15 Apr 2012

Bayi Ditemui Atas Bonet Kereta Dekat Masjid

Muar: ‘Nama Ayah, Khairulanam, nama ibu, Sri Susanti dan nama anak, Salamiah Hasanah’. Itu nota ditemui di dalam beg sukan mengandungi bayi perempuan baru dilahirkan yang diletak di atas but sebuah kereta milik Pengerusi Masjid Kampung Parit Pechah, Parit Jawa, Abdul Rashid Sirat, 72, di sini, semalam.

Menurut Rashid, nota berkenaan itu tertulis ‘Kami tak mampu untuk menguruskan dan akan menunggu dia di Jakarta kelak’.

“Saya baru selesai menunaikan solat Subuh dan mahu menghidupkan enjin kereta apabila terpandang kotak gabus diletakkan di atas but.

“Saya sangka ada orang tercicir kotak itu sebelum tergerak untuk membukanya. Apabila dibuka, ia mengandungi beg dan saya terdengar suara bayi menangis,” katanya.

Menurut Rashid, dia terus membuka zip beg dan menemui bayi perempuan cukup sifat yang dibersihkan dan dibalut tuala namun masih bertali pusat.

Katanya, sebelum itu, dia serta jemaah lain terdengar deruan enjin motosikal masuk ke kawasan masjid, namun menyangka ia penduduk yang mahu bersolat.

“Namun sejurus penemuan itu, kami terus menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian,” katanya.

Bayi perempuan itu sempat diazankan jemaah masjid, Ustaz Sulaiman Sarip, 50-an, sebelum dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Kami masih mengesan ibu bapa bayi berkenaan dan pada masa sama meminta kerjasama orang ramai yang ada maklumat supaya tampil membantu siasatan,” katanya. -HM

COMEL... bayi perempuan yang ditemui dalam kotak atas but kereta.



Bayi Ditemui Atas Bonet Kereta Dekat Masjid

Muar – “Saya sangka ada orang hantar barang, tetapi terkejut apabila buka kotak ini terdapat satu beg hitam mengandungi seorang bayi perempuan yang sedang menangis dalam keadaan berpeluh,” kata Abd Rashid Sirat.

Bayi malang yang masih bertali pusat dan hanya dibalut dengan tuala dijumpai oleh Abd Rashid ditinggalkan dalam kotak polistren putih di atas bonet kereta Honda Civic miliknya di sebuah masjid di Parit Pechah, Parit Jawa dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, Abd Rashid menyedari kewujudan kotak itu ketika menghampiri keretanya untuk pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.

Menurutnya, walaupun berasa pelik tetapi dia tergerak hati untuk membuka kotak itu dan terkejut melihat seorang bayi perempuan sedang menangis.

“Tanpa berlengah saya segera memanggil jemaah lain yang masih berada dalam masjid untuk memaklumkan penemuan bayi ini. Mujur saya cepat buka kotak ini, jika tidak pasti bayi malang ini sudah lemas kerana kotak polistren putih ini kedap udara,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Turut ditemui dalam beg itu ialah sekeping kertas mengandungi nama bayi berkenaan iaitu Salamiah Hasanah Khairulanam dan ibunya, Sri Susanti serta pesanan mengatakan tidak mampu memelihara bayi itu dan akan menunggunya di Jakarta, Indonesia.

Abd Rashid berkata, dia tidak pasti berapa lama bayi itu ditinggalkan kerana sewaktu tiba di masjid kira-kira jam 5.30 pagi tidak menemui sebarang kotak atau tiada kelibat individu mencurigakan berhampiran masjid itu.

Katanya lagi, dia dan rakan-rakan membawa bayi itu masuk ke dalam masjid supaya tidak kesejukan sebelum membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi malang itu.

“Berdasarkan tali pusat yang masih melekat pada bayi, kemungkinan bayi itu baru dilahirkan beberapa hari lalu.

“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Jelas beliau, polis kini sedang giat mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Selain itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu menghubungi IPD Muar atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-SH


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah bayi itu tidak dicampak ke dalam sungai atau tempat sampah.

Masih ada 'akal' utk letak kat kawasan masjid.

AzMiR

Tanpa Nama berkata...

Aku setuju dgn kau Azmir