28 Nov 2011

Lagi Letupan Akibat Saluran Gas Memasak Di Restoran Pusat Beli-belah

Kuala Lumpur: Sebuah restoran di pusat beli-belah Maju Junction di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, musnah dalam letupan dan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas di dapurnya lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, letupan gas dan kebakaran restoran berkenaan di tingkat bawah pusat beli-belah berkenaan turut mengakibatkan beberapa premis berhampiran rosak, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 11.25 malam dan setibanya di tempat kejadian api sudah marak dari bahagian dalam restoran.

“Ketika kejadian semua pekerja selesai bertugas kira-kira 20 minit sebelum letupan berlaku. Siasatan awal mendapati ia berpunca dari kebocoran gas yang kemudian menjadi mampat akibat terkepung di dalam restoran berkenaan sebelum meletup dan menyebabkan kebakaran.

“Api marak dengan cepat, namun berjaya dikawal daripada merebak ke premis lain dan dipadamkan sepenuhnya jam 11.45 malam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Menurutnya, akibat kejadian itu premis berkenaan rosak teruk pada bahagian dinding dan siling serta cermin hadapan pecah hingga bertaburan di atas jalan raya.

“Bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada kebocoran berkenaan berpunca dari kecuaian pekerja atau masalah teknikal sistem saluran gas di premis berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Maju Junction Mall, Albert Khoo, dalam satu kenyataan, di sini, semalam, mengesahkan kejadian letupan dan kebakaran itu.

“Restoran terbabit rosak keseluruhannya dan setakat ini siasatan masih dijalankan pihak bomba dan polis bagi mengenal pasti punca letupan berkenaan.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan berikutan itu, Maju Junction ditutup hari ini (semalam) dan beroperasi seperti biasa esok (hari ini),” katanya.

Menurutnya, kejadian letupan itu pertama kali berlaku di pusat beli-belah berkenaan sejak dibuka pada 2002 dan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lagi selepas siasatan daripada pihak berkuasa selesai. -HM

Restoran Maju Junction meletup


PUSAT beli-belah Maju Junction di Jalan Sultan Ismail yang meletup dan terbakar malam kelmarin.


KUALA LUMPUR – Restoran Noodle Station di tingkat bawah pusat membeli-belah Maju Junction di sini meletup dan terbakar akibat kebocoran gas memasak di premis itu malam kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pukul 11.25 malam.

“Bomba yang memeriksa tempat kejadian mendapati berlaku letupan pada saluran gas di dapur restoran yang berada di tingkat bawah bangunan tersebut.

“Letupan itu menyebabkan berlaku kebakaran di bahagian stor restoran malah pintu kaca dan syiling premis itu turut pecah akibat letupan tersebut,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. -kosmo



Tiada ulasan: