29 Sep 2011

[Video] Loji Penapis Minyak Shell Singapura Terbakar

Singapura -- Satu letupan kuat kedengaran di kilang penapisan minyak Shell di Pulau Bukom kira-kira tengah hari Rabu ketika operasi memadamkan kebakaran dijalankan di kilang penapisan itu.

Kebakaran di kilang penapisan itu dipercayai membabitkan produk petroleum daripada paip dalam tangki di kawasan kilang itu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam kenyataan Khamis berkata keadaan kini adalah terkawal.

Operasi penyejukan masih dijalankan bagi mengelak bahang panas merebak ke tangki simpanan berhampiran.

Dalam operasi memadamkan kebakaran itu, tiga jentera bomba SCDF mengalami kerosakan dengan dua daripadanya rosak teruk.

Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.

Sehingga pukul 8 pagi, sebanyak enam jentera dan 11 kenderaan bantuan dengan 80 anggota terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran itu.

Kira-kira 250 kakitangan utama Shell juga berada di Pulau Bukom bagi membantu operasi itu.

Shell, dalam kenyataan berkata pihaknya percaya kebakaran itu adalah kemalangan dan siasatan penuh akan dijalankan selepas api dipadam sepenuhnya.

Semua petugas dari Pulau Bukom dipindahkan dari pulau itu. -- BERNAMA





Tiada ulasan: