21 Ogo 2011

Remaja Perempuan Maut Terkena Petir - Bukan Kes Pertama

Tanah Merah: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas sebahagian badannya dari telinga hingga ke punggung hangus terkena panahan petir di sebuah bangsal berdekatan rumahnya di Batu Tiga, Kampung Belimbing, dekat sini, kelmarin.

Gambar: DI SINI... lokasi Siti Munirah maut dipanah petir. Gambar kecil, Siti Munirah.

Kejadian pada jam 9 malam itu disedari ibunya, Rosnah Dollah, 49, selepas mangsa, Siti Munirah Nordin, tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa menyebabkan usaha menjejakinya dilakukan sekitar kampung, termasuk rumah rakan.

Ibu tunggal terbabit akhirnya mendapati anaknya meninggal dunia dalam keadaan terlentang di sebuah bangsal 50 meter dari rumah dengan telefon bimbit masih di sisinya.

Menceritakan kejadian itu, Rosnah berkata, sebelum kejadian, dia menegur anaknya kerana bergayut dengan telefon sepanjang hari.

“Saya tegur dia (arwah anak), dengan siapa dia bergayut kerana sepanjang hari dilihat tidak renggang dengan telefon bimbit.

“Mungkin bosan dengan teguran saya, dia kemudian keluar rumah dan sangkaan saya ketika itu mungkin dia ke rumah rakan.

“Selepas teguran itu, saya ingatkan dia masih di rumah rakannya dan berbuka di sana. Bagaimanapun, perasaan saya bercampur curiga berikutan dia masih tidak pulang selepas Maghrib, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Jalan Manal, di sini, semalam.

Rosnah berkata, dia terkejut mendapati rakan anaknya pulang ke kampung mereka di Salor, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di sekeliling rumah.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu. Saya bimbang berlaku kejadian tidak diingini dan terus mencarinya meskipun keadaan sekeliling mulai gelap.

“Bagaikan tidak percaya apa yang saya saksikan apabila menemui anak dalam keadaan separuh tubuhnya hangus, dipercayai terkena panahan petir berdekatan kawasan bangsal semak dan terlindung dari pandangan umum,” katanya.

Katanya, ketika itu Siti Munirah dalam keadaan terlentang, manakala baju T hitam dan seluar pendek merah jambu yang dipakainya turut terkena panahan petir dan hangus sebahagiannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa ditemui 50 meter dari rumah dalam keadaan terlentang dengan sebahagian badan hangus. -hm


Maut kena petir waktu guna telefon


Rosnah menunjukkan telefon bimbit yang digunakan Siti Munirah yang maut dipanah petir di Kampung Belimbing, Tanah Merah semalam.


TANAH MERAH – “Saya mahu tidur puas-puas.” Itu ungkapan aneh yang diucapkan Siti Munirah Nordin (gambar), 13, pada cuti Nuzul Al-Quran Rabu lalu kepada ibunya sebelum remaja itu maut dipanah petir di bangsal berhampiran rumahnya dipercayai sedang menggunakan telefon bimbit di Kampung Belimbing di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang itu, Siti Munirah meninggal dunia di tempat kejadian dengan kecederaan pada muka sebelah kanan dan kesan terbakar pada telinga, rambut dan punggung.

Mayat mangsa ditemui abangnya, Mohd. Firdaus, 16, pada pukul 9 malam setelah ahli keluarganya keluar mencarinya selepas tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa sejak keluar pada pukul 4.30 petang.

Telefon bimbit milik ibunya yang dipinjam mangsa pula ditemui di atas tanah di bawah bangsal tersebut.

Mangsa merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing di sini.

Ibunya, Rosnah Dollah, 49, berkata, pada mulanya dia menyangka Siti Munirah pergi berbuka puasa di rumah kawannya tetapi terkejut apabila mendapat tahu kawan anaknya itu pulang ke kampungnya di Salor dekat sini.

“Sebelum kejadian, Siti Munirah sedang menggunakan telefon bimbit saya di dalam rumah dan apabila saya menegurnya kerana berbual terlalu lama, dia terus keluar dari rumah. -kosmo


Ulasan GB

Ini bukan kejadian pertama. Sebelum ini GB pernah menyiarkan kisah mengenai tiga orang yang sedang berteduh dari hujan di sebuah wakaf di tepi sawah nyaris maut apabila mereka secara tiba-tiba disambar petir dalam kejadian di Kampung Durian Telur, Hulu Besut.

Kenapa merbahaya menggunakan handfon sewaktu petir?

Handfon memancarkan tenaga elektromagnet yang menarik tenaga-tenaga lainnya seperti eletrik untuk mendekat. Sehingga bila kita menggunakan handfon sewaktu hujan maka terdapat kemungkinan kita boleh disambar oleh petir yang bertegangan tinggi itu.

Hal itu boleh saja terjadi lantaran handfon terdiri dari komponen-komponen yang mengandungi logam, dan logam tersebut berhubungan langsung dengan tubuh si pengguna.

Justeru sambaran petir ke arah hanfon akan lansung mengena kepada pemegangnya. Justeru berwaspadalah selalu!



Tiada ulasan: