12 Sep 2011

Tiga Maut, Pokok Besar Hempap Van Dalam Ribut

Padang Besar: Tiga termasuk dua pelajar maut, manakala seorang lagi parah apabila van dinaiki sembilan pelajar Maahad Tarbiah Islamiah (MATRI) Tunjong, di sini, dihempap sebatang pokok besar di kilometer 23.5 Jalan Kilang Gula, Chuping, dekat sini pagi semalam. Illustrasi: metro

Kejadian berlaku ketika semua anggota rombongan, termasuk lapan pelajar MATRI dalam perjalanan melawat Kilang Gula Felda Perlis (KGFP) menaiki sebuah van jenis Toyota Liteace dipandu bapa angkat mereka, Shahidan Ali, 67, jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, berkata tiga yang terbunuh ialah Shahidan yang juga bekas pekerja KGFP serta dua pelajar MATRI iaitu Azman Bakhtiar Sharizan, 14, dari Taman Seri Kenanga, Kulim dan Ahmad Izzat Ismail, 17, dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat parah terutama Shahidan dan Ahmad Izzat yang duduk di bahagian depan van yang dihempap pokok .

Difahamkan, Azman yang berada di tempat duduk belakang pemandu meninggal dunia ketika cuba dibantu rakan lain, manakala seorang lagi pelajar, Mohd Ahnaf Anissofian, 14, dari Kuala Lumpur yang duduk di sebelah Azman dilaporkan parah, katanya.

Che Man berkata, pokok terbabit tumbang selepas dipukul ribut ketika hujan lebat melanda kawasan terbabit, sebelum menghempap bahagian depan van dinaiki mangsa.

Anggota bomba yang bergegas ke tempat kejadian kemudian terpaksa memotong pokok bersaiz sebesar pemeluk orang dewasa itu, sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mayat kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, sebelum dituntut keluarga, katanya.

Salah seorang mangsa, Muhammad Zulfadhli Rodi, 14, dari Arau, di sini, berkata dia bersama empat rakan lain terpaksa keluar melalui tingkap belakang van yang pecah selepas hampir separuh daripada bahagian depan kenderaan dinaiki mereka remuk dihempap pokok.

Sebaik keluar, kami lihat Izzat dan pemandu sudah tidak bernyawa, manakala Azman pula sedang mengerang kesakitan. Kami semua cuba membantunya, tetapi gagal sebelum terus berlari mendapatkan bantuan pengawal keselamatan di KGFP yang terletak tidak jauh dari situ, katanya. -BH



Tiga maut pokok hempap van

ORANG ramai melihat keadaan van yang remuk akibat dihempap sebatang pokok berdekatan Kilang Gula Chuping di Padang Besar semalam.

PADANG BESAR - Dua pelajar Sekolah Menengah Agama Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Beseri maut setelah van yang dinaiki bersama-sama enam pelajar lain dihempap pokok berdekatan Kilang Gula, Chuping di sini semalam.

Mangsa ialah Hazman Bakhtiar Sharizan, 14, dari Taman Kenanga, Kulim, Kedah dan Ahmad Izzat Ismail, 17, yang berasal dari Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi itu turut meragut nyawa pemandu van, Shahidan Ali, 67, dari Beseri.

Seorang pelajar lain, Muhammad Ahnaf Anissofian, 14, dari Kuala Lumpur cedera parah dan kini mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar manakala lima lagi penumpang van tersebut mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Deros berkata, ketika kejadian van itu dalam perjalanan membawa mangsa untuk menyiapkan projek sekolah bagi subjek Kajian Tempatan. -kosmo



2 ulasan:

Sinner berkata...

Nama student lagi sorang tu HAZMAN Bakhtiar, bukan Azman.

Ahnaf tu plak xdela parah, luka2 biasa. Cumanya dikatakan 'parah' sbb masa di angkat keluar dari van tu, leher dia dipakaikan collar dan di angkut atas stretcher.

Alhamdulillah xde patah kat mana2.

Moga Allah tempatkan mereka di tempat yg terbaik!

Tanpa Nama berkata...

Ajal maut dah ditentukan Allah. Cara bagaimana hanya Dia yg tahu. Ingatan utk diriku & kita, apa2 yg kita buat semuga dlm niat kerana Allah & ikut yg diredhaiNya, mudah2an bila kita kembali padaNya, dlm keadaan Dia (Allah) redha.

Innalilillah