26 Dis 2011

Banjir Di Rompin & Johor Semakin Buruk

Banjir Di Rompin Semakin Buruk, Lebih 300 Lagi Dipindahkan

KUANTAN: Keadaan banjir di daerah Rompin semakin buruk dengan lebih 300 mangsa lagi dipindahkan malam tadi, menjadikan mereka yang berada di pusat pemindahan meningkat kepada 946 orang setakat 9 pagi ini, demikian lapor Bernama.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata sebuah lagi pusat pemindahan dibuka malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada lima buah.

Kesemua mangsa adalah daripada 214 keluarga dari 13 buah kampung, katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Kampung Mentelong dan Kampung Denai yang terputus hubungan darat selepas jalannya dinaiki air tengah hari semalam, kini boleh dilalui semua kenderaan, katanya.

Di Johor pula, mangsa banjir di negeri itu semakin meningkat apabila hampir 300 orang lagi dipindahkan ke pusat pemindahan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,437 orang pagi ini berbanding 1,143 orang malam tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), setakat 10 pagi ini, kesemua mangsa ditempatkan di 25 pusat pemindahan dengan 12 di Segamat, tujuh di Mersing dan enam di Batu Pahat.

Jalan tanah merah menuju ke Kampung Orang Asli Peta di Taman Negara Endau Rompin dilaporkan masih terputus hubungan dan hanya boleh dihubungi melalui bot dan pengangkutan udara.

Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua batang sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Bukit Kepong mencatatkan aras 3.34 meter dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, 9.47 meter.

Beberapa batang sungai lagi melebihi paras amaran iaitu Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat (17.04 meter), Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat (19.92 meter), Sungai Simpang Kiri di Seri Medan, Batu Pahat (2.19 meter), Sungai Senggarang, Batu Pahat (3.28 meter) dan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat (5.60 meter).


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bukankah itu negeri BN? Yang depa dok demonstrasi minta wakil rakyat PR atasi masalah banjir tu apa hal?

aliph berkata...

aku cuma risau empangan bekok dan empangan semberong saja. kawasan hutan tadahan hujan sekeliling empangan telah ditebang barisan nasional dan menjadi ladang kelapa sawit. limpahan kedua empangan ini pula akan turun ke sunggai senggarang dan sungai batu pahat.

alhamdulillah sudah 2 hari matahari bersinar hingga ke petang setelah lebih seminggu menghilangkan diri.

Tanpa Nama berkata...

Rupa-rupanya sistem perparitan dan sliran di Johor dan Pahang yang diperintah BN juga tidak sempurna dan baik.

Mengata dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih.