapnya?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Syahdu d hati bila mendengar ulasan GB. Sebagai seorang bapa n anak memang terasa n insaf. Tks GB.