10 Dis 2011

Aziz Bari Sudah Hantar Surat Letak Jawatan, Tunggu Respon UIA

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari menegaskan beliau masih belum mendapat maklum balas daripada pejabat Naib Canselor berhubung permohonannya untuk meninggalkan universiti tersebut.

Susulan itu, Abdul Aziz berkata, beliau sukar untuk menjelaskan statusnya di universiti tersebut kerana tiada 'hitam putih' dikeluarkan sehingga ke hari ini.

"Apa yang boleh saya katakan...saya masih lagi bersama UIAM. Namun tiada sebarang maklum balas diterima daripada universiti mengenai status saya lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Menurut beliau, UIAM juga tidak memberi respon terhadap jawapannya kepada surat tunjuk sebab yang diserahkan kepada pihak universiti pada 24 Oktober lalu.

"Sudah sebulan lebih saya tunggu reaksi mereka. Sehingga hari ini tiada jawapan diberikan," katanya lagi.

Abdul Aziz menerima surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh unit undang-undang universiti tersebut pada 19 Oktober lalu ekoran kenyataan beliau yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Sementara itu, Abdul Aziz menegaskan tindakan meninggalkan universiti itu tidak akan memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

"Jika tidak bekerja di sini, saya ada kerja lain. Jadi saya tiada masalah sekiranya meninggalkan UIAM," katanya.

Dalam pada itu, peguamnya, Dr Dzulkarnain Lukman mengesahkan Abdul Aziz telah menghantar surat peletakan jawatan kepada universiti tersebut baru-baru ini.

Dzulkarnain berkata, Abdul Aziz ada menyuarakan rasa kecewa terhadap konflik yang menimpanya kerana tidak diselesaikan sehingga hari ini.

"Tiada hitam putih dikeluarkan...hanya kelabu," katanya berseloroh.

Pada Khamis, sebuah akhbar tempatan melaporkan Abdul Aziz mengambil keputusan untuk meninggalkan UIAM kerana merasakan dirinya tidak lagi sesuai berkhidmat di universiti tersebut.

Beliau berkata, persekitaran di universiti tersebut menyebabkan niatnya untuk menjadi ahli akademik yang prihatin dengan masalah masyarakat dianggap sesuatu yang ganjil.

"Saya terpaksa tinggalkan UIAM kerana dalam keadaan sekarang, tiada ruang sesuai untuk saya terus berkhidmat di situ mahu pun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain," katanya. -mstar

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




2 ulasan:

kampong lad berkata...

tunggu apa lagi uiam, terimalah perletakan jawatan prof aziz yg dah tak buloq dgn hangpa...tak cukup lagi ka hangpa dah buat kat dia, nak seksa sampai bila ni? apa salah dia?

Tanpa Nama berkata...

dulu dah cakap dah.
pru13 aziz jadi calon pr.
jika menang boleh jadi
peguam negara ganti guni 4tahil
atau menteri undang2.
tunggu kat uia tu buat apa.
sementara tunggu pru13
mb khalid tentu boleh beri
tempat kat aziz di unisel.
apa kata mb selangor?