29 Jul 2011

Bantah Tahanannya & Lima Yang Lain : MP Sungai Siput Lancar Mogok Lapar

Ahli parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jeyakumar Deveraj melancarkan mogok lapar sebagai tanda protes terhadap penahanan polis ke atas dirinya bersama lima orang rakan seperjuangannya di bawah Ordinan Darurat (EO), menurut ahli jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia, Rani Rasiah.

Rani yang juga isteri Jeyakumar menyatakan keputusan ini dimaklumkan kepada dirinya ketika beliau melawat Dr Jeyakumar semalam.

Dalam pertemuan itu, Jeyakumar meluahkan kekecewaan dirinya terhadap polis, dan menyatakan tekadnya untuk mogok lapar mulai 28 Julai 2011, sehingga enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat termasuk dirinya dibebaskan.

"Beliau akan teruskan mogok lapar sehingga kesemua PSM 6 dibebaskan atau dituduh di mahkamah.

“Saya cuba menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian kerana risau akan kesihatan beliau tetapi beliau bertekad mahu meneruskan mogok lapar,” kata Rani dalam satu kenyataan hari ini.

25 Jun lalu, 31 aktivis PSM ditahan di Pulau Pinang dan direman di bawah Seksyen 122 kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

2 Julai lalu, enam daripadanya termasuk Dr Jeyakumar dilepaskan tanpa tuduhan tetapi ditangkap semula di bawah EO sejurus menjejakkan kaki ke luar balai polis dan ditahan sehingga kini.

Enam orang tersebut ialah Dr Jeyakumar, Timbalan Presiden PSM, M. Saraswathy, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Choo Chon Kai dan M. Sugumaran, Setiausaha PSM Bahagian Sungai Siput, A. Letchumanan dan Ketua Pemuda Nasional PSM, R. Sarathbabu.

Rani menyatakan Dr Jeyakumar telah memberi kerjasama penuh namun muak dengan taktik Pegawai Cawangan Khas (SB) yang menyoal siasatnya.

"Menurut Dr Jeyakumar, beliau telah memberi kerjasama penuh sejak direman di mana beliau telah menandatangani 3 laporan termasuk laporan 45 muka surat di Pulau Pinang. Sekarang SB telah sediakan report dengan 80 mukasurat tetapi Dr Jeyakumar buat keputusan beliau tidak akan tandatanganinya kerana beliau melihat kesemua siasatan sebagai sia-sia sahaja," kata Rani lagi.

Dalam respon kenyataan itu, Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan, dalam kenyataan medianya mendesak agar semua tahanan EO itu dibebaskan segera.

Beliau yang nyata bimbang dengan kesihatan Dr Jeyakumar kini sedang berusaha mendapatkan maklumat di Bukit Aman mengenai hal ini.

"Tiada pengesahan lagi dari pihak berkuasa dalam hal ini. Kami percaya Dr Jeyakumar telah memulakan mogok laparnya dan kami bimbang kesihatan beliau.

"Kami mendesak Kerajaan segera membebaskan EO 6 ini dan berikan kami akses kepada Dr Jeyakumar," kata Arutchelvan. -tvsnews




Tiada ulasan: