13 Dis 2011

Ombak Besar Landa Pantai Dungun, Terengganu

Teluk Lipat - Kejadian ombak besar yang disifatkan tsunami kecil melanda perairan pantai Dungun malam kelmarin bukan lagi satu fenomena baru bagi penduduk tempatan.

Namun, kejadian ombak setinggi kira-kira lima meter sehingga melintasi jalan raya utama di kawasan peranginan Pantai Teluk Lipat kira-kira jam 10 malam itu agak mencemaskan peniaga berdekatan kerana kawasan perniagaan mereka digenangi air laut sehingga mencecah kira-kira 0.25 meter.

Saksi kejadian, Wan Rohani Hassan, 54 berkata, fenomena ombak besar itu merupakan satu kejadian biasa setiap kali kedatangan musim tengkujuh.

Bagaimanapun kejadian pada malam kelmarin dianggap agak luar biasa kerana selain ombak besar, air laut juga turut melimpah masuk ke daratan sehingga membanjiri kawasan deretan medan selera Pantai Teluk Lipat.

Menurutnya, akibat kejadian yang disifatkan Wan Rohani sebagai tsunami kecil itu, dia terpaksa menghentikan operasi lebih awal kerana bimbang jika berlaku situasi lebih buruk sehingga boleh mengancam keselamatan pekerja yang rata-rata terdiri daripada ahli keluarganya.

“Kami terpaksa menutup operasi kerana takut kalau-kalau dihanyutkan ombak besar. Jika keadaan ini berterusan, maka saya bersama peniaga lain mungkin terpaksa menutup operasi buat sementara waktu sehingga keadaan cuaca kembali pulih,” katanya.

Berbeza daripada tahun lalu

Menurutnya, fenomena ombak besar tahun ini agak berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana selain saiz ombak yang menghempas pantai dikatakan lebih besar, ia turut melanda beberapa lokasi lain yang berada berhadapan perairan pantai Dungun.

“Kalau sebelumnya, ombak besar ini hanyalah di kawasan pantai Teluk Lipat, tapi kali ini ia turut melanda beberapa lokasi lain seperti Teluk Bidara dan Sura.

“Jadi saya bimbang jika tragedi banjir besar yang berlaku di negara jiran turut melanda negara kita dan kejadian ombak besar ini merupakan satu petanda awal,” katanya.

Rumah guru Al-Quran nyaris hanyut dipukul ombak

“Ketika itu, mak cik tak mampu nak buat apa-apa, hanya membaca ayat suci agar ombak reda sedikit, masa itu mak cik hanya ingat Tuhan sahaja,” kata Wan Ngah Wan Mohd, 59, guru Al-Quran yang terpaksa bertarung nyawa setelah rumahnya di tepi laut di Teluk Bidara yang didiami sejak puluhan tahun itu dipukul ombak besar, malam kelmarin.

Menceritakan detik cemas ketika kejadian itu, Wan Ngah yang juga seorang ibu tunggal berkata, pengalaman berhadapan ombak besar itu amat menakutkannya.

Katanya, ketika itu dia dapat merasai ombak sudah mulai menghempas dinding rumahnya selain bawah rumah sudah dinaiki air laut sedalam kira-kira 0.5 meter.

Bagaimanapun, dia yang juga seorang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan terpaksa reda kerana tidak mampu untuk mencari tempat berlindung yang lebih selesa berikutan kesempitan hidup yang dilaluinya.

“Makcik tak tahu nak pindah ke mana, mak cik tiada tanah untuk buat rumah, walaupun tahu bahaya tinggal di sini, namun hanya pondok usang ini sahajalah yang mak cik ada. Kalau ditakdirkan mak cik habis nyawa dekat sini pun, mak cik reda,” katanya yang kini turut mengajar kanak-kanak mengaji untuk menyara kehidupan.

Laluan pantai masih selamat?

Orang ramai yang sering menggunakan laluan jalan pantai dari Teluk Gadung ke Kuala Dungun kini bimbang dengan tahap keselamatan ekoran berlakunya beberapa kejadian tanah runtuh akibat kejadian ombak besar malam kelmarin.

Seorang pengguna, Mokhtar Mamat, 50, berkata, pihak berkaitan diharap sentiasa membuat pemantauan serta lebih peka dengan situasi semasa.

Kalau boleh diletakkan papan tanda amaran selain menutup laluan yang difikirkan boleh membahayakan keselamatan pengguna berikutan terdapat kejadian tanah runtuh dan pokok yang hampir menyembah bumi,” katanya. -SH


Amaran laut bergelora

KUALA TERENGGANU - Semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk kerja di pelantar minyak di negeri ini adalah berbahaya memandangkan keadaan laut bergelora buat masa ini, menurut Stesen Meteorologi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, semalam.

Jurucakap stesen itu berkata, angin kencang timur laut selaju 60 kilometer sejam dan ombak setinggi melebihi 5.5 meter dijangka berterusan sehingga 17 Disember ini.

Katanya dalam masa yang sama berlaku air pasang sehingga hari ini.

Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata gelombang kedua banjir mula berlaku di Terengganu apabila seramai 196 dari 41 keluarga di Besut dipindah.

Mereka ialah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap Kuala Besut dipindahkan ke Balai raya kampung itu.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran bagaimanapun berkata paras air sungai utama di Terengganu tidak menampakkan tanda mencemaskan.

“Semuanya berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan setakat ini,” katanya. -Bernama


Tiada ulasan: