29 Sep 2011

Kereta Terjunam Ke Dalam Laut - 4 Selamat, Pemandu Masih Hilang

Butterworth -- Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki bersama empat rakannya menjunam ke dalam laut ketika cuba mengelak daripada ditahan kerana menceroboh Penang Port Sdn Berhad (PPSB) di Dermaga Dalam, di sini awal pagi Khamis.

Gambar: Sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima mangsa dibawa naik selepas dipercayai terjunam ke dalam laut awal pagi tadi di Pelabuhan Pulau Pinang Dermaga Dalam di sini, hari ini. Empat daripada mangsa tersebut berjaya diselamatkan manakala seorang lagi masih hilang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Zulkifli Alias berkata kejadian itu berlaku apabila kereta Proton Wira yang dinaiki lima lelaki terbabit memecut laju ketika melalui pintu masuk dermaga sebelum terus menjunam ke laut pada pukul 12.45 tengah malam.

"Polis menerima panggilan daripada pengurusan PPSB memaklumkan kejadian itu dan sepasukan anggota kita bergegas ke tempat kejadian sebelum menahan empat lelaki yang berjaya diselamatkan daripada lemas.

"Empat lelaki terbabit bernasib baik kerana berjaya diselamatkan pekerja sebuah kapal yang berlabuh di pelabuhan itu manakala seorang lagi rakan mereka berusia 24 tahun tenggelam bersama kereta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zulkifli berkata siasatan awal mendapati lima lelaki yang berusia antara 24 dan 53 tahun itu berasal dari Kedah berada dalam keadaan mabuk selepas pulang berhibur di George Town dekat sini, sebelum tersilap jalan ketika mencari laluan ke lebuh raya.

Zulkifli berkata kereta dipandu lelaki yang masih hilang itu dikatakan berhenti di hadapan pintu masuk pusat pemeriksaan keselamatan PPSB sebelum tiba-tiba memecut laju ke arah dermaga yang terletak di belakang pusat berkenaan.

"Mereka dikatakan berjaya melepasi pusat pemeriksaan kerana ketika itu palang penghadang laluan dinaikkan berikutan sekumpulan pekerja syarikat pembinaan sedang menjalankan kerja-kerja menyelenggara pusat terbabit," katanya.

Sepasukan anggota polis dibantu Unit Scuba Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Gerakan Marin terlibat dalam operasi mencari lelaki terbabit.

"Selepas empat jam usaha mencari dan menyelamat, kita hanya menemui kereta Proton Wira, lelaki itu bagaimanapun gagal dikesan," katanya.

Beliau berkata semasa operasi berkenaan, pihaknya menemui mayat seorang lelaki lain yang identitinya masih belum dikenal pasti.

"Polis membawa rakan mangsa ke tempat kejadian untuk mengenal pasti mayat yang ditemui, bagaimanapun mereka menafikan itu rakan mereka
," katanya.

Zulkifli berkata empat lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. -- BERNAMA




1 ulasan:

my berkata...

SETCAST - Listen web Radio Watching web TV,Live Online Tv Channels on Your PC-Watch Free streaming Satelite tv online from thousands of the best worldwide channels.Free Radio Stations.
live malaysia radio online thr,hotfm and more to listen visit http://setcast.blogspot.com/2012/03/malaysia-radio-online-listen-live.html