20 Mei 2012

Bersih Desak Suhakam Siasat Keganasan Polis

Kuala Lumpur 19 Mei: Gabungan Pilihan Raya bersih dan Adil (Bersih 3.0) mahu kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menyiasat keganasan polis semasa himpunan 28 April lalu dan menolak panel siasatan yang ditubuhkan kerajaan.

“Suhakam memiliki struktur sah untuk menjalankan penyiasatan. Suhakam berpandukan piagam hak asasi. Ini berbeza dari panel yang ditubuhkan kerajaan,” kata Pengerusi Bersama Bersih, Datuk A Samad Said dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, keganasan polis tidak berakhir setakat 28 April lalu, apabila mereka bertindak memburu 141 individu yang dikehendaki kerana kononnya melanggar undang-undang, namun melupakan keganasan dilakukan anggota pasukan itu.

“Polis seperti pelesit. Kehulu-kehilir mencari individu ini. Tetapi pihak polis gagal mencari pegawainya yang melakukan keganasan. Ada individu yang menyerah diri untuk memberi keterangan, tetapi mereka telah diganasi, dimaki hamun dan didera,” tegas Pak Samad.

Beliau merujuk insiden terhadap aktivis mahasiswa, Khalid Ismath yang ditahan dan diaju soalan lucah, manakala Mohd Safwan Mamat dari Terengganu dipukul dengan getah paip, selain ditampar ketika disiasat di Balai Polis Dang Wangi.

Menurut Pak Samad, sehingga kini tekanan hanya diberikan kepada peserta Bersih, manakala dua anggota polis yang ditahan dibebaskan dengan ikat jamin.

“Keganasan polis juga perlu disiasat secara terperinci. Siasatan juga perlu dijalankan terhadap peranan pengacau,” tegas Pak Samad. -KD









Tiada ulasan: