12 Jul 2011

BERS✔H 2.0 : SUHAKAM Kecam Tindakan Ganas Polis & Jamin Siasatan Dilakukan

Bersih 2.0: Suhakam dakwa tindakan polis cabuli hak asasi

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Muhammad Sha’ani Abdullah mengencam kekerasan dilakukan polis semasa bertindak menangkap peserta Himpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkan ia pencabulan hak asasi manusia.

“Ini adalah isu yang besar, semua mangsa harus tampil ke depan dan kemukakan aduan secara terus supaya kita boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperoleh.

“Cara yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, satu pencabulan, satu penyalahgunaan kuasa dan ia bertentangan dengan hak asasi manusia,” katanya pada sesi dialog dengan Dewan Pemuda PAS pusat yang mengemukakan empat pelanggaran dilakukan pihak keselamatan pada Sabtu lalu.

Sha’ani yang turut memantau perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan tindakan polis menangkap peserta dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) juga merupakan satu pencabulan.

“Tahan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pulapol juga merupakan satu pencabulan, mereka (polis) telah merancang untuk tahan mereka, ia sekadar penahanan sahaja bukan untuk diambil keterangan.

“Kita tidak boleh terima tindakan begitu dalam negara yang dikatakan negara maju, polis telah aniaya mereka dengan menggunakan kekerasan, peserta ditangkap, digari kemudian diarahkan menaiki trak dengan tangan di belakang,”
katanya dengan nada kesal.

Tambah Sha’ani, beliau menyifatkan tindakan yang dilakukan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0 sebagai “orang yang tiada pelajaran.”


“Pihak itu tidak berpelajaran, mereka pakai uniform, pakai lencana... mereka tiada hak untuk bertindak kasar terhadap sesiapapun
.

“Kami mahu kerajaan memastikan institusi polis menjaga kelakuan petugas supaya menghormati sesiapa yang mereka tangani,” tegasnya.

Pada Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat ditahan.

Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu. -TMI


Suhakam jamin siasat dakwaan ‘pesta pukul rakyat’

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memberi jaminan akan menyiasat aduan dakwaan mengenai tindakan polis menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan Bersih 2.0 di sini Sabtu lalu.

Naib Presidennya, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata pihaknya mengambil serius terhadap isu ini dan akan mengkaji aduan yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS Pusat sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

“Kami akan ambil perhatian dan akan mengkaji bukti (aduan) sebelum mengumumkan tindakan susulan yang akan kami ambil selepas berbincang dengan pesuruhjaya Suhakam yang lain,” katanya dalam sesi dialog di pejabat Suhakam di sini petang tadi.

Pemuda PAS sebelum ini mengemukakan aduan mengenai empat perkara mengenai penggunaan kekerasan tidak munasabah dan penafian akses orang awam kepada peguam semasa Bersih.

Aduan setebal tujuh muka surat itu membangkitkan mengenai tindakan polis dan pasukan simpanan persekutuan (FRU) mengasari orang awam yang berhimpun secara aman tanpa senjata yang jelas melanggar Perkara 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan hak untuk berhimpun.

Menurut aduan itu, orang awam ditahan, ditendang dan dipukul dengan belantan sebelum digari, selain tindakan polis yang menggunakan meriam air dan gas pemedih mata sehingga mendatangkan kecederaan terhadap orang awam.

Selain itu, aduan itu juga membangkitkan mengenai hak penafian peguam oleh peserta yang ditahan polis, hak kebebasan beragama mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang dinafikan polis apabila Masjid Negara dan Masjid Jamek ditutup sehingga orang awam terpaksa bersembahyang dikaki lima jalan.

“Kami mahu Suhakam menubuhkan panel penyiasat seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 12(1) Akta Suhakam 1999 bagi menyiasat penggunaan kekerasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), layanan buruk terhadap tahanan dan penafian akses kepada peguam semasa dalam tahanan.

“Kami juga mahu Suhakam mengisytiharkan tindakan PDRM itu adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan dan mahu polis memohon maaf secara terbuka kepada tahanan yang dikasari,” kata ketika mengemukakan aduan itu.

Polis tidak bertanggungjawab

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakan Muhammad Sha’ani Abdullah berkata tindakan polis yang menahan orang awam tanpa tujuan dan dakwaan yang khusus dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau mahu seramai mungkin saksi tampil mengemukakan aduan bagi menguatkan lagi penubuhan inkuiri itu.

“Kalau pihak lain soal pun kami ada bukti yang tidak boleh dinafikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi berkata pihaknya mengecam tindakan polis yang dianggapnya sebagai ‘pesta’ apabila memukul dan menahan rakyat yang berhimpun tanpa belas kasihan seperti melayan penjenayah yang telah melakukan kesalahan berat.

“Kami akan berbincang untuk mengemukakan saman terhadap PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan,” katanya.

Sementara dalam sesi dialog kira-kira sejam antara Pemuda dengan Suhakan turut mendengar keluhan beberapa peserta Bersih yang mempunyai pengalaman sendiri dikasari polis semasa menyertai perhimpunan itu. -FMT

Tiada ulasan: