26 Dis 2011

[Video] NGO Wanita Kecam Tentera Mesir Seret Wanita Hingga Separuh Bogel

Gabungan pertubuhan wanita, Solidariti Wanita Prihatin hari ini menyerahkan satu memorandum ke pejabat Kedutaan Mesir bagi membantah perlakuan kejam tentera negara itu terhadap kaum wanita.

Ianya berhubung rakaman satu klip video yang disebar di internet yang memaparkan seorang wanita Mesir yang menyertai demonstrasi rakyat negara itu diserang dan dibelasah tentera dengan kayu pemukul sehingga separuh mati.

Lebih menyedihkan, apabila pakaian dan tudung wanita itu juga telah ditarik hingga terselak sekaligus mengaibkannya.

Malah dua lelaki yang cuba membantu wanita itu juga turut dipukul dengan kejam oleh tentera tersebut.

Penyerahan memorandum itu disertai Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud, AJK International Muslim Women Union (IMWU), Malaysia Azlin Hezri, wakil Empower Maria Chin Abdullah, Koordinator Solidariti Wanita Muda Malaysia (SWiMM), wakil Persatuan Mawaddah Malaysia (PMM) dan wakil Ameerah.

Memorandum mengandungi empat tuntutan itu diterima wakil kedutaan, Yasser Hashem di bangunan kedutaan itu di Jalan Rhu persiaran Ampang Hilir di sini.

Antara lain kandungan isi memorandum menyatakan desakan agar Ketua Tentera Mesir, Field Marshal Tantawi segera memohon maaf kepada wanita dan dua lelaki yang dipukul tersebut.

Mereka juga mahu Field Marshal meletakkan jawatan tertinggi tentera itu secepat mungkin.

Mereka berpendapat, wanita sepatutnya dilindungi dan dihormati kaum lelaki apatah lagi tentera yang sepatutnya menjaga keselamatan dan bukan bertindak zalim kepada orang awam.

"Ada banyak cara bagi menangani rakyat secara baik.

"Jika demonstrasi itu ganas ke apa ke, mereka perlu ditangani dengan baik, bukan ganas dilawan dengan ganas," katanya Dr Siti Mariah kepada pemberita selepas penyerahan itu.

Bercakap pada sidang media sama Maria Chin dan Azlin juga sependapat, tindakan kejam tentera tersebut tidak sepatutnya berlaku sekalipun provokasi dimulakan oleh rakyat.

"Perhimpunan aman ke tak aman ke, tindakan pencabulan dan kekejaman khususnya kepada wanita seperti ini tidak patut berlaku," kata Maria.

Aiman Athirah pula berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan tersebut cubaan memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan baru negara itu selepas kejatuhan regim akibat kebangkitan rakyat enam bulan lalu.

Katanya, banyak pihak tidak senang dengan kemenangan parti yang memperjuangkan Islam di negara itu dan cuba memburukkan imej mereka.

Dalam pada itu, bantahan sama turut dibuat di Mesir apabila kaum wanita turun beramai-ramai di Kaherah sebagai tanda protes. -HD

Ribuan Perempuan Mesir Protes Keganasan Tentera

Ribuan demonstran yang terdiri dari para perempuan di Mesir turun ke jalanraya, memprotes pihak tentera yang melakukan tindakan kekerasan dan kekejaman. keganasan tentera tersebut terrakam jelas dalam video yang beredar di internet.

Dalam video tersebut, pasukan keamanan anti-rusuhan Mesir dilihat mengejar seorang perempuan dan memukulnya berkali-kali dengan batang logam sehingga terjatuh ke tanah. Tidak cukup hanya itu, tentera tersebut menyeret pakaiannya sehingga perempuan tersebut menjadi separuh bogel. Setelah jatuh, perempuan itu ditendang berulang kali hingga tergeletak tak berdaya di tanah, bajunya terbuka, dan colinya jelas terlihat.

"Mereka menyatakan bahawa mereka melindungi kami, tetapi mereka melucutkan pakaian sehingga kami telanjang," demikian salah satu nada protes yang disuarakan massa.

Salah seorang aktivis, Um Hossam (54), yang mengenakan pakaian panjang hitam khas Timur Tengah, mengatakan bahawa perempuan tersebut bak anak perempuan sendiri sehingga menyerangnya adalah seperti melukai anak sendiri.

Jumlah demonstran yang terdiri dari kaum hawa ini tergolong jarang hingga dianggarkan seramai 10,000 orang. Para perempuan yang terdiri dari berbagai kelas sosial dan agama berkumpul di Lapangan Tahrir yang bergerak ke jalan-jalan utama Kaherah. Ramaiyang membawa foto perempuan setengah telanjang yang sedang diseret tentera.

Desakan ini semakin menekan pihaktentera Mesir yang selama lima hari terakhir didesak untuk dibubarkan oleh para penunjuk perasaan sehingga menyebabkan kerusuhan.

Pihak tentera Mesir sendiri sudah meminta maaf atas tindakan anggotanya yang menyerang perempuan dengan kejam. Mereka meminta maaf kepada perempuan Mesir dan berjanji mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukannya. Namun, permintaan maaf tersebut sepertinya sudah tidak berguna.

Potret tindakan anggota tentera Mesir yang tidak terpuji itu turut mendapat sorotan PBB dan Menteri Luar Negeri AS Hillary Clinton. Menurut Hillary, tindakan tersebut mencemarkan revolusi yang berlangsung di Mesir, mempermalukan negara dan askar, serta tidak layak untuk orang-orang yang terhormat. -kompas




2 ulasan:

Amuraria berkata...

APA BEZA FRU & PDRM MESIA ?

Tanpa Nama berkata...

Geramnya aku tengok .. sial, celaka, (aku tak pernah maki bila tulis, ni first time..)