28 Mac 2012

Siapa Bakal Kena Terajang Lembu UMNO: Pijat Or Pidot?

Rafidah: Buang pijat tapi jangan buang kelambu

Bekas ketua wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz mengingatkan penyokong BN supaya tidak "membakar kelambu" dalam pilihan raya akan datang, semata-mata kerana marah dengan seseorang pemimpin atau sesuatu isu.

Katanya, isu berkenaan tidaklah terlalu besar sehingga "kelambu BN" itu patut dibakar atau dibuang dalam pilihan raya.

"Kerana kelambu BN, memanglah ada lubang di sana sini, maklumlah, tapi kelambu ini jangan dibuang, kalau ada lubang bantu baiki balik.

"Kalau ada pijat di dalam itu yang hendak mengacau kita itu kerja kita (untuk) buang pijat tapi kelambu jangan dibuang," katanya lagi dalam satu pertemuan bersama penggiat media sosial di Kuala Lumpur malam tadi.

Kenyataannya mengenai "pijat" itu mencuit hati para hadirin apabila beliau pada masa sama ditanya mengenai tegurannya kepada ketua wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang popular dengan nama timangan "Kak Ijat."

Jelasnya, gesaannya kepada Shahrizat supaya meletak jawatan daripada jawatan kabinet itu dibuat demi keuntungan parti dan bukannya untuk mendapatkan jawatan itu semula.

Beliau juga membuat teguran demikian kerana jentera parti perlu bekerja untuk menjelaskan isu melibatkan syarikat National Feedlot Corporation (NFC) yang diusahakan keluarga Shahrizat.

"Awal-awal saya kata kepada Shahrizat, kalau dia membebankan parti ambil keputusan supaya parti kita dapat terlepas daripada kejejasan.

"Mungkin dia fikir tak terjejas, itu terpulang kepada orang yang tahu dia dan maklum. Tapi kalau saya bercakap lain pandangannya,"
kata Rafidah lagi.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau terkejut apabila menerima satu SMS apabila mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Bila saya kata suruh dia letak jawatan tempoh hari, saya dapat SMS, 'dah tua bangka ni, hendak lagi jawatan tu.'

"Dia kata memanglah saya suruh dia resign sebab saya hendak balik jawatan itu," katanya lagi tanpa mendedahkan nama pengirim SMS tersebut, ketika ditanya dalam program berkenaan.

Jelasnya, beliau menyatakan teguran berkenaan memandangkan beliau mendengar sentimen di akar umbi dan mendengar cakap-cakap di sekelilingnya mengenai isu itu.

"Saya duduk kat rumah itu bukan saya tak dengar orang bercakap. Bila saya ditanya pemberita, saya jawab. Kalau saya tak mahu jawab, saya kata 'no comment'.

"Bila saya kata begitu sebab kita kena jelaskan. Bukan saya saja, orang GERAKAN pun kata 'aiya, banyak susah mau explain',"
kata Rafidah lagi.

Selain Rafidah, turut lantang menyuarakan kritikan ke atas Shahrizat sebelum ini ialah naib ketua pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim yang menggesa Shahrizat supaya melepaskan jawatan ketua Wanita Umno demi menjaga kredibiliti parti, sayap, BN dan kerajaan.

Shahrizat bagaimanapun mendapat sokongan padu daripada presiden parti, Datuk Seri Najib Razak dan juga pemimpin tertinggi Umno supaya mengekalkan jawatan tersebut.

Selain itu Rafidah turut ditanya mengenai tindakan Shahrizat yang mencabar beliau untuk jawatan ketua Umno dalam pemilihan parti Mac 2009, walaupun selepas beliau berjanji untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Shahrizat.

Rafidah ditanya demikian memandangkan Shahrizat kini dilanda pelbagai kontroversi melibatkan projek NFC dan juga tewas di kerusi parlimen, sedangkan beliau sendiri masih tetap terpilih di kerusi Kuala Kangsar pada pilihan raya 2008.

"Saya tak tahu apa yang berlaku pada orang, tapi masa saya kalah lawan ketua wanita, tak jadi masalah buat saya, tak jadi kudis kepada saya.

"Tapi kita dah janji kan, ada peralihan pada bulan Jun (2009). Dia hendak lawan juga. Jadi saya kata kita lawanlah. Kalah menang Tuhan menentukan.

"Kalah tak jadi masalah buat saya, jawatan ini bukan hendak dibawa ke kubur. Tapi saya tak jadi ketua saya risau juga pada wanita Umno," katanya yang menegaskan bahawa beliau "tidak ada rasa pun" untuk menjawat jawatan itu sekali lagi. -mk

Ulasan GB

Baru-baru ini Najib meminta Wanita UMNO terus beri sokongan kepada "Pijat", dan diberitakan hanya 5 Ketua Wanita UMNO negeri menyatakan sokonagnnya kepada Pijat.

Bererti 13-5, ada 8 lagi Ketua Wanita yang belum/tidak menyatakan sokongan kepada Pijat.

Apakah Pidot masih ada pengaruhnya di dalam Wanita UMNO?

Kita sama-sama nanti saksikan aksi lembu-lembu NFC, siapa yang bakal diterajangnya.


3 ulasan:

matABU berkata...

Pemimpin UMNO ni nampaknya satelah TIDAK lagi pegang sebarang jawatan tinggi baru berfikir cara rasional.Masa jadi menteri atau tim.menteri cakap macam budak-budak tadika.Agaknya jawatan tinggi boleh menjadikan seorang tu "terencat akal".

Tanpa Nama berkata...

buang aje kelambu tu ! kelambu tu dah lama sangat dah uzur dah koyak rabak jadi tempat tinggal nyamuk nak buat apa simpan,buang aje! ,masuk dalam kelambu yang jadi tempat tinggal nyamuk abih lee badan gatal-gatal kena gigit nyamuk silap-silap dapat penyakit, tukar aje lee kelambu baru , abih cerita.

Tanpa Nama berkata...

kedua-duanya lembu dan kuda tunggangan najib dan mahathir