24 Apr 2012

Jangan Pertikai Hak Kerajaan Negeri Untuk Pilihanraya Berasingan

Usah pertikai hak Selangor

SHAH ALAM – Keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) secara bersama atau berasingan dengan Pusat adalah hak Kerajaan Negeri yang tidak sepatutnya dipertikaikan Barisan Nasional (BN).

Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail berkata, mengadakan pilihan raya berasingan tidak bermakna PR takut kepada BN sebaliknya sejak dahulu lagi PR ada pendirian sendiri dalam memastikan PRU13 dilaksanakan dengan telus dan hak rakyat tidak dinafikan disebabkan penipuan dalam pilihan raya itu nanti.

“Kenapa beliau (Noh) nak mendesak PR dalam perkara tersebut kalau BN pun boleh mengubah pendirian yang kita inginkan. Melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan, jelas menunjukkan Noh kekeringan idea.

“Apakah disebabkan kenyataan Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) sebelum ini menyebabkan BN akan mengadakan PRU13 selepas Jun? Adakah semata-mata ingin mengadakan PRU bersama Selangor, mereka tidak berani mengumumkan tarikh sebenar,” katanya mengulas Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mendakwa PR takut dengan kebangkitan BN Selangor.

Rodziah berkata, Noh perlu melihat mengapa PR menolak untuk mengadakan pilihan raya bersama di mana perkara sama ditimbulkan di Parlimen termasuk perjumpaan Kerajaan Negeri dengan pihak SPR baru-baru ini.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Dr Ahmad Yunus Khairi malah menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai alasan tersendiri yang kukuh mengapa beliau membuat keputusan bahawa PR terutamanya Selangor tidak menyertai PRU13.

“Kita rasa masih ada ketidaktelusan dalam senarai daftar pemilih, kita mahu memberikan keadilan kepada seluruh rakyat yang mengundi.

“Dalam Dun Sijangkang, sejak keluar senarai daftar pemilih banyak yang berjaya di bantah sebab kita meraguinya. Lebih kurang 6,000 pengundi baru di Sijangkang, ada yang kita sangsi, lebih kurang 50 hingga 100 (setiap kawasan) tiada alamat lengkap,” katanya.

Pemuda PAS setuju Selangor tidak bubar DUN serentak

SHAH ALAM: Dewan pemuda PAS Selangor menasihatkan supaya Datuk Seri Noh Omar supaya mempastikan suasana pilihanraya di peringkat nasional berada di dalam keadaan yang cukup bebas dan adil sebelum menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor takut untuk mengadakan pilihanraya secara serentak.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbulah Mohd Ridwan berkata, kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor mempunyai hak untuk mendapat pilihanraya yang bebas dan telus serta tidak perlu mengikut telunjuk Umno dan Barisan Nasional.

Antara perkara yang dipertikaikan oleh Pakatan Rakyat sehingga kini adalah berkenaan daftar pemilih yang masih ‘kotor dan belum dibersihkan’ terutamanya di negeri Selangor.

Selangor telah menerima pertambahan seramai hampir setengah juta pengundi baru sehingga Disember 2011.


Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor cukup yakin sekiranya pilihanraya umum yang akan datang boleh diadakan secara telus dan adil, sudah pasti Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan turut sama melaksanakan pilihanraya serentak dengan peringkat nasional.

Tetapi dengan situasi terkini yang masih tidak mencerminkan kesungguhan pihak kerajaan persekutuan dan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia “membersihkan” proses sistem pilihanraya di dalam Negara ini menyebabkan Pemuda PAS Selangor bersetuju dengan tindakan pihak Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor untuk mengadakan pilihanraya secara berasingan dengan kerajaan persekutuan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga turut menyokong penuh tindakan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor untuk membantu SPR di dalam membersihkan senarai daftar pemilih baru.

Ini kerana ia diragui dan disangsikan keabsahan status pemastautin mereka melalui kempen Selangorku Bersih, kata beliau.

Bagi beliau, kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah mengambil inisiatif yang terbaik untuk mempastikan pilihanraya yang akan datang berlaku dalam suasana yang telus.

"Ianya perlu dicontohi oleh kerajaan persekutuan dengan ‘membebaskan’ SPR untuk melaksanakan tugas mereka secara lebih ‘bebas’ tanpa ada campurtangan politik," tegasnya.

Pemuda PAS Selangor juga mempertegaskan keyakinan untuk terus mempertahankan kemenangan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor berdasarkan sokongan rakyat terbanyak di dalam pilihanraya yang akan datang.

Ia akan dibuat walaupun momokan Umno dan Barisan Nasional di dalam media arus perdana menyatakan sebaliknya.

Umno dan Barisan Nasional kini sedang berada di ambang penolakan rakyat secara ‘total’ sehingga terpaksa menggunakan seluruhnya jentera media arus perdana untuk ‘mempersolekkan diri mereka untuk menjadi cantik’ di mata rakyat.

Ia dibuat walaupun hakikat sebenarnya mereka kini semakin jelek dan hodoh, kata beliau.
-HD


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Tiada ulasan: