2 Ogo 2011

Rakyat Sudah Tidak Takut, Malah Bangga Dapat Serta BERS✔H 2.0

Dari Ops Lalang ke 709: Suasana ketakutan hilang...

Perhimpunan BERSIH 2.0 membuka lembaran baru gerakan sosial negara kita. Rakyat ghairah berkongsi kisah 709, sama ada di warong mamak mahupun di alam siber. Kini, keenam-enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat telah dibebaskan. Persoalannya, adakah bahang gerakan sosial ini akan dikekal hangat, ataupun dibubuhkan noktah begitu sahaja?

Pemerhati politik, Tang Ah Chai menganggap sama ada gerakan ini dikekalkan atau tidak, bergantung kepada sikap kerajaan (untuk menekan atau tidak gerakan ini) dan pertubuhan masyarakat sivil (lebih proaktif untuk mengekalkan kehangatan gerakan ini).

Tang berkata, sebelum ini, kerajaan dan polis telah memaklumkan bahawa tindakan akan diambil terhadap peserta perhimpunan BERSIH 2.0 dan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM). Seandainya Peguam Negara mendakwa mereka ke mahkamah, maka aktiviti akan dipergiatkan untuk menunjukkan "solidariti" kepada mereka. Selain itu, gerakan ini boleh dikekalkan, seandainya BERSIH 2.0 mengutarakan halatuju reformasi yang jelas - maka rakyat mempunyai ruang untuk melibatkan diri dan menyatakan sokongan mereka.

Perkembangan gerakan BERSIH 2.0 sepanjang tempoh dua bulan ini memperlihatkan banyak perkembangan yang positif, terutamanya apabila rakyat tidak lagi diselubungi rasa takut, menurut pengamatan beliau. Tang Ah Chai membandingkan 709 dengan Operasi Lalang pada tahun 1987, yang mana suasana ketakutan tidak lagi menyelubungi masyarakat. Apa yang wujud adalah suasana ketakutan yang cuba ditimbulkan kerajaan.

Beliau menambah, rakyat menjadi takut dan berdiam diri ketika Operasi Lalang. Pimpinan pertubuhan cuba larikan diri ke luar negeri, sebagai alasan untuk mengelakkan diri daripada menyatakan pendirian. Terlalu sedikit yang sanggup menyatakan pendirian, apatah lagi sokongan. Kini, rakyat secara terbuka menyatakan hasrat untuk turun ke jalan raya, malah berkongsi pengalaman dirinya berdemonstrasi dengan rakan-rakan mereka.

"Peserta melihat penglibatan dirinya sebagai satu kebanggaan. Mereka menulis di Facebook, berkongsi dan berbincang isu ini dengan kawan dan ahli keluarga. Mereka mengambil peluang berkongsi kebanggaan dirinya untuk berada dalam perhimpunan tersebut, malah sudi berkongsi dengan nama dirinya yang sebenar," kata Tang Ah Chai.

Beliau berkata, puluhan ribu turun ke jalan raya meskipun polis dan kerajaan mencuba sedaya upaya untuk menyekat kemaraan rakyat, di samping penangkapan secara besar-besaran. Ini menunjukkan bahawa rakyat telah membebaskan diri daripada ketakutan, malah melihat perhimpunan ini sebagai manisfestasi patriotisme. Mereka melihat diri mereka menyumbang untuk memajukan negara. Jelas, ini satu kemajuan gerakan sosial jika dibandingkan dengan Operasi Lalang, 24 tahun yang lalu.

Menggarap imaginasi rakyat

Tang Ah Chai mengulas, selepas perhimpunan BERSIH 2.0, mana-mana perhimpunan yang diadakan mengundang reaksi yang positif dari kalangan rakyat, misalnya perhimpunan untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap laporan Suruhanjaya Diraja siasatan kematian Teoh Beng Hock, perhimpunan mendesak pembebasan EO6 dan sebagainya. Usaha ini menampakkan kuasa rakyat di tempat masing-masing, dan ia juga berupa kemajuan yang besar.

Beliau berkata, cabaran terbesar gerakan sosial adalah untuk memastikan agar peserta kekal melibatkan diri. Daripada pengamatan beliau sepanjang beberapa minggu ini, beliau mendapati rakyat mula komited untuk terus menyertai aktiviti seumpama ini.

"Setiap orang mahu melakukan sesuatu. Setiap orang merasai sesuatu yang tidak kena dalam sistem kita - bukan sekadar Suruhanjaya Pilihan Raya, atau sistem pilihan raya. Maka setiap tindakan rakyat adalah proses untuk mencari jalan keluar, sama ada untuk dirinya atau negaranya," analisanya.

Beliau menganggap lapan tuntutan BERSIH 2.0, dan pimpinannya, terutamanya Ambiga Sreenevasan berjaya menggarap imaginasi ramai. Malah selepas perhimpunan, dua dialog antara Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga dengan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, menambah keyakinan rakyat terhadap BERSIH 2.0.

Tang Ah Chai berkata, Ambiga berjaya mengolah tuntutan BERSIH 2.0 dengan fakta dan rasional, mendedahkan kepincangan yang wujud dalam SPR. Tindakan ini dengan sendirinya menyanggah tuduhan kerajaan bahawa peserta perhimpunan adalah perusuh, dan mengikut pemimpin mereka secara buta tuli, segala-galanya akan melabuh tirai setelah tamatnya perhimpunan. Sebaliknya, BERSIH 2.0 menyatakan dengan tegas pendiriannya untuk mereformasikan sistem pilihan raya.

Berbanding dengan BERSIH 2.0, PERKASA dan Pemuda UMNO memberi persepsi "buat kecoh", malah gagal menandingi imej bagaikan badut. Tang Ah Chai menganggap ini sebagai peluang pendidikan, untuk rakyat membezakan pendirian dan tindakan antara BERSIH 2.0, PERKASA dan Pemuda UMNO.

Usaha kekalkan kehangatan

Ketika membicarakan kejayaan BERSIH 2.0, Tang Ah Chai menganggap ia didorong halatuju reformasi yang jelas dan tuntutan yang konkrit. Lapan tuntutan yang dikemukakan adalah nyata - boleh diputuskan segera sama ada untuk melaksana atau tidak. Misalnya, SPR boleh memutuskan segera sama ada tempoh kempen boleh dipanjangkan kepada 21 hari.

Selain itu, perhimpunan BERSIH memberi kesempatan untuk tunjuk perasaan di jalan raya, mengamalkan hak asasi untuk berhimpun - dan bukan lagi sekadar demokrasi luaran seperti menulis surat untuk menyatakan ketidakpuasan. Lebih-lebih lagi, apabila golongan profesional dan tokoh agama tampil untuk memberi sokongan, ia amat memberangsangkan generasi muda.

Meskipun BERSIH 2.0 agak berjaya dalam hal ini, namun Tang Ah Chai menganggap ia harus merangkumi gerakan sosial dari bidang yang berlainan, saling membantu untuk menguatkan dan memantapkan lagi gerakan itu. Justeru itu, kuasa masyarakat sivil akan semakin matang jikalau budaya ini berkembang. -MR

Ulasan GB

Apabila rakyat sudah tidak takut maka ia satu permulaan bagi satu era baru... iaitu keruntuhan penjajahan.

Rakyat telah dijajah sekian lama oleh rejim BN dengan menanamkan perasaan TAKUT di dalam minda rakyat. Dengan ISA, dengan Ordinan Darurat, dengan keganasan polis, dengan lagak SPRM, dengan kehitaman institusi kehakiman, dengan ugutan menteri-menteri terutama Menteri Dalam Negeri & Menteri Pengajian Tinggi, dengan penipuan PM dan TPM.

UMNO BN memperbodohkan sekalian rakyat sepertimana mereka telah memperbodohkan ahli mereka. Mereka masih berada di era jahiliyah, di era zaman purba. Menggunakan undang-undang rimba untuk menyekat kebangkitan rakyat.

Inilah seruan GB berkali-kali: JANGAN TAKUT. Itulah kekuatan dalaman yang perlu ada JIKA kita inginkan perubahan.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Najib = Bapa Kerajaan Rimba

Tanpa Nama berkata...

Wajar ada Bersih 3 mendesak kerajaan tidak memasukkan hampir 2 juta PATI dalam daftar pengundi.Pastikan juga yang ada Mykad merah tidak ditukar kepada Mykad Biru.