25 Jan 2012

Fifi, Mangsa Tebusan Lelaki Bogel Masih Trauma

Rintihan sayu Fifi ketika ditawan

KUALA LUMPUR – Mangsa tebusan, Fifi Ramadhani Syafruddin hanya mampu merintih dan merayu kepada seorang lelaki bogel dan bersenjatakan pisau agar tidak membunuhnya sepanjang enam jam dia dijadikan tawanan di rumah sendiri kelmarin.

FIFI RAMADHANI yang dapat diselamatkan dari menjadi tebusan seorang penagih dadah masih kelihatan lemah ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan ibunya, Santi (kiri).

Bapa mangsa, Syafruddin Marlis, 47, memberitahu, dia masih teringat bagaimana keadaan mencemaskan itu berlaku ketika hanya mereka bertiga berada di rumah yang terletak di Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini.

Katanya, dia dapat mendengar rintihan dan rayuan anaknya minta dilepaskan suspek yang merupakan penagih dadah jenis syabu terbabit.

“Anak saya kerap mengatakan jangan bunuh, jangan mengapa-apakan dia dan minta dilepaskan sambil tidak henti-henti menangis. Saya yang tidak mampu melawan kerana kudung kaki sebelah kanan juga merayu perkara yang sama.

“Rayuan kami tidak diendahkan dan suspek memberi amaran supaya tidak mendekatinya jika tidak mahu kami dibunuh,” ceritanya ketika ditemui. -kosmo

Tukar cat pulih trauma

KUALA LUMPUR: Keluarga kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa culik di Kampung Baru, di sini, bercadang mengecat semula kediaman dengan warna berlainan bagi memulihkan trauma dialami anak mereka.

Ibu mangsa yang ditemui Harian Metro berkata, doktor menasihatkan mereka berpindah dari rumah itu supaya peristiwa itu tidak menghantui kehidupan kanak-kanak terbabit.

“Syukur anak saya selamat. Doktor berpesan agar kami tidak bercakap mengenai kejadian itu walaupun kadangkala dia ada meluahkan perasaan dan bercerita mengenainya,” ” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Wanita berusia 29 tahun itu berkata, bimbang keadaan anaknya berterusan kerana akan kekal tinggal di rumah sama, dia berharap tindakan mengecat semula rumah itu dapat membantu. “Memang sukar untuk dia melupakan detik cemas sepanjang menjadi tebusan lelaki itu dan ia pasti mengambil masa lama, namun kami akan tetap berusaha setakat mampu,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi kelmarin, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun terpaksa mengharungi detik cemas selama enam jam apabila menjadi tebusan seorang lelaki disyaki penagih dadah di rumahnya.

Difahamkan, suspek berusia 34 tahun yang dalam keadaan separuh bogel menceroboh masuk ke dalam rumah itu sebelum mengambil pisau di dapur dan mengugut mencederakan mangsa.

Ketika kejadian, mangsa bersama empat ahli keluarga yang lain sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.

Suspek mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum mengheretnya masuk ke dalam sebuah bilik dan menutup pintu dengan menjadikan sebuah almari sebagai penghadang.

Polis tiba jam 10 pagi dan mengambil pelbagai langkah memujuk suspek sebelum drama tebusan itu berakhir pada jam 4.10 petang apabila sepasukan polis dipercayai dari unit khas menyerbu masuk ke dalam bilik itu dan melepaskan empat das tembakan yang mengenai suspek. -HM


Tiada ulasan: