12 Jul 2011

Kes Sosilawati: Tulang Hangus Jadi Bahan Bukti

Cebisan tulang yang sudah hangus, dua telefon bimbit dan dua jam tangan antara barangan ditemui pasukan penyelam polis ketika mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di sekitar Banting dekat sini, tahun lalu.

Koperal Merzuki Shahrim dari Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1 Pulau Pinang berkata, cebisan tulang hangus itu ditemui ketika dia melakukan selaman di lokasi pertama iaitu di Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 12 September tahun lalu.

Menurutnya, dua telefon bimbit yang ditemui ialah jenis BlackBerry berwarna putih dan hitam dipercayai milik peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank, Noorhisham Mohamad.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata, pasukannya dengan lima anggota menjumpai jam tangan jenama Seiko milik pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, jam tangan Bell & Ross milik Ahmad Kamil, pisau, dawai dan enam keping zink dikatakan digunakan melapik mayat semua mangsa.

Merzuki berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47; Ahmad Kamil, 32; Noorhisham, 38 dan Kamaruddin, 44, di Mahkamah Tinggi di sini, semalam. -hm


Zink, tulang manusia dalam sungai


SUNGAI Panchau di Banting lokasi penemuan barang bukti kes bunuh Sosilawati dan tiga rakan. Dua gambar kecil ialah gambar fail menunjukkan penyelam menemui gelang tangan dan zink.

SHAH ALAM - Juruselam Polis Gerakan Marin 1 Pulau Pinang, Koperal Merzuki Shahrim menemui cebisan disyaki tulang manusia sudah hangus, besi yang ada kesan terbakar, sebilah pisau, dua kunci, dawai dan gelungan dawai ketika menyelam di Sungai Panchau, Banting dekat sini pada 12 September tahun lalu.

Merzuki juga mendakwa telah menjumpai enam keping zink dipercayai dijadikan alas membakar mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; pemandu, Kamarudin Shamsudin; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad selepas mereka dibunuh.

Bukti lain turut dijumpai adalah segugus kunci kereta BMW dengan pemegang kunci tertulis perkataan Sytner di dalam longkang di kawasan USJ 1 Subang Jaya pada keesokan harinya.

Terdahulu, Merzuki yang merupakan saksi pendakwaan ke-22 bagi perbicaraan kes pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga yang lain itu berkata, dia bersama pasukannya menemui dua buah telefon bimbit BlackBerry berwarna hitam dan putih ketika menyelam di dalam longkang berdekatan pintu kunci air Pasar Besar Banting, pada pukul 7.15 malam pada 12 September. -kosmo



Tiada ulasan: