13 Dis 2011

[Video] ANAK Berdemo: "Kami Sayang Dzul, Benci Isa"

ANAK berdemo, tuntut pengarah Felda dikekalkan

Sekumpulan 50 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini berhimpun di hadapan ibu pejabat lembaga berkenaan untuk menuntut supaya pengarah besarnya, Datuk Zulkifli Wahab dikekalkan jawatannya.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang mengetuai kumpulan itu berkata, "penyingkiran" Zulkifli merupakan satu penghinaan kepada ketua eksekutif berkenaan.

Mazlan mendakwa, penyingkiran itu dibuat berdasarkan syor daripada pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad kepada perdana menteri supaya Zulkifli mengambil cuti untuk belajar.

Beliau turut mengedarkan salinan dokumen didakwa surat Isa kepada perdana menteri bertarikh 21 November berhubung syor berkenaan.

"Sesungguhnya ini adalah proses penyingkiran kepada seseorang yang dilihat tidak mengikut telunjuk (Isa). Adalah menyedihkan seorang pengarah besar diperlaku begitu hina," kata Mazlan lagi dalam memorandumnya.

Jelasnya, Zulkifli disingkirkan kerana tidak bekerjasama dengan Isa dalam usaha untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ke Bursa Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum berkenaan kepada seorang pegawai kanan Felda, Mazlan mendakwa, Zulkifli telah menyatakan pendirian menentang tindakan "gali kubur warga Felda" melalui penyenaraian itu.

Zulkifli berbuat demikian dalam satu mesyuarat lembaga Felda sebelum ini, kata Mazlan ketika ditanya wartawan.

Mengulas lanjut, beliau berkata penyenaraian itu akan menyebabkan pendapatan peneroka berkurangan sehingga 80 peratus daripada apa yang diunjurkan pada tahun lalu.

Jelasnya, penyenaraian berkenaan akan memberi keistimewaan kepada FGHV – antaranya pajakan tanah Felda seluas lebih 360,000 hektar dan juga hak mutlak ke atas tanaman, hasil jual beli dan juga insentif kerajaan.

"Maknanya kuasa (FGHV) sangat besar sehingga menelan (hak peneroka)," kata Mazlan lagi.

Mazlan juga berkata, sebab itulah juga keputusan untuk melantik Isa sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dibuat oleh satu mesyuarat lembaga Felda pada 25 Ogos lalu, yang tidak dihadiri Zulkifli.

Mesyuarat tersebut dipanggil "secara tergesa-gesa" oleh Isa sendiri dan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga tidak keluar daripada mesyuarat apabila pelantikan berkenaan dibincangkan, dakwa Mazlan.

Mazlan mendakwa, tindakan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Selain melaungkan slogan "halau Isa" dan "hidup peneroka", kumpulan peneroka dan aktivis yang berhimpun selama lebih setengah jam di hadapan ibu pejabat Felda, Jalan Perumahan Gurney itu turut membawa sepanduk bertulis "Allah selamatkan Felda dan warganya daripada golongan pengkhianat." -mk




Peneroka tuntut kekalkan Datuk Dzulkifli, Isa undur

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kira-kira 50 wakil peneroka Felda daripada beberapa negeri hari ini menyerahkan memorandum menyokong Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab di Ibu Pejabat Felda, Jalan Gurney, dekat sini.

Memorandum sokongan itu ekoran tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Dzulkifli bercuti dan mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan bagi meningkatkan prestasi untuk melakukan transformasi Felda.

Ia merupakan cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melalui surat yang dihantar kepada Najib bertarikh 21 November.

Arahan bercuti dikeluarkan melalui surat yang diikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri 25 November lalu.

Difahamkan, Dzulkifli mula bercuti 25 November lalu dan telah berlepas ke London minggu lalu.

Memorandum yang diserahkan kepada wakil Felda, Muhamad Ibrahim antaranya menuntut Perdana Menteri menarik balik arahan bercuti itu dan menggugurkan Isa daripada jawatannya.

Mereka diketuai Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman berarak kira-kira satu kilometer menuju ke bangunan Felda dengan diawasi kira-kira 30 anggota polis beruniform termasuk polis cawangan khas.

Mereka melaungkan "undur Isa Samad", "hidup rakyat" sambil membawa sepanduk bertulis "kami sayang Dzul, benci Isa".

Bercakap kepada media selepas penyerahan memorandum, Mazlan berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan yang dilakukan terhadap Zulkifli yang dianggap sebagai seorang yang sangat amanah dan berdedikasi dalam tugasnya.

"Kami yakin tindakan ini sebenaranya penyingkiran kepada Datuk Dzul.

"Ia tidak beretika dan biadap terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan yang mempunyai 23 kakitangan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurut Mazlan, Isa tidak senang dengan Dzulkifli kerana menganggap Dzulkifli menghalang usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

"Dalam mesyuarat lembaga pengarah, Datuk Dzul pernah mempersoal di mana Felda nak cari duit untuk bayar gaji kakitangan Felda RM1.5 bilion bila FGVH melabur dalam Bursa Malaysia. Isa tidak senang kerana mengganggu usahanya untuk penyenaraian," jelas beliau. -HD





2 ulasan:

Putra IJ80 berkata...

Saya yakin bantahan ini tidak akan ada penghujung nya.,

Kerana ramai warga FELDA yg dulu nya rata rata rakyat miskin di kampung tidak bertanah tidak ada pekerjaan tetap ,di pilih menjadi peneroka.,

Dan kini telah menikmati sedikit kesenagan sedikit kemewahan akan merasa puas hati tambahan pula rumah mereka dari Dangai(Pondok) kayu kini bertukar kepada rumah batu ala banglo begitu.

Tidak akan snggup meninggalkan kemewahan yg.sedikit ini.,akan tetap mengundi BN.,yg.di sangka mereka pemberi rezeki.

Bukan kah dlam Alquraan,Allah ada menyebut Hambu ku bila di beri kesengan selepas kesusahan ia akan gembira dan sombong.

Itu lah dia org Masyarakat FELDA yg.boleh di beli dgn RM1k contoh nya di FELDA Sungai Buaya.semasa PRK Hulu Selangor satu ketika dulu.

Walhu'alam.

Jgn Maree..ek! ini pandagan saja.hi!hi!.

Tanpa Nama berkata...

Putra..
Aku pun nak setuju pandangan mu, tapi tak semua manusia gitu

Ada yang sedar & ada yg masih x sedar, Dalam adik beradik pun ada yang bercanggah pendapat..

Kita buat le yang terbaik...& serahkan pada Allah