29 Jul 2011

PAS Akan Terus Perjuangkan Keadilan Untuk Teoh

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menegaskan pihaknya akan tetap menuntut keadilan ke atas kematian mendiang Teoh Beng Hock sekali gus menolak keputusan Suruhanjaya Diraja itu.

Husam berkata, ini kerana hasil siasatan dan keputusan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock pada 21 Julai lalu bahawa kematian mendiang berpunca daripada bunuh diri tidak dapat diterima serta disifatkan sebagai tidak masuk akal.

"Kalau kita mengimbas semula bagaimana kerajaan menolak pandangan keluarga Teoh Beng Hock tentang pemilihan penubuhan Suruhanjaya Diraja Teoh Beng Hock yang mana kelima-lima anggota suruhanjaya itu adalah sepenuhnya dilantik dan dipilih oleh kerajaan Malaysia," ujarnya.

"Tidak ada perundingan dengan keluarga, dan hari ini apabila kita kata kita tidak boleh menerima laporan ini kerajaan Malaysia memberi amaran bahawa semua orang kena terima laporan ini,"jelasnya.

"Hari ini saya berkata bahawa saya menolak laporan ini,"tegasnya.

"Majlis Peguam juga menolak laporan ini," jelasnya.

Malah Husam berkata, pentadbiran Umno- Barisan Nasional(BN) harus memikul tanggungjawabnya yang mencipta raksasa di kalangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hingga menyebabkan kematian pembantu politik itu.

"Saya juga tidak boleh menerima laporan dan tindakan membunuh seorang warganegara Malaysia dan pembunuh itu juga dilindungi dengan laporan-laporan yang tidak elok. Kita semua bertanggungjawab dalam ketidakadilan ini. Kalau tidak hari ini Teoh Beng Hock dibunuh dan esok orang lain pula yang akan dibunuh," katanya dalam forum "Dimanakah Kebenaran?" di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur, semalam.

Tegas Husam lagi, beberapa insiden yang melibatkan anggota polis menembak mati mangsa mahupun tahanan mati dalam lokap bukanlah kerana isu bangsa mahupun kaum sebaliknya mengingatkan rakyat bahawa pihak berkuasa tidak sewenang-wenangnya melakukan kezaliman dan penindasan terhadap orang awam dengan alasan perundangan.

Katanya, perkara tersebut dapat dilihat melalui kematian Teoh Beng Hock sendiri, A Kugan dan Aminulrasyid Hamzah.

Ujarnya lagi, kematian mereka ini bukan saja dimanipulasi oleh sesetengah pihak malah turut terpalit dengan fitnah liar polis dengan mendakwa ada dari kalangan mangsa itu adalah penjenayah.

“Orang melayu mengatakan ini kematian anak orang india. Teoh Beng Hock anak orang cina orang melayu tak perlu bangkit. Kita dikejutkan dengan kematian adik Amirul Rashid yang masih lagi remaja. Pada pagi hari mereka dia ditembak berdas-das oleh pihak polis. Dan lebih menyakitkan hati ialah tiap-tiap kali kejadian ini berlaku tidak pernah kerajaan Malaysia bercakap benar kepada rakyat. Jelas Husam.

Laporan setebal 124 muka surat itu adalah keputusan sebulat suara semua anggota panel Suruhanjaya berkenaan yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

Teoh, 30, pembantu Politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka berhubung kes berkenaan.

Prosiding suruhanjaya itu bersidang selama 50 hari dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini sejak 14 Februari dan berakhir pada 10 Mei lalu.

Tambah Husam, tindakan suruhanjaya memutuskan kematian Beng Hock adalah akibat bunuh diri tidak akan mematahkan semangat keluarga mendiang untuk terus bangkit menuntut keadilan.

"Saya berharap ini dapat memberikan kekuatan semangat kepada keluarga Teoh Beng Hock.Kita akan bersama sepertimana saudara Gobind Singh Deo memperjuangkan keadilan kepada mendiang Beng Hock, saudara Kugan dan Aminulrasyid,"katanya.

"Selagi kita hidup, kita akan perjuangkan keadilan untuk mendiang Teoh Beng Hock," tambahnya. -tvsnews


Tiada ulasan: