3 Jan 2012

Dua Beranak Parah Diragut Di Dungun

Rajawali – Seorang guru taska terpaksa bertarung nyawa ketika cuba mematahkan cubaan seorang penjenayah yang cuba menyentap beg tangan miliknya yang diletakkan di dalam bakul motosikal.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dipercayai berlaku ketika guru taska terbabit, Norita Omar, 37, bersama anaknya, Najmi Aiman, 5 dalam perjalanan pulang ke rumahnya dekat Pelandang selepas pulang dari sebuah klinik di bandar Dungun.

Sebaik melepasi sebuah jambatan di kawasan yang agak jauh dari penempatan penduduk itu, Norita yang menunggang motosikal dikatakan secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali bermotosikal dari arah belakang, lalu bertindak menyentap beg tangan miliknya yang diletakkan di dalam bakul motosikal bersama anak lelakinya.

Motosikal yang ditunggang guru Taska Afzan Pulau Serai itu hilang kawalan menyebabkan ia berpusing beberapa kali sebelum terbabas.


Tragedi itu difahamkan sempat disaksikan seorang pemandu sebuah kereta Perodua Kembara lalu bertindak mengejar suspek berkenaan.

Sebaik menyedari tindakannya disaksikan orang ramai, suspek dikatakan telah meninggalkan motosikalnya dan berjaya melarikan diri ke kawasan perumahan berdekatan.

Dia dihantar ke Hospital Dungun oleh orang awam untuk rawatan lanjut.

Menurut mangsa yang sempat ditemui Sinar Harian ketika ingin menaiki ambulans berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Klinik Rakyat ke Pelandang Pulau Serai kerana menghantar anaknya yang demam.

Katanya, kejadian itu berlaku begitu pantas, namun dia bersyukur kerana kedua-duanya selamat.

Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian muka, lengan dan paha manakala anaknya cedera parah di kepala kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. -SH

Tiada ulasan: