29 Jul 2011

Unggun BERS✔H Menyelubungi Hari Kemerdekaan

Semakin lara kita didera bara -
kita laungkan juga pesan merdeka…. A. Samad Said

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri Najib bersama timbalannya Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri akan mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara di Stesen ERL dan di Stesen KL Sentral.

Bayangkan Najib bersama-sama dengan adik saudaranya Hishammuddin, Liow Tiong Lai dan Koh Tsu Koon ketawa dengan manis sambil melambai-lambai tangan dengan orang ramai - berpura-pura seakan-akan tidak ada apa-apa yang pernah berlaku dengan negara kita kebelakangan ini.

Adakah rakyat Malaysia yang berprihatin dengan perkembangan politik negara akan terharu dengan perbuatan mereka? Adakah wujud "mood" perayaan Hari Kemerdekaan sebelum segala-gala kegilaan politik dihentikan dengan serta-merta?

Pada pendapat saya, tiga perkara yang penting perlu diselesaikan sebelum kita dapat merayakan Hari Kemerdekaan 2011 dengan jiwa yang bersatu-padu.

Perkara yang pertama, kemerdekaan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang tidak berdosa di bawah akta EO (Emergency Ordinance) harus diberikan. Penahanan E06 adalah sesuatu yang paling tidak masuk akal dalam sejarah penahanan politik Malaysia. Mereka terkorban dalam percaturan permainan politik lampau yang disebabkan anggaran dan keputusan yang salah dan tidak dapat diterima umum baik di dalam negara mahupun di antarabangsa.

Bagi kawan-kawan yang berkenalan dengan EO6, memang difahami bahawa mereka bukan sahaja tidak membawa sebarang ancaman terhadap negara sebaliknya menyumbang kepada kepentingan negara. Saya pernah menyertai salah satu aktiviti mereka beberapa tahun yang lepas. Aktiviti tersebut adalah pengumpulan tandatangan untuk meminta gaji minima bagi perkerja. Sekarang Parlimen sudah mula mempertimbangkan tuntutan gaji minima untuk golongan perkerja.

PSM adalah parti politik yang memperjuangkan kepentingan masyarakat terpinggir. Sejak penubuhan parti sehingga masa kini, ianya berkepercayaan terhadap sistem pilihan raya. Mereka tidak pernah menggunakan sebarang kekerasan untuk merampas kuasa. Sebaliknya, kali ini mereka menghulurkan tangan untuk menyokong pengukuhan sistem pilihan raya negara dengan penyertaan dalam aktiviti BERSIH. Malangnya, disebabkan saiz parti politik tersebut dan komposisi parti, mereka menjadi korban dalam persaingan kuasa antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Terdapat 5,000 orang doktor menyeru supaya EO6 dibebaskan. Seruan kebanyakan doktor dalam Malaysia menunjukkan rasional sekelompok barisan pimpinan polis tidak dapat direstui orang ramai. Ini kerana bidang kedoktoran merupakan pencapaian tamadun manusia yang dicirikan dan dbentuk oleh fahaman rasional dan sainstifik. Penggunaan kanun EO memang jauh daripada pemikiran rasional. Ini telah mengakibatkan orang ramai melihat polis yang sepatutnya mempertahankan undang-undang negara telah terjerumus dan condong ke arah yang anti rasional.

Politik Malaysia sekarang sudah berubah dan sebarang parti politik yang ingin terus relevan tidak dapat bergantung kepada hanya satu ideologi, sama ada tuntutan satu kaum atau tuntutan politik satu agama. Kepelbagaian kepentingan politik diperlukan supaya dapat memenuhi politik segenap lapisan masyarakat. Dengan ini, jelaslah PSM tidak dapat memberikan ancaman komunis seperti yang didakwa.

Penahanan EO6 dan pendakwaan 24 pimimpin dan ahli PSM adalah tindakan yang memburukkan imej BN sendiri. BN akan ditegelami oleh angkara jahat sendiri. Mereka perlu dibebaskan tanpa syarat.

Perkara kedua yang perlu diselesaikan sebelum Hari Kemerdekaan ialah kembalikan kebenaran dan fakta-fakta asas apakah yang telah berlaku di perhimpunan BERSIH 2.0. Antara tindakan-tindakan yang seharusnya diambil adalah meminta maaf daripada semua yang telah menjadi mangsa di perhimpunan BERSIH 2.0 akibat keganasan tindakan polis.

Keikhlasan perlu ditunjukkan menerusi langkah-langkah berikut:

* Pampasan negara harus diberikan kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad;
* Mengambil tindakan terhadap anggota-anggota penembak gas pemedih mata ke arah Hospital Tung Shin;
* Mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota-anggota polis yang menggunakan kekerasan dan kekasaran terhadap peserta perhimpunan seperti anggota polis dalam video ini yang menumbuk peserta yang tidak bertindak apa-apa semasa ditahan;
* Semua anggota kabinet perlu meminta maaf kepada semua yang terasa dianiaya dalam permulaan, semasa, dan selepas perhimpunan BERSIH 2.0 dan,
* Menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji pengukuhan sistem pilihan raya umum.


Perkara ketiga yang dapat meringankan kerosakan imej BN ialah Menteri Dalam Negeri Hishammuddin yang kurang berwibawa perlu meletak jawatan. Matthias Chang bekas penasihat khas politik Mahathir menyifatkan Hishammuddin telah mengidap "Sindrom Memperbesar Ego Diri" (Enlarged Ego Syndrome) dan memerlukan bantuan terapi psikologi untuk mengubatinya. Menurutnya, Hishammuddin tidak berkeupayaan dan gagal dalam mengendalikan tuntutan BERSIH 2.0.

Kematangan Hishammuddin dalam pengendalian BERSIH 2.0 diuji dan keputusan yang ditunjukkan adalah ianya gagal. Kekurangan kematangan ditunjukkan tanpa melihat diri dan pertimbangan yang mendalam. Masa depan politik Hishammuddin juga penuh dengan tanda tanya.

Perihal penahanan yang tidak meyakinkan orang ramai berlaku, persoalannya apakah ahli-ahli kabinet lain tidak menasihat menteri yang berkaitan? Adakah fungsi kabinet sebagai pasukan politik yang saling membantu sudah buntu dan tidak dapat lagi berjalan lancar?

Perkiraan politik yang tidak memenuhi kehendak rakyat telah mengakibatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri di bawah pimpinan Hishammudin tersalah langkah dan mendatangkan kesan-kesan negatif terhadap pimpinan BN.

Hishammuddin telah mengakibatkan populariti BN jatuh pada paras yang jauh lebih serius berbanding perhimpunan BERSIH pada tahun 2007. Abang saudaranya Najib yang bertungkus lumus merancang transformasi Malaysia dengan slogan Satu Malaysia yang mulai meyakinkan sesetengah pihak, segala usaha Najib dirosakkan dengan sekelip mata seakan-akan landaan tsunami yang memusnahkan Bandar Acheh. Imej Najib yang memihak kepada adik saudaranya turut terjejas dalam masa tidak cukup satu bulan.


Hishammuddin juga telah menyebabkan imej antarabangsa Malaysia jatuh. Ini telah memalukan Najib yang berkebetulan sedang berdiplomasi dengan negara-negara asing. Najib disambut oleh Permaisuri British dengan baju kuning dan ini menjadi bahan bualan di Internet.

Pada abad ke-21 yang dilengkapi dengan teknologi Internet yang dapat menyiarkan segalanya dengan cepat dan berkesan ke serata dunia, tindakan polis menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 telah dirakam dan disebarkan. Segala tindakan tersebut dianggap tidak demokratik dalam kaca mata sedunia.

Bukan sahaja imej BN, Najib dan Malaysia dinodai, yang paling ketara ialah imej polis turut terjejas dengan pada tahap yang amat kritikal.

Kewibawaan polis cuba dikembalikan sejak zaman pemerintahan Abdullah Badawi. Usaha pengembalian maruah polis adalah sumbangan paling penting bagi Abdullah Badawi kepada Malaysia. Dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja dan peningkatan peruntukan kepada polis, imej polis yang beransur-ansur dipulihkan dengan susah payah ini telah sekali lagi terkakis dengan teruk.

Polis menjadi sasaran utama pengguna Internet selepas perhimpunan BERSIH 2.0. Pada pendapat saya, ini adalah tidak adil bagi pihak polis. Memang sudah menjadi tradisi bagi pimpinan polis untuk menunaikan permintaan parti pemerintah. Oleh hal yang demikian, polis dilihat sebagai alat politik sesetengah pihak, baik yang memanipulasi jentera polis ataupun dalam anggapan masyarakat umum. Autonomi polis digadai dalam pengendalian BERSIH 2.0.

Menurut pengamatan saya berdasarkan video-video Youtube wujud babak-babak sedemikian.

Apabila polis cuba menahan rakyat Malaysia (yang membayar cukai yakni membayar gaji polis), sesetengah rakyat akan bertanya terhadap polis apakah kesalahan memakai baju kuning. Persoalan tersebut membuat sesetengah polis serba salah. Ini kerana memang tidak ada undang-undang yang menghadkan warna pakaian rakyat. Disebabkan polis perlu mengikut arahan atasan, maka mereka perlu mengambil tindakan yang melanggar lojik dan kefahaman rasional umum serta kehendak minima tamadun manusia. Malangnya mereka tidak dapat mengingkari perintah atasan.

Tindakan pimpinan atasan yang menurut karenah politik parti pemerintah secara membuta tuli telah menyebabkan kejatuhan maruah dan pengikisan keyakinan terhadap jentera polis secara keseluruhan dirasai. Polis harus menjauhi daripada diheret oleh persaingan politik di antara parti pemerintah dengan parti pembangkang dan juga antara puak-puak dalam parti pemerintah sendiri.


Penangkapan yang keterlaluan tidak dapat dirasionalkan apabila berhadapan dengan peserta-peserta perhimpunan yang aman dengan tidak sebiji pun batu dibaling kepada penguatkuasa. Sebaliknya, rakyat hanya berdiam diri menentang pemecutan air kimia dan penembakan gas pemedih mata.

Sebelum Hari Kemerdekaan, usaha mengembalikan keyakinan rakyat umum amat perlu. Usaha-usaha tersebut juga merupakan "kawalan kerosakan" (damage control) yang telah dilakukan. Tanpa usaha sedemikian, Hari Kemerdekaan tidak akan disambut baik oleh rakyat jelata kerana kepada pihak-pihak yang menyokong BERSIH 2.0, Hari Kemerdekaan telah disambut pada tanggal 9 Julai. Hari tersebut adalah hari yang benar-benar merdeka bagi rakyat dengan memperlihatkan penampilan pelbagai kaum di jalan raya berganding bahu untuk perjuangan sebuah sistem demokrasi yang lebih kukuh.

*Tan Lee Ooi ialah kolumnis MerdekaReview. Beliau sedang melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah (PhD) di National University of Singapore, pernah menulis buku berjudul Dinamik Ruang Siber Dalam Gerakan Reformasi Di Malaysia.

Tiada ulasan: