2 Jan 2012

Tragedi UPSI: Pandangan Dr. Juanda Dan Dr Asri

Juanda: ‘Polis patut bertindak dengan bijaksana bukan kemarahan’

KUALA LUMPUR, 1 Jan — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menegaskan anggota polis perlu mengambil tindakan dengan bijak dan bukan bertindak di luar batasan sehingga menyebabkan kepada kecederaan orang awam.

Menurut Juanda, insiden tindakan kasar polis semasa menghuraikan demonstrasi aman mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi amat membingungkan.

Beliau berkata sekiranya tindakan itu diambil dengan perasaan marah ia tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan bertambah teruk.

Tambah Juanda, sepatutnya kedua-dua belah pihak berunding untuk mencari jalan penyelesaian terlebih dahulu bagi mengelakkan masalah lain seperti kecederaan.

“Pembantaian mahasiswa di UPSI amat membingungkan. Kenapa sampai perlu menumpahkan darah sesama sendiri yang diharamkan oleh agama? Apakah pintu musyawarah (berunding) sudah tertutup?

“Kemarahan tidak akan selesai dengan memarakkan kemarahan. Masing-masing ada hak untuk bertindak, maka jagalah batasan hak masing-masing,”
katanya dalam tulisannya di laman Facebook.

Awal pagi tadi beberapa mahasiswa yang mengadakan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik di UPSI telah ditahan polis kerana ingkar arahan pihak berkuasa yang mengarahkan mereka bersurai.

Kumpulan mahasiswa itu mendakwa polis telah bertindak kasar dengan “memukul, menendang dan menumbuk” mereka, yang menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang dihantar ke Hospital Slim River kerana tidak sedarkan diri.

Difahamkan dianggarkan seramai 60 orang mahasiswa telah mengadakan demonstrasi di kampus itu bermula malam tadi bagi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan menuntut solidariti untuk Adam Adli Abdul Halim, yang menjadi perhatian kerana menurunkan kain rentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur bulan lalu.

Pemimpin PKR dan DAP mengkritik tindakan kasar polis terhadap kumpulan mahasiswa itu.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan anggotanya bertindak kasar semasa menghuraikan demonstrasi dengan menegaskan “tiada pergelutan” yang berlaku semasa tangkapan dibuat.

Tambah Juanda, pihak polis sepatutnya bertindak secara bijaksana dalam menghuraikan demonstrasi itu.

“Sewaktu api fitnah sedang mara menjulang, pihak berkuasa sewajarnya mencari sesuatu yang sudah semakin hilang pada hari ini, iaitu kebijaksanaan.

“Ya, anda ada kuasa, tetapi biarlah orang hormat dan hargai kuasa anda, bukannya memarakkannya dengan fitnah kebencian,” katanya. -TMI

Dr Asri: Dua formula selesai isu demo Upsi

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya bagi menyiasat kontroversi terbaru membabitkan perhimpunan menuntut kebebasan akademik di pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) semalam yang bertukar ganas, kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu, pemerhati politik dari Universiti Sains Malaysia ini juga menyarankan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang sebelum ini menjadi fokus isu-isu generasi muda dan penuntut universiti, agar mengadakan satu pertemuan antara polis dan mahasisawa yang terbabit dalam perhimpunan bagi mencari jalan penyelesaian.

Asri berkata, beliau telah memberi pendapat itu kepada Saifuddin semalam, beberapa jam selepas insiden di pintu masuk utama Upsi pada awal pagi tahun baru 2012.

"Saya juga telah beri pendapat tadi (semalam) kepada Datuk Saifuddin agar berjumpa dengan ketua operasi polis dan pihak pelajar secara tertutup.

"Siasat. Bawa peguam yang baik untuk bersoal jawab. Mungkin hakikat sebenar dapat ditemui," kata bekas Mufti Perlis ini dalam satu kenyataannya awal pagi ini.

Laporan media menyebut beberapa pelajar pusat pengajian tinggi tercedera manakala 17 orang ditahan polis. Bagaimanapun kesemua mereka yang ditahan telah dibebaskan petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Shukri berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua anggota SMM akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan adalah tidak benar dan merupakan fitnah.

Bagaimanapun tindakan polis dikritik beberapa pihak.

Peguam-peguam yang mewakili mahasiswa terbabit bercadang mengadakan tindakan undang-undang.

Asri yang kini merupakan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, bukan semestinya pihak berkuasa bersetuju dengan tuntutan kumpulan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan, tetapi mereka tidak wajar diperlakukan sedemikian.

"Jika mahu tahan, tahan dengan prosedur yang betul, bukan pukul. Menindas mereka hanya membangkitkan sentimen kebencian kepada pihak kerajaan yang nanti tidak dapat diubati lagi.

"Kena ingat apa yang berlaku di Tunisia.

Suruhanjaya siasatan perlu dibuat. Saya di UK, diberikan pelbagai maklumat dari pelbagai pihak. Ada yang sokong, ada yang marah," katanya yang turut mengulas isu ini menerusi Twitter semalam.

Tambah beliau, "saya juga menjemput sekali lagi anggota polis di mana sahaja, membaca surat terbuka saya kepada polis yang saya tulis beberapa bulan lepas."

"Mungkin ada yang boleh diambil manfaat. Saya sedar polis juga ada tanggungjawab mereka, tapi kena cermat dan teliti," katanya lagi.

Surat itu disiarkan oleh beberapa portal pertengahan tahun lalu ketika isu perhimpunan Bersih 2.0 hangat diperkatakan.

Sambil berkata beliau terkejut melihat beberapa mahasiswa yang menyertai demonstrasi tercedera, Asri berkata, jika terbukti pihak polis yang memukul mereka, ia sesuatu yang malang bagi negara.

"Apa pun kena siasat siapa yang salah," kata beliau sambil menambah, "saya berpendapat golongan terpelajar mesti diberi ruang bersuara dengan syarat aman daripada (kejadian) rusuhan."

"Jika mereka diganggu atau dicederakan, ia petanda kezaliman sesuatu pemerintahan," katanya lagi. -SH


10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pengajaran dari kisah UPSI ialah anggota PDRM kurang berpengalaman untuk menangani demonstrasi dan mereka mempunyai kecederungan untuk bertindak ganas. Ini ialah satu topik yang baik untuk buat PhD.

Isu utama yang sedang dihadapi oleh mahasiswa UPSI ialah graduan UPSI tiada tempat untuk mengajar.

Cara penyelesaiannya ialah melakukan conversion ijazah Sarjana Muda Pendidikan kepada ijazah Sarjana Muda Sains/Kejuruteraan/Sains Komputer/Pentadbiran Perniagaan/Ekonomi dengan PGCE yang mempunyai nilai mata kredit untuk ijazah sarjana (perlu ditambah setahun atau setahun setengah lagi) supaya graduan UPSI lebih mempunyai nilai komersil.

Apabila ini dilakukan, peristiwa UPSI pasti tidak akan berlaku lagi

Tanpa Nama berkata...

kerajaan REJIM UMNO sudah takut bedepan dengan RAKYAT, curi wang cukai RAKYAT REJIM UMNO tidak takut,guna anjing suruhan REJIM UMNO untuk bertindak kejam terhadap RAKYAT.

Tanpa Nama berkata...

Pertembungan ini adaah hasil tekanan yang wujud antara dua pihak.POLIS menerima tekanan tetapi dari siapa?.Pelajar memberi tekanan kerana mereka berpendapat AUKU adalah zalim untuk mereka serta tindakan ke atas Adam Adli oleh pihak UPSI melangkaui batasan undang-undang iaitu atas Akta apa sehingga sedemikian hukumnya.
Bagi pelajar ini ADAKAH KERJAAN UMNO SEKARANG sudah jadi kuku besi sehingga tidak boleh ditegur secara baik atau kasar?.
KEPADA DATUK SAIFUDDIN minta YAB bertindak untuk menyejukkan suasana ini.Natijah keganasan polis adalah kepada negara bukan kepada pemimpin umno.

Tanpa Nama berkata...

AGAK2 NYA..
KALU ANAK2 POLIS TU, BAKAL CIKGU DEPA NI BUAT MACAM BAPAK POLIS TU BUAT...
APA JADI AGAKNYA, SOKONG TAK DIA ??
TUGAS CIKGU TU MENDIDIK, KALU "POLIS" BUAT KURANG AJAR" , PILIH PADA ANAK2 POLIS SAHAJA.. APA KATA ?? KOT MANA TAHU.. DENDAM RAKYAT MALAYSIA..
PIKIQ2 LA,....

Tanpa Nama berkata...

Sejak dulu lagi rakyat ditipu dan dianiayai. Ingat lagi tak kes yang menyebabkan mata DSAI lebam dulu? siapa punya angkara kalau bukan KPN?

Tanpa Nama berkata...

Ingatlah wahai polis yang terlibat...suatu masa anak-anak tuan juga akan menerima nasibnya jika tidak pada tuan. Allah maha adil, nantikanlah pembalasannya.
Esok-esok bila pencen janganlah menyesal.

Tanpa Nama berkata...

Selepas kerajaan tumbang kelak, kita pecat semua anggota polis dimulai dengan KPN dan Ketua Polis Negeri.

Larasepi berkata...

BUAT PERTAMA X aku lihat komen2 rasional bernas n ada fakta..harap2 pihak yg berkaita dgn isu inipun tergerak sikit minda tu..bak kata Dr Asri igt Tunisia...kalo dah lama sgt kat atas tu sehingga lost touch,,drg lesuara logik n rasional..ni bkn si pengampu n sokong yg bawa rebah,,pokoknya hanya jauhari mengenal manikam...renung2kanlah..

Tanpa Nama berkata...

adalah dicadangkan supaya 2 mufti ini dijemput oleh PDRM untuk memberi tazkirah di surau-surau dalam kawasan barek polis dalam hal-hal kemanusian dan kehidupan sejagat,mungkin terbuka hati-hati yang telah berkarat dan beku dengan slogan yang berdegar-degar yang sering kita baca di pintu depan bangunan polis....saya pernah teserempak dengan kejadian kenderaan kakitangan polis mendapat kemalangan dimana tidak ada kenderaan lalu lalang berhenti untuk membantu disebabkan polis ini terlalu menunjukkan kuasanya kepada orang awam dan pandai mengada-ada kan kes kepada pemandu untuk mendapatkan sesuatu dan sekarang polis ini telah berubah dan menjadi rakan kepada rakyat dan jika ada satu-satu kes kecurian cepat-cepat oarang awam melaporkan kepada beliau dan kes cepat diselasaikan kerana kerjasama dari orang awam dan polis ini sudah di tukar ke lain daerah disebabkan dinaikkan pangkat sebab banyak menyelasaikan kes-kes yang tidak dapat diselasaikan akibat ketidak kawanan polis dan orang awam.

kampong lad berkata...

pdrm ialah agensi penguatkuasa undang2 yg telah bertukar menjadi robot, di program utk menerima arahan dari yg berkuasa. bila dah terkeluaq ring (pencen) baru jadi orang balik dan mula hentam ex towkay...yg tu tak kena, yg ni tak betui, salahguna kuasa la dan apa2 ka jadah lagi. semasa dlm perkhidmatan, yes sir, yes sir, bila nak naik pangkat sir....this is also applicable to other govt servants. yes, govt servants not public servants. ada yg baik tapi tak banyak.