7 Apr 2012

23 Terhidu Gas Bocor Di Loji Petronas Kertih, Bagaimana Kata Lynas Selamat?

23 pekerja terhidu gas dikejarkan ke hospital

DUNGUN - Kira-kira 300 pekerja yang baru memulakan kerja lebih masa di Loji Memproses Gas Petronas, Kerteh, Kemaman gempar apabila mereka terhidu gas dipercayai ammonia kelmarin.

Gambar: SALAH seorang pekerja yang terhidu gas ammonia dimasukkan ke wad Hospital Dungun kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika kesemua pekerja sedang memasuki salah sebuah loji untuk melakukan kerja-kerja penambahbaikan di loji tersebut.

Kejadian itu mengakibatkan sebanyak 23 pekerja terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami pedih mata, loya dan muntah-muntah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15 pekerja dirujuk ke Hospital Dungun dan seorang lagi yang berusia 28 tahun terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selepas mengalami simptom yang lebih serius.

Pekerja-pekerja yang lain menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan, Paka di sini.

Menurut Penyelia Keselamatan loji berkenaan, Fazeli Alias, 29, ketika kejadian, kira-kira 50 pekerja sudah memasuki loji berkenaan manakala sebahagian lagi menunggu giliran untuk masuk.

"Tiba-tiba kami terhidu bau busuk dan bergegas ke pejabat tapak untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini. -kosmo

24 dirawat terhidu gas bocor

DUNGUN: “Saya menjerit supaya rakan mencari kunci pintu pagar sebaik mendapati beberapa rakan pengsan,” kata Shamsul Fitri Mohamad, 21, menceritakan detik cemas kebocoran gas di tempat kerjanya di Pusat Memproses Gas (GPP) 3, di Kerteh, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, 16 pekerja kontrak dikejarkan ke Hospital Dungun manakala lapan lagi menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka selepas mengalami sesak nafas akibat terhidu gas terbabit yang tidak diketahui punca dan dari mana berlakunya kebocoran itu.

Mangsa, Wan Mohd Yuzairi Wan Ismail, 28, dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

Lima lagi kakitangan terbabit iaitu Muhamad Sardjuni Abdullah, 48, Mohd Firdaus Mohd Ibrahim, 23, Mohd Zawawi Lokman, 27, Mohd Saiful Rizal Saidin, 25, dan Wan Mohd Shapawi Wan Ibrahim, 36, ditahan di wad Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Shamsul Fitri berkata, ketika kejadian, dia bersama sekumpulan 50 pekerja melakukan kerja lebih masa memasang besi perancah untuk membaiki dan membaik pulih loji terbabit jam 8 malam.

“Ketika itu saya dengar amaran kebocoran gas melalui alat walkie-talkie daripada penyelia sebelum kami berlari ke pintu utama untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Paka, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, sebaik tiba di pintu pagar terbabit, suasana menjadi kelam-kabut selepas dia dan rakan mendapati pintu utama berkunci menyebabkan dia menjerit mengarahkan rakan lain mencari kunci.

“Gas busuk terbabit semakin kuat sehingga masuk dalam tekak dan tiga rakan pengsan. Keadaan itu menyebabkan saya menjerit supaya mereka segera mencari kunci pintu terbabit,” katanya.

Shamsul Fitri berkata, dia bersyukur apabila 15 minit selepas itu pintu pagar berjaya dibuka sebelum semua mereka keluar dari tapak kerja dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka oleh rakan yang berada di luar pintu pagar terbabit.

“Saya bersyukur kerana semua rakan yang terbabit kejadian itu selamat dan sekiranya kunci itu lambat ditemui sudah tentu kejadian lebih buruk berlaku kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, beliau bergegas ke Hospital Dungun untuk mengetahui lebih lanjut keadaan mangsa sebaik menerima laporan yang berlaku ke atas pekerja terbabit.
-hm


50 pekerja nyaris maut

PAKA - Seramai 50 pekerja di tapak binaan di kawasan industri minyak dan gas dekat sini, berdepan detik cemas setelah mengalami sesak nafas dipercayai terhidu gas ammonia yang bocor.

Kejadian dipercayai berlaku lebih kurang jam 8.15 pagi, ketika kira-kira 100 pekerja sebuah syarikat kontrak di kawasan industri petrokimia Petronas dekat Kerteh, Paka melakukan kerja teknikal.

Beberapa pekerja dikatakan secara tiba-tiba mengalami sesak nafas, pening, loya selain muntah-muntah dan terdapat beberapa pekerja turut pengsan.

Sebaik menyedari kejadian terbabit, semua pekerja diarahkan berpindah ke lokasi lain termasuk ada yang menyelamatkan diri masuk ke dalam bangunan sebelum mangsa dipindahkan secara berperingkat ke lokasi lain yang difikirkan selamat.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka, Klinik Kesihatan Rantau Petronas serta Hospital Dungun dengan ambulans dan kenderaan persendirian.

Sehingga jam 2 awal pagi semalam, lebih 20 mangsa menerima rawatan di Hospital Dungun, dua daripadanya, Mohd Zawawi Lokman, 26, dan Mohd Sarjun Abdullah, 48, terpaksa ditahan di wad Hospital Dungun untuk rawa-tan lanjut, manakala yang lain dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.

Sehingga jam 8 pagi semalam, semua mangsa yang terlibat dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan dan sehingga jam 9 pagi semalam, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkenaan berkaitan insiden yang disifatkan kes terpencil itu.

Pintu pagar berkunci

“Ketika menyedari ada sesuatu yang tidak kena, saya dan rakan terus keluar dari bangu-nan untuk menyelamatkan diri, namun kami tidak dapat keluar kerana pintu pagar yang dikunci,” kata salah seorang mangsa yang dipercayai terhidu gas beracun di kawasan industri petroleum dan gas dekat Paka, Kerteh, Shahrul Fitri Mohmmad, 21, malam kelmarin.

Ketika kejadian Shahrul Fitri dikatakan baru memulakan tugasnya sebelum tiba-tiba berasa pening lalu sesak nafas.

Menurutnya, menyedari keadaan yang tidak selamat itu, dia cuba menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam bangunan, namun dia bersama rakan lain diarahkan keluar semula dan mencari lokasi lain yang lebih selamat.

“Kami cuba untuk keluar daripada kawasan tersebut, namun keadaan pintu pagar utama yang berkunci menghalang kami berbuat demikian. Bagaimanapun, setelah arahan dikeluarkan pihak atasan, pintu pagar mula dibuka dan kami bergegas keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Kata Shahrul Fitri, dalam keadaan cemas itu, dia sempat melihat beberapa rakan sekerjanya tiba-tiba tidak bermaya dan lebih teruk ada yang pengsan.

“Saya bersyukur kerana selamat, namun tragedi yang berlaku ini amat mengejutkan saya,” katanya yang baru sebulan bekerja di kawasan berkenaan.

Mangsa loya, muntah

Mangsa gas beracun, Mohd Saiful Rizal Saidin, 24, memberitahu, dia mengalami rasa loya lalu muntah beberapa kali sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, ketika itu, dia mendengar ada pengumuman supaya semua pekerja yang berada di lokasi berpindah ke tempat lain kerana ada kecemasan.

“Tiba-tiba, kepala saya rasa pening lalu terus muntah. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana terselamat dalam tragedi tidak diduga itu,” katanya yang sudah setahun bekerja di syarikat berkenaan.

Pemimpinn Pas ziarah mangsa

Tragedi kebocoran gas beracun yang hampir meragut nyawa lebih 50 pekerja kontrak di kawasan Industri Petroleum dan Gas dekat Paka Kerteh turut mendapat reaksi segera daripada beberapa pemimpin politik.

Sebaik menerima maklumat berkaitan kejadian terbabit, rombongan beberapa pemimpin Pas Kawasan Dungun diketuai Yang DiPertua Pas Kawasan, Wan Hassan Mohd Ramli meluangkan masa hampir satu jam bertanya khabar keadaan mangsa, selain mendoakan agar kesemua yang terlibat kembali stabil selepas melalui detik mencemaskan itu.

Hadir sama, beberapa pemimpin Pas lain termasuk Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan, Satiful Bahari Mamat dan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan, Azman Shapawi Abdul Rani.

Bomba kerah dua jentera

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba negeri Roslan Mat Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.30 malam.

“Dua jentera bersama lapan anggota dan pegawai dikerahkan ke tempat kejadian bagaimanapun pihak bomba gagal mengesan kebocoran gas di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata pihak bomba percaya gas ammonia tersebut adalah dipercayai bawaan angin, namun mereka masih memantau keadaan di loji terbabit untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sementara itu, Petronas menafikan kejadian pelepasan ammonia berpunca dari mana-mana lojinya di Kompleks Industri Petroleum Petronas di Kerteh.

Menurut kenyataan Pejabat Wilayah Pantai Timur Petronas Kerteh, pihak berkuasa masih menyiasat insiden itu.

Adalah dipercayai pelepasan gas tersebut berlaku di sebuah loji lain yang tiada kaitan dengan syarikat petroleum negara itu.

Kejadian itu melibatkan 23 kakitangan kontraktor, Hyundai PFCE, yang sedang menjalankan kerja menyenggara di loji Petronas, terhidu gas itu sehingga menyebabkan mereka dihantar ke beberapa pusat perubatan di Kerteh, Dungun dan Kuala Terengganu.

Sehingga tengah hari tadi, 22 daripada mereka telah dibenarkan pulang dan pihak Petronas telah menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terlibat.

Menurut kenyataan itu, keadaan di kawasan loji Petronas adalah terkawal dan selamat serta pihak syarikat telah mengambil segala langkah-langkah kawalan yang diperlukan.
-SH


Ulasan GB

Itu kebenaran yang terdedah sebelum Lynas beroperasi.

Kebocoran gas ammonia di Pusat Memproses Gas (GPP) 3, Kerteh menyebabkan 23 pekerja (Metro menyebut 24) berdepan dengan maut.

Tuhan sudah memberikan amaran awalNya.

Masih degil lagikah?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pencacai dab pemimpin UMNO/BN je yang kata kilang nadir tuh selamat.

Jalan penyelesaiannya undilah Pakatan Rakyat masa PRU-13 nanti.

Sebab DSAI dah lafazkan janji jika Pakatan memerintah kilang tuh batal. Kita 'pulangkan semula' ke tuan dia di australia sana.

Ekonomi ekonomilah jugak tapi taklah samapai sediakan tali untuk jerat leher sendiri.

Kepimpinan daripada UMNO dan BN memang sudah tidak sesuai diberi mandat baru.