4 Okt 2011

Bersih 2.0 Pertubuhan Haram? Mahkamah Sudah Benarkan Bersih Cabar Perintah Hisyamuddin

Hisham: BERSIH 2.0 masih pertubuhan haram

Di sebalik ikrar kerajaan untuk menjadi 'negara terbaik demokrasi di dunia', namun pentadbiran BN tidak melihat sebarang alasan kukuh bagi menarik balik pengharaman terhadap BERSIH 2.0 - NGO yang menuntut pembaharuan dan penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pertubuhan itu masih diisytihar tidak sah menurut Akta Pertubuhan 1966.

Ini berikutan BERSIH 2.0 didakwa "bergerak aktif bagi menimbulkan kekacauan awam".

Menurut menteri itu, aktiviti itu cuba dilakukan melalui:

* menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat supaya menjatuhkan kerajaan dengan mengedarkan bahan bercetak tertentu.

* aktiviti yang dianggap negatif kepada imej negara, dan juga boleh mengancam ketenteraman awam, keselamatan dan kemakmuran ekonomi serta kedaulatan negara.

"Oleh sebab itu, BERSIH tetap pertubuhan haram yang tidak sah," kata Hishammuddin lagi.

Beliau juga menambah, status BERSIH 2.0 tidak berubah dengan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambahbaikan sistem pilihan raya.

Jawatankuasa yang ditubuhkan semalam membabitkan sembilan ahli parlimen yang terdiri daripada lima daripada BN, tiga dari Pakatan Rakyat dan seorang wakil Bebas.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili dan ahlinya terdiri daripada Datuk Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Tan Sri Fong Chan Onn dan P Kamalanathan.

Pakatan Rakyat pula semalam mengumumkan pihaknya akan diwakili oleh Azmin Ali, Dr Hatta Ramli dan Antony Loke.

Manakala Bebas diwakili oleh ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong. -mk

Bersih 2.0 Peroleh Kebenaran Cabar Perintah Isytihar Ia Kumpulan Haram

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Jawatankuasa pemandu kumpulan dikenali Bersih 2.0 pada Rabu memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar perintah bahawa kumpulan itu adalah sebuah pergerakan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusuf, yang membuat keputusan itu di dalam kamar, membenarkan permohonan jawatankuasa pemandu gerakan itu bagi semakan kehakiman untuk membatalkan perintah berkenaan.

Mahkamah menetapkan 22 Nov untuk mendengar merit bagi semakan kehakiman.

Pada 8 Julai, 14 anggota jawatankuasa pemandu pergerakan itu termasuk Datuk S. Ambiga mengemukakan permohonan bagi semakan kehakiman itu dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden.

Kesemua anggota berkenaan antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan pengisytiharan perintah oleh Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai yang mengisytiharkan gerakan Bersih sebagai pertubuhan haram dan memerintahkan pembatalannya berkuatkuasa serta merta.

Mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

Ambiga, yang merupakan peguam mewakili jawatankuasa pemandu itu, memberitahu pemberita bahawa hakim membenarkan permohonan mereka berkaitan membatalkan keputusan dan pengisytiharan perintah itu batal dan tidak sah.

Bagaimanapun, kata Ambiga hakim menolak permohonan mereka bagi menghalang responden daripada memasuki dan memeriksa premis mereka serta perintah bagi mengarahkan responden menyerahkan baju-t, kain rentang, surat khabar, buku-buku, sepanduk dan sebarang dokumen atau objek milik mereka yang dirampas polis.

Ambiga berkata beliau gembira dengan perintah itu memandangkan ia penting kerana berkaitan dengan perintah eksekutif.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said yang mewakili responden berkata beliau akan mendapatkan arahan pihak atasannya sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini. -- BERNAMA


Tiada ulasan: