Riuh kompleks ‘kena goncang’
SEBERANG JAYA: “Tiba-tiba saya rasa bangunan bergegar dan lihat semua pengunjung lari selamatkan diri,” kata Nurul Nadiha Kasim, 28, yang turut bergegas menyelamatkan diri ketika berada di Kompleks Sunway Carnival, di sini, selepas berasa gegaran akibat gempa bumi yang melanda Aceh, Indonesia.
Gambar: PANIK...orang ramai bergegas keluar selepas gempa berukuran 8.7 pada skala Richter landa Aceh, Indonesia, semalam. Gambar kecil, Nurul Nadiha.
Menurutnya, ketika itu dia bersama rakannya sedang memilih barang di sebuah kedai di dalam kompleks membeli-belah itu.
“Selepas berasa bergoyang, saya segera mencampak barang dan menarik kawan saya keluar dari bangunan berkenaan,” katanya yang pertama kali berdepan pengalaman kejadian seperti itu.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Hafiz Najmi Soaid, 23, berkata, ketika kejadian dia bersama dua rakannya sedang menonton wayang di kompleks berkenaan.
“Sedang asyik menonton, saya berasa pening dan bangunan seakan bergoyang,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.
Menurutnya, dia dan kawannya tanpa berlengah segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri, begitu juga pengunjung yang lain. -hm
Gempa bumi di Aceh, semalam, menyebabkan penduduk di beberapa negara merasai gegaran lari menyelamatkan diri
PEKERJA sebuah kilang pakaian di Jalan Sungai Pinang, Pulau Pinang diarah keluar oleh pihak pengurusan selepas merasai gegaran kuat, semalam.
RUNTUH...beberapa individu sedang memerhatikan tembok penjara di wilayah Aceh, Indonesia runtuh susulan gempa bumi kuat bermagnitud 8.7 hari ini. - Foto AP
BOT nelayan di India kelihatan berlabuh di Laut Arab iaitu di pantai Pali, kampung Pali, Thane. Pantai Pali terletak berdekatan Mumbai, India. Dalam kejadian gempa bermagnitud 8.7 itu, amaran tsunami turut dikeluar sekitar Kepulauan Andaman dan Nicobar, India. - Foto EPA
SEBERANG JAYA: “Tiba-tiba saya rasa bangunan bergegar dan lihat semua pengunjung lari selamatkan diri,” kata Nurul Nadiha Kasim, 28, yang turut bergegas menyelamatkan diri ketika berada di Kompleks Sunway Carnival, di sini, selepas berasa gegaran akibat gempa bumi yang melanda Aceh, Indonesia.
Gambar: PANIK...orang ramai bergegas keluar selepas gempa berukuran 8.7 pada skala Richter landa Aceh, Indonesia, semalam. Gambar kecil, Nurul Nadiha.
Menurutnya, ketika itu dia bersama rakannya sedang memilih barang di sebuah kedai di dalam kompleks membeli-belah itu.
“Selepas berasa bergoyang, saya segera mencampak barang dan menarik kawan saya keluar dari bangunan berkenaan,” katanya yang pertama kali berdepan pengalaman kejadian seperti itu.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Hafiz Najmi Soaid, 23, berkata, ketika kejadian dia bersama dua rakannya sedang menonton wayang di kompleks berkenaan.
“Sedang asyik menonton, saya berasa pening dan bangunan seakan bergoyang,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.
Menurutnya, dia dan kawannya tanpa berlengah segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri, begitu juga pengunjung yang lain. -hm
Panik gempa Aceh
KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bangunan tinggi dan kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran kuat berikutan kejadian gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara, pada jam 4.38 petang semalam.
Kira-kira dua jam kemudian, penduduk turut dikejutkan dengan gempa susulan pada jam 6.43 petang yang berukuran 8.5 pada skala Richter.
Kedua-dua kejadian itu menyebabkan penduduk merasai gegaran berterusan hampir satu minit, dan gegaran lebih kuat dialami penduduk di Perlis, Langkawi, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Malah, penghuni bangunan tinggi dan hotel di sepanjang pantai peranginan di Batu Feringgi dan Pulau Langkawi diarah keluar dan berlindung di kawasan tanah tinggi berikutan kebimbangan berlaku tsunami.
Pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dipindahkan ke wad pesakit luar, manakala di Hospital Selayang, Selangor yang turut merasai gegaran diminta supaya tidak panik dan ada yang mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar dari bangunan hospital berkenaan.
Majlis Keselamatan Negara Kedah mengarahkan semua penduduk di pesisir pantai Kedah terutama Langkawi dan Kuala Muda bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman masing-masing.
Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan), Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail, berkata setakat jam 10 malam tadi, nasihat supaya rakyat menjauhi kawasan pantai ditamatkan.
“Situasi yang semakin reda terutama di sekitar Indonesia membolehkan kita menarik balik nasihat itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sebaik tsunami berlaku petang semalam, jabatan itu mengeluarkan nasihat berkenaan yang wajar dipatuhi bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Che Gayah berkata, hasil pemantauan yang dijalankan, ombak setinggi 0.3 meter dikesan berlaku di Sabang, Aceh iaitu susulan kejadian gempa bumi pertama dan menurun kepada hanya 0.06 meter selepas gempa susulan.
Pada 26 Disember 2004, gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di kawasan sama mengakibatkan tsunami mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Hassan Abd Rahman, berkata hanya dua hospital iaitu Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan merasai gegaran akibat gempa bumi, petang semalam.
“Pihak Hospital Selayang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memeriksa jika berlaku kebocoran gas, manakala di Hospital Tengku Ampuan Afzan pula, sebahagian pesakit dipindahkan ke wad pesakit luar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, berkata pihaknya menerima 83 panggilan di seluruh negara berhubung gegaran dialami.
Katanya, Pulau Pinang mencatatkan paling tinggi iaitu 35 panggilan diikuti masing-masing Kuala Lumpur dan Kedah iaitu 12 panggilan. Jentera bomba turut ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.
“Kebanyakan panggilan diterima daripada mereka yang tinggal di bangunan tinggi. Semua anggota dan jentera bomba di seluruh negara kini diletakkan dalam berjaga-jaga,” katanya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke semua bangunan yang merasai gegaran sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, bermula jam 4.47 petang di Wangsa Maju.
Gempa bumi Aceh imbau tragedi tsunami 2004
KUALA LUMPUR: Gempa bumi 8.7 skala Richter yang melanda di pantai Aceh petang semalam, membawa kepada kenangan pahit tragedi gempa bumi melanda wilayah sama pada Disember 2004 yang mengorbankan 230,000 nyawa, manakala 500,000 kehilangan tempat tinggal.
Gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter pada 26 Disember 2004, mencetuskan tsunami yang mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.
Dalam kejadian itu, beberapa bandar utama di wilayah Sumatera Utara turut musnah selepas ombak tsunami setinggi sembilan meter ‘menyapu’ hampir bersih Banda Aceh, Calang dan Meulaboh kesan daripada gempa yang melanda Lautan Hindi.
Indonesia adalah satu-satunya negara yang paling teruk menerima kesan bencana itu, selain Sri Lanka, Thailand, India dan Malaysia.
Gempa bumi itu disifatkan kedua paling hebat dalam sejarah manusia serta kekuatannya dikatakan 1,500 kali lebih hebat daripada kekuatan bom atom yang memusnahkan Hiroshima, Jepun yang turut membunuh ratusan ribu manusia pada Perang Dunia Kedua.
Berbeza dengan tempat lain, Aceh ketika ini bukan saja menerima kesan akibat tsunami tetapi gempa bumi yang dahsyat sebelumnya ekoran pusat gempa yang berada tidak jauh dari wilayah berkenaan.
Sebelum bencana itu, Banda Aceh mempunyai kira-kira setengah juta penduduk dan kini jumlah penduduknya dianggarkan 300,000 orang saja.
Selain Aceh, kawasan berdekatan iaitu Pulau Nias dan Pulau Simeulue turut dilanda gempa bumi berukuran 8.7 skala Richter pada 26 Mac 2005 yang mengorbankan hampir 1,000 nyawa, genap tiga bulan selepas tragedi yang menimpa Aceh.
Aceh kini sedang dalam proses pembangunan semula selepas mengalami banyak kemusnahan prasarana hasil bantuan masyarakat antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). -BH
27 negara keluar amaran tsunami
BANDA ACEH: Gempa bumi magnitud 8.7 skala Richter diikuti tiga gegaran susulan melanda Aceh semalam menyebabkan penduduknya segera ke tempat lebih tinggi selain menyebabkan bangunan bergoyang di beberapa negara, manakala amaran tsunami dikeluarkan kepada 27 negara.
Gempa pertama melanda pada 4.38 petang diikuti gegaran magnitud 8.2 dua jam selepas itu dan dua lagi gegaran susulan melanda tidak lama kemudian.
Gegaran turut dirasai di beberapa negara sehingga di selatan India apabila ramai yang segera keluar dari bangunan pejabat kerana gusar bencana akan menimpa seperti pada 2004.
Pusat gempa dikesan 500 kilometer ke barat daya Banda Aceh, di utara Sumatera, lapor Biro Kajian Geologi Amerika Syarikat.
Gegaran pertama berlaku pada kedalaman 33 kilometer menyebabskan bekalan elektrik terputus dan ramai penduduk berkejar ke tempat lebih tinggi dengan laungan siren memberi amaran kedengaran.
“Bekalan elektrik terputus, kesesakan berlaku ketika ramai pergi ke tempat lebih tinggi. Siren dan bacaan ayat suci al-Quran turut diperdengarkan,” kata jurucakap agensi menangani bencana, Sutopo.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, berkata belum ada kematian atau kerosakan dilaporkan di Aceh.
“Keadaan di Aceh terkawal, ada juga yang panik tetapi sudah ramai yang pergi ke tempat lebih tinggi,” kata Susilo.
Televisyen Indonesia menunjukkan penduduk berhimpun dekat beberapa masjid di Banda Aceh manakala orang lain berlegar di jalan raya sambil mendukung anak yang menangis.
Di Kota Medan, sebuah hospital memindahkan pesakit menggunakan kerusi roda.
Pihak berkuasa Indonesia mengakui ada laporan mengatakan paras air laut meningkat dekat perairan Aceh tetapi kurang satu meter.
“Tidak ada ancaman daripada tsunami tetapi kami tetap berjaga-jaga,” kata Susilo pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Britain, David Cameron yang menyatakan kesediaan membantu jika perlu.
Pihak berkuasa di wilayah Phuket pula menutup lapangan terbang sebagai langkah berjaga-jaga selain membunyikan siren amaran. Pusat pelancongan itu turut dilanda tsunami pada 2004.
Gempa terbaru dirasai sehingga ibu negara Thailand, Bangkok dan selatan India dengan ratusan pekerja pejabat di Bangalore keluar dari bangunan, manakala pelabuhan Chennai ditutup kerana kebimbangan dilanda tsunami.
Kekuatan gempa hampir dengan apa yang berlaku pada 2004 pada kedalaman 30 kilometer di sepanjang garis gempa di bawah Lautan Hindi dari barat Indonesia hingga ke Teluk Benggala.
Gegaran juga dirasai di Sri Lanka apabila ramai pekerja di pejabat di ibu negara Colombo, lari keluar pejabat masing-masing.
Menteri Pengurusan Bencana Sri Lanka, Mahinda Amaraweera, menggesa penduduk bertenang dan menasihatkan mereka berada di pantai ke tempat tinggi. – Reuters
‘Ingat nak mati’
KUALA TERENGGANU: “Saya ingat sudah hendak mati apabila rasa rumah yang diduduki bergoyang,” kata Ramlah Abu Bakar, 75, yang trauma selepas rumahnya di Pangsapuri Ladang Gemilang, di sini, bergegar akibat kesan gempa bumi di Aceh, semalam.
Ibu kepada 11 anak yang tinggal di tingkat 10 pangsapuri berkenaan ketika ditemui berkata, dia yang menggunakan kerusi roda untuk bergerak hanya mampu mengucap dalam kejadian jam 4.50 petang itu sebelum dibawa turun oleh anak sulungnya, Zainun Kadir, 38, dengan menggunakan lif untuk menyelamatkan diri.
“Saya, anak dan enam cucu bernasib baik tidak terperangkap dalam lif yang gagal berfungsi selepas kami menggunakannya,” katanya.
Jirannya, Mariam Abu Bakar, 72, tinggal di tingkat lapan pangsapuri itu berkata, ketika kejadian dia baru selesai sembahyang Asar dan tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak berasa apa-apa.
“Saya jadi takut dan cemas apabila cucu yang tinggal di tingkat tiga bergegas masuk rumah membawa saya dan suami turun dengan lif selepas memberitahu berlaku gegaran di pangsapuri yang kami diami sejak dua tahun lalu.
“Mujur ada cucu yang bertindak pantas menyelamatkan kami kerana saya hanya tinggal berdua dengan suami, Ibrahim Ngah, 80, dan dia pula sakit serta terpaksa menggunakan kerusi roda,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Zakaria Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.50 petang daripada penduduk mendakwa berlaku gegaran di Pangsapuri Ladang Gemilang dan tiba di situ empat minit kemudian.
“Kami dimaklumkan penduduk bahawa mereka terasa kesan gegaran daripada gempa bumi yang berlaku di Aceh dan selepas melakukan pemeriksaan, kami dapati keadaan selamat serta tiada kesan retakan sebelum membenarkan penduduk naik semula ke kediaman mereka kira-kira 45 minit selepas itu.
“Bagaimanapun kami mengingatkan penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan anggota kami juga akan terus melakukan pemantauan,” katanya.
Pangsapuri setinggi 16 tingkat itu didiami kira-kira 1,000 penduduk. -HM
Kerusi, meja bergerak sendiri
KUANTAN: “Pada mulanya saya rasa pening kepala dan sangkakan ia perkara biasa, namun apabila melihat kerusi dan meja bergerak sendiri selain air di dalam gelas berkocak, hati saya mula tidak rasa tenang dan yakin ia bukanlah sesuatu yang biasa,” kata Zawiyah Mohd Taib, 52, mengenai gegaran yang berlaku selama tiga hingga lima minit di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Zawiyah berkata, ketika kejadian, dia sedang menjaga anaknya di wad C, tingkat tujuh bangunan hospital berkenaan dan menyedari bangunan HTAA bergegar dan sejurus kemudian, jururawat yang bertugas mengarahkan pelawat turun serta merta.
“Saya turun menggunakan tangga tetapi di pertengahan jalan, saya naik semula untuk menyelamatkan anak saya yang masih berada di wad berkenaan. Mujur tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.
Gegaran yang berlaku di HTAA mengakibatkan suasana panik dan kira-kira 500 kakitangan HTAA serta pesakit dan pelawat bergegas turun dan berkumpul di tempat letak kereta selepas diarahkan berbuat demikian.
Seorang pelawat, Perumal Subramaniam, 54, berkata, dia berada di tingkat lapan untuk melawat seorang jirannya yang sakit dan ketika gegaran berkenaan, dia melihat air di dalam gelas berkocak agak kuat dan segera mengajak isteri jirannya itu turun namun wanita berkenaan enggan kerana mahu berada di sisi suaminya.
“Saya cemas kerana kejadian gegaran ini tidak pernah berlaku di Kuantan sebelum ini. Sebaik turun ke bawah, saya dimaklumkan bahawa gegaran itu berlaku akibat gempa di Aceh,” katanya.
Seorang lagi pelawat, Chia Wei Mun, 32, berkata, ketika gegaran itu, dia menjaga ayahnya di tingkat tujuh dan segera turun apabila bunyi wisel dibunyikan pengawal keselamatan sebagai amaran mengosongkan bangunan berkenaan.
“Saya terpaksa tinggalkan bapa saya kerana diarahkan untuk turun segera. Mujur tiada apa-apa yang berlaku,” katanya. -HM
PEKERJA sebuah kilang pakaian di Jalan Sungai Pinang, Pulau Pinang diarah keluar oleh pihak pengurusan selepas merasai gegaran kuat, semalam.
RUNTUH...beberapa individu sedang memerhatikan tembok penjara di wilayah Aceh, Indonesia runtuh susulan gempa bumi kuat bermagnitud 8.7 hari ini. - Foto AP
BOT nelayan di India kelihatan berlabuh di Laut Arab iaitu di pantai Pali, kampung Pali, Thane. Pantai Pali terletak berdekatan Mumbai, India. Dalam kejadian gempa bermagnitud 8.7 itu, amaran tsunami turut dikeluar sekitar Kepulauan Andaman dan Nicobar, India. - Foto EPA
Penduduk Ladang Gemilang Gempar; Flet ‘Huyung’ 10 Minit
KUALA TERENGGANU – Penduduk Pangsapuri Ladang Gemilang disini gempar apabila kediaman mereka bergegar dan menyebabkan rasa ‘huyung’ selama kira-kira sepuluh minit bermula pada jam 4.30 petang pada Rabu 11 April.
Buletinonline dimaklumkan oleh seorang pemuda Zawawi Embong tentang kejadian tersebut apabila beliau yang menunaikan solat Asr di surau berhampiran melihat penghuni flet terbabit turun beramai-ramai dalam keadaan cemas.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang Dato’ Tengku Hassan Omar yang turut mendapat khabar yang ama telah bergegas melawat flet berkenaan.
Menurutnya, gegaran flet berkenaan adalah kesan gempa bumi kuat 8.6 berskala Ritcher yang berlaku 325km di barat daya Simeulue Indonesia, di luar pantai Sumatera Utara.
“(ia berlaku kerana) gempa bumi di Indonesia, kuat petang ini, sebab itu rasa gegarannya,”katanya yang ditemui di perkarangan flet tersebut.
Menurut seorang penduduk Ngah bin Boto’, beliau tidak mengetahui ada berlaku gempa bumi tetapi merasa ‘huyung’ dan turun ke bawah apabila melihat lain-lain penghuni flet 16 tingkat turun.
“Memang huyung, masa nak turun pun rasa huyung lagi, (ia berlaku) dalam 10 minit, rasa hanyut begitu macam naik motor ke laut,
“saya tengok semua orang ‘bbadi’ turun, saya pun turun (dari flet),”ujar beliau yang tinggal di tingkat 10.
Sementara itu, kejadian panik tersebut telah menyebabkan ahli-ahli keluarga turut menolak turun warga tua yang uzur kerana bimbang akan keselamatan nyawa masing-masing.
Pihak polis dan bomba yang tiba kira-kira jam 5.30 petang telah melakukan pemeriksaan, kemudiannya telah mengumumkan flet tersebut selamat dan para penghuni boleh pulang ke rumah masing-masing pada jam 6.20 petang.
Beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang juga merasai gegaran ekoran gempa bumi tersebut
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kepada orang ramai menjauhi kawasan pantai di Kedah, Perlis, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak yang berpotensi berlakunya tsunami.
Namun sehingga lewat malam tidak ada Tsunami yang dilaporkan berlaku dan menurut beberapa media antarabangsa amaran awal yang dikeluarkan di negara India serta indonesia telah ditarik balik. -buletinonline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan