10 Dis 2011

Pelapor PBB Kecam Malaysia Kerana Wujudkan RUU Perhimpunan Aman

Kumpulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan bahawa rang undang-undang baru itu bukan sahaja menghadkan hak berhimpun secara aman, termasuk demonstrasi jalanan, tetapi juga akses bersyarat kepada pihak media di perhimpunan awam.

Pelapor khas PBB, Maina Kiai menyuarakan rasa "amat kecewanya" kerana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atau masyarakat sivil, tidak dirujuk dalam merangka rang undang-undang tersebut.

Maina berkata rang undang-undang itu mengandungi takrif yang kabur mengenai perhimpunan dan juga sekatan dan syarat-syarat perhimpunan, yang menurutnya telah memberikan "kuasa berlebihan" kepada pegawai penguatkuasa undang-undang dan menteri dalam negeri.

"Banyak sekatan ini adalah tidak wajar mengikut undang-undang antarabangsa. Ia juga memberi budi bicara kepada pihak polis untuk membuat apa saja bentuk rakaman perhimpunan," kata Maina yang merupakan pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan.

Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 November dan ia diluluskan secara tergesa-gesa dengan beberapa pindaan, dalam tempoh kurang daripada dua minggu - pada 29 November.

Ia diluluskan walaupun ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas membahaskan rang undang-undang tersebut, dan juga bantahan oleh lebih 1,000 peguam pada hari yang sama.

Rang undang-undang itu juga termasuk larangan ke atas bukan warganegara dan warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman.

Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB sehingga 2013.

Seorang lagi pelapor khas bagi hak kebebasan untuk bersuara, Margaret Sekaggya, berkata beliau memandang berat peruntukan melarang warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun.

"Penyertaan politik dan sosial melalui protes secara aman, bukan sahaja merupakan satu pengalaman pendidikan untuk kanak-kanak, belia dan pelajar, tetapi juga satu pelaburan kepada masyarakat secara keseluruhannya," tegasnya.

Manakala pelapor khas bagi hak kebebasan bersuara, Frank La Rue, menggesa kerajaan Malaysia menimbang semula secara serius rang undang-undang itu.

"Keupayaan semua individu untuk bersuara secara bebas, termasuk dalam bentuk perhimpunan aman, merupakan satu ujian kepada tahap demokrasi di mana-mana negara."

Fracois Crepeau, pelapor khas hak asasi manusia bagi pendatang, juga menggesa supaya rang undang-undang itu segera dikaji semula.

"Setiap orang berhak terhadap kebebasan berhimpun dan berpersatuan, tanpa sebarang apa jua pembezaan, termasuk kewarganegaraan," kata Crepeau.

Kesemua pakar tersebut melaporkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Geneva, dalam kapasiti bebas dan tidak dibayar.

Julai lalu, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan kuasa yang berlebihan terhadap peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu. -mk

Himpunan: Imej negara terjejas teruk di mata dunia

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menganggap kritikan yang dibuat oleh pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 merupakan suatu tamparan keras kepada kerajaan Malaysia yang bersikap degil dan enggan mendengar pandangan rakyat.

“Bagi DPP Malaysia, kerajaan perlu merasa malu kerana wakil khas PBB sendiri menegur sikap berkeras kerajaan Malaysia dalam membenarkan rakyat berhimpun,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Beliau mengulas pelapor khas PBB, Maina Kiai yang menyatakan RUU Perhimpunan Aman sebagai menyekat kebebasan bersuara rakyat dan sekatan yang dikenakan adalah tidak wajar mengikut undang-undang antarabangsa.

Maina Kiai mengkritik RUU Perhimpunan Aman kerana memberi ‘kuasa berlebihan’ kepada pihak polis untuk membenarkan atau mengharamkan sesuatu perhimpunan aman, serta kecewa kerana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tidak dirujuk dalam merangka rang undang-undang tersebut.

Selain beliau, kata Riduan seorang lagi pelapor PBB turut menyanggah dasar kerajaan terhadap RUU Perhimpunan Aman dengan menyatakan bahawa penyertaan politik dan sosial melalui protes aman merupakan satu pengalaman pendidikan kanak-kanak, belia dan pelajar, malah ia juga satu pelaburan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

“Dalam ucapan seorang lagi pelapor bagi hak kebebasan bersuara iaitu Frank La Rue, beliau menganggap semua individu berhak bersuara secara bebas dan ia merupakan satu ujian kepada tahap demokrasi di mana-mana negara dan menggesa agar rang undang-undang ini dikaji semula,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Bagi DPP Malaysia, ujarnya kerajaan perlu sedar apabila banyak pihak mengkritik dan menentang sesuatu dasar, dan secara fokusnya adalah Akta Perhimpunan Aman, menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada undang-undang tersebut.

Tambahnya, Akta Perhimpunan Aman yang telah diluluskan oleh kerajaan di Parlimen kini bukan lagi dimusuhi oleh rakyat Malaysia pelbagai peringkat, malah mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.

“DPP Malaysia mengingatkan jika kerajaan terus berdegil meneruskan pelaksanaan Akta Perhimpunan Aman ini, imej Malaysia di mata dunia akan terjejas teruk,” ujarnya lagi.

Kata beliau, kerajaan perlu sedar bahawa Indeks Persepsi Rasuah negara sudah menjunam untuk tahun ketiga berturut-turut, Indeks Kebebasan Akhbar pula turut merosot bukan sekian tahun, serta pelbagai lagi bukti menandakan bahawa tahap demokrasi negara telah jatuh merudum teruk.

Justeru, ujarnya tiada lagi alasan buat kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan Akta Perhimpunan Aman dan ia perlu ditarik balik dengan segera.

“Nampaknya semakin lama, semakin kuat bantahan rakyat terhadap dasar kerajaan ini.

“Mungkin kerajaan mahu menunggu himpunan bantahan terbesar rakyat seumpama Bersih 2.0 atau ditumbangkan rakyat dalam PRU ke 13, baru mereka sedar kesilapan mereka selama ini,” katanya. -HD


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Yang menyokong RUU ini memang betul lembu.

Tanpa Nama berkata...

senang je... lepas ni pegi je mintak permit untuk semayang jemaah, semayang hajat, baca yaa sin, kenduri arwah, senam robik... bior jenuh puleh nak melayan...
nak lepak kedai kopi nam orang pun gi mintak permit...