20 Mei 2012

Akhbar MCA, TheStar Siarkan Berita Basi Mengenai Keenganan Ust Hadi Bertanding PRU

Akhbar MCA siar wawancara 2 bulan lalu

KUALA LUMPUR: Selepas dua bulan berlalu, akhbar MCA baru menyiarkan berita kononnya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak mahu bertanding dalam pilihan raya umum nanti.

Ia adalah berita basi dan sudah boleh dianggap tertinggal zaman.

Itulah yang boleh dikatakan kepada berita sensasi yang disiarkan oleh The Star hari ini melalui satu wawancara satu muka surat penuhnya dengan Presiden PAS.

Wawancara itu sebenarnya telah diadakan hampir dua bulan lalu iaitu pada 3 April 2012 di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Menurut Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memang betul, ketika The Star dan lain-lain media mewawancara Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dua bulan lalu, itulah sikap beliau.

"Tetapi seminggu selepas itu segala-galanya sudah berubah apabila mesyuarat PAS Pusat memutuskan Presiden PAS masih perlu bertanding," katanya kepada Harakahdaily.

Akhbar The Star hari ini menyiarkan berita sensasi kononnya Presiden PAS itu tidak mahu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang samada peringkat DUN atau peringkat Parlimen.

Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang, Terengganu itu juga dilaporkan berkata akan mencari pengganti kepada beliau sebagai presiden PAS.


Laporan ini amat memeranjatkan banyak pihak khasnya kepimpinan PAS bagaimana isu yang sudah lama selesai tiba-tiba timbul kembali.

"Inilah bagi saya akhbar yang tertinggal zaman dan sampai sekarang saya tidak faham kenapa wawancara yang berjalan hampir dua bulan lalu baru disiarkan oleh The Star," kata Samsury.

Beliau tidak faham apa tujuan akhbar berkenaan menyiarkan wawancara itu sekarang.

Ekoran itu, beliau melahirkan kekesalan dan mempertikaikan kredibiliti akhbar milik MCA itu. -HD


Hadi akan cari calon pengganti sebelum berundur, kekal tidak bertanding PRU

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal dengan keputusannya untuk tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang walaupun kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) memintanya mengkaji semula keputusan tersebut.

Hadi sebaliknya berkata, beliau sendiri akan mencari calon terbaik bagi menggantikan dirinya untuk bertanding di kedua-dua kerusi yang didudukinya di kawasan parlimen Marang dan juga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.

"Jika mereka tidak berpuas hati dengan calon pilihan saya, saya akan terus mencari. Saya bertanggungjawab dalam hal ini dan akan terus mencari calon yang sesuai hingga mereka melepaskan saya," kata pemimpin veteran PAS berusia 65 tahun ini.

Hadi (gambar) dilantik menjadi Presiden selepas menggantikan Datuk Fadzil Noor yang meninggal dunia pada 2002.

Beliau mengharapkan parti dan rakan PR akan menghargainya memandangkan beliau telah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama 30 tahun dan empat penggal sebagai Ahli Parlimen.

Hadi yang pernah tewas pada 2004 berkata, beliau telah terlalu lama dalam politik dan telah tiba masanya untuk beliau berundur.

Dipetik akhbar The Sunday Star, Hadi dalam temuramah khas di pejabat agung PAS di sini menjelaskan, dirinya letih kerana perlu menjelajah ke seluruh negara.

"Saya penat. Sebagai presiden, saya perlu melawat ke seluruh negara. Sebagai wakil rakyat, saya perlu melawat kawasan saya.

"Saya rasa seperti mengabaikan kawasan saya kerana saya perlu berjauhan dengan Terengganu. Jadi lebih baik jika ada orang yang menggantikan saya," katanya.

Saya harap akan terus dibenarkan untuk fokus dalam hal ehwal parti," tambahnya yang akan mengekalkan kerusi presiden.

Hadi turut mempertahankan keputusan parti komponen PR itu untuk memindahkan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ke Johor daripada Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kami memutuskan Salahuddin akan bertanding di Johor. Ia menunjukkan perkembangan positif. Sebagai Naib Presiden, saya percaya beliau mampu untuk bekerjasama dengan pemimpin di sana," katanya.

Bagaimanapun, Hadi menjelaskan partinya belum membuat keputusan sama ada Ahli Parlimen Kubang Kerian itu akan bertanding kerusi parlimen ataupun DUN, atau kedua-duanya di negeri kubu kuat Umno tersebut.

Selain itu, Hadi turut menjelaskan PR sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum dengan hampir 80 peratus senarai nama calon sudah lengkap.
-TMI


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

The Star dah mula nyanyuk.