28 Mac 2012

[Bergambar] Makmal Sekolah Dinaiki Air, Pelajar Terpaksa Belajar Dalam Banjir

Pelabuhan Klang -- Beberapa pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah di sini terpaksa belajar dalam banjir apabila makmal sekolah itu dinaiki air akibat banjir kilat kira-kira pukul 9.00 pagi tadi. Foto Osman Adnan

Pengetua sekolah berkenaan Rahmah Arsad berkata banjir kilat itu berpunca dari hujan lebat yang turun tanpa henti kira-kira sejam serta dipercayai akibat masalah longkang tersumbat ekoran dipenuhi sampah sarap.

Beliau berkata kejadian banjir itu bukan yang pertama dan sering berlaku setiap kali hujan turun dengan lebat dan berpanjangan.

"Saya masih ingat ketika memulakan tugas pada November lepas, saya juga 'disambut' dengan kejadian banjir kilat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rahmah berkata perbincangan juga sering diadakan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari semasa ke semasa namun masalah sama tetap berulang.

Beliau berkata setiap kali banjir, sekolah terpaksa menanggung kerugian beribu ringgit bagi menggantikan peralatan kelas seperti kerusi dan meja yang rosak kerana ditenggelami air. -- Bernama






Sekolah kena banjir sejak 1963

KLANG: Hampir 2,000 warga sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah (STAR) di sini, semalam meneruskan rutin harian persekolahan walaupun terpaksa meredah banjir kilat separas lutut.

Pengetuanya, Rahmah Arsad, berkata hujan lebat selama kira-kira 30 minit bermula jam 8.30 pagi menyebabkan air naik dengan cepat sebelum melimpah masuk ke kelas di tingkat bawah bangunan sekolah.

Bagaimanapun, katanya, sesi pembelajaran tetap diteruskan seperti biasa berikutan kejadian itu bukan kali pertama, malah warga sekolah sudah lali dengan banjir kilat setiap kali hujan lebat.

“Masalah ini dibincangkan hampir setiap tahun tetapi ia masih belum dapat diselesaikan. Ia bukan saja dibincangkan pada Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), malah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPNS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK),” katanya ketika ditemui di sekolah itu.

Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim turut meninjau keadaan sekolah berikutan banjir itu.

Penolong Kanan Pentadbiran STAR, Raja Rozita Raja Hanafi, berkata sekolah itu berdepan masalah banjir sejak dibuka pada 1963.

Katanya, kedudukan sekolah di kawasan lembah dan dikelilingi jalan raya lebih tinggi menyebabkan sekolah berkenaan menjadi tempat takungan air.
“Sekolah ini juga dilanda banjir kilat semalam (kelmarin) sebelum surut dalam masa dua jam tetapi hari ini (semalam) keadaan lebih teruk. Kami bimbang kerana haiwan berbisa seperti ular pernah ditemui ketika banjir kilat,” katanya.

Raja Rozita berkata, sekolah sentiasa bersedia menghadapi keadaan itu setiap kali musim hujan terutama ketika peperiksaan besar berlangsung.

Katanya, pelajar yang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan ditempatkan di dewan atas bagi mengelak berlaku sebarang masalah.

Pelajar, R Veeshnu, 16, berkata dia sentiasa membawa selipar setiap kali musim hujan bagi mengelak kasut sekolah basah.

Katanya, banjir yang berlaku tidak mematahkan semangat pelajar meneruskan sesi pembelajaran, malah ia dianggap satu cabaran untuk berjaya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam (JKPA) MPK, Norfiza Mahfiz ketika dihubungi berkata, MPK sedia maklum dengan apa yang berlaku dan akan mengambil tindakan segera bagi menanganinya.

Katanya, MPK akan mengadakan kerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mencari jalan terbaik berhubung isu banjir itu.

Norfiza meminta orang ramai segera menghubungi talian 1800 88 23826, 03-33714404 atau menghantar SMS ke 012-2303781 jika berlaku banjir di kawasan mereka. -BH

Tiada ulasan: