25 Jun 2011

WASPADA: Jangan Guna Handfon Ketika Petir

Tegur mangsa usah guna telefon

BESUT - Seramai 12 lelaki yang sedang berteduh dari hujan di sebuah wakaf di tepi sawah nyaris maut apabila mereka secara tiba-tiba disambar petir dalam kejadian di Kampung Durian Telur, Hulu Besut, kelmarin.

Bagaimanapun hanya tiga daripada mereka mengalami kecederaan termasuk seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini, yang parah dipanah petir ketika menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya.

Pelajar terbabit, Mohd Sahadam Nik Mar, 17, bersama dua lagi rakannya, Mohd Zailani Keria, 23 dan Muhammad Fariz Ismail, 15, yang berada di tempat kejadian rebah dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu.

Menurut saksi, Mohd Syaiful Bahari Ramli, 15, ketika kejadian, terdapat 12 orang di bawah wakaf yang terletak di kawasan sawah itu, termasuk ada yang berhenti berteduh daripada hujan lebat ketika itu.

Menurutnya, tiga mangsa terbabit dan beberapa rakannya berada di situ sejak jam 3 petang selepas pulang sekolah, dan hajat mereka untuk pulang lebih awal terkandas akibat hujan lebat berserta kilat.

“Sebelum kejadian, Mohd Sahadam sedang menaip mesej (SMS) kepada seseorang dan salah seorang yang berada di situ mengingatkan dia supaya tidak menggunakan telefon ketika petir.

“Beberapa saat kemudian, tiba-tiba kilauan cahaya dan petir menyambar sebatang pokok yang berada satu meter dari wakaf, sebelum mengenai tiang wakaf hingga terbelah menyebabkan tiga rakan saya rebah, manakala saya dan yang lain bertempiaran menyelamatkan diri,” katanya yang ditemui di Bahagian Kecemasan Hospital Besut petang kelmarin.


Kata Mohd Syaiful lagi, dia lari pulang ke rumah memberitahu keluarga mengenai kejadian itu, selain amat terkejut kerana ia berlaku amat pantas, malah berhampirannya.

Menurutnya, mangsa dibawa penduduk kampung dan keluarga ke Pusat Kesihatan Pasir Akar terlebih dahulu sebelum dikejarkan ke Hospital Besut.

“Syukur petir itu mengena pokok dan tiang terlebih, kalau tidak entah apa yang akan terjadi kepada kami,” katanya.

Mohd Sahadam yang pada mulanya tidak sedarkan diri dan mengadu sakit pada bahagian dalam badan bagaimanapun kini keadaan stabil dan dirawat di Hospital Besut, manakala dua rakannya sudah dibenarkan keluar wad pagi semalam.

Kedua-duanya mengalami calar kecil dan lebam pada badan akibat kejadian itu.

Dalam kejadian berasingan, rumah seorang pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah, Mohd Hanapiah Mustafa turut disambar petir menyebabkan kerosakan kecil pada bahagian bumbung rumahnya pada masa sama.

Ketika kejadian, isteri bersama tiga anaknya yang berada di dalam rumah tidak mengalami kecederaan dan menyedari kejadian sejurus kemudian.

Tiada ulasan: