7 Feb 2012

Angkara RM100 Palsu Yang Dibayar Penumpang, Pemandu Teksi Hampir Bergaduh

Nyaris dibelasah tukar RM100

PETALING JAYA: Seorang pemandu teksi nyaris dibelasah pemandu teksi lain gara-gara disangka cuba menipu dengan memberi wang palsu RM100 sebagai duit tukar dalam kejadian berhampiran Masjid Putra, Putrajaya, malam kelmarin.

Menceritakan semula detik yang mencetuskan salah faham itu, Mohd Fairus Ahmad Jahari, 34, berkata dia memperoleh duit palsu RM100 itu daripada tiga penumpang warga Bangladesh berusia 30-an ketika mengambil mereka di stesen transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya, jam 9.30 malam.

Menurutnya, penumpang terbabit meminta untuk dihantar ke Putrajaya dan diturunkan di kawasan masjid berkenaan sebelum menyerahkan wang palsu itu sebagai tambang.

“Saya mengenakan tambang RM42 dan penumpang terbabit menyerahkan sekeping not RM100. Memandangkan saya tidak cukup duit kecil untuk memulangkan baki tambang lalu saya menukar duit RM100 itu dengan pemandu teksi lain.

“Ketika mahu beredar selepas menyerahkan baki tambang kepada penumpang terbabit, tiba-tiba pemandu teksi yang saya temui untuk menukar wang itu menghalang teksi saya sebelum keluar dari kenderaannya dalam keadaan marah,” katanya.

Katanya, pemandu teksi terbabit menuduhnya cuba menipu dengan memberi wang palsu dan menahannya bersama empat rakan lain serta hampir memukulnya
.

“Berdebar jantung saya apabila dikepung dan dituduh cuba menipu mereka. Bagaimanapun, mereka memahami keadaan sebenar selepas saya menjelaskan memperoleh duit itu daripada penumpang,” katanya.

Mohd Fairus berkata, dia dan kumpulan pemandu teksi terbabit berpakat mencari tiga penumpang yang menggunakan duit palsu itu dan menemui mereka dalam kawasan masjid berkenaan.

“Kami mengejar tiga penumpang itu, namun hanya memberkas seorang daripada mereka manakala dua lagi melarikan diri.

“Lelaki terbabit diserahkan kepada anggota peronda polis sebelum dibawa ke Balai Polis Putrajaya, Presint 7, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, dia sudah banyak kali ditipu penumpang yang membayar tambang menggunakan wang palsu, namun ini kejadian kali pertama diberi not palsu RM100.

“Saya banyak kali tertipu dengan wang kertas palsu terutama not RM10 dan RM50. Mereka sangat licik apabila cepat-cepat beredar selepas menerima baki tambang sehingga sukar untuk dikesan.

“Penumpang bayar guna duit palsu yang kita tidak boleh gunakan untuk apa-apa. Sedangkan dia dapat baki dari wang tulen,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Mak Pak Chuai, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan dan katanya suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menggunakan wang palsu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Tiada ulasan: