28 Nov 2011

Isa Samad Diberi Tempoh 14 Hari Minta Maaf

Dakwa dihina, Ketua Peneroka Felda beri Isa Samad 14 hari minta maaf

KUALA LUMPUR, 28 Nov — Ketua peneroka Felda, yang juga seorang ahli lembaga pengarah agensi itu, memberi masa 14 hari kepada Pengerusinya Tan Sri Isa Samad yang didakwa mengeluarkan kata-kata menghina beliau dalam satu taklimat di Kuala Pilah awal bulan ini.

Shamsuddin Othman berkata mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda, selaku ketua kepada para peneroka, dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu” dan “jika saya jumpa saya akan lutu dia”, tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Isa selaku pengerusi agensi kemajuan tanah persekutuan itu.

“Ini kali pertama seorang Pengerusi Felda mengeluarkan kata-kata menghina seorang ketua peneroka, bukan sahaja pemimpin peneroka, saya kira keseluruhan peneroka rasa terhina dengan kenyataan Tan Sri Isa,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Rakaman ucapan Isa turut ditayangkan pada sidang media yang dihadiri oleh sembilan naib pengerusi JPP Wilayah dan Gerakan Persatuan Wanita.

Berdasarkan kandungan ucapannya, Isa didapati mendakwa bahawa Shamsuddin yang diturut dipanggil sebagai “Pas Sam” tidak faham-faham meskipun sudah berkali-kali dijelaskan mengenai proses penyenaraian Felda Global Ventures.

Shamsudin, 59, dari Felda Wilayah Johor Baru berkata, Isa mengeluarkan kenyataan itu ketika memberi taklimat mengenai penyenaraian Felda Global Ventures di Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November lalu.

“Saya akan lantik peguam dan akan memberi masa 14 hari kepada Isa agar meminta maaf. Oleh kerana beliau mengeluarkan kenyataan itu secara terbuka, di khalayak ramai, maka saya mahu beliau meminta maaf secara terbuka di lima akhbar tempatan,” kata beliau lagi.

Shamsuddin yang memegang jawatan Pengerusi JKPP sejak 15 tahun lalu dan sebagai ahli lembaga pengarah sejak lima tahun lalu berkata, beliau menyedari Isa mengeluarkan kata-kata berbuat mengaibkan itu pada sebelah malam 12 November.

“Tetapi saya tidak mengambil apa-apa tindakan, saya pun tidak menghubungi beliau... hanya berharap beliau akan akan menghubungi saya dan meminta maaf, saya harap beliau tahu kesilapan beliau dan tahu apa yang patut dilakukan, tetapi sehingga kini tidak berbuat demikian.

“Jadi, saya terpaksa mengambil tindakan ini, memaklumkan kepada media. Saya mahu beliau memohon maaf dalam 14 hari... saya rasa saya telah dihina dan diaibkan dengan kata-kata ini,” kata beliau yang akan memutuskan tindakan susulan selepas tempoh itu berakhir.

Shamsudin sambil menafikan tindakannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau parti politik berkata, “saya mahu beri beliau (Isa) peluang.”

Kenyataan media yang dikeluarkan menyebut Isa tidak layak menerajui Felda.

“Malah, boleh disimpulkan cakap-cakap beliau bahawa usaha-usaha beliau lakukan untuk kebaikan peneroka tidak lebih sekadar menanam tebu di bibi,” katanya.

Peneroka Felda beri Najib kata dua, Isa Samad atau undi

KUALA LUMPUR, 28 Nov ― Dilihat sebagai bantahan terbuka kali pertama, badan yang mewakili peneroka Felda hari ini menggesa Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berundur secara terhormat dan mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunaikan permintaan itu jika inginkan undi pilihan raya umum ke-13.

Gesaan itu dibuat pada satu media di sini hari ini oleh Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP), yang diiktiraf secara rasmi oleh Felda, mendakwa mewakili 1.6 juta warga peneroka dan sekitar 120,000 peneroka dari 11 wilayah Felda di seluruh negara.

Desakan itu dibuat ketika pentadbiran Najib bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan mengharapkan sokongan padu peneroka Felda yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat Umno-BN.

Selain menggesa Isa, yang mengetuai Felda sejak setahun lalu, JKPP juga menggesa Pengarah Seranta Felda Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, Datuk Sabri Ahmad agar berundur sama.

Desakan itu memuncak ketika proses menyenaraikan Felda Global Ventures sedang giat dijalankan.

Langkah penyenaraian itu diumumkan oleh Najib ketika membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.

“Di atas segala polemik, isu dan masalah yang timbul, JKPP dan (Gerakan Persatuan Wanita) GPW dengan ini sebulat suara mengusulkan kepada Tan Sri Isa Samad, Datuk Sabri Ahmad dan Datuk Noor Ehsanuddin agar mengundur diri secara terhormat dan jika hasrat kami ini tidak ditunaikan oleh YAB Persana Menteri, jelaslah sokongan peneroka Felda semasa pilihan raya umum ke-13 tidak lagi diperlukan oleh kerajaan memerintah,” kata kenyataan media itu.

Sidang media itu dikendalikan oleh Pengerusi JKPP Shamsuddin Othman yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah Felda.

Turut hadir pada sidang media hari ini ialah sembilan naib pengerusi JKPP Wilayah.

Pada sidang media hari ini, Shamsuddin, 59, menyenaraikan masalah dan isu dihadapi oleh pihaknya termasuk dakwaan ketua peneroka itu dihina oleh Isa, ketiadaan maklumat yang cukup mengenai proses penyenaraian dan tindakan Seranta Felda ‘Umno’ mengganggu peneroka.

Kenyataan media menyebut Isa pada satu taklimat mengenai proses penyenaraian di Kuala Pilah pada 12 November lalu telah menghina Shamsuddin dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu”, “jika saya jumpa saya akan lutu dia”.

Shamsuddin berkata, dalam pengalamannya sebagai seorang peneroka ini kali pertama seorang pengerusi menghina ketua peneroka sebegitu rupa.

Kenyataan itu menambah, “JKPP dan GPW yang mewakili majoriti ahli Koperasi Permodalan Felda menolak pelantikan Tan Sri Isa sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda melalui kuasa menteri koperasi dan meminta kerajaan menghormati hak demokrasi ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda dan Undang-undang Koperasi Permodalan Felda.”

Kenyataan itu menambah, JKPP dan GPW juga tidak bersetuju dengan keluaran akhbar pojok 1Suara yang disalurkan dananya oleh Seranta Felda dan Jabatan Perdana Menteri.

“JKPP dan GPW ingin mencadangkan supaya unit Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri ditutup dan pegwai-pegawai Seranta Felda yang terdiri daripada anak-anak Felda yang berniat ikhlas membantu masyarakat Felda diserapkan secara tetap dalam organisasi Felda,” katanya lagi. -TMI


Laporan sebelum ini
klik untuk baca







5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pendek yg bercita cita jadi tinggi

Tanpa Nama berkata...

Memang TAKBUR perbuatan orang ni! Puak dan bangsa ni memang GAH sangat.Dia lupa sapa yang angkat dia hingga ketahap ni..!! Bila dah dapat kuasa dan jadi kaya raya , dia lupa pada kita semua..malah sanggup menghina orang pulak.!! Apa jenis bangsa manusia ini , tak tau lah aku..!!

Tanpa Nama berkata...

Memang dasar hidung tinggi.

Tanpa Nama berkata...

isa pendek ni sama jer dengan kerbau pendek bila dah kenyang makan mana2 tempatpun dia boleh landing.

Tanpa Nama berkata...

Inilah sikap dan kelakuan ramai pemimpin UMNO - sombong,takbur,cakap besar dan gila kuasa.Mentang-mentang sudah berkuasa lebih dari 50 tahun mereka fikir mereka tidak akan jatuh tersungkur.Cuba kita lihat betul-betul disekeliling kita,akan telatah dan perangai pemimpin UMNO,dari ketua cawangan,ketua bahagian dan juga para menteri - angkoh dan takbur.Mari kita ajar mereka pada PRU akan datang.Nak tengok berapa ramai yang akan meraung,meratap dan munkin ada yang akan bunuh diri.